Kartun: Idea manusia tidak mampu ditandingi AI - Utusan Malaysia

Kartun: Idea manusia tidak mampu ditandingi AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERLU diakui, bukan semua orang dilahirkan dengan bakat melukis untuk menghasilkan karya seni yang cukup halus serta menarik.
Bagaimanapun, ketika zaman yang penuh dengan kecanggihan teknologi ini, melukis bukanlah sesuatu yang mustahil untuk semua orang.
Malah, tugas sebagai pelu­kis sudah boleh diambil alih dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Bagi kartunis, Ahmad Hilmy Abdullah atau lebih dikenali sebagai Mie, perkara tersebut semestinya mendatangkan kegusaran kepada sesiapa yang bergelar pelukis dan kartunis.
“Apabila kita sebut artificial intelligence (AI), ia memusnahkan banyak industri. Untuk mereka yang tidak pandai menyanyi, boleh menyanyi. Begitu juga bagi mereka yang tidak pandai melukis.
“Bagaimanapun, apa yang membezakan AI dan manusia adalah idea. Kita telah dianugerahkan oleh-Nya dengan idea. Hanya yang ini (idea) sahaja AI tidak boleh. Mungkin boleh secara rawak, tetapi akhirnya akan kembali kepada idea manusia juga,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Mie yang merupakan anak jati Kelantan ini juga tidak menolak kemungkinan bahawa industri kartun bakal malap untuk beberapa tahun akan datang.
“Namun, tidaklah sam­pai pupus kerana ada permintaan lagi. Cuma berku­rangan. Lagipun AI tetap mengharapkan idea manusia biasa.
“Jadi, AI memudahkan kerja akan tetapi melanggar segala peraturan. Apa yang awak nak, boleh buat,” jelasnya yang pernah ‘berehat’ selama 12 tahun dan menumpukan kepada kerjaya sebagai arkitek.

SECARA KEBETULAN
Menginjak ke umur 62 tahun, Mie kini tidak serancak seperti 10 atau 20 tahun lalu- kerap kali menghantar karyanya ke beberapa agensi media termasuk Utusan Malaysia.
Mengimbau kembali di saat menceburkan diri dalam bidang kartun, dia dapat mengingati dengan jelas bagaimana segalanya bermula secara kebetulan.
“Saya ketika itu sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pada masa itu banyak diadakan aktiviti pameran kartun termasuk di UTM.Saya diminta untuk menguruskan acara berkenaan.
“Selepas itu saya berhubung dengan pihak majalah Batu Api yang bersetuju mengadakan pameran tersebut. Kemudian dalam masa sama, saya turut menghantar karya saya. Dari situ mereka melihat potensi dan mempelawa untuk melukis di majalah Batu Api,” ujarnya.

LEBIH 10 buku
Diam tak diam, kini Mie telah menerbitkan lebih 10 buku dan merancang untuk menghasilkan judul buku yang lain sebaik membuat keputusan memperlahankan kerjaya arkitek.
“Saya ada dua buah lagi buku berkenaan biografi yang menceritakan ‘tragedi’ dan nostalgia.
“Namun cabaran agak besar untuk menghasilkan buku dan agak susah untuk menjual. Zaman sekarang kalau saya tidak tandatangan autograf, memang orang tidak beli,” katanya.
Dia kini menggunakan medium Facebook untuk mengetengahkan karya-karyanya dan berhubung dengan peminat. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya