Musim buah-buahan datang lagi. Pokok-pokok seperti langsat, duku dan manggis berbuah lebat. Paling menarik perhatian rambutan merah menyala bersama pokok merendang. Puas rasa hati andai dapat menikmati bersama keluarga buah-buahan yang begitu manis ini. Semua jenis buah datang dengan cita rasa.
Kata mereka yang ada kebun, inilah waktu yang istimewa bagi alam dan kehidupan. Membawa sukacita sejati. Menyegarkan di hari yang cerah. Semuanya menjadi berlimpah ruah.
Buah-buahan bukan sekadar dimakan. Mengenyangkan perut tetapi mampu mendatangkan pendapatan lumayan. Menjadikan musim buah-buahan hadir dengan keindahan luar biasa.
Itu kata mereka yang ada kebun. Bagaimana pula dengan yang tidak ada kebun seperti Mazlan? Yang juga menyewa rumah di tepi sebuah kebun dan dikelilingi buah-buahan. Hanya mampu memandang tetapi tidak mampu memetik. Tapi bukan pasal buah-buahan yang masak ranum tetapi musim ini terus mengundang pelbagai haiwan. Tupai dan kera pada sebelah siang. Malam pula bunyi bising dengan musang dan juga kelawar.
Buah-buah akan jatuh ke atas zink rumah. Melantun kuat dan membuatkan kesunyian malam terganggu. Tetapi tidak mengapa. Memang haiwan-haiwan ini datang mencari makanan. Tetapi yang paling membuatkan Mazlan tertekan hanya kerana serangga yang bernama semut hitam.
“Aduhai, aku nak buat macam mana lagi untuk menghalau semut-semut ini?” Mazlan melepaskan keluhan.
Benar sama sekali. Dahan rambutan yang berjuntai. Mengenai zink rumah membuatkan semut-semut mula berjangkit. Bekerja bersama satu pasukan yang hebat. Masuk ke dalam rumah. Bekerja keras tidak terbatas untuk membuat sarang. Mengangkut makanan tanpa kenal lelah. Dengan kaki yang kecil tapi terampil, semut-semut mengangkut beban dengan penuh semangat.
Di ruang tamu. Di dapur dan di dalam bilik sekali pun. Mereka membuat jalan hitam yang panjang. Dari atas bumbung masuk ke celah-celah tempat yang disukai. Membuat sarang yang tersembunyi. Terus mengumpulkan makanan tak pernah tertala. Memang mereka kecil namun penuh semangat. Tapi Mazlan sendiri yang sebenarnya sudah patah semangat.
“Sudah-sudahlah masuk ke dalam rumah. Pergi tempat lain. Masuk hutan jauh-jauh.” Mazlan membebel.
Sudah pelbagai usaha untuk menghalau semut itu yang sememangnya akan menggigit jika terpijak. Mazlan membeli botol Ridsect. Memang semut-semut itu akan mati. Satu usaha pula untuk menyapu dan membuang. Tetapi sekejap sahaja. Semut-semut tetap gigih. Tetap masuk ke dalam rumah. Bahkan usaha untuk membuat sarang seakan tiada henti. Bersarang dan terus membiak dengan jayanya.
Bukan setakat siang. Di bawah sinar matahari yang menyengat sekali pun. Semut-semut ini akan masuk ke dalam rumah. Tetapi setiap malam pula Mazlan seakan tidur bertemankan semut. Semut akan menjalar biarpun di dalam gelap sekali pun. Apabila terpijak semut yang sedang beratur dan bergerak, semut-semut ini pula akan berterabur ke sana sini. Merayap di lantai dan juga dinding. Paling menyakitkan merayap ke atas tilam. Masuk ke dalam selimut. Sangat-sangat mengganggu tidur.
Setiap kali balik dari kerja. Dalam kepenatan Mazlan akan mencapai penyapu. Niat untuk berehat dan melepaskan lelah terbantut gara-gara terpaksa menyapu dan membuang semut-semut yang merayap ke sana sini tambah lagi ada sisa makanan yang dibuang anak-anak.
Selepas membuang semut-semut itu, dia cuba mendapatkan cerek air. Apabila dituang ke dalam gelas untuk membasah tekak terlihat pula ada semut. Memang tambah lagi sakit hati. Sangat memenatkan. Dia mengharapkan cepat-cepat musim buah akan berakhir.
“Ada kebun tak reti nak jaga. Mentang-mentang semua pokok berbuah lebat. Tahu ambil buah sahaja.” Mazlan mengomel lagi. Geram.
Setiap hari kena menghadap semut. Itu belum lagi dia meninggalkan rumah beberapa hari. Apabila balik, ternyata semut-semut ini seakan dendam. Terus bersarang di dalam almari dan celah rak.
Dan paling menyakitkan hati memilih bilik yang penuh dengan barang-barang. Dia akan bebas bertelur. Semut ini turut mengundang katak, lipan serta serangga berbisa yang lain masuk ke dalam rumah.
Suatu hari, ketika sedang baring Mazlan terdengar suara orang di tepi rumah. Ada dalam dua tiga orang. Mazlan hanya memasang telinga. Sedar, mereka sedang mengambil rambutan yang masak ranum.
Sah pemilik kebun. Bunyi dahan bergerak di atas bumbung. Sesekali kedengaran tangkai rambutan jatuh. Sesekali terdengar mereka memuji sambil memakan buah itu. Bergelak ketawa. Mazlan di dalam rumah hanya makan hati.
“Tunggu juga aku. Tak ada pula dia bagi aku rambutan. Dasar kedekut. Tahi hidung masin.”
Malam ini hujan. Bunyi rambutan gugur juga mengena bumbung seperti biasa. Ini membuatkan semut-semut yang ada turut jatuh dan berterabur. Kemudian dengan meriahnya akan merayap dan masuk ke dalam rumah dengan jayanya. Dengan rasa, mereka temukan jalan. Menyusuri setiap lantai dan dinding.
Esoknya balik dari sekolah, Mazlan ke tepi rumah. Terliur benar dengan buah rambutan yang masak ranum. Namun apakan daya dia hanya mampu memandang. Saat tuan kebun memakan buah dengan enaknya, dia terus berperang dengan emosi.
“Makan sedap-sedap. Buang kulit merata-rata. Semut dan segala jenis serangga masuk rumah aku. Gigit aku. Memang tak boleh jadi.”
Dia menoleh ke kiri dan kanan. Meletakkan sigai. Memanjat pokok tersebut. Harap tidak ada tuan. Tapi bukan rambutan yang diinginkan. Dia ingin mencari dahan yang menimpa bumbung membuatkan semut menjangkiti dan masuk ke dalam rumah.
Mazlan menggergaji dahan kecil dan tidak berbuah sahaja. Ikutkan sakit hati dia mahu tebang terus pokok itu yang dahannya terang-terang terjuntai masuk dan mengenai rumah yang disewanya itu. Diharapkan usaha ini tidak meninggalkan kesan kepada tuan kebun. Selebihnya dia meletakkan kain buruk yang dibasahkan dengan minyak pelincir motosikal agar semut tidak dapat masuk dan melintas ke atas bumbung rumah.
Namun malam ini dia tetap melihat semut terus merayap seperti biasa. Dia membiarkan sahaja. Merasakan usaha tidak berhasil. Mungkin minyak diletakkan pada kain juga telah jatuh kerana hujan terlalu lebat.
“Semut oh semut. Apa lagi yang kau nak?” Mazlan bercakap seorang diri.
Esoknya dia ke tempat kerja seperti biasa. Dalam otak masih ingatkan semut. Pulangnya, disambut dengan kemarahan seorang lelaki.
“Kau menyewa sahaja di sini. Jangan nak panjang tangan.” Pak Cik Halim menuduhnya mencuri rambutan.
“Saya buang semut yang masuk rumah saja. Tidak ambil buah walau sebiji pun.” Mazlan menafikan sekeras-kerasnya.
“Ah, sudahlah. Dasar orang luar.”
Pemilik kebun tidak dapat menerima. Dituduhnya mencuri. Dituduhnya melakukan sesuka hati kepada pokok. Boleh membuatkan pokok tercedera dan mati.
Tidak mahu berdebat panjang. Mazlan meminta maaf. Masuk ke dalam rumah lagi. Dicapainya botol Ridset. Mencari sarang semut lagi. Habis dikumbah almari baju. Bakul mainan. Berterabur semua. Selepas semut mati, dia mengemas sekali lagi. Inilah yang dilakukan setiap hari. Rasa melakukan perbuatan sia-sia. Namun semut pekerja keras. Tak henti berjuang, Membangun sarang mengumpulkan makanan.
“Ingat aku pelahap sangat nak makan buah kau. Dasar haji bakhil. Tangkai jering.”
Hari yang malang. Dia balik awal. Ingin menyiapkan minit mesyuarat dan penyata tahunan. Bosnya, Puan Asiah mahukan segera. Mazlan terus mencari printer. Tergesa-gesa. Namun sebaik sahaja dibuka, terkejut mendapati penuh dengan semut.
Dia mengetuk berkali-kali. Semut keluar dan berlegar-legar. Dia hanya memerhati melalui cermin tempat fotostat. Semut tidak dapat keluar. Bahkan meriah mengusung telur.
Dia membawa printer dan menjemur di luar rumah. Tapi kepanasan itu membuatkan semut terus bersembunyi. Mazlan menjadi bertambah geram. Hatinya bertambah panas. Segera mencapai gergaji dan tangga. Terus ke belakang rumah.
“Apa nak jadi. Jadilah.”
Dengan sepenuh kudrat, geram dan dendam. Hari ini dia akan tebang semua dahan yang mengenai bumbung rumah.
“Lantak kau lah Pak Cik Halim.”
Namun sebaik sahaja sampai, dia terkejut kerana dahan-dahan yang ingin ditebang di atas bumbung sudah tidak ada. Bahkan di atas tanah adanya dahan bersepah sana sini. Dengan buah rambutan yang berterabur tidak dikutip.
Mazlan hairan. Kenapa buah ini tidak diambil. Dia menghela nafas dalam dan berfikir.
“Lantaklah. Bukan soalan buah tapi soal semut.”
Mazlan masuk semula ke dalam rumah. Ternyata semut-semut sudah tidak ada. Dari hari ke hari. Memang tidak ada. Dia membuka tingkap. Ternyata dahan dan buah yang bertaburan tidak dikutip.
“Ke mana Pak Halim pergi?”
Dia hairan. Melihat buah-buah langsat, manggis jatuh ke bumi seperti biasa. Dahan itu ternyata tidak terusik. Bahkan rambutan juga telah kecut.
Sedang menanti dikejutkan dengan kedatangan tuan rumah. Segera Mazlan bertanyakan tentang dahan dan buah-buahan yang tidak dikutip.
“Nak kutip macam mana. Pak Halim dah tiga hari dekat hospital. Kena sengat tebuan. Banyak das juga.”
“Ya, Allah.” Mulut Mazlan sedikit ternganga.
“Itulah degil. Ada kebun tapi tak dijaga. Sampai dahan terjuntai masuk ke tanah orang. Apabila ditegur tak nak terima. Dasar keras kepala.” Pak Long Siraj mengomel.
“Memang patut kebun ini dibersihkan. Saya rimas dengan semut dan haiwan berbisa.” Mazlan meluah rasa.
“Saya faham. Lepas ini, peraih akan ambil semua buah di kebun ini. Jual.” Pak Long Siraj memberitahu.
Dalam masa sama menceritakan sebelum Mazlan sewa di sini sudah beberapa kali zink ini ditukar. Bukan berdepan dengan semut tapi juga ular bulu, lipan dan haiwan berbisa yang lain.
Petang itu, Mazlan melawat Pak Cik Halim. Kebetulan baru keluar dari hospital. Dalam kesakitan Pak Cik Halim terus meminta maaf. Mazlan lega. Dalam masa sama bersyukur. Terselamat daripada tebuan. Gara-gara benci yang amat kepada semua hitam yang masuk ke dalam rumah.
Semoga musim-musim buah yang akan datang pemilik kebun lebih menjaga kebun masing-masing. Memetik buah yang masak ranum. Jangan membazir akan nikmat yang Allah berikan berupa buah-buahan yang berbuah lebat.
Sesungguhnya kisah semut hitam, musim buah-buahan dan tebuan memberikan seribu satu pengajaran untuk sama-sama fikirkan. Musim buah-buahan. Lambang ikatan sesama jiran. Hubungan manis semanis buah-buahan yang berbuah rendang. Penuh kasih dan sayang antara manusia. Sampai bila-bila. – Mingguan Malaysia
Semut hitam masuk rumah
- Oleh AHMAD SAFAR ARMAN
- 15 Oktober 2023, 5:25 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Selamat hari lahir Kartini
14 Januari 2024, 5:37 pm
Tentang harapan penggiat tulisan khat
14 Januari 2024, 4:01 pm
Tengkujuh di hati Jusuh
7 Januari 2024, 6:07 pm