R.H.F: Penggerak warisan kuda kepang Johor - Utusan Malaysia

R.H.F: Penggerak warisan kuda kepang Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Foto: Putra Othman PUSAKA

TARIAN kuda kepang bukan baru di nusantara. Dengan gerak tari yang penuh kelembutan, tarian ini turut diiringi rentak muzik tradisional yang cukup menarik pesona penonton.
Dengan beberapa peserta menari mengikut rentak muzik, mereka menghayunkan ‘kuda’ ke kiri dan ke kanan sebagai simbolik menungganginya.
Sesekali cemeti dipukul di permukaan lantai, sekali gus mendatangkan debaran kepada penonton.
Persembahan dipentaskan kumpulan Red Horse Family (R.H.F) baru-baru ini di ibu negara memberikan kelainan dan pengalaman tersendiri.
Menurut Ketuanya, Zulkifli Abdul Wahab, kumpulan yang berasal dari Parit Raja, Batu Pahat Johor itu menampilkan lima gerakan iaitu Jalan Lenggang, Gerakan Kaki Tiga Langkah, Keting, Sembah Hormat dan Tunggang Kuda.
Menurutnya, gerakan dalam sesebuah tarian kuda kepang bergantung kepada sesebuah kumpulan itu sendiri.
“Biasanya untuk R.H.F ini, kami gunakan lima gerakan. Gerakan it bermula dari masuk gelanggang, sembah hormat kepada penonton sehinggalah kepada pukulan cemeti,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Persembahan kuda kepang R.H.F dianjurkan Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional Melayu (PUSAKA) bertempat di The Godown.
Festival ‘Panggung PUSAKA: Senandung Kota’ ini diadakan bagi menunjukkan kepelbagaian dan keunikan budaya di negara ini.
Tambah Zulkifli, Jalan Lenggang ialah gerakan penari ketika mula memasuki gelanggang dan ia bermula selepas ketua mula memukul cemeti ke permukaan lantai.
“Untuk Gerakan Kaki Tiga Langkah pula adalah menari mengikut rentak muzik yang dimainkan manakala gerakan Keting pula bermula apabila ketua memukul cemeti dan dalam masa sama rentak gendang berubah dengan bit yang agak tinggi.
“Pada ketika ini penari akan mengangkat kaki kanan dan mereka biasanya akan memahami arahan untuk menukar formasi,” jelasnya.
Katanya lagi, gerakan Sembah Hormat pula adalah arahan kepada penari untuk melakukan sembah hormat.
“Tunggang Kuda pula bermula apabila ketua memukul cemeti dan penari akan memasukkan kuda di celah kangkang untuk persembahan,” jelasnya.
Tarian seni kuda kepang kata Zulkifli masih dimainkan dan tidak hilang di luput zaman dek kerana adanya elemen seni yang juga masih bersih daripada syirik serta khurafat.
“Kita juga terapkan unsur Islam antaranya selawat ke atas Rasulullah SAW. Upacara buka gelanggang dibaca Al-Fatihah dan surah lain selain memohon keizinan Allah SWT.
“Cuma zaman sekarang bukan mudah memberi pema­haman kepada ma­sya­rakat dan ia masih membelenggu banyak pihak sehing­ga kini,” jelasnya.
Antara peralatan muzik yang digunakan gendang, ibu gendang, gong, kenong dan saron, manakala cemeti menjadi prop utama.
Tambah Zulkifli, cemeti itu akan digunakan dalam upacara buka gelanggang oleh individu yang digelar sebagai Badal.
Menurutnya, di samping Badal, turut memainkan peranan pengawal gelanggang yang akan memastikan permainan terkawal serta tidak terlalu liar.
“Peranan Pandu atau ketua penari pula memberi arahan kepada penari dalam satu-satu permainan,” jelasnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya