MENCUBA sesuatu yang baharu dalam menghasilkan karya seni teater moden memberi kepuasan untuk menterjemah idea luar biasa. Pengkarya dalam masa sama dapat bereksperimen dan melangkaui garisan kreativiti yang sebelum ini sudah menjadi kebiasaan.
Melihat ruang untuk berkarya dalam teater moden turut memberi peluang kepada penggiat dalam penghasilan sesuatu lain daripada yang lain.
Justeru pementasan teater tanpa dialog bertajuk Sapa di Studio Ramli Hasan baru-baru ini dilihat sebagai percubaan bagi menyampaikan apresiasi seni yang tinggi dengan pendekatan berbeza.
Sapa teater senyap tanpa dialog yang mempunyai kisah dan jalan cerita tersendiri. Untuk memahami Sapa pada awalnya sedikit sukar terutama apabila dipentaskan secara diam seribu bahasa.
Pada permulaan cerita menunjukkan babak seorang pemuda bernama Sufi lakonan Jasni Faizul menemui sebuah buku sebaik memasuki rumah.
Selepas beberapa ketika, datang seorang perempuan bernama Nurani yang membawa makanan dari dapur dan duduk bersamanya. Detik awal pertemuan itu akhirnya berlarutan kepada pertemuan seterusnya, lalu timbul perasaan cinta.
Watak Nurani kemudian hilang dan kehilangan watak tersebut sebenarnya memberi maksud bahawa Sufi mengalami krisis emosi- memikirkan wanita yang tidak pernah wujud.
Malah, watak wanita tersebut juga dinamakan Nurani, yang memberi makna perasaan dan ada dalam setiap manusia
Bagaimanapun keberadaan watak orang tua sebagai bapa lakonan Sahrul Mizad yang secara tiba-tiba muncul di pertengahan babak pada awalnya sukar difahami, memerlukan saya berfikir dan terus berfikir.
Selepas beberapa seketika, watak berkenaan memperlihatkan maksud sebenar apa yang cuba disampaikan.
Teater diinspirasikan daripada kisah penulis skrip Mosyuki Borhan merupakan cantuman seni yang diselitkan juga muzik ini mempunyai unsur kekesalan, kesunyian dan imbauan terhadap peristiwa lalu.
Menurut Mosyuki yang menceritakan pengalamannya, dia pernah mengalami krisis emosi selepas bapanya meninggal dunia.
“Selepas saya kehilangan ayah, ada seorang perempuan datang dalam mimpi setiap hari. Jadi, saya tercari-cari siapa perempuan itu.
“Bagaimanapun selepas beberapa ketika, perempuan tersebut tidak lagi hadir dalam mimpi dan saya terus terfikir mungkin Tuhan wujudkan perempuan itu supaya saya dapat mencari balik apa sebenarnya yang ‘dirindui’,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Kata Mosyuki lagi, Sapa dalam masa sama membentangkan kisah lama antara dia dan arwah bapanya
“Saya dan arwah ayah tidak rapat dan kami sangat kurang berkomunikasi kalau dibandingkan dengan adik beradik saya lain.
“Lapan bulan sebelum dia meninggal dunia, ayah hilang ingatan. Namun ada satu ketika itu, dia tiba-tiba menyebut nama saya dan agak pelik bagaimana secara tiba-tiba dia boleh ingat saya, sedangkan saya tidak rapat sebagaimana adik beradik lain.
“Rupa-rupanya dia pernah tulis nama saya di belakang jam yang saya berikan padanya sebagai hadiah dan daripada situlah dia ingat nama saya semula,” ujarnya.
Mosyuki berkata, dia pernah mempunyai perasaan dan tanggapan negatif di sebalik tindakan ayahnya itu.
“Sewaktu saya hadiahkan jam itu, saya pelik kenapa dia tulis nama saya di belakangnya berbanding orang lain yang namanya ditulis pada hadiah mahal.
“Saya beranggapan dia mahu membeza-bezakan saya dengan orang lain, walhal mungkin ayah tahu bahawa satu hari nanti dia akan lupa dan hilang ingatan,” katanya.
Dalam pada itu, pengarah teater, Nawfal Zambri berjaya mempamerkan keupayaan dengan menjadikan Sapa sebagai teater unik tanpa dialog.
Dia berani melakukan eksperimen dengan mengangkat teater tanpa dialog yang boleh difahami dan dalam masa sama lari daripada kelaziman sebagaimana teater lain.
Teater Sapa berjaya mendapat undangan ke Makassar International Writers Festival (MIWF) dan kini sedang mencari tajaan. – Mingguan Malaysia
‘Sapa’ salin Imaginur?
- Oleh Mohamad Hafiz Yusoff Bakri
- 24 Disember 2023, 4:37 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am