Perlu berterusan membaca dan menulis – Mana Sikana

Perlu berterusan membaca dan menulis – Mana Sikana

WALAUPUN sudah berusia, Mana Sikana masih aktif berkarya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA biasa mendengar nama Mana Sikana dalam dunia penulisan terutama berkaitan cerpen dan sajak menerusi siaran di dada akhbar sejak dahulu lagi.

Akan tetapi sejauh mana kebanyakan kita mengenali namanya secara lebih dekat, terutama bagi generasi baharu?

Pemilik nama yang cukup berbakat ini atau nama sebenar, Dr. Abdul Rahman Napiah, 78 masih aktif berkarya walaupun di penghujung usia dengan kudrat dan daya pemikirannya yang masih tajam.

Malah, ingatan dan tutur katanya masih jelas ketika ditemui Mingguan Malaysia di kediamannya baru-baru ini.

Walaupun sudah 60 tahun menulis pelbagai judul cerpen, sajak dan karya lain, Mana Sikana tidak sedikit pun mahu berundur dalam bidang tersebut.

Menurutnya, penulisan sudah menjadi sebahagian daripada darah daging dan berasa sesuatu yang agak janggal sekiranya tidak melakukan rutin tersebut untuk satu tempoh tertentu.

“Saya perlu berterusan menulis dan membaca. Itu antara rutin harian saya. Kadang-kala kalau tidak menulis pun, saya suka berjalan dan berkebun.

“Malah saya masih berkarya dan menulis untuk beberapa penerbitan termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta kolum di beberapa penerbitan akhbar lain,” katanya.

Mana Sikana berasal dari Bagan Serai, Perak dan berketurunan Banjar dilahirkan pada 9 Oktober 1945.

Selain menulis, Mana Sikana turut berperanan sebagai pengkaji, pengkritik, panel dan penteorian sastera terkenal negara.

Selain itu, Mana Sikana turut menulis skrip untuk drama antaranya lhsan, Tanah di Hujung Bendang, Pengadilan, Hikmah, Mustaqima, Apa-apa, Di Hujung Taming Sari, Pasir-Pasir di Pasir Salak dan Air Mala Naning.

Beliau turut menulis dalam pelbagai genre sastera di samping banyak menyelidik tentang sastera Melayu Moden.

Ketika ditanya tentang perbezaan dunia sastera sewaktu pembabitan awal dan masa kini, Mana Sikana berkata, situasinya tidak banyak berubah.

“Ketika tahun 60-an dahulu, sastera ini hanya satu kelompok penulis sahaja dan tidaklah terlalu ramai. Namun pada masa sekarang, anak muda ramai dengan penerbitan indie.

“Jumlahnya dulu tidaklah seperti sekarang,semakin bertambah, ” katanya yang kini menetap di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Mana Sikana dalam masa sama berkata, dengan adanya pertambahan penulis muda pada masa sekarang, ia secara tidak langsung dapat memperkembangkan bahasa Melayu.

“Dari segi olahan bahasa, memang ada yang lari daripada tatabahasa sebab menggunakan bahasa orang muda. Dalam erti kata lain menyeleweng atau ‘lari’ daripada tatabahasa.

“Bagaimanapun, sebenarnya ada tokoh lain yang berpandangan ia pada masa sama dapat memperkembangkan bahasa tersebut.

“Maknanya penulis terbabit mencipta ungkapan dengan makna berbeza. Kalau tidak ia hanya duduk dalam satu kelompok itu sahaja,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Mana Sikana berharap agar lirik lagu dijadikan sebagai sebahagian kategori dalam sesebuah pertandingan sastera sebagaimana di Singapura.

“Apabila adanya pertandingan sedemikian, barulah lirik sesebuah lagu itu menjadi lebih cantik dan terjaga.

“Akan tetapi di sini tiada penilaian dan penghargaan diberikan kepada penulis lirik. Kalau di Malaysia ini, penulis lirik lagu terkenal ialah Habsah Hasan sahaja. “ jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya