Jagat sastera yang senyap sunyi sesekali memerlukan juga satu isu hangat yang diperdebatkan kemudiannya. Ramai yang memanggil “isu hangat yang diperdebatkan” itu sebagai polemik walaupun banyak juga yang tidak bersetuju. Apabila penulis mencetuskan isu pengarang muda dengan pengarang lama di laman maya e-Dewan Sastera baru-baru ini, pelbagai reaksi timbul daripada ramai para sasterawan, penyair dan penggiat sastera tanah air.
Kita memerlukan satu isu hangat untuk diperdebat-bincangkan secara sihat. Jika tidak sastera kita akan jumud beku dan terlena panjang. Apabila sudah lama tidur perlu juga dikejutkan. Pening dan sakit kepala juga tidur lama-lama.
Polemik juga perlu agar semua orang dapat bersuara. Kita ingin dengar pelbagai pendapat dari segenap sudut. Baru kita terjaga dan boleh berubah. Lama sangat selesa di takuk lama tidak boleh. Nanti kita akan makin tertinggal beku di belakang tatkala sastera negara tetangga sudah jauh ke depan. Agar yang lambat dapat dipercepat. Moga yang selesa dan asyik itu dapat berubah atau diubah.
Polemik yang bukan polemik? Hal kecil dan remeh-temeh yang dipolemikkan? Ayuh kita bincang dengan lebih terperinci berkenaan hal ini. “Gergasi-gergasi sastera”, atau lebih mudah difahami jika saya menyebutkan dengan panggilan yang diungkap oleh beberapa orang senior sastera kita sebagai ‘dinosaur sastera’, yang masih memonopoli program besar kesusasteraan kita saban tahun yang meminggirkan angkatan baru dalam program mereka.
Kenapa dikatakan “meminggirkan”? Kerana sejak Hari Sastera ke-18 di PCB Kota Bharu, Kelantan tahun sudah tidak ada seorang pun penulis muda yang disenaraikan sebagai pembentang kertas kerja dalam program tersebut.
Diikuti kemudiannya dengan Konvensyen Pemuisi Sedunia (KONPES) yang juga diadakan di Kelantan beberapa bulan lalu, pun tidak melibatkan pengarang muda sebagai pembentang. Peminggiran pengarang muda sebagai pemakalah ini nampaknya berlanjutan lagi dalam Pertemuan Penyair Nusantara ke-12 yang baru berlangsung pada Oktober lepas di Kuala Lumpur.
Dek kerana jujutan peristiwa peminggiran karyawan muda kita inilah yang menjadi sebab utama penulis menyeru pengarang muda kita bersuara melalui esei yang kemudiannya menjadi polemik panjang tempoh hari. Namun sayang, pancingan penulis melalui esei yang memakai tajuk berbentuk soalan bertanyakan kehilangan penulis muda itu disalah anggap kebanyakan pengarang muda itu sendiri.
Benar, isu peminggiran pengarang muda kita ini cuma satu bahagian daripada daripada sekian banyak isu dan masalah yang ada dalam ranah sastera kita. Itu rasanya disedari oleh ramai karyawan dan para penggiat sastera. Cuma ramai yang sengaja pura-pura tidak tahu.
Sekian banyak isu dan masalah tersebut tidaklah mampu ditulis keseluruhannya dalam artikel yang sangat pendek ini, juga tidak muat untuk dibincangkan semuanya dalam esei yang mencetuskan polemik tempoh hari. Salah satu gerak kerja awal kita untuk menyelesaikan semua itu adalah dengan menyatukan para pengarang kita, bukan dari awal dipinggirkan.
Oleh sebab dipinggirkan itulah pengarang muda kita menggelembung dengan kelompoknya sendiri di sana sini, dek kerana mereka orang muda yang membara, yang gigih, yang berani bergerak dan bersuaralah mereka terus menapak dengan yakin meneruskan pelbagai acara di setiap tempat yang mampu menyediakan ruang dan boleh membuka peluang.
Jika kita hendak menyenaraikan segala kebobrokan sastera untuk diperbaiki, masih sangat banyak sebenarnya. Itu kita belum lagi bercakap perihal persatuan penulis di setiap negeri yang masih dijajah oleh orang lama dan seperti mahu memegang tampuk kepimpinan hingga ke akhir usia. Politik dalam sastera ini ada ketikanya mengalahkan kehodohan politik sebenar di luar. Berkenaan karya yang menang hadiah sastera di peringkat negeri mahu pun kebangsaan yang belum mencapai piawaian yang memuaskan juga bakal mewujudkan perbincangan panjang kalau betul-betul mahu diperdebatkan. Malah karya yang belum mencapai tahap hasil cipta sastera yang baik pun masih banyak menang hadiah sastera.
Kita juga boleh berbincang panjang tentang hal lembapnya terjemahan sastera negara ini untuk mengangkat karya besar Malaysia ke peringkat antarabangsa. Lebih banyak inisiatif kerajaan dan badan-badan sastera diperlukan untuk menaja pengarang kita sebagai residen dan karyawan tamu, juga agar mereka kembara ke luar negara sambil menghasilkan karya. Institusi sastera dan universiti negara ini wajar membuka lebih banyak ruang kepada sasterawan kita dengan melantik mereka sebagai karyawan tamu atau penulis tamu di organisasi masing-masing.
Perihal muzium sastera dan yayasan penulis juga penting untuk dibincangkan. Malah berkenaan pencalonan pengarang kita untuk memenangi hadiah sastera di peringkat antarabangsa termasuk Hadiah Nobel juga tidak patut terhenti di takuk lama. Ini semua adalah isu-isu besar yang setiap satunya boleh dijadikan tajuk polemik yang berasingan. Maka nanti akan sentiasa meriahlah sastera kita dengan polemik berterusan, bukan diam beku dan ketinggalan. – Mingguan Malaysia
Kenapa perlunya polemik sastera?
- Oleh SALMAN SULAIMAN
- 10 Disember 2023, 4:33 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am