Inilah kali pertama sepanjang hampir separuh abad di menjadi pemain silap mata. Tak pernah lagi, dia bukan amatur dalam bidangnya. Sejak usia lima tahun ketika anak-anak seusianya ke Tadika dan Taska, dia sudah menyertai bidang ini bersama bapanya, bapa saudaranya dan ibu saudaranya. Mereka bukan kaleng-kaleng. Mereka sudah menjelajah hampir ke serata dunia, sudah berstatus profesional.
Tempahan untuk persembahan mereka kini telah mencapai tiga tahun, maksudnya kalau ada persembahan pada tahun 2023, tempahan itu telah dibuat dan perjanjian serta wang pendahuluan telah diselesaikan pada tahun 2020.
Benar tiga tahun lampau. Dia tidak pernah masuk ke sekolah secara formal, pendidikan yang diperoleh hanyalah melalui guru yang diupah khas oleh bapanya, seorang wanita cantik iaitu petugas pentas syarikat silap mata milik bapanya.
Kerana gurunya cantik dia cepat belajar, walaupun dia sebenarnya tidak tahu bahawa guru cantik itu ialah ibu tirinya selepas ayah dan ibunya berpisah.
Yang ini dia tidak lupa, bagaimana pada satu malam ketika dia berusia sekitar enam tahun, dalam dentuman guruh dan petir yang kuat, ibu bapanya bergaduh.
Suara mereka kuat mengatasi bunyi guruh dan petir yang sudah sedia kuat. Dia bersama guru ‘cantik’nya di dalam bilik, ketika itu mempelajari sebutan bagi perkataan yang baharu di pelajarinya – S. I. L. A. P. M. A. T. A.
Dia masih terlalu mentah untuk mengetahui punca pergaduhan ibu bapanya apatah lagi dalam ketakutan dentuman guruh dan petir dan dalam pelukan guru ‘cantik’ yang diupah ayahnya untuk mengajarnya.
Selepas sebulan, ingatannya sangat kuat, ibunya memeluk dia sebelum meninggalkan mereka dua beranak. Itulah kali terakhir dia melihat ibunya, selepas itu hanya guru ‘cantik’ menjadi ibu dan gurunya.
Sejak itu, ayahnya, Pakcik Man, Makcik Sarah bergerak dari satu pekan ke satu pekan membuat persembahan silap mata. Hanya ayahnya dan Makcik Sarah adik ayahnya terlibat dalam persembahan silap mata. Pakcik Man dan guru ‘cantik’nya hanya bertugas di belakang pentas.
Makin lama, makin terkenal kumpulan silap mata mereka. Hanya selepas beberapa bulan mereka sudah dikenali di seluruh pekan tersebut dan pekan-pekan berhampiran. Hampir setiap minggu mereka memenuhi undangan pertunjukan.
Dari pekan kecil ke pekan besar, dari bandar ke bandar raya dari bandar raya ke negeri, dari negeri ke negara-negara. Itulah perjalanannya menjadi sebahagian pengisiannya sebagai pemain silap mata.
Sejak usia lima tahun dia melihat ayahnya bermain silap mata. Pelbagai silap mata yang dia tahu, malah sudah bergelar sifu, sama seperti tokoh-tokoh silap mata terkenal dunia.
Pada usianya 17 tahun, dia terbangun satu pagi dengan jeritan dan tangisan guru ‘cantik’nya.
Ketika itu kumpulan silap mata ayahnya sudah membesar dengan hampir 20 petugas terlibat dalam sesebuah persembahan. Bayaran untuk mereka juga sudah berpuluh-puluh kali ganda.
Ayahnya telah melakukan secara profesional. Ada pengurus, pengurus pentas, jurulampu, jurusolek, pelagak ngeri malah sudah mempunyai bangunan lima tingkat milik ayahnya yang menjadi ibu pejabat syarikat silap mata mereka.
Wisma SIGMA, keterbalikan untuk MAGIS. Dikhabarkan ayahnya meninggal akibat serangan jantung pada pagi itu.
Seminggu selepas pengebumian ayahnya, Pakcik Man membuat mesyuarat di Wisma SIGMA, dia adalah pemegang saham kedua terbesar selepas ayahnya yang menguasai 90 peratus saham syarikat dan selebihnya adalah Pakcik Man dan guru ‘cantik’ yang kini merupakan ibu tirinya. Makcik Sarah sudah tidak lagi bersama mereka kerana telah berkahwin dan mengikuti suaminya berhijrah ke Dubai.
Keputusan dibuat, keseluruhan operasi syarikat akan diketuai olehnya mengambilalih 90 peratus saham syarikat. Pakcik Man akan membantu dan memantau, ini kerana Pakcik Man tidak mempunyai ahli keluarga lain selain ayahnya dan Makcik Sarah.
Dia tiada lagi keinginan material untuk dirinya, segalanya diberikan kepada satu-satunya anak saudaranya, darah dagingnya sendiri.
Dia kini menjadi pemilik syarikat silap mata yang paling muda di dunia. Pada usia 17 tahun dia mewarisi perniagaan jutaan ringgit, jutaan pengikut dan tempahan ke hadapan untuk tiga tahun.
Itulah permulaan dia mempamerkan bakat semulajadi silap matanya. Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi.
Pakcik Man hampir terkejut dengan permainan silap matanya begitu juga guru ‘cantik’ nya yang dipanggil Makcik Farah. Sempurna sangat dan memukau penonton.
Kebolehannya bersilap mata cepat tersebar. Malah pada satu ketika mereka tidak lagi mengambil tempahan. Tempahan untuk tempoh tiga tahun ke hadapan ditutup.
Ada juga pertunjukan yang perlu dibatalkan kerana pertindihan jadual atau undangan pembesar negara. Malah kini dia sudah mempunyai beberapa kumpulan yang boleh bermain di beberapa negara beribu kilometer jaraknya serentak.
Masa berlalu, dia kini sudah berusia 55 tahun, sudah hampir separuh abad dalam bidang silap mata. Sudah tersohor dikenali dan dikagumi seantero dunia. Malah dia mempunyai jet peribadi untuk membawanya ke mana sahaja.
Bayaran menghadiri pertunjukannya sudah mencapai empat angka di sesetengah negara. Dia juga tersenarai dalam 500 orang paling berpengaruh di seluruh dunia, menduduki tangga pertama dalam senarai ahli silap mata di dunia.
Dia juga merupakan Presiden, Persatuan Ahli Silap Mata Dunia sejak sedekad yang lalu. Malah dua anaknya juga terlibat dalam bidang ini. Dua anaknya juga mencipta nama dalam bidang silap mata, sepertinya.
Tapi dia tidak dapat menyangkal, keterlupaannya. Ketika menunggu giliran untuk persembahannya dia cuba mengingati silap matanya.
Hampir tidak percaya dia gagal mengingati walau satu pun ratusan silap mata yang dipraktisnya selama lebih setengah abad dia bergelumang dalam bidangnya, sejak berusia lima tahun hingga dia sudah berusia 55 tahun, 20 anak daripada empat isteri, dan delapan orang cucu.
Dia tidak pernah mengalaminya sebelum ini. Peluh dingin membasahi dahinya.
Ini bukan persembahan biasa. Ini persembahan diraja yang mengumpulkan hampir 20 ahli silap mata tersohor dunia, dan dianjurkan bersama oleh persatuan yang dia presidennya.
Penontonnya ialah dalam kalangan bangsawan membayar harga kayangan untuk menonton persembahan itu.
Persembahan malam itu telah lebih setahun dirancang, malah dia sangat teliti memilih ahli-ahli persatuannya untuk membuat persembahan yang akan senantiasa diingati oleh hadirin dalam majlis besar tersebut.
Persembahan malam itu adalah sempena majlis perpisahan ketua negara yang akan tamat tempohnya beberapa minggu lagi.
Dia sendiri telah menetapkan apakah persembahan yang akan diisi untuk masa selama 15 minit yang diperuntukan kepada setiap yang membuat persembahan pada malam itu.
Ini bukan kali pertama dia akan beraksi di hadapan ketua negara yang bakal tamat tempoh baginda.
Dia sudah beberapa kali membuat persembahan diraja dan sentiasa dihubungi baginda untuk nasihat dan pandangan seorang ahli silap mata.
Dia seperti rakan halimunan biar pun tidak satu pun nasihatnya diikuti, dia tidak kecewa kerana sisi pandang setiap orang adalah berbeza.
Giliran persembahannya tiba, dia adalah penutup kepada persembahan diraja pada malam tersebut.
Petugas yang akan membantunya juga sudah cukup bersedia, tetapi dengan peluh di dahinya merembes, dia hanya meminta kerusi yang tinggi seperti sebuah tangga.
Lampu dimalapkan dan lampu sorot menyuluhinya, seorang ahli silap mata tersohor dunia, menduduki tangga pertama dalam senarai ribuan ahli silap mata dunia.
Dia mula berceloteh persis seorang tukang lawak profesional. Hadirin bersorak pada cerita-ceritanya.
Dia sempat melihat jam mewah pada dinding yang paling hampir dengannya. Masanya hampir tamat dan dengan penuh keyakinan dia memohon untuk masa tambahan.
Dia penganjur, ketua negara adalah rakannya, cepat sahaja pengacara membalas permintaannya, sekali lagi hadirin bersorak malah lebih kuat lagi.
Dia terus bercerita tentang pengalaman membuat persembahan di serata dunia, bercerita tentang membuat persembahan di Gaza, dan percuma pula untuk ribuan anak-anak Palestin. Dia menitiskan air mata, hadirin senyap sepi turut bersedih dengan penderitaan rakyat Palestin.
Seluruh dunia tahu tentang hal-hal dia mengutip dana untuk semua yang dilanda musibah.
Gempa bumi di Haiti yang mengorbankan hampir 200,000 rakyatnya pada tahun 2010; gempa bumi di Kashmir; tsunami pada tahun 2004, semuanya menjadi platform untuk dia menyumbang, malah ada persembahan di negara lain, yang hasilnya disumbangkan kepada tabung kemanusiaan.
Mungkin ini juga sebab dia mengenali dan berhubung baik dengan ramai ketua negara di seluruh dunia.
Masa persembahannya hampir tamat, dia masih tidak dapat melakukan apa-apa silap mata untuk persembahan pada malam itu. Ketika hadirin bertepuk riuh, dia mengangkat dan merapatkan kedua tangannya seperti memohon maaf.
“Tuan puan, sebenarnya saya terlupa silap mata pada hari ini, maafkan saya.”
Hadirin bertepuk gemuruh malah ramai yang berdiri di atas kerusi memberikan penghormatan tertinggi kepada seorang tokoh melebihi seorang ketua negara.
Sebenarnya silap matanya adalah memukau hadirin dengan keterlupaannya sama seperti politikus rakus kuasa.
Ketika didekati oleh ketua negara untuk mengucapkan syabas dan tahniah atas persembahan memukaunya tanpa sebarang silap mata, dia mengungkap.
“Apa pun, rakyat patut lebih diutamakan daripada kita sebagai seorang pemimpin.”
Benar dia lebih mengutamakan ahli-ahlinya tetapi hal sebenar yang tidak diketahui sesiapa sehingga dia bersara daripada bidangnya adalah dia seorang ahli silap mata hebat yang terlupa silap matanya. – Mingguan Malaysia
Pemain silap mata lupa silap matanya
- Oleh MOHAMED NASSER MOHAMED
- 17 Disember 2023, 4:34 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Selamat hari lahir Kartini
14 Januari 2024, 5:37 pm
Tentang harapan penggiat tulisan khat
14 Januari 2024, 4:01 pm
Tengkujuh di hati Jusuh
7 Januari 2024, 6:07 pm