Prasangka

Cerpen: Prasangka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH agak lama Mak Temah menaruh prasangka ke atas menantunya yang bernama Ikmal itu. Lagi lama Mak Temah menyimpan prasangka itu, semakin remuk perasaan dalam jiwanya dirasakan.

Takdir dirinya seorang perempuan dan begitulah prasangka itu membebat seluruh perasaannya. Sesekali Mak Temah mengerling Pak Seman yang sibuk dengan mengagah burung tekukurnya dalam sangkar itu supaya bersiul. Suaminya itu seperti tidak terkena tempias pada prasangka yang dirasakannya itu.

Pernah sekali dua Pak Seman bergurau dengan Mak Temah, alangkah baiknya kalau dirinya tahu bahasa burung. Ini membantunya mengetahui senikata lagu yang didendangkan burung terkukurnya itu. Mak Temah membalas keinginan suaminya itu dengan gurauan.

“Nak belajar bahasa burung bukan di sini, dalam hutan sana tu?” ujar Mak Temah sambil menunjukkan kawasan belukar yang berjiran dengan rumahnya.

Tanah itu telah dijual kepada penduduk Singapura tetapi sayangnya tanah seluas dua ekar itu tidak dibersihkan oleh pemilik tanah itu. Tanah itu bertukar menjadi belukar dan banyak pula pokok-pokok liar yang tumbuh.

Di sinilah setiap pagi kedengaran bunyi burung berkicauan sebelum terbang bebas mencari makan. Setelah mendengar burung tekukur itu bersiulan, Pak Seman duduk di sebuah bangku di laman rumah.

Bangku panjang satu meter itu berdekatan dengan pohon rambutan gading yang berdaun rendang. Pak Seman mengeluarkan rokok daun tembakau Cina dan mengepit di celah bibirnya yang lebam dan hitam kesan daripada candu rokok itu.

Setelah menghembus beberapa kali ke atas, asap rokok itu hilang begitu sahaja ditiup angin. Mak Temah datang menghampiri Pak Seman dan duduk di sebelahnya.

“Amboi bukan main senang hati awak lagi yer. Mentang-mentanglah burung tekukur sudah pandai bersiul menghiburkan hati awak,” ujar Mak Temah.

“Hidup kita tidak baik berprasangka,Temah”

Mak Temah berpaling dan mendongak ke wajah Pak Seman.

“Eh, mana ada saya berprasangka. Saya melihat depan mata sayalah,”

“Walaupun awak melihat sesuatu yang benar, ada awak terjumpa buktinya?” soal Pak Seman.

Mak Temah terdiam. Memang ke hari ini bukti itu masih belum diketemukan Mak Temah. Mak Temah hanya berprasangka. Bagi mengelakkan Mak Temah menghidupkan cerita yang serupa, Pak Seman menyuruh Mak Temah membuat kopi pekat untuknya.

“Buat kopi pekat untuk saya.Terasa masam tekak saya ni,” ujar Pak Seman. Mak Temah menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Menyampah bila duduk dengan awak ni. Ada-ada saja kerja yang awak suruh saya buat. Lain kali tak mahulah saya duduk dekat awak tu. Awak dengarlah suara burung tekukur kegemaran awak tu,” balas Mak Temah dengan panjang lebar.

“Nak elakkan awak suka berprasangka,” balas Pak Seman.

Mak Temah meninggalkan Pak Seman di bangku panjang bawah pokok rambutan gading itu. Pak Seman menjadikan tempat duduknya sebagai wakaf bertenang sambil menghisap rokok daun tembakau Cina itu.
Setahu Mak Temah tempat bertenang terletak di tandas di setiap rumah. Beberapa ketika kemudian, Mak Temah keluar membawa talam berisi dua cangkir minuman dan sepiring ubi rebus dan sambal belacan.

“Ni kopi awak yang tak bergula. Yang ni pula kopi saya yang bergula,” ujar Mak Temah sambil menjarakkan duduk cangkir kopi bergula dan cangkir kopi pekat tak bergula.

Sebelum kopi itu kehilangan panasnya, Pak Seman mencicip cangkir minuman itu ke bibirnya. Angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa.

“Sedap kopi pekat yang awak buat Temah,” puji Pak Seman. Selepas mencicip beberapa kali, Pak Seman beralih kepada perkara lain.

“Tak baik berprasangka dengan Ikmal tu, Temah.Dulu begitu juga sikap awak dengan menantu kita tu sewaktu tiga tahun tinggal bersama kita. Saya carikan rumah sewa yang lain untuk Ikmal dan anak kita Tina tu. Saya sangka penyakit prasangka awak tu telah berakhir. Rupanya tidak, tumbuh semula,”

Jari-jemari Pak Seman mencubit ubi rebus yang dicecah dengan sambal belacan pada piring yang lain.

“Baguslah Ikmal tu pindah bawa Tina tu sekali. Duduk handal dalam rumah kita ni. Kita ni dijadikan bibik, tukang masak untuk mereka. Si Ikmal tu bukannya pandai keluar duit belanja dapur. Setangkai sayur pun tak pernah dibeli kat Pasar Ampangan tu.Tahu makan jer apa yang kita masak untuknya,”

“Kali ini apa pulak prasangka awak terhadap menantu kita tu?” soal Pak Seman.

“Awak tak nampak waktu Ikmal itu pulang dari tempat kerjanya. Kalau burung tahu juga pulang bila waktu senja. Awak tak nampak jam berapa Ikmal tu pulang setiap malam? Pukul 10.00 malam baru Ikmal tu nampak batang hidungnya. Awak tak ada perasaan prasangka ker apa kerja Ikmal tu? Entah-entah ada isteri lain di luar sana tu,”

“Astagfirullah al azim,Temah. Itu dah jatuh pada fitnah tu” balas Pak Seman.

Dua

Senja itu Tina datang ke rumah Mak Temah.

“Mak ada tepung, bawang besar dan ikan bilis? Pinjam dulu,” ujar Tina.

“Kau nak buat apa dengan tepung, bawang besar dan ikan bilis tu?” soal Mak Temah.

“Abang Ikmal teragak nak makan kodok ikan bilis” balas Tina.

“Erk, dah malam-malam makan kodok ikan bilis? Bukankah suami kau tak makan ikan bilis sebelum ni?” jerkah Mak Temah.

Mendengar bising-bising di luar bilik, Pak Seman keluar dari biliknya.

“Oh, ayah. Fikir tadi ayah tak ada dalam rumah. Mak ni nak pinjam tepung, bawang dan ikan bilis pun banyak songelnya,” rungut Tina.

“Berilah Temah. Perkara kecil janganlah nak diperbesar-besarkan. Agaknya Ikmal itu mengidam tu nak makan kodok ikan bilis air tangan isterinya,” ujar Pak Seman.

“Siapa yang mengidam ni Ikmal atau Tina ni? Setahu sayalah yang mengidam ni kaum perempuan bukannya kaum lelaki. Kau mengandung ker Tina?” balas Mak Temah.

“Nak mengandung mak? Dah lapan bulan abang Ikmal tak ‘sentuh’ saya mak,” ujar Tina yang pulang secara tergesa-gesa setelah mendapat bahan-bahan yang dikehendakinya.

“Tunggu sekejap Tina. Awak bekalkan pada Tina baki ubi rebus dengan sambal belacan yang kita makan petang tadi tu,”

“Erk,ada ubi rebus dengan sambal belacan. Ini sudah tentunya abang Ikmal suka ni,” balas Tina sambil menyambut bungkusan bekas ‘tupperware’ berisi ubi rebus dan sambal belacan itu.
“Puih,tak habis-habis puji suaminya tu.”

“Kasih emak lain. Kasih suami ni bawa ke syurga,” sindir Tina cuba menyakitkan hati Mak Temah.

Tiga

Mak Temah semakin tidak berselera pada malam itu. Lauk ikan sembilang masak lemak cili padi tidak mendatangkan selera seperti tengah hari tadi. Manakala, Pak Seman makannya berselera dan telah pun dua kali tambah nasi apabila terdapatnya ulam-ulaman sayur dan petai di depannya.

“Erk, dah kenapa ni Temah? Sejak dari tadi awak hanya memandang rezeki depan mata awak tu. Langsung tak jamah nasi dan lauk tu,” ujar Pak Seman.

“Saya tak ada selera nak makan malam ni. Saya susah hati jadinya,” balas Mak Temah.

“Awak susah hati sebab Tina datang ke rumah kita semata-mata mahu pinjam tepung dan ikan bilis tu? Anggaplah semuanya tu sebagai sedekah,Temah”

“Dulu, sebelum Ikmal dan Tina keluar rumah kita bila kita minta duit lauk dari mereka, Ikmal cakap dia tak makan ikan bilis dan garam. Petang tadi Tina minta pinjam tepung dan ikan bilis. Awak tak rasa pelik ker?”

Pak Seman mencuci tangannya. Pak Seman bangun dari duduknya untuk mencari rokok daun tembakau Cina di atas rak almari rumah. Beberapa ketika kemudian, Pak Seman duduk semula dibangkunya.

“Apa peliknya Temah? Manusia ni selalu berubah cita rasanya,” jawap Pak Seman sambil menyalakan hujung rokok daun itu dengan mancis di tangannya.

“Saya bertambah jadi prasangka apabila Tina mengatakan dah lapan bulan Ikmal tak menyentuhnya? Awak tahu tak apa maknanya?” soal Mak Temah.

Pak Seman terdiam sejenak sambil menonyohkan puntung rokok daun tembakau Cina ke dalam bekas habuk rokok. Perkara yang dibangkitkan Mak Temah menarik sungguh perhatiannya.

Memang sejak dari dulu lagi Pak Seman menasihatkan isterinya Mak Temah supaya menolak prasangka, terutamanya kepada anak menantunya sendiri. Pak Seman teringatkan sebuah hadis yang diriwayatkan al-Bukhari supaya kita menjauhkan diri dari berprasangka buruk.

Ia mampu mendatangkan dusta yang besar. Kita juga tidak digalakkan mencari kesalahan orang lain dan menanamkan rasa benci antara satu sama lain. Tetapi, rasa prasangka yang mulai menular di dalam perasaannya

mendorongkan mencari kebenaran isu yang dibangkitkan oleh Tina itu. Ketika Mak Temah menonton siaran TV di ruang tamu, Pak Seman menyentuh bahu isterinya.

“Kali ini saya berpihak kepada awak. Cuba minta Tina bercakap benar perkara yang disampaikan Tina tu senja tadi,”

“Perkara apa yang awak maksudkan tu?” soal Mak Temah sambil memicit butang kawalan jauh TV bagi merendahkan bunyinya.

“Tentang Tina memberitahu awak sudah lapan bulan Ikmal tidak menyentuhnya,” ujar Pak Seman.
Mak Temah ketawa berdekah-dekah. Rasa gelihati mencuit perasaan di sanubarinya.

“Erk, sekarang baru awak tak ada prasangka lagi ker?”

Mak Temah bagaikan memulangkan paku buah keras kepada Pak Seman. Pak Seman teringatkan rakannya Dalib yang memakai baju Melayu dan kain sarung menjelang waktu maghrib, kononnya mahu solat maghrib dan isyak berjemaah di masjid.

Alasannya itu dapat diterima oleh isteri yang percayakan alasan yang diberikan suaminya itu. Akhirnya, sang isterinya mendapat tahu, suaminya bukannya menuju ke masjid tetapi ke rumah isteri barunya. Sang suami berjaya menyembunyikan rahsianya itu hampir sepuluh tahun.

“Rasanya elok kita tanya Tina dan minta dia berterus terang perkara ini. Tidak perlu ajak Ikmal. Nanti Ikmal berprasangka buruk atas Tina kita tu kerana menceritakan perkara dalam kelambu kepada kita.”

Setelah berbincang, Pak Seman dan Mak Temah bersetuju mengadakan perbincangan dengan Tina selepas waktu maghrib.

Empat

Tina datang tepat pada waktunya. Dalam hatinya tertanya-tanya tujuan perbincangan diadakan itu. Persoalan utama bermain di dalam mindanya ialah kenapa Pak Seman dan Mak Temah tidak menunggu suaminya pulang dari tempat kerja.

Perkara itu terbenam begitu saja dalam lubuk hatinya apabila langkahnya semakin hampir ke tangga rumah Mak Temah. Kali ini Mak Temah menghukum Pak Seman untuk memulakan perbincangan tiga penjuru itu.

“Bukan tujuan ayah mahu mencampuri urusan rumahtangga kau Tina. Ayah mahukan berterus terang dengan kau perkara ini supaya menghilangkan rasa prasangka kami selama ini.”

“Soalan apa yang ayah tanyakan ni?”

Mak Temah menyampuk.

“Benarkah kau cakap semalam. Dah lapan bulan Ikmal tak ‘sentuh’ kau?” soal Mak Temah.
Tina tunduk dan diam.

“Abang Ikmal mengikut kehendak ibubapanya mahukan anak bongsunya dikahwinkan dengan perawan bukan janda seperti Tina,” ucap Tina. Bahunya terhenjut-henjut menahan tangis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya