MASIH ramai lagikah yang istiqomah, ‘mengukir’ pensil untuk menulis khat sebagaimana ketika zaman persekolahan dulu?
Dengan kesibukan kerja dan urusan seharian, saya beranggapan tulisan khat hanya menjadi amalan ketika fasa umur tertentu sahaja.
Apa membimbangkan seandainya tulisan khat dan jawi yang menjadi elemen kesenian Islam pupus dalam ledakan teknologi masa kini.
Bagaimanapun menurut penulis khat yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak, Dhuha Rashidi 37, tulisan khat mempunyai peminat tersendiri yang dapat memahami kesenian dan keunikan dengan falsafah serta simbol tersendiri.
“Pengajaran seni khat dapat menjadi salah satu penghubung yang berkesan dalam pembelajaran pelbagai subjek dan menjadi gambaran tulisan indah terutama dalam pendidikan Islam.
“Selain itu, seni khat ini ada banyak jenis dan dipelbagaikan dalam pengajaran Islam, secara tidak langsung memperluaskan penulisan huruf al-Quran pada masa akan datang,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Menurutnya, terdapat beberapa jenis tulisan khat antaranya Kufi; Riq’ah; Thuluth; Nasakh; Diwani dan Tughra.
Dhuha yang berminat dalam tulisan tersebut sejak kecil merupakan penulis sepenuh masa dan bergiat aktif sehingga kini.
Menurutnya, semuanya bermula ketika kecil selepas melihat kehalusan seni khat daripada arwah bapa dan kakaknya yang memenangi banyak pertandingan satu ketika dahulu.
Dia yang kemudiannya meneruskan minat sehingga remaja berkata, pembabitan secara serius dalam bidang berkenaan bermula apabila ada yang mahu menempah hasil karyanya.
“Saya sambung belajar dan memperoleh Diploma Seni Mushaf, bidang berkaitan penulisan khat di sebuah kolej swasta di negara ini. Alhamdulillah selepas itu saya dapat mempertajamkan kemahiran sehingga ada yang berminat menempah karya khat saya, walhal saya tidak menjualnya.
“Daripada situlah datang semangat baharu untuk saya meneruskan minat dan hobi dalam bidang ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dhuha berkata, Mesir antara negara yang boleh dijadikan contoh dalam pembabitan penghasilan tulisan khat secara serius walaupun bukanlah satu-satunya negara pakar.
“Di Mesir mereka ada kelas insentif tambahan dan ada ditubuhkan kelab-kelab sendiri untuk penulisan khat
“Jadi, daripada situ bakat dicungkil dan karya ini terus mendapat tempat daripada satu generasi ke satu generasi,” jelasnya.
Dhuha bagaimanapun menaruh harapan yang tinggi terhadap penulisan khat di negara ini agar dapat diperluaskan selain diberi fokus terutama dalam kalangan agensi kerajaan.
Menurutnya, seni khat perlu diperluaskan menerusi penulisan jawi di papan-papan tanda.
“Saya pernah mencadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menggunakan papan tanda jawi. Mereka melaksanakan tetapi masalahnya ada beberapa kesalahan disebabkan kurangnya pendedahan.
“Sebagai contoh daripada segi huruf. Ini berlaku mungkin disebabkan tempahan ketika di kedai yang dibuat oleh orang bukan Islam sehingga berlaku kekhilafan,” jelasnya. – Mingguan Malaysia