PEMENTASAN teater Dang Anum baru-baru ini di Panggung Bandaraya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bukan sekadar mengisahkan tentang angkara makan nangka dan kezaliman raja semata-mata.
Sebaliknya, teater arahan Amirul Haswendy Ashari ini menceritakan tentang sikap manusia yang membiarkan dirinya dipandu dengan hawa nafsu dalam hidupnya.
Menonton dan memahami jalan cerita pementasan teater Dang Anum tidak sesukar mana dengan diselitkan pelbagai mesej untuk tatapan masyarakat setiap lapisan.
Kisah ini menceritakan bagaimana Sultan Mahmud Syah dibunuh laksamananya yang mahu membalas dendam terhadap kematian isteri, Dang Anum disebabkan memakan seulas nangka milik Sultan. Selain itu babak-babak dan watak dalam teater Dang Anum mempunyai isi tersirat dan tersurat yang boleh dijadikan panduan serta mesej kepada setiap lapisan masyarakat.
Dalam erti kata lain, ada banyak watak mewakili pemimpin zalim bersifat angkuh sehingga bertindak melulu hanya disebabkan nangka dan wujudnya watak ‘orang kanan’ Sultan, ,karakter sama yang sebenarnya ada banyak dalam masyarakat kita pada hari ini.
Kalau dilihat pada sisi lain dalam teater ini, nangka menjadi kiasan untuk menunjukkan kezaliman seorang pemimpin disebabkan perkara kecil. Kisah-kisah sebegini tidak lekang dan melingkari media arus perdana yang bercerita tentang pemerintah seperti ini.
Teater ini juga sebahagian kecil karya yang menceritakan kisah kezaliman pemerintah sehingga ada segelintir melihat ia mitos semata-mata bagi mencetuskan kesedaran serta peringatan kepada raja mahupun rakyat.
Walau apa pun, pementasan teater dihasilkan Persatuan Seni dan Budaya Redholah (The Redholah) ini seharusnya diberi pujian dengan barisan pelakon handal dengan mesej yang sangat jelas.
Antara pelakon yang terlibat ialah Ain Sufia sebagai Dang Anum, Azizul Ammar sebagai Megat Seri Rama/Laksamana Bentan, Along Eyzendy sebagai Sultan Mahmud dan Adam Shahz sebagai Tun Beja Ali.
Ia turut dibantu pelakon teater berpengalaman iaitu Md. Hussin, Azhar Jalil, AG Hafiz, Myza Alid, Eyza Shariff, Affan Mohd. dan ramai lagi.
Di samping itu, teater yang diadaptasi daripada kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang ini turut menampilkan kelainan apabila pelakonnya berinteraksi bersama penonton dalam beberapa babak.
Turut diselitkan selingan unsur nasihat dan persembahan nyanyian ketika membabitkan penukaran prop dan babak.
Maka tidak hairanlah teater Dang Anum mendapat tawaran untuk mengadakan jerayawara di beberapa tempat termasuk di luar negara selepas pementasan baru-baru ini. – Mingguan Malaysia
Dang Anum: Kisah nangka dan sultan di pentas teater
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 19 November 2023, 5:08 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am