MENGENALI kartun dan jalan cerita Selangkah Ke Alam Misteri pasti membuatkan sesiapa sahaja tersenyum sendirian. Malah saya pasti ramai generasi yang lahir pada tahun 70-an hingga 90-an merindui sentuhan karya Bawang – antara nama kartunis popular satu ketika dahulu.
Karyanya menjadi sebahagian tempat masyarakat berhibur sebagaimana karya kartunis lain yang seangkatan dengannya.
Namun, Bawang atau nama sebenar Shahrul Zaman Mohd. Said kini tidak lagi giat melukis sebagaimana Gayour, Sukun dan Lambok yang masih berkarya.
Hanya koleksi lama yang pernah diterbitkan sebelum ini dapat dijadikan tatapan peminat yang merindui karya Bawang.
Menurut kartunis berasal dari Temerloh, Pahang ini, dia lebih selesa dan mahu menumpukan perhatian dalam bidang pertukangan yang turut menjadi minatnya sejak dulu lagi.
“Saya memang berminat dua bidang ini iaitu menghasilkan kartun dan ‘bertukang’. Walaupun kartun banyak menghasilkan duit, tapi penatnya hanya Tuhan yang tahu sebab bermain dengan akal fikiran.“Walaupun kita lihat kartunis hanya duduk saja dan tidak mengeluarkan banyak tenaga, tapi sebenarnya tidak. Saya rasa tenaga lebih banyak digunakan untuk menghasilkan kartun. Begitu penat rasanya untuk menghadap lukisan terlalu lama,” katanya yang mula melukis sejak berumur 18 tahun. Karyanya mendapat perhatian peminat dengan jalan cerita santai dan di luar logik akal selain bahasa mudah yang cukup padat.
Dia yang kini berusia 56 tahun berkata, seni pertukangan juga antara bidang yang dipelajari dan mampu dilakukan olehnya selepas ‘berehat’ seketika daripada dunia kartun sebelum menghasilkan karya untuk majalah Ujang pada tahun 1994.
“Saya ‘berehat’ pada masa itu sebab fikir buat kartun pun tak boleh hendak ke mana. Jadi, saya balik kampung dan terjun dalam industri pembuatan perabot.
“Selepas itu, ada rakan mempelawa saya menyertai majalah Ujang dan saya kembali kepada dunia kartun sehinggalah ia ditutup pada 2015,” jelasnya yang kini mahu memberi fokus kepada bidang pertukangan.
Menyingkap kembali detik pembabitan awal sebagai kartunis, Bawang berkata, semuanya bermula selepas dia menghantar karyanya untuk diterbitkan majalah Batu Api.
“Saya masih ingat pada masa itu saya hanya melukis suka-suka sahaja. Semuanya sebab minat. Selepas itu saya pun cuba menghantar lukisan pada majalah Batu Api dan mereka terima hasil lukisan saya.
“Di sinilah bermula kerjaya sebagai kartunis. Tapi tempoh di sana tidak lama dan saya kemudiannya berpindah ke tempat lain antaranya majalah Geli Hati dan Toyol,” katanya.
Ketika ditanya tentang perancangan masa depan dalam dunia kartun, Bawang berkata, dia tidak terfikir untuk kembali semula dalam dunia yang pernah diceburinya dahulu.
“Saya juga tidak terfikir untuk menghasilkan apa-apa buku. Cuma sesekali ada juga dipanggil ketika berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL),” jelasnya.
Pada usianya yang sudah mencecah separuh abad, Bawang tidak lagi melihat kartunis sebagai bidang yang sesuai bagi dirinya. Malah, dia pada masa sama memberi bayangan untuk menoktahkan kerjaya yang pernah menaikkan namanya satu ketika dahulu.
“Seandainya ada yang mahu mengenang saya, biarlah mesej serta pengajaran dalam sesebuah cerita yang dihasilkan itu sebagai kenangan,” katanya. – Mingguan
Dunia kartun tinggal nostalgia: Bawang ceburi seni ‘bertukang’
- Oleh Mohamad Hafiz Yusoff Bakri
- 31 Disember 2023, 5:17 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am