Ngauman belantara - Utusan Malaysia

Ngauman belantara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Belantara menghijau. Pohon-pohon tumbuh subur. Burung-burung berterbangan. Angin berhembus lembut. Nyaman dan damai. Kecuali pagi ini ada kejadian menggemparkan!
Ngauman singa jantan kuat dan mengegar rimba belantara. Seluruh penghuni belantara terkejut. Suaranya dapat didengar di segenap penjuru alam. Jarang benar ngauman sekuat itu terjadi. Tentu ada sesuatu yang menggusarkan maharaja belantara itu.
Mungkin maharaja singa sedang kelaparan. Mungkin juga rasa terancam sedang berhadapan dengan musuh. Mungkin sedang memburu mangsa. Siapakah yang akan menjadi mangsa pada pagi limun-limun ini? Daging siapakah yang akan diratahnya nanti? Napuh? Kijang? Landak? Khinzir? Beruang? Atau serigala?
Singa jantan melompat turun dari bukit ke pintu Gua Kelam. Langkah diatur rapi di celah-celah batu besar yang tersusun teguh. Dia melompat setapak demi setapak. Lompatannya gagah dan tepat. Sebaik sahaja sampai di bawah, dia berhenti. Tercangkung di atas batang merbau tua yang sudah lama tumbang. Matanya tajam meliar ke kiri dan ke kanan. Digeleng-geleng kepalanya. Nyamuk dan langau yang menghuni di surai, jambang berbulu itu berterbangan lari.
Ngauman berulang lagi. Ungka, lotong dan monyet yang sedang ghairah bergayutan mengambil udara pagi, terus melompat ke puncak dahan merbau paling tinggi. Melompat sekuat hati. Mereka mencari tempat paling selamat. Dipapah dan didukung anak-anak kecil kemas-kemas. Bimbang peristiwa dahulu berulang kembali. Anak-anak yang jatuh tercicir ketika melompat dari dahan ke dahan menjadi makanan pagi singa jantan.
Kehebatan singa jantan pagi itu menyerlah. Kaki hadapannya sedang mencangkung. Gigi dan empat batang taringnya menyeringai. Belantara pagi itu tiba-tiba menjadi sunyi. Tidak ada seekor binatang pun berani melintas. Khinzir, anjing hutan, landak dan kijang yang sering menjadi mangsa telah memahami perangai singa jantan. Jika ngauman waktu pagi bergema, tentu singa jantan sedang kelaparan. Itu tabiat sang singa jantan.
Jika bekalan makanan mencukupi, perut sudah kenyang, dia akan tidur berhari-hari. Suara ngauman tidak berbunyi. Belantara akan menjadi tempat paling selamat selama berminggu-minggu. Tiada ngauman. Tiada gangguan. Tiada aktiviti pemburuan mangsa. Tiada ancaman. Tiada pergaduhan tercetus antara penghuninya.
Satu ketika dahulu, seekor seladang betina yang tersesat daripada rimba muda bersebelahan belantara telah diburu singa-singa betina. Akhirnya seladang hitam yang berisi pejal tertewas. Jarang seladang dara tewas. Tapi kepungan lima ekor singa tidak mampu dilawan oleh seladang. Seladang pun tewas dan rebah terguling. Untuk seminggu itu, daging seladang menjadi hidangan lazat kepada keluarga singa jantan.
Itulah peristiwa yang paling menyayat hati. Selepas peristiwa itu, tidak ada lagi binatang dari rimba muda yang terlepas masuk ke kawasan belantara. Kehilangan seladang betina menjadi pengajaran.
Namun begitu, kegusaran para penghuni di belantara ini sendiri kian ketara. Terasa kehidupan di belantara sejak akhir-akhir ini semakin tidak selamat. Ancaman sentiasa ada. Kegusaran itu bukan saja dirasakan oleh, seladang, napuh, kijang, khinzir, serigala, anjing hutang, malah sang harimau yang perkasa juga turut merasa terancam.
Keganasan sang singa jantan cukup menganggu kehidupan keluarga harimau, terutama anak-anak yang masih tidak kuat untuk berlari menyelamatkan diri ketika berhadapan dengan musuh. Bagi harimau belang jantan dan betina tidak menjadi masalah berhadapan dengan keluarga singa. Mereka mampu berlawan atau sekurang-kurangnya dapat menyelamatkan diri. Yang membimbangkan mereka adalah anak-anak yang masih tiada pengalaman di belantara. Mereka akan mudah menjadi mangsa.
Salakan anjing dan serigala tidak kedengaran. Malah sang buaya di Tasek Kuala Pauh pun tidak berani muncul di tebing. Keganasan keluarga singa jantan tidak mengenal mangsa. Khinzir-khinzir hutan mula memasuki dan bersembunyi di dalam jerumun. Beberapa hari terpaksa menahan lapar kerana tidak dapat keluar mencari cacing. Khinzir bimbang akan bertembung nanti dengan sang singa. Khinzir yang pantas berlari di celah-celah semak pun akan menjadi mangsa. Kulitnya yang keras dan tebal pun mudah disiat-siat oleh sang singa.
Ikan-ikan di tasik pun tahu keganasan sang singa. Keganasan sang singa adalah keganasan tanpa belas kasihan. Setiap kali singa jantan turun ke gigi air, ikan-ikan berenang lari masuk ke lubuk. Hanya di lubuk sahajalah tempat yang paling selamat. Jika berdegil masih berenang di gigi air, alamat mereka akan menjadi mangsa cengkaman kuku paling tajam dan runcing.
Beruang juga begitu. Jika ngauman sang singa jantan bergema membelah belantara, beruang akan hanya berada di puncak pokok tualang.
Dia akan memeluk kemas-kemas dahan pohon paling tinggi di belantara itu. Itu sahajalah tempat paling selamat. Sang singa jantan tidak mampu memanjat setinggi itu. Dan jika berada setinggi itu. Bila berada di atas pokok, bererti peluang beruang mencari kelulut di banir-banir pokok akan terhenti.
Yang selamat dari menjadi mangsa sang singa jantan hanyalah burung-burung, rama-rama, dan unggas kecil yang beterbangan. Mereka hanya melihat gelagat dan kejadian kejar-mengejar, cakar-mencakar, gigit-mengigit dan bunuh-membunuh. Peristiwa di mana darah akan mengalir membasahi bumi sudah menjadi perkara biasa.
Sebenarnya tidak ada sesiapa yang selamat di belantara ini. Jikalau sang singa jantan tidak membunuh pun, napuh, kijang, rusa, landak dan pelanduk tetap hidup dalam ketakutan. Mereka tetap tidak selamat. Serigala, anjing hutan dan harimau pun tetap memburu mereka. Keselamatan mereka pun tidak juga terjamin. Bezanya mereka tidak seganas sang singa.
Burung-burung yang berterbangan juga tidak selamat. Jika pun sang singa tidak memburu mereka, penghuni belantara yang lain seperti ular, jengking, kala dan burung pemangsa seperti helang, burung hantu, gagak juga tetap memburu mereka. Mereka sebenarnya tidak selamat. Itulah sebenarnya wajah sebuah belantara.
Ngauman singa jantan kali ini bukan saja bergema di waktu pagi. Ngauman keluarga singa jantan berterusan sehingga petang dan terus membawa ke malam. Penghuni belantara terus berada dalam ketakutan dan kebimbangan. Persoalannya, siapakah yang akan menjadi mangsa untuk kali ini? Sampai bilakah ngauman ngeri itu harus berhenti. Dan siapakah yang berani untuk menghapuskan trauma binatang-binatang lain? Tentunya tidak ada.
Jika ngauman berlarutan sehingga tengah malam, bererti sebarang mangsa belum lagi sang singa nikmati. Bererti mereka semua sedang kelaparan. Bererti mereka akan semakin mengganas. Mereka sedang berkeliaran dia gua menuju bukit. Dari lembah menuju sungat. Bererti seluruh penghuni belantara dalam tahap bahaya. Bererti binatang lain sedang bersembunyi dan sedang mencari termpat paling selamat. Mungkin jika boleh, mereka akan masuk hingga ke dalam lubang cacing.
Ngauman malam ini bukan dari suara singa jantan seekor, malah ngauman bersilih ganti dengan singa-singa betina. Ngaummm. Ngauman bergema. Bergetar pohon-pohon di belantara. Sayap unggas-unggas kecil bergegar. Daun-daun yang sudah kekuningan tua berguguran. Air sungai berolak dan berkocak. Ngauman terus bergema dan bergema sehingga tengah malam.
Ketika hari bertukar pagi, tiada suara ngauman sang singa. Suasana senyap sunyi buat seketika. Matahari mula menunjuk wajah dan menyinar terang di celah-celah pohon merimbun. Angin terus berhembus perlahan. Pohon-pohon bergoyang-goyang.
Tiba-tiba ngauman bergema kembali. Ngauman kali ini semakin kuat. Tetapi bunyi suara ngaumannya ada kelainan daripada biasa. Suara sang singa jantan dan betina bersilih ganti. Seperti ada jeritan maha kuat. Jeritan yang kuat kemudian makin lama makin perlahan. Akhirnya suara ngauman tersebut tiba-tiba terhenti. Sunyi seketika. Belantara tiba-tiba sepi.
Yang kedengaran sekarang adalah tempikan kuat dari sang gajah. Tempikan itu datang dari arah Gua Kelam. Tempikan kuat itu mengatasi ngauman singa jantan sebelum ini. Kuat. Menggerunkan.
Selepas itu suara ungka, monyet dan lotong tiba-tiba menjadi lantang dan kuat. Salakan anjing dan serigala juga kuat. Ada tempikan dari semua unggas. Suara-suara tempikan itu silih berganti. Burung layang-layang, rama-rama dan pepatung berterbangan sekitar Gua Kelam.
Beruang yang berada di puncak pokok tualang tiba-tiba melompat turun. Babi hutan yang berselindung di dalam jerumun masing-masing berlari keluar. Pelanduk, kancil, kijang, napuh, landak dan khinzir juga keluar dari tempat persembunyian masing-masing. Anak-anak sang harimau pun begitu. Tempat tujuan mereka adalah ke arah datangnya tempikan sang gajah. Kesemuanya menuju ke arah Gua Kelam.
Semua penghuni tertumpu ke Gua Kelam. Apakah kejadian pelik di Gua Kelam? Mungkin ada kejadian luar biasa. Warga belantara yang sampai di kawasan itu terasa terkedu. Masing-masing terdiam kelu.
Kecuali sang gajah masih bersuara. Masih bertempik. Sang gajah masih mengangkat belalainya. Sang gajah mundar mandir. Ada sesuatu yang aneh sedang mereka pandang. Sesuatu kejadian teramat ganjil telah terjadi.
Sang gajah sedang naik minyak. Sambil bertempik, sambil mengelilingi sang singa jantan dan sang singa betina yang sebelum ini terkenal dengan keganasan dan kerakusan. singa betina dan singa jantan yang mengaum sejak pagi kelmarin.
Kedua-dua ekor raja belantara itu sedang rebah terguling. Sedang menggelepar kesakitan. Darah sedang mengalir keluar dengan banyak. Kaki depan dan belakang yang biasanya mencengkam mangsa, lemah terkulai.
Angkara siapa? Dua bilah busur panah masing-masing sedang terpacak di dada singa jantan dan singa betina.
Kelihatan di celah batu-batu besar di muka Gua Kelam ada sosok sedang meninggalkan raja belantara itu. Sang gajah terus bertempik. Harimau, beruang, kijang, pelanduk ternganga melihat langkah yang kian menghilang di celah-celah belantara yang berkabus. – Mingguan Malaysia 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya