Selamat hari lahir Kartini - Utusan Malaysia

Selamat hari lahir Kartini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

* Satu
PAGI itu aku terusir dari pelukan perempuan yang melahirkan aku dari rahimnya. Aku turut memanggil perempuan itu ibuku. Dengan tubuh yang lemah, ibuku mendukung aku yang dibalut dengan kerudung berwarna putih bertompok darah.
Sejak malam tadi lagi aku melihat ibu dalam keadaan resah, sakit yang melilit pinggang menjadi penyebab dia merengus. Sakit itu melebar menguasai bahagian abdomennya. Jari-jemarinya memicit bahagian ari-arinya. Airmata tergenang dan membasah pipinya.
Malam itu Saleha pulang ke rumah keluarga kerana menziarahi emaknya yang kurang sihat. Sebelum Saleha pulang, dia ada berpesan supaya menghubunginya sekiranya ibu menghadapi kesulitan. Tapi, ibu aku tidak mahu menyusahkan Saleha yang bertugas sebagai pekerja di restoran makan itu.
Ibuku terus melangkah dalam keadaan lemah. Mendukung aku dalam berkerudung, langkahnya terus menuju ke surau jaraknya 30 meter dari rumah sewa mereka.
Ibu mendengar azan subuh berkumandang dan mengharapkan ada jemaah mengambil aku dan membawa pulang ke rumah mereka. Tiba-tiba ada tangan yang mengambil alih aku dari tangannya.
“Erk, Saleha! Bila kau pulang?”
Ucap ibu dengan rasa terkejut. Di belakang ibu ada Kak Long Maria dan Bang Long Mustakim.
“Kenapa buat macam ini Sarah? Ke mana kau nak bawa anak ini?” Soal Saleha.
Aku berpindah tangan ke dalam dakapan Kak Long Maria.
“Aku tak mahu menyusahkan sesiapa Saleha.”
Saleha memeluk ibu dengan kejap dan memintanya banyak bersabar. Katanya, kehidupan ini penuh dengan warna-warni.

* Dua
Sejak janin aku mulai terbentuk dalam rahim ibuku, berlaku pertengkaran berulang antara Kamal dengannya. Meskipun Kamal bukan ayah kandungku yang sah tapi Sarah meminta lelaki itu bertanggungjawab ke atas kandungannya itu.
“Ini sudah kali kedua, Mal. Kali pertama kau meminta aku gugurkan kandungan ini. Aku rasa sungguh berdosa.”
“Aku belum bersedia lagi. Sudah banyak kali aku katakan pada kau, Sarah. Ijazah yang aku peroleh ini tak makna apa-apa. Aku perlu mendapatkan kerja.”
“Walau apa pun yang terjadi aku mahu menjaga kandungan ini,” tegas Sarah.
“Terserahlah pada kau,Sarah.”
Kamal meninggalkan Sarah. Malam itu aku melihat airmata ibu mengalir dari kelopak mata dan membasahi pipinya lagi. Ibu telah jatuh hati dengan Kamal seorang pelajar Kejuruteraan Awam yang menuntut di sebuah universiti di Sabah.
Persahabatan mereka berputik sewaktu Kamal berada di semester pertama lagi hinggalah Kamal berada di semester akhir dan berjaya mengenggam ijazahnya. Akhirnya Kamal pulang ke kampung halaman di semenanjung.
Sejak itu ibu aku, Sarah terputus hubungan dengannya. Walaupun Sarah cuba menghubunginya telefon bimbit tetapi panggilannya dilorongkan ke peti suara.
“Maafkan aku anakku atas keterlanjuran ini. Aku bertekad akan menjejak Kamal di kampung halamannya di Semenanjung,” ujar ibu sambil mengusap-ngusap rahimnya.
* Tiga
Setelah berbincang dengan Saleha, ibu membeli tiket kapal terbang ke Kuala Lumpur. Dari sana, Sarah menggunakan khidmat ‘Grab’ ke kampung halaman Kamal.
“Kamal tak cerita apa hubunganya dengan Sarah. Manalah Mak Cik tahu?”
Sarah berasa terkejut dan terdiam. Sarah terus menceritakan perkenalannya dengan Kamal yang berputik setelah Kamal sering datang makan dan minum di restoran tempat dia bekerja di situ. Perkenalan itu berputik kepada rasa kasih dan sayang. Kamal berjanji pada Sarah mahu menjadikan isterinya.
“Tak ada gunanya kau mencari Kamal, Sarah” tambah Mak Cik Nisah.
“Kenapa Sarah tak boleh berjumpa Kamal, Mak Cik. Sarah mahu dia bertanggungjawab kepada kandungan ini,” ujar Sarah.
“Kau hamil Sarah?” soal Mak Cik Nisah dalam nada terkejut.
“Duduklah Sarah. Mak Cik ke dapur sekejap buatkan air,” terang Mak Cik Nisah menukar topik perbualan.
“Nanti Mak Cik ceritakan pada kamu apa yang terjadi pada Kamal setelah dia pulang ke semenanjung. Sikapnya tak berubah sejak dari dulu. Dia mahu juara pada apa yang diinginkannya,” tambah Mak Cik Nisah.

* Empat
Dengan kelulusan ijazah Kamal mulai rasa ego keterlaluan. Kamal enggan menerima gaji rendah dari kelulusannya itu. Walaupun pihak majikan berjanji akan menaikkan gajinya setelah melihat tempoh percubaan di tempat kerja, Kamal menolak.
Setelah menghadiri temuduga dengan alasan yang sama diberikan, tidak ada mana-mana syarikat swasta dan agensi kerajaan yang mahu mengambilnya bekerja.
Disebabkan susah hati tidak dapat kerja setaraf dengan kelayakannya itu, Kamal menjadi susah hati. Kamal menyalahkan pihak majikan yang begitu kedekut dan tidak mengambil kira dengan keadaan ekonomi semasa. Kamal berkawan dengan rakan-rakan lain senasib dengannya.
“Aku tahu kau mahu menjadi juara, Kamal. Teruskanlah perjuangan kau itu,” ujar salah seorang rakannya.
Malam itu Kamal pulang ke rumah dan mengadu tubuhnya tidak sihat. Badannya menggigil. Apabila Mak Cik Nisah bertanyakan sesuatu dengannya, Kamal bercakap merapu. Hati Mak Cik Nisah berdetik bahawa Kamal terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
“Kamal nak beli barang tu, mak. Pinjamlah duit mak dulu. Nanti bila Kamal dah kerja, Kamal gantilah duit mak tu,” rayu Kamal.
“Mak manalah ada duit, Kamal,” balas Mak Cik Nisah.
Mata Kamal mengerling gelang emas di tangan Mak Cik Nisah.
“Mak serahkan gelang emas tu. Biar Kamal gadai. Kamal tetap mahu beli barang tu. Kalau tidak tubuh Kamal ni tak tentu arah rasa,” terang Kamal.
Di malam lain pula Kamal pulang tergesa-gesa dan menyembunyikan dirinya di dalam biliknya. Berkali-kali Mak Cik Nisah mengetuk pintu biliknya. Tetapi pintu biliknya dikunci. Lewat malam itu ada tiga anggota polis menyerbu rumah Mak Cik Nisah.
“Anak Mak Cik terlibat jenayah pecah rumah. Ada orang dicederakannya. Kami jumpa pisau yang digunakannya itu! Ini kad pengenalannya yang kami jumpa di tempat kejadian,” terang anggota polis.
Kamal diberkas polis pada malam itu. Ujian air kencing Kamal mendapati positif dadah. Dia dibawa ke Pusat Serenti menjalani rawatan penyalahgunaan dadah.
Kamal juga dibicarakan kerana terlibat dengan rompakan bersenjata. Dia dipenjarakan setahun. Masih terngiang-ngiang cerita daripada Mak Cik Nisah kepada Sarah.

* Lima
Sarah tidak ada jalan lain selain berterus terang kepada keluarganya. Berita kehamilan Sarah mengejutkan keluarga Sarah.
“Kau keluarlah dari rumah ni, Sarah. Bapa malu mendapat anak seperti kau,” terang Pak Cik Hussain.
“Saya nak pergi mana bapa?” Soal Sarah.
Sarah tidak tahu di mana lagi dirinya mahu mengadu kesulitan yang dialaminya.
“Itu aku tak mahu ambil tahu. Kau uruslah masalah yang kau timbulkan sendiri,” tambah Pak Cik Hussain.
Emaknya, Mak Cik Maimun tidak berkata apa-apa. Mak Cik Maimun telah dipersalahkan kerana gagal mendidik anak perempuan mereka. Malam itu Sarah keluar rumah dengan beg pakaiannya dan menumpang di rumah sewa Saleha, rakan sekerjanya.
“Aku boleh tolong kau, Sarah. Aku kasihan pada kau. Tapi, ada syaratnya,” ujar Saleha.
Sarah menarik nafas lega. Tetapi perasaannya muram apabila Saleha mula mengenakan syarat. Dalam hati Sarah tertanya-tanya apakah syarat Saleha dimaksudkan itu.
“Kau ingat tak Kak Long aku?” Soal Saleha.
Sarah mengerutkan keningnya. Kak Longnya itu sudah 10 tahun berkahwin tetapi masih belum mempunyai cahaya mata lagi.
“Kau nak serahkan anak dalam kandungan aku ini bila lahir nanti?” Soal Sarah. Saleha mengangguk-angguk kepalanya.
“Berikan aku masa untuk aku berfikir, Saleha” ujar Sarah.
Saleha memberikan cadangannya kepada Sarah.
“Siapa nak menjaga anak ini nanti, Sarah? Kau perlu bekerja untuk menyara diri kau dan anak ini. Lebih baiklah kau terima tawaran aku itu.”
Semalaman Sarah tidak dapat melelapkan matanya. Fikirannya menjangkau semula ke Kamal. Fikirannya beredar kepada Mak Cik Nisah yang tidak dapat membantunya.
Sarah tidak mahu mengulangi kesilapan pernah dilakukannya satu ketika dulu. Lihatlah, kesilapan itu benar-benar merubah seluruh hidupnya. Seminggu kemudian, Saleha bertanyakan keputusan dari Sarah. Setelah berfikir sejenak, Sarah menagih kepastian daripada Saleha.
“Apakah benar-benar Kak Long mahu menjaga anak ini?” Soal Sarah.
“Aku dah berbincang dengan Kak Long dan suaminya. Mereka bersetuju menerima anak kau itu,” terang Saleha.

* Enam
Setelah aku dilahirkan, aku telah diserahkan. Kak Long Maria dan Bang Long Mustakim. Nama aku pula ialah Kartini. Setiap minggu Sarah dan Saleha datang ke rumah mereka bermain-main dengan aku.
“Minggu depan kita nak sambut Hari Lahir Kartini ke-5 tahun. Sarah dan Saleha datanglah majlis itu,” ujar Kak Long Maria.
“Di mana majlis tu nak dibuat Kak Long?” Tanya Saleha.
“Di restoran. Kami juga jemput rakan-rakan Kartini lain,” tambah Bang Long Mustakim.
“Ada berita gembira Kak Long nak beritahu Sarah pada malam itu nanti,” getus Kak Long Maria. Perasaan Sarah terusik. Apakah berita gembira itu?
Sehari sebelum majlis itu diadakan, keluarga angkatku membawa aku ke kedai buku dan ke kedai permainan dan memilih jenis hadiah yang aku suka. Sarah teringin hadir sama dalam majlis itu.
“Apa hadiah yang kau fikirkan sesuai untuk Kartini?” Tanya Sarah.
“Bagi aku tak ada hadiah pun tak apa, Sarah. Hadiah buat Kartini tu kasih sayang. Kau jangan hilang di matanya,” balas Saleha. Malam itu Sarah hanya membeli anak patung untuk Kartini.
“Mulai malam ini, Kartini jangan memanggil Sarah dengan panggilan Mak Cik. Selain daripada emak, Sarah adalah emak kandung Kartini,” terang Kak Long Maria. Aku berasa terkejut.
“Tapi, kenapa emak tak pelihara Kartini? Kenapa emak Maria yang menjaga Kartini?” Soal aku.
“Kak Long perlu berterus terang Sarah. Lambat laun, Kartini akan tahu juga,” jelas Kak Long Maria.
“Betul Sarah, kami nak fikir masak-masak. Marilah kita bimbing Kartini menjadi anak yang baik. Tambahan pula tidak beberapa lama lagi, Kartini akan mempunyai adik baru. Kak Long Maria didapati hamil setelah ujian klinikal baru-baru ini,” terang Bang Long Mustakim.
“Terima kasih Kak Long, Bang Long…budi baik Kak Long dan suami tak mampu dibalas Sarah rasanya,” ujar Sarah.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Selamat Hari Lahir diikuti acara meniup lilin dan memotong kek hari lahir. Mereka yang hadir bertepuk tangan. Aku menyuap kek ke mulut emak angkatku Maria dan emak kandungku, Sarah. Aku melihat airmata ibu kandungku tergenang.
Suasana bertukar menjadi kecoh apabila seorang lelaki tiba-tiba hadir dalam majlis sambutan Hari Lahir aku itu.
“Maafkan ayah Kartini…maafkan ayah kerana berdosa pada kamu,” ucap lelaki itu dengan suara yang nyaring.
Mata ibu kandungku tertumpu pada Kamal lelaki itu. Lelaki semakin dekat menghampiri aku. Lelaki itu memeluk aku dan mencium kedua-dua belah pipiku.
“Selamat Hari Lahir, Kartini!” Ucap lelaki itu.
Kehadirannya mencuri tumpuan mereka yang hadir pada malam itu. Mata lelaki itu tidak berkedip memandang ibu kandungku Sarah sambil bibirnya terketar-ketar mahu menyampaikan sesuatu. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya