‘Tangan seni, otak kimia’: Pelukis 'en plein' air bukti kemampuan

‘Tangan seni, otak kimia’: Pelukis ‘en plein’ air bukti kemampuan

AZMAN tekun ketika menghasilkan lukisan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kemahiran seorang pelukis melakar di atas kertas sudah cukup untuk memberi gambaran tentang hasil seni halusnya nanti. Apatah lagi lukisan tersebut dihasilkan secara langsung di kawasan terbuka sambil pelukis menatap subjek terbabit.

Dalam istilah lain, seni lukisan seperti itu dikenali sebagai en plein air yang bermaksud ‘di kawasan terbuka’ dalam bahasa Perancis dan pelukis perlu sentiasa tekun demi memastikan karya yang terhasil tiada cacat celanya.

Walaupun nampak santai, menghasilkan lukisan seperti ini hakikatnya tidak mudah dan memerlukan tahap kesabaran yang tinggi selain bakat semula jadi.

Namun bagi artis en plein air, Azman Md. Nor, minat yang mendalam turut menjadi kunci utama untuk dia bergelar seorang pelukis terbaik.

Maka tidak hairanlah dia yang berpendidikan dan bekerjaya dalam bidang kimia membuktikan kemampuannya menguasai seni dan sains pada satu masa.

“Saya sebenarnya sudah minat melukis sejak kecil lagi. Cuma apabila melanjutkan pelajaran dalam bidang kimia, saya berhenti (melukis) sekejap.

“Namun apabila mula bekerja, ada satu ketika saya rasa tepu dan mula terfikir untuk kembali kepada minat lama iaitu melukis.

“Jadi dari situ, saya mahu dan mula memberi fokus kepada kedua-dua bidang ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Dia yang mula melukis secara serius sejak tahun 2014 kini berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pegawai sains.

Selepas menyusun langkah sejak 10 tahun lalu, Azman berjaya menghasilkan lebih 500 lukisan en plein air dan mengadakan tidak kurang 30 pameran setakat ini.

Ketika ditanya tentang idea dan ilham untuk menghasilkan sesebuah lukisan, Azman tidak menafikan adakalanya ia agak sukar terutama apabila perlu melaksanakan dua kerja dalam satu masa.

“Idea agak susah sikit walaupun sudah 10 tahun melukis. Ia bergantung kepada ‘mood’. Dulu memang minat itu sangat kuat dan kekangan kerja agak berkurangan.

“Tapi kini beban kerja hakiki bertambah. Sebab itu, saya perlu selalu ikut rakan-rakan pelukis lain berkarya di kawasan terbuka. Ini sebahagian cara untuk kembalikan ‘mood’ yang hilang,” jelasnya.

Azman mempunyai pelbagai siri lukisan antaranya batik, motosikal Honda C70, mangkuk tingkat tiffin dan batik.

Dalam pada itu Azman berkata, kebiasaannya nilai sesebuah lukisan en plein air dinilai berdasarkan sentimental pembeli dan kemampuan seseorang.

“Lukisan en plein air ada peminat dan pengumpul tersendiri bergantung kepada subjek. Kadang kala ada pembeli yang mahukan lukisan tersebut sebab nostalgia dan tidak kisah untuk membayar harganya.

“Sebagai contoh, ada pembeli luar negara yang mahukan lukisan motosikal Honda C70 kerana dia memang seorang pengumpul koleksi berkenaan.- UTUSAN

“Malah dia tidak kisah untuk membayar berapapun harganya. Sebab itu, nilai lukisan ini turut bergantung kepada pembeli. Ada yang sekecil-kecil RM150 sehingga mencecah belasan ribu ringgit,” terangnya.

Dia memberitahu, sesebuah lukisan itu mampu disiapkan dalam tempoh singkat antara sejam ke dua jam bergantung kepada keadaan dan persekitaran.

Pada masa sama, menurut anak jati Terengganu ini lukisan en plein air ini juga menguji tahap keyakinan seseorang pelukis.

“Orang di sekeliling akan datang melihat dan memerhati kita. Jika kita tidak bersedia, lukisan silap-silap tidak menjadi kerana kita perlu segera siapkan lukisan pada masa itu juga. Itu paling penting,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya