Yang benar takkan tertimbus dalam tanah

Yang benar takkan tertimbus dalam tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUAH rumah lama tersergam indah di atas tanah pusaka. Diperbuat daripada kayu, tak berpaku, penuh dengan seni ukiran orang dulu-dulu. Di situlah tempat Tina membesar. Di rumah itu jugalah bapanya dibesarkan serta tempat berteduh nenek moyangnya suatu masa lalu. Setiap keluarga yang mendiaminya akan menjaga rumah tersebut mengikut cita rasa tersendiri, menjadikan rumah pusaka tersebut bertambah cantik dan selesa didiami.

Tina masih ingat apabila kawan-kawannya datang bertandang, mereka pasti memuji-muji betapa cantiknya rumah pusaka yang didiami oleh Tina.

“Bagus buatannya, Tina. Semuanya masih elok dan terjaga.”

“Kami jaga sebaik yang boleh. Kalau ada rezeki, kami tambah baik apa yang patut.”

“Apa tak ada saudara yang berminat dengan rumah pusaka kau, Tina?”

Tina tersenyum bila diajukan pertanyaan tersebut. Rumah pusaka yang terletak di atas tanah yang subur, kiri kanan berderet pokok buah-buahan tempatan seperti manggis, langsat, jambu air, ciku dan entah apa lagi sehingga hasil tuaian dapat dijual serta disedekahkan, mustahil jika tidak ada yang menginginkan rumah tersebut. Malah ada jiran tetangga berseloroh kalau duit ditanam di tanah itu juga boleh tumbuh subur.

Tina tahu, nilai tanah rumah pusaka jauh lebih mahal daripada rumah itu sendiri. Tapi keluarga Tina berusaha mempertahankan rumah pusaka yang mereka warisi turun temurun. Tiada siapa yang tahu betapa gigihnya mereka melindungi hak mereka dari saudara mara yang laparkan harta. Malah, ada yang tak segan silu mengaku keluarga meskipun niat mereka hanyalah ingin memperoleh kesenangan.

Walaupun begitu, keluarga Tina tetap berbuat baik dengan semua. Mereka berusaha untuk tidak mencipta musuh. Cuma sesekali, Tina akan dinasihati kawan yang selalu dibantu oleh keluarga Tina, Rahil namanya.

“Hati-hati, Tina. Kita tak tahu hati orang. Boleh jadi orang yang kau sangka baik tu makan keluarga kau semula nanti.”

“Aku percaya pada kebaikan, Rahil. Yang baik pasti akan mengatasi kejahatan.”

Kemudian, Rahil mengingatkan Tina sekali lagi. “Kau tak tahu hati orang, Tina. Aku sudah ingatkan kau.”

Rumah dan tanah pusaka keluarga Tina selalu menjadi perhatian. Kedudukannya yang strategik menghadap ke arah laut, tepat ke bahagian pemandangan paling cantik, tanahnya subur pula, kawasan sekitarnya redup, membuatkan jiran tetangga tertanya-tanya bagaimana agaknya nenek moyang Tina mendapatkan tanah tersebut. Malah, ada juga bercita-cita ingin tumpang berkebun di tanah keluarga Tina. Rahil berasa kurang senang melihat sikap jiran tetangga Tina.

“Mereka ada rumah dan tanah sendiri. Masih juga sibuk nak berkebun di tempat orang. Jenis tak bersyukur,” bebel Rahil apabila datang mengunjungi Tina. Kedua-duanya duduk di laman rumah Tina yang luas dan selesa.

Sesekali, mata Rahil melihat ke arah sekeliling. Buah-buahan di sekitar rumah bergayutan, menunggu masa untuk masak ranum dan jatuh ke tanah.

“Mereka setakat nak tanam ubi, orang tua aku tak kisah.”

“Tanamlah di tempat sendiri. Mereka nak hidup macam keluarga aku ke? Tak ada rumah sendiri, tanah sendiri. Menumpang, berpindah randah, tak dapat kekal satu tempat. Hidup kami serba tak mampu.”

Rahil menguis ibu kakinya di permukaan tanah. Tanah yang menjadi tapak berdirinya rumah pusaka keluarga Tina yang cantik dan menjadi idaman ramai. Tina melihat kawannya dan simpati.

Ya, Tina tahu sudah berapa kali Rahil berpindah di segenap ceruk desa. Mencari tempat yang mampu mereka diami, dan tidak dihalau. Sebelum Tina mengenali Rahil, Tina mendengar cerita tentang datuk nenek Rahil dahulunya datang dari kampung sebelah, diusir dan dibantu penduduk sekitar namun diusir lagi kerana cubaan menipu.

Lama datuk nenek Rahil merempat, mencari ruang untuk bertahan hidup. Setelah merayau-rayau mencari ihsan manusia sekeliling selama puluhan tahun, akhirnya mereka tiba ke kampung halaman Tina dan dibantu oleh datuk dan nenek Tina yang baik hati.

Namun, hidup Rahil masih juga dirundung kemiskinan. Masih berpindah ke sana ke mari. Tina selalu mendengar jiran tetangga bercakap-cakap tentang sikap keluarga Rahil yang gemar menipu untuk kepentingan diri sehingga mereka sukar untuk percaya bila keluarga Rahil meminta pertolongan. Bahkan, Tina juga sudah banyak kali diingatkan agar jangan percaya dengan kesusahan Rahil. Sedangkan Rahil banyak kali menyatakan keluarganya dianiaya.

“Tak ada siapa faham hidup seperti keluarga kami, Tina. Kami tak ada tanah, tak ada rumah,” luah Rahil, sedih mengenang nasib diri.

Tina percaya pada kebaikan. Dia mahu berbuat baik selama dia masih hidup. Setelah berfikir dan berbincang dengan orang tuanya, Tina menyampaikan khabar baik kepada keluarga Rahil yang hidup merempat. Dengan tangan terbuka, Tina mengalu-alukan kedatangan keluarga Rahil.

“Duduklah di tanah kami. Dirikan rumah. Kamu sekeluarga takkan merempat lagi. Berusahalah sampai mampu berdikari.”

Di saat keluarga Rahil menerima pelawaan tersebut, hati mereka berbunga-bunga. Akhirnya, mereka sudah ada tempat menetap! Mereka takkan merempat dan dipandang rendah lagi.

Maka, hiduplah keluarga Tina dan keluarga Rahil di tanah yang sama. Berjiran dan menjalani kehidupan masing-masing. Setelah mendapat keizinan duduk dan membina rumah di tanah keluarga Tina yang terkenal subur dan luas, keluarga Rahil merasakan mereka sangat beruntung. Malah, mahu mendapatkan lebih banyak keuntungan.
“Tanah ini terlalu besar untuk sebuah keluarga. Wajar dikongsi, tak bagus kalau dimiliki seorang saja,” komen bapa Rahil, memandang hasil tanamannya yang subur dan menjadi sumber pendapatannya menyara keluarga.
“Bagus juga kalau anak cucu kita ada tanah. Sampai bila kita nak menumpang tanah orang, betul tak?” Soal emak Rahil, membuang pandangan ke arah keliling rumah dan melihat kediaman Tina yang gah berdiri. Jauh di sudut hati, dia juga menginginkan rumah selesa.

“Tapi tanah yang mana kita nak beli? Mana kita ada duit nak beli tanah?” Soal bapa Rahil lagi lalu menoleh ke arah isterinya dan anak sulung mereka, Rahil yang berdiri di tepi.

“Kita jangan bazirkan duit dulu. Kita simpan, besarkan perniagaan. Dapatkan keuntungan, dapatkan kepercayaan orang. Lepas tu, baru kita bercakap soal tanah,” ujar Rahil, mula memikirkan rencana untuk masa depan.

Setelah itu, kehidupan yang sukar untuk keluarga Rahil mula berubah menjadi lebih baik. Berkat mendampingi keluarga Tina, jiran tetangga mula melayan keluarga Rahil dengan baik. Gerai menjual hasil tanaman bapa Rahil bertambah besar. Tidak ada lagi orang memandang rendah pada keluarga Rahil malah mereka suka pada kemesraan keluarga Rahil melayan jiran tetangga. Rajin bersedekah, rajin menolong, rajin bertanya khabar. Akhirnya, keluarga Tina merasakan keluarga Rahil sudah boleh mandiri tanpa perlu dibantu lagi dan mereka berniat mahu menolong keluarga lain yang memerlukan pertolongan.

“Rasanya dah tiba masanya untuk mereka berdikari,” ujar bapa Tina.

“Mereka sudah mampu menyara diri, boleh berkawan.”

Bagaimanapun, keputusan keluarga Tina itu menjadi modal utama keluarga Rahil untuk menyatakan bahawa mereka ditindas.

Tiba-tiba saja, keluarga Rahil enggan beredar dari tanah milik keluarga Tina. Bapa Rahil mula mengungkit hasil tanamannya di tanah keluarga Tina yang ditanam bersusah payah. Katanya, bapa Tina bersikap tamak merampas hasil usahanya, mahu meroboh tempat berteduh keluarganya dan merosakkan kehidupannya.

“Lihatlah! Untuk apa dia menolong kami sebelum ini? Sekadar nak menunjuk-nunjuk mereka baik!”

Tina mula merasa kurang senang, tiba-tiba pula Rahil mengapi-apikan keadaan. Setelah sekian lama hidup susah, Rahil begitu gembira keadaan hidupnya berubah dan tidak merempat lagi.

Tapi keluarga Tina dikatakan tidak berbelas kasihan, sanggup merenggut kebahagiaannya. Tina cuba untuk menerangkan bahawa dia tidak berniat mahu menyakiti keluarga Rahil tetapi dia hanya merasakan keluarga Rahil sudah cukup banyak dibantu. Malah sudah mampu memiliki tanah sendiri dan tak perlu menumpang lagi.

Ternyata, Rahil memang tidak mahu keluarganya membeli tanah atau membina rumah. Dia sebenarnya menginginkan tanah dan rumah keluarga Tina. Setelah memperoleh keuntungan berniaga, mengenali ramai orang berpengaruh dan beroleh kepercayaan dari masyarakat, akhirnya keluarga Tina dipandang serong kerana menindas keluarga Rahil. Jiran tetangga mula berbisik-bisik mengutuk kemunafikan keluarga Tina yang tak ikhlas menolong keluarga Rahil.

Perlahan-lahan, orang luar datang campur tangan dan menyokong keluarga Rahil. Keluarga Tina dilihat seperti pesalah, dilayan seperti pesalah dan akhirnya dihukum bersalah oleh mahkamah masyarakat.

Bapa Tina menegaskan isu tersebut tidak perlu campur tangan orang lain yang tidak berkenaan. Keluarga Rahil seharusnya sedar diri kerana sudah banyak dibantu dan sekarang mula besar kepala apabila orang ramai memberi sokongan kepadanya.

Tapi tanah dan rumah itu masih dimiliki oleh keluarga Tina. Hati Rahil tak senang. Lantas Rahil meminta tolong kenalannya untuk merosakkan perniagaan keluarga Tina. Gunakan apa saja cara, asalkan perniagaan keluarga

Tina musnah. Seperti datuk dan neneknya yang terkenal kerana suka menipu, begitulah rancangan Rahil berjaya.

Keluarga Tina berdepan dengan kesulitan yang amat besar dan memerlukan duit untuk menampung kerugian. Dengan rasa berat hati, akhirnya, tanah dan rumah yang dipertahankan selama ini oleh keluarga Tina pun terpaksa dijual. Yang membelinya ialah keluarga Rahil dengan bantuan kenalan bisnes mereka.

Terluka, kecewa dan patah hati, hanya itu saja yang dapat Tina rasakan apabila berdepan dengan pengkhianatan. Pada hari Tina melangkah keluar dari tanah dan rumahnya, Rahil datang kepadanya bersama kunci rumah dan tersenyum lebar.

“Aku dah cakap dengan kau. Kau tak tahu hati orang, Tina. Aku sudah ingatkan kau.”

“Aku tahu. Aku yang pilih untuk percaya dan kau yang pilih untuk khianat.”

“Aku takkan kembali ke kehidupan yang dulu. Sekarang, ini tanah kami. Keluar sekarang.”

“ Aku tahu kau dapatkan tanah ini dengan cara licik. Ini tanah kami. Tak kira berapa lama sekalipun, kami akan rebut semula.”

Kisah perebutan tanah itu menjadi tontonan masyarakat. Masyarakat pun terbahagi kepada dua kumpulan. Ada yang percaya Rahil hanya mahu membela diri agar tidak ditindas lagi. Ada yang yakin Tina tidak mahu kebenaran terkubur dengan penipuan Rahil. Lalu timbullah perdebatan dalam kalangan jiran tetangga.

“Peninglah dengan keputusan Tina. Dah tahu dia dah tak mampu, kenapa nak lawan Rahil? Menyerah je lah, pindah ke tempat lain. Mulakan hidup baru.”
“Tak usahlah rebut harta dunia ni…”

Kemudian, muncullah jawapan yang cukup untuk menyentap hati semua yang mendengar dari mulut seorang anak muda.

“Alah mak cik. Mana orang sanggup biarkan hak mereka kena rampas. Hari tu ada orang pejabat tanah beritahu tanah mak cik nak diambil sikit untuk luaskan jalan tanpa pampasan, mak cik dah berteriak angkat parang. Itu baru ambil sikit, belum semuanya diambil.”
Tapi hakikatnya semua orang tahu, yang benar takkan tertimbus dalam tanah. Nanti yang disorok akan diketahui juga. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya