Jusuh tidak senang duduk. Punggungnya bagai disalai waima tidak sampai lima minit dilabuhkan di pangkin batu yang telah digenangi air separas betis.
Dia cuba berdiri di daratan agak berbukit yang masih belum dijengah air. Namun lututnya yang menggigil memaksanya duduk kembali. Hanya itulah bentala yang masih belum dijamah banjir. Tanah sedikit tinggi seperti busut yang dikelilingi pepohon kecil dibuat pedoman menyaksikan air yang semakin mengganas.
Jusuh termenung seketika. Tidak sangka dia terjebak dalam peristiwa tragis ini. Awalnya, perkhemahan yang dirancang bersama keluarganya adalah di Kenaboi. Sungai jernih dan perjalanan lasak menggamit dia sekeluarga untuk mengulang aktiviti berkhemah dan mandi manda. Namun, memandangkan cuaca yang beberapa hari disimbah hujan, mereka membatalkan rancangan tersebut. Ahli keluarganya bersetuju dengan cadangan mama untuk melawat nenek yang berada di daerah Jelebu.
“Bagaimana dengan makanan yang telah kita siapkan ini?” Soal Kak Long melalui kumpulan whatApps. Dia telah menempah kuih muih. Kak Long gusar rancangan mereka dibatalkan.
“Tak mengapa, kita teruskan agenda di rumah nenek,” balas Kak ngah yang menyediakan makanan untuk majlis BBQ. Dua kakaknya itu, peminat aktiviti perkhemahan.
Usai solat Maghrib berjemaah, mereka mengadakan tahlil dan diikuti jamuan. Tentatif program untuk dilakukan di tapak perkhemahan diteruskan, cuma lokasi sahaja ditukar. Kegembiraan keluarga mereka bertukar panik ketika makan malam. Amaran waspada dikeluarkan oleh stesen siren amaran banjir.
Siren itu memberi petunjuk agar penduduk kampung diminta berwaspada kemungkinan berlaku banjir. Melihat keadaan sungai, tidak mustahil air akan menjeluak bila-bila masa. Namun mereka masih meneruskan aktiviti membakar sate dan terus makan walaupun hati diamuk cuak.
“Apa perancangan kita?” Kak long tidak dapat menyembunyikan resah.
Jusuh tidak menjawab. Dia turut berhati walang kerana hujan sejak pagi tadi. Sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jelebu menyusuri perkampungan, kelihatan air sungai meninjau tebing. Malah di beberapa tempat dikhabarkan banjir telah berlaku.
Berdasarkan pengalaman nenek, banjir besar adalah pada tahun 1971. Tatkala itu mamanya masih kanak-kanak. Selepas itu, banjir hanya menjenguk halaman rumah sahaja.
Sungai yang lokasinya lebih kurang 100 kaki dari halaman rumah nenek telah dilebarkan. Sistem pengairan dan saliran semakin baik. Sebab itu, mereka tidak mengambil langkah awal untuk sebarang kemungkinan. Namun, Jusuh tetap buncah memandangkan hujan masih merintik. Di hulu pula dengarnya hujan masih lebat. Dia juga tidak pernah ada pengalaman menghadapi situasi banjir sebelum ini.
“Mama tak risau ke? Jusuh bingung.
“Doa sahaja yang baik-baik,” Balas mama tenang meskipun dalam hatinya semakin gundah. Siren amaran semakin kerap kedengaran.
Rumah nenek sudah dilakukan pengubahsuaian seratus peratus. Dahulunya rumah tradisional kayu. Rumah batu empat kaki tinggi dengan beberapa anak tangga agak melegakan.
Kalbu Jusuh mulai gelisah apabila melihat penduduk kampung mula berpindah ke rumah Tok Su Rahman. Rumah Tok Su terletak di atas bukit. Hampir 300 meter di belakang rumah nenek.
Air telah menjengah pintu belakang rumah. Nyata mereka alpa kerana hanya melihat air dari depan rumah sahaja. Mereka lupa, ada sebatang sungai kecil di belakang rumah nenek. Tidak terduga, sungai kecil itu telah bertukar wajah dan air telah menjeluek. Dalam kekalutan itu, mereka masih sempat menaikkan peti sejuk dan mesin penapis air nenek ke atas meja. Anak-anak kecil terus digendong untuk menyelamatkan diri. Keadaan sangat tegang apabila air dari depan dan belakang menerobos ke dalam rumah. Mereka mengharung air dalam keadaan cemas.
Suasana pukul 12 malam itu sangat haru-biru. Jusuh terkejut melihat Kak Long dan mama terjatuh ketika mengharung air. Air sebenarnya lebih ganas dari belakang rumah. Mereka tidak menyedari air dari sungai telah memintas laluan sebenar. Sepantas kilat Jusuh menjadi hero. Mujur dia lekas membantu.
Amukan air semakin menjadi-jadi. Sekelip mata, kawasan perkampungan itu menjadi laut. Beberapa dentuman kuat kedengaran. Huru-hara semakin memuncak apabila arus bergulung-gulung seperti ombak besar menghanyutkan barang-barang berat seperti peti sejuk, tong gas dan mesin basuh. Jusuh kumat kamit berdoa.
Dalam kacau-bilau itu, Jusuh mendengar teriakan yang amat kuat. Dia pasti, jerit pekik yang membelah malam itu adalah daripada kumpulan keluarganya. Raungan itu bergabung dengan bunyi arus air yang sedang menderam. Hati Jusuh hampir runtuh apabila tiba di kelompok wanita yang terlolong itu. Anak saudaranya Rafael, hampir hanyut di bawa arus ketika melintasi kawasan tali air yang sekelip mata bertukar menjadi jeram yang ganas.
“Tolong…. Tolong… Anak aku…” Kak Lang seperti orang terkena histeria.
Arus terlalu deras. Kak Lang menggila. Mujur ketika itu beberapa lelaki yang berada berhampiran sepantas kilat membantu. Lega hati Jusuh melihat anak saudaranya berada dalam pelukan angah.
“Ya! Allah, tolong selamatkan kami,” pinta Jusuh tidak henti.
Jusuh sekeluarga bersyukur kerana berjaya tiba di rumah Tok Su Rahman setelah mengharungi cabaran. Air baru menjamah halaman rumah datuk saudaranya itu memandangkan muka buminya di kawasan tinggi. Mereka melepaskan lelah di situ. Namun, kelegaan tidak berpanjangan kerana sejam kemudian air mula masuk ke dalam rumah Tok Su. Sekali lagi mereka berbondong mencari tempat selamat.
Tok su meminta agar mereka bergerak ke belakang rumah yang lebih tinggi. Hati mereka sedikit lega melihat ada sebuah pangkin batu berukuran lebih kurang 15X20 kaki lengkap bersimen dan beratap zink. Ruang terbuka itu selama ini dijadikan tempat istirahat anak beranak tok su. Seingat Jusuh, sudah berpuluh tahun dia tidak menjejak kaki ke rumah itu. Nenek melarang dia ke sana. Kata mama kerana urusan dusun durian yang tidak adil bahaginya.
Jusuh masih ingat lagi ketika dia kecil, rumah Tok Su menjadi tempat dia bermain dengan cucu-cucu Tok Su apabila pulang ke kampung. Satu nama yang tidak pernah hilang daripada ingatannya ialah gadis kecil yang sangat comel, Izza. Namun dek larangan mama, dia tidak pernah lagi ke situ sehinggalah ke saat ini. Meskipun dia rindu akan Izza yang merupakan saudara semoyang, dia tidak pernah mempertikai hal ehwal orang tua. Dipendam sahaja rasa ingin melihat wajah remaja Izza yang pastinya kian ayu.
Dalam melayan igauan kenangan itu, Jusuh tetap tidak henti berdoa. Sebentar tadi papa mengalunkan azan. Mama sempat membaca surah Yasin sebelum Tok Su menutup suis utama bekalan elektrik. Semua yang ada di situ terus berzikir dan membaca ayat-ayat suci.
Jusuh sedar, kawasan mereka telah terkepung. Air datang dari segenap sudut. Laluannya pula melilah tidak tentu arah. Parit yang selama ini salirkan melalui pembetung sudah menjadi air terjun dari pergunungan yang membawa segala sampah, dahan pokok malahan kayu balak turut mendentum rumah berhampiran.
Mujur segala rempuhan itu tidak menghancurkan rumah dan membahayakan mereka. Entah berapa kali mereka terkejut dengan kehadiran ular dan lipan. Arus semakin mengganas dengan bermacam bunyi. Tidak mustahil, bila-bila masa mereka boleh tenggelam jika banjir semakin mengamuk. Namun itu bukan harapan mereka walaupun itulah kemungkinan.
“Ya! Allah, ampuni kami. Selamatkan kami,” suara mereka silih ganti merayu ihsan Yang Maha Esa.
Hujan makin mencurah. Tiada tanda akan berhenti dalam masa terdekat. Mereka ibarat berada di sebuah pulau kecil di tengah gelita.
Air semakin melaut ke arah pangkin tempat mereka berkumpul. Hampir 30 orang berhimpit di situ termasuk keluarga tok su dan beberapa penduduk kampung yang kebanyakannya saudara mara Jusuh.
Hatinya sedikit lega melihat wajah tenang Tok Su yang tidak putus-putus mengaji dengan diterangi cahaya lilin yang meliuk ditiup angin. Di sisi Tok Su Rahman yang agak uzur, kelihatan seorang wanita bertudung sarung yang turut membaca ayat-ayat suci. Walaupun suaranya tidak kedengaran, namun Jusuh yakin ilmu al-Quran wanita itu sangat tinggi. Mereka tahu, tiada siapa yang mampu menyelamatkan mereka selain Allah Yang Maha Berkuasa.
Tangisan bayi yang kesejukan menyayat hati. Masing-masing tidak mampu memujuk sesiapapun. Orang dewasa juga sudah mula hiba. Semuanya menyerahkan diri bulat-bulat kepada pertolongan Allah Taala. Talian telefon sudah tidak stabil, apa lagi internet. Mereka cuba menghubungi pihak penyelamat, namun mereka sedia maklum keadaan sedang genting di merata tempat.
Keadaan semakin kusut. Jusuh perhati sekeliling. Tiada siapapun yang mampu tersenyum ketika itu. Semuanya terus berzikir dan berdoa. Air semakin menghampiri lantai pangkin.
“Jusuh, mama takut,” hati Jusuh menjadi pilu tatkala mendengar tangisan mamanya yang sejak tadi menggenggam tangannya.
Setelah berjam-jam bertahan, kira-kira pukul 4 pagi bunyi arus mulai perlahan. Hujan juga telah berhenti. Mereka menunggu penuh sabar agar banjir segera surut.
Jusuh menarik nafas syukur sedalam-dalamnya tatkala melihat air semakin menjauhi mereka. Harapannya hujan tidak turun lagi ketika itu. Kira-kira pukul 6 pagi air benar-benar menampakkan surut.
Dalam keadaan yang mulai tenang dan kesamaran fajar, Jusuh sempat memandang ke arah tok su dan wanita di sisinya. Jusuh sempat menghulur senyuman lega dan ternyata tidak sia-sia, senyumannya berbalas.
Keadaan kampung bagaikan dilanggar geroda. Pagar rebah menyembah bumi, kenderaan hanyut, peti sejuk dan mesin basuh bergelimpangan, kandang kambing tersadai merata-rata. Mereka beransur pulang ke rumah. Buat pertama kalinya Jusuh melihat nenek bersalam dengan Tok Su dan keluarganya setelah puluhan tahun melancarkan perang dingin. Begitu juga dengan mama dan sepupunya-sepupunya. Mereka berpelukan dan bermaafan penuh sayu.
Jusuh benar-benar insaf. Dia mendapat beribu pengajaran dalam satu malam. Sesungguhnya hanya kepada Yang Maha Esa tempat meminta pertolongan dan bergantung harap. Doa adalah senjata orang Mukmin. Tali persaudaraan yang hampir putus juga kembali bersambung dengan kehendak-Nya.
Selama dia hanya mampu menghulur hiba menyaksikan sahabat-sahabat yang diuji banjir saban tahun. Dia setakat berasa sedih dengan kerugian dan bahaya yang dialami mereka. Namun pengalaman ini memberi falsafah begitu besar kepadanya.
Bukan hanya renyai yang dia sekadar menjadi pemerhati. Tidak setakat rebas yang menitik setulus budi. Jusuh tidak semata-mata melihat hujan yang membasahi hati, juga bukan cuma tempias yang memercik sanubari. Banjir kali ini melimpahkan simpati, dan bah yang melahirkan beribu empati.
“Minggu ini kalau abang senang, kita ziarah keluarga di kampung,” suara lembut Izza mematikan lamunan Jusuh yang menerawang jauh.
Jusuh tidak sedar ada air jernih menuruni kolam matanya. Setelah setahun pengalaman ini dilaluinya, semakin mendalam syukurnya. Jalinan silaturrahim keluarga mama kembali bertaut dan sejak itu mereka saling bertanya khabar.
Perpisahan dengan Izza puluhan tahun, akhirnya dipertemukan dalam suasana yang tidak pernah dia duga. Kini gadis yang mengaji di bawah cahaya lilin ketika peristiwa banjir tengah malam itu, telah enam bulan bergelar isteri Jusuh yang sah. Sekian lama mencari jodoh, akhirnya pertemuan malam tersebut menamatkan zaman bujangnya ketika usia 35 tahun.
Jusuh juga menjiwai perasaan mereka yang sedang diuji banjir, dan tidak pernah dia lupa untuk menitip doa untuk keselamatan sahabat-sahabat yang sedang bertarung perasaan terhadap apa jua bencana. Sesungguhnya, itulah erti keinsafan tatkala bah datang bertandang. – Mingguan Malaysia
Tengkujuh di hati Jusuh
- Oleh BUNGA HATI
- 7 Januari 2024, 6:07 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Bahasa kebangsaan tanpa syarat
3 November 2024, 10:34 am
1MDB moga yang terakhir…
3 November 2024, 9:03 am
Gaji zaman dulu ketimbang gaji sekarang, banyak beza?
27 Oktober 2024, 10:17 am