DALAM siri sejarah konflik kemanusiaan yang berlaku di Palestin, kita akan terhimbau peristiwa hitam pembunuhan besar-besaran terhadap pelarian di Kem Sabra dan Shatila yang dilakukan pihak Zionis dan militan Phalangists pada tanggal 16 September 1982.
Dunia menganggap episod duka itu sebagai tragedi terburuk pembantaian terhadap manusia yang tidak berdosa. Sudah tentu setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama tidak dapat menerima hakikat pembunuhan kejam itu dilakukan oleh sekumpulan manusia yang hanya ingin merampas tanah air milik orang lain.
Seniman baik penulis, penyair dan pelukis adalah manusia yang begitu sensitif terhadap isu-isu sejagat melibatkan penganiayaan terhadap kanak-kanak, wanita dan orang tua. Justeru, muncullah karya-karya seni dalam bentuk sajak, syair, cerpen, novel serta lagu puisi yang merakam wacana dan naratif setiap tragedi yang melibatkan kemanusiaan di wilayah bergolak.
Lagu puisi Balada Seorang Gadis Kecil ciptaan Komposer dan penyanyi terkenal era 80-an, Allahyarham Zubir Ali melalui kumpulan muziknya Harmoni memberi kesan besar kepada pecinta seni dan lagu tanah air. Lagu Balada Seorang Gadis Kecil didendangkan sendiri buat pertama kali oleh Allahyarham pada malam Pesta Lagu Malaysia bukan sahaja memukau penonton dengan lirik menyentuh jiwa tetapi turut memenangi kategori anugerah lagu terbaik pada 1983. Antara lirik awal lagu puisi itu berbunyi:
Gadis kecil itu telah bertahun
Dicengkam derita
Di khemah pelarian
Yang menjanjikan duka cita.
Siapakah gadis kecil itu? Apakah sebenarnya penderitaan dilalui olehnya? Persoalan itu terjawab apabila Allahyarham Zubir menggunakan rangkai kata di khemah pelarian. Hal ini merujuk tentang pergolakan dahsyat di bumi Palestin dan Lebanon selepas berlakunya serangan dan pembunuhan oleh tentera Israel yang cuba merampas kawasan yang diduduki penduduk Palestin. Kebanyakan mangsa adalah terdiri daripada kanak-kanak dan wanita yang tidak bersenjata.
Munir tidak mengenal erti cinta
Telah kering air mata
Menangisi kematian
Ayah bonda dan saudara.
Pada rangkap kedua, Zubir sebagai penulis lirik melakar nama seorang kanak-kanak perempuan Palestin bernama Munir yang menjadi mangsa keserakahan tentera Israel selepas ibu, bapa dan adik beradiknya dibunuh dengan kejam sehingga menjadi yatim piatu.
Di khemah Sabra dan Shatila, Munir sebahagian daripada anak-anak pelarian yang hidup dicengkam derita dan lara angkara peperangan yang tidak berkesudahan.
Tanggal 16 dan 17 September meninggalkan parut duka yang paling menyayat hati apabila tentera Israel membenarkan tentera Militan Phalange ortodoks menyerbu masuk ke khemah pelarian Shatila lalu merogol, merosakkan dan membunuh hampir 3,500 orang awam Palestin dan Lubnan selama dua hari berturut-turut. Kematian kanak-kanak, wanita dan orang tua di khemah pelarian itu sebenarnya didalangi sendiri oleh Ariel Sharon yang ketika itu merupakan Menteri Pertahanan Israel. Inilah gambaran di dalam lirik lagu Balada Seorang Gadis Kecil ciptaan Zubir.
Pada suatu senja
Langit Shatilla
Menyaksikan pembunuhan
Anak kecil dan wanita
Zubir, anak kelahiran Alor Setar, Kedah yang memperjuangkan lagu puisi. Antara lagu puisi paling popular ketika itu adalah Penantian dan Doa. Senikata lagu Balada Seorang Gadis Kecil dianggap antara lagu puisi menusuk kalbu serta menjadi siulan ramai pada era 80-an hingga 90-an.
Watak Munir adalah kisah benar diadaptasi di dalam lagu yang sentimental dan syahdu ini. Perhatikan bait-bait yang digunakan oleh penyajak ini.
Munir ditembak
Penuh luka
Tapi ajalnya belum tiba
Kerna Tuhan mengasihi dia.
Tragedi kejam dan penuh kebinatangan Zionis dipaparkan di dalam lirik lagu sebagai sebahagian daripada rasa simpati karyawan yang menjadikan seni untuk menarik masyarakat agar membuka mata dengan konflik kemanusiaan. Maka, peristiwa yang berlaku kepada umat Islam di Sabra dan Shatila empat dekad silam mendorong untuk kita mengecam pencabulan hak asasi manusia secara leluasa. Pada rangkap akhir, Allahyarham Zubir menyempurnakan lirik dengan ungkapan kemarahan dan kebencian terhadap tindakan terkutuk itu dengan biasan kata-kata berikut:
Peristiwa hitam 17 September
Telah menjadi bukti
Sempurnalah kekejaman
Suatu bangsa yang sombong dan hina.
Lagu-lagu patriotisme yang bertemakan kemanusiaan sejagat sewajarnya diteruskan oleh seniman dan karyawan sebagai sokongan bagi menegakkan keadilan dan kesaksamaan seterusnya menentang penindasan, penganiayaan dan kekejaman.
Ketika umat Islam di Gaza dan beberapa wilayah di Palestin sedang berdepan konflik kemanusiaan paling dahsyat, aktivis seni perlu berada di barisan hadapan dengan merealisasikan apa sahaja wacana seni demi kemakmuran sejagat. Semoga lagu Balada Seorang Gadis Kecil kekal menjadi aspirasi kepada semua pecinta seni tanah air dalam era konflik hari ini.
Pada akhir lirik, Zubir menitip kata:
Berapa banyak lagi
Gadis kecil tidak berdosa
Akan menjadi mangsa kekejaman manusia
Berapa abad lagi
Gadis kecil seperti Munir
Akan menjadi korban peperangan.