Sekampit beras

Sekampit beras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Panas petang terik mencengkam. Biarpun waktu sudah hampir menuju senja, panas matahari sungguh luar biasa. Bahangnya masih terasa.

Joned mengayuh basikal dengan kayuhan yang amat perlahan sekali. Badannya terasa sangat letih. Panas matahari menjadikan Joned berasa lemah.

Jarak rumah Joned sudah semakin hampir. Rasa penat menjadikan dia berasa lama lagi hendak sampai ke rumah. Kayuhannya makin longlai.

Joned sampai di hadapan rumahnya. Itulah rumah pusaka tinggalan arwah ibu dan bapanya yang telah meninggal dunia akibat kemalangan. Joned satu-satunya anak tunggal dan rumah yang kecil dan usang itu menjadi miliknya.

Joned menyandarkan basikalnya pada sebatang pokok berdekatan rumahnya. Dia melepaskan lelah di atas sebuah kerusi buruk di luar rumahnya. Kemudian Joned menolak daun pintu rumahnya yang tidak berkunci. Berkeriut bunyi pintu itu.

“Ehhh! Abang dah balik!” Teriak Soyah seperti terkejut.

“Ambilkan abang segelas air sejuk. Haus sungguh tekak ni. Panas sungguh hari ni!” Ujar Joned bila Soyah terpacul di hadapannya.

Soyah menuju ke dapur. Beberapa saat kemudian Soyah muncul membawa segelas air dan menghulurkan kepada Joned. Joned minum hingga habis. Dia benar-benar kehausan.

“Hari ini abang buat kerja di mana?” Tanya Soyah ingin tahu.

“Abang buat kerja di rumah Tok Penghulu. Dia minta abang bersihkan kebun durian di belakang rumahnya. Pokok durian Tok Penghulu tu sedang berbunga,” jawab Joned kemudian bangun masuk ke bilik.

Soyah memandang suaminya Joned dengan pandangan sayu. Suaminya akan mandi dan solat Asar. Biarpun suaminya Joned hanya mencari rezeki dengan melakukan kerja-kerja di kampung, tetapi Joned seorang yang bertanggungjawab sebagai seorang suami.

Sejak berkahwin dengan Joned, Joned gigih mencari rezeki demi menyara isterinya. Soyah menerima hakikat bahawa suaminya Joned tidak berpelajaran tinggi. Soyah juga menerima hakikat bahawa dia dan suaminya masih belum dikurniakan anak.

Begitu juga dengan Soyah yang tidak berpelajaran tinggi. Ketika keluarga suaminya Joned datang masuk meminang Soyah, dia menerima pinangan tersebut setelah menyedari dirinya yang serba kekurangan. Namun setelah bernikah, Soyah hanya dapat mengenali kedua-dua mertuanya hanya dalam tempoh dua tahun. Ibu dan bapa Joned meninggal dunia akibat kemalangan di jalan raya.

Joned hanya mengambil upah melakukan kerja di sekitar kampung. Jika dahulu Joned menetapkan kadar upah mengikut keikhlasan tuan rumah, tetapi sekarang Joned menetapkan kadar upah mengikut jenis kerja yang dilakukannya.

Joned pernah mengajak Soyah berhijrah ke kota mencari rezeki. Soyah menolak cadangan suaminya Joned. Dia memberi pelbagai alasan.

“Kenapa Soyah tak nak ikut Abang pindah ke kota?” Tanya Joned.

“Kos sara hidup di kota mahal, bang. Harga sewa rumah terlalu mahal. Abang sanggup ke nak membayarnya? Nanti berapa je yang tinggal baki gaji Abang!” Terang Soyah.

“Itu belum lagi perbelanjaan harian. Makan minum, pakaian, bil elektrik, bil air. Semuanya dah naik, Abang,” tokok Soyah lagi.

“Tapi belum cuba belum tahu. Kita cuba hidup di kota dulu. Jika kehidupan di kota memang susah, kita balik lah ke kampung semula,” kata Joned menyakinkan Soyah.

“Saya cakap Abang jangan marah ye. Abang tu sekolah pun tak habis. Abang nak minta kerja apa. Kerja pejabat? Apa kelulusan Abang?”

Joned terdiam mendengar kata-kata Soyah. Memang benar kata-kata Soyah itu. Biarpun Soyah juga tidak habis bersekolah, tetapi Soyah bijak berhujah. Joned setuju dengan fikiran Soyah.

Joned keluar dari bilik setelah mandi dan solat. Dia duduk di kusyen yang telah lusuh warnanya. Soyah menghampiri Joned dan duduk bersebelahannya. Joned memandang Soyah dengan pandangan pelik.

“Kenapa, Yah? Lain macam Abang tengok hari ini!” Tegur Joned. Jarang Soyah berperangai begitu.

“Yah rasa sunyi lah, Abang,” luah Soyah.

“Sunyi???” Teriak Joned seakan terperanjat dengan kenyataan Soyah.

“Ye la. Yah rasa sunyi tinggal sorang-sorang di rumah,” beritahu Soyah.

“Kenapa? Yah nak bekerja ke?” Kata Joned meneka.

“Ehhh tak lah, Abang. Yah jadi suri rumahtangga ini pun dah kira bekerja,” jawab Soyah menafikan tekaan suaminya, Joned.

“Habis tu kenapa Yah sunyi?” Tanya Joned lagi sambil memandang tepat ke wajah Soyah.

“Jika kita ada anak, sudah tentu Yah tidak sunyi tinggal di rumah. Yah akan sibuk menguruskan anak,” Soyah meluahkan apa yang berbuku di dalam hatinya.

“Allahuakbar! Bukan kita tidak berusaha, Yah. Tapi Allah masih belum mengurniakan kepada kita.” Suara Joned seakan bergetar. Dia tidak menyangka Soyah akan membangkit perkara itu.

Joned sendiri pun sudah lama menginginkan anak. Dia rasa cemburu melihat kawan-kawan sebayanya yang sudah berkahwin, telah dikurniakan dua tiga orang cahaya mata.

“Ye, betul cakap Abang tu. Tapi sekarang ni masa terlalu cepat berlalu,” suara Soyah terlalu perlahan tetapi telinga Joned masih dapat menangkap kata-kata Soyah.

“Maksud, Yah?” Jerkah Joned.

“Kita semakin tua, Abang.”

Joned terdiam dengan kenyataan isterinya Soyah. Memang benar kata-kata Soyah. Apabila usia semakin meningkat, peluang ingin memiliki cahaya mata itu amat tipis. Seorang kawannya memberitahu, usia yang menuju ke ambang empat puluh itu tahap kesuburannya semakin menurun.

“Tapi Allah lebih berkuasa dan mengetahui apa yang akan berlaku, Yah. Abang harap Yah bersabar.”

Joned memberikan jawapan yang mungkin boleh memujuk hati Soyah dan juga memujuk hatinya. Dia tidak boleh melawan takdir yang telah ditentukan oleh Allah. Anak itu lambang hubungan perkahwinan suami isteri.

Namun masih ramai suami isteri yang masih menunggu dan mengharap supaya dikurniakan cahaya mata oleh Allah.

Soyah mendekati Joned. Bibir Soyah seakan bergerak-gerak.

“Abang, Yah minta maaf ye jika kata-kata Yah telah menyinggung perasaan Abang. Yah sekadar meluahkan apa yang tersimpan di hati Yah,” nada suara Soyah seakan sedih.

“Ehh tak apa! Soyah berhak bersuara. Negara kita negara demokrasi.”

Soyah tersenyum mendengar kata-kata suaminya, Joned. Biarpun Joned tidak bersekolah tinggi, kadang-kadang kata-kata yang dilafazkan suaminya cukup luar biasa.

“Abang, Yah nak ke dapur. Nak siapkan makan malam nanti,” ujar Soyah. Joned hanya menganggukkan kepala.

Soyah berjalan menuju ke dapur. Joned duduk di kusyen sambil melongo. Dalam kepalanya bermacam-macam yang melintas di fikirannya. Paling dirunsing Joned, duit belanja harian yang ada dalam dompetnya hanya tinggal RM10.

Tadi selepas selesai membersihkan kebun durian Tok Penghulu, Joned tidak menerima bayaran upah kerana Tok Penghulu tiada di rumah. Sedangkan Joned memerlukan duit untuk beli barangan dapur. Soyah tiba-tiba terpacul di hadapannya.

“Abang, beras dah habis! Tong beras dah kosong. Sebiji beras pun tak ada. Abang kena pergi beli!” Beritahu Soyah dengan suara yang agak tinggi.

“Alamak! Beras dah habis!” Teriak Joned seakan terperanjat. Dahinya berkerut.

“Kenapa Abang terperanjat! Abang pergi je la beli di kedai runcit di simpang jalan tu!” Kata Soyah memberi arahan.

“Okey. Okey. Abang pergi beli!” Joned lantas bangun dari kusyen. Dia keluar terus mendapat basikal.

Tanpa memberitahu keadaan kewangannya kepada Soyah, Joned mengayuh basikal menuju ke kedai runcit yang menjadi tumpuan penduduk kampung.

Soyah memerhati Joned sehingga hilang dari pandangan. Soyah menuju ke dapur. Dia hendak memasak lauk untuk makan malam. Dia bercadang hendak masak lauk sambal tumis telur rebus.

Soyah mendengar laungan azan dari surau berhampiran rumahnya. Suaminya Joned masih belum pulang dari kedai runcit.

Jarak rumahnya ke kedai runcit itu tidaklah jauh sangat. Soyah menuju ke pintu hendak meninjau jika suaminya sudah pulang. Bunyi pintu berkeriut menangkap gegendang telinganya. Soyah yakin itu suaminya.

Joned muncul dengan memegang sekampit beras lima kilogram. Muka Joned kepenatan. Dia menyerahkan kampit beras itu kepada Soyah. Isterinya Soyah tersenyum lebar dan terus menuju ke dapur.

Malam itu selepas menunaikan solat Isyak, Soyah mengajak suaminya Joned makan malam. Joned dan Soyah duduk di meja makan berdekatan ruang tamu.

Soyah menyenduk nasi dan meletakkan ke dalam pinggan di hadapan suaminya, Joned. Kemudian Soyah menyenduk nasi untuknya di dalam pinggan di hadapannya. Soyah perasan air muka Joned seperti kemurungan.
“Ehh, kenapa Abang termenung je? Jom la makan!” Kata Soyah mempelawa Joned.

Sewaktu Joned hendak menyuap nasi ke mulutnya, tiba-tiba pintu rumahnya diketuk beberapa kali diikuti dengan ucapan salam. Joned menjawab ucapan salam itu kemudian bangun menuju ke pintu. Soyah mengekorinya.

Joned membuka pintu. Wajahnya terkejut apabila melihat dua orang polis lelaki berpakaian seragam tercegat di hadapan rumahnya.

“Ini Encik Joned kan? Kami dari balai polis berhampiran,” ujar salah seorang polis.

“Ye, saya Joned. Ada apa Tuan datang ke rumah saya?” Tanya Joned. Wajahnya nampak seperti ketakutan.

“Kami datang ni nak bawa Encik Joned ke balai polis,” beritahu polis dengan nada serius.

“Kenapa, Tuan? Apa salah suami saya?” sampuk Soyah dengan suara kegugupan.

“Encik Joned disyaki mencuri!” Kata polis itu sambil memandang persekitaran di dalam rumah.

“Mencuri! Curi apa Tuan?” Suara Soyah menggeletar. Dia seperti tidak percaya apa yang disampaikan oleh kedua-dua polis itu.

“Mencuri sekampit beras di kedai runcit kampung ini. Pemilik kedai telah membuat laporan polis dan menunjukkan rakaman CCTV di kedai itu dan pemilik kedai itu mengenali pelakunya ialah Encik Joned. Di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri sekampit beras, boleh berdepan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda,” jelas polis itu dengan suara yang tegas.

Seluruh badan Joned menggigil. Dia terpaku tidak bersuara. Tubuh Soyah terjelepuk di atas lantai. Soyah pengsan kerana terkejut dengan tindakan yang tidak diduga oleh suaminya Joned. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya