Salah satu resolusi Hari Sastera di Sabah baru-baru ini adalah mempergiat karya sastera menerusi aplikasi teknologi digital. Teknologi digital sudah menjadi salah satu item budaya yang mewarnai kehidupan masyarakat Malaysia. Namun, penulisan sastera belum menembusi kemudahan teknologi digital sepenuhnya. Khususnya dalam media sosial yang menjadi sebahagian daripada keperluan masyarakat.
Budaya membaca masyarakat hari ini beransur-ansur berubah kepada menonton dan mendengar. Budaya menatap gajet seperti telefon pintar semakin memberangsangkan. Hal ini menjadi persaingan kepada tabiat membaca buku, majalah dan suratkhabar.
Masyarakat pembaca kurang membaca buku dan karya dalam bentuk teks yang panjang berbanding dengan menatap gajet. Khususnya karya kreatif seperti novel dan cerpen.
Penulis kreatif belum ghairah menggunakannya untuk menyebarkan karya. Sesungguhnya, mereka perlu memasarkan karya melalui gajet dan halaman dalam talian agar karya mereka terus menjadi makanan minda masyarakat.
Dewasa ini, karya novel kurang diperkatakan melalui media sosial. Sama ada kurang diterbitkan atau kurang dalam penulisan atau kurang publisiti. Begitu juga cerpen yang merupakan karya kreatif yang lebih pendek. Walaupun wadah dan penulisan cerpen masih terbuka tetapi jarang diteroka penulis. Mereka kurang memaparkan karya cerpen mereka dalam talian atau media sosial.
Demikian juga, ulasan dan kritikan tidak digunakan secara wajar walaupun terdapat ruangan komen yang lebih luas. Ulasan dan kritikan inilah sebenarnya yang memberi nyawa kepada karya kreatif. Karya sastera itu akan terus segar jika diulas atau dikritik oleh orang yang tahu dan menggunakan ilmu bantu.
Sedangkan karya cerpen dan novel memerlukan ulasan dan kritikan daripada pembaca atau netizen. Ulasan dan kritikan orang ramai atau netizen akan menggugah pemikiran pembaca. Ulasan dan kritikan ini menjadi nilai tambah kepada karya sastera seperti cerpen atau novel.
Setakat ini belum ada disiplin atau panduan untuk membuat kritikan dalam komen atas karya sastera dalam media sosial. Adakah cukup dengan sepatah dua kata dalam komen atau perlukan huraian panjang lebar? Kritikan itu sebenarnya boleh menjadi perkongsian ilmu dan manfaat kepada penulis dan pembaca. Kritikan dan ulasan karya kreatif seolah-olah tidak mendapat tempat dalam media sosial.
Daripada tinjauan sepintas lalu, karya kreatif dalam gajet yang popular, melalui Facebook, lebih banyak dalam bentuk visual dan audio. Amat kurang dalam bentuk teks atau skrip seperti cerpen. Ada percubaan beberapa penulis untuk menghasilkan karya cerpen yang relatif pendek yang mungkin dalam penulisan buku dikategorikan sebagai anekdot. Persoalannya, adakah karya itu turut dinikmati netizen melalui gajet?
Contonhnya Cerpen Mini 5/2023 bertajuk Meroyan yang ditulis oleh Shamsudin Othman melalui Facebook pada 4 Ogos 2023, mempunyai pembaca yang ‘suka’ tetapi tiada ‘komen’ atau ‘kongsi’. Begitu juga cerpen Rombak Kabinet hantaran Nazmi Yaakob dalam tempoh satu hari tiada reaksi daripada netizen. Hal ini menunjukkan karya sastera cerpen amat kurang dibaca dan kurang mendapat suka, komen atau kongsi.
Jika kita tinjau dalam #cerpen, kita menemui kumpulan Kedah Di Hatiku (11 September 2023) dengan cerpen berjudul Cinta Yang Hilang hantaran Nur Affni Khalib, mempunyai jumlah pembaca yang suka (41), komen (56) dan kongsi (2). Sementara cerpen hantaran Cik Tet (23 Ogos 2021) yang tiada berjudul pula mempunyai suka (401), komen (111) dan kongsi (satu).
Karya novel (fragmen novel) banyak dipelopori oleh penulis Indonesia. Hantaran mereka dalam bentuk bab demi bab. Contohnya, hantaran Meisya Jasmine Aulia, dalam satu jam yang pertama telah menerima suka (583). Karya Chie Amoy Gaghana berjudul Kerana Kami Keluarga Ayah Yang Miskin Tak Mahu Pakai Seragam yang Sama yang dipaparkan dalam tempoh yang sama iaitu satu jam telah menerima suka (2,260), komen (123) dan kongsi (36). Sementara karya hantaran Ina Yasri berjudul Kukira Cuma Ojol Ternyata Sultan (9), dalam tempoh 24 jam disiarkan telah memperoleh suka (1,102), komen (44) dan kongsi (10).
Daripada tinjauan tersebut menunjukkan karya cerpen dalam bentuk teks atau skrip melalui Facebook mula diceburi oleh penulis, namun sambutannya dalam kalangan netizen masih kurang memberangsangkan. Netizen memberi komen yang ringkas, bukan berbentuk ulasan malah kritikan yang lebih ilmiah.
Penulis Indonesia lebih ke hadapan dengan memapar banyak karya fragmen novel dan mendapat perhatian hangat dalam kalangan netizen mereka. Usaha ini sebenarnya adalah untuk memasarkan karya novel dalam buku yang diiklankan melalui siaran itu. Namun, fragmen itu memenuhi ciri-ciri cerpen yang boleh habis dibaca beberapa minit sahaja.
Karya cerpen dalam bentuk video, iaitu karya itu dibaca oleh deejay dengan intonasi dan suara yang menarik, dan netizen tidak perlu membaca teks, nampaknya mendapat sambutan lebih baik. Contohnya hantaran Kedah Tang Mana, slot 28 Ogos 2023 mendapat respons suka (52), komen (satu), kongsi (11) dan tontonan (2,686). Kisah cerpen Sanusi Muhamad Md Nor, Botol Toyu dan Kedai Mat pada 28 Ogos 2023 sehingga kini mendapat suka (52), komen (satu), kongsi (11) dan tontonan (2,698).
Cerpen Paku Payung Limau Mandarin oleh Azizi Hj. Abdullah hantaran Musafir Sakti pada 13 April 2018 mendapat suka (68), komen (11), kongsi (38), dan tontonan (819). Cerpen ini pernah menjadi bahan KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kaedah pemaparan cerpen dalam bentuk suara yang dibacakan oleh deejay lebih mendapat sambutan berbanding cerita dalam bentuk tulisan atau skrip. Hal ini satu realiti menarik yang boleh dibicarakan, serta memerlukan inovasi yang perlu diteroka oleh penulis karya kreatif.
Demi menyambut gagasan Hari Sastera, penulis kreatif seharusnya memperluas karya mereka dalam teknologi digital dan media massa, bukan sahaja dalam website, google, dan TikTok, malah dalam facebook yang mudah diakses oleh pembaca atau netizen. Karya cerpen dan novel akan sepi jika bergantung kepada bahan bacaan tradisional. – Mingguan Malaysia
Cerpen dalam media sosial
- Oleh Md. Ishak A. Rahman
- 17 Disember 2023, 5:15 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am