APABILA memperkatakan tentang kartun, individu yang hidup sekitar tahun 90-an pasti tahu nama kartunis popular seperti Ujang, Gayour, Bendi, Sukun dan Ubi. Nama mereka antara sebahagian yang membuatkan ramai ketawa apabila membaca karya mereka.
Tidak terkecuali kartunis Lambok dengan lawaknya cukup santai dan bersahaja. Sesekali diselitkan juga unsur sinis menerusi gambaran situasi masyarakat sebenar.
Dengan karya humor ini membuatkan nama mereka terus kekal sehingga kini walaupun timbulnya pelbagai komik kartun dan animasi luar negara.
Bagi Lambok atau nama sebenar Dilfitry Tajudin, zaman ketika awal menceburi bidang lukisan kartun satu ketika dahulu sudah berbeza dengan zaman ledakan teknologi pada masa kini.
Menurutnya, sudah berlaku banyak peralihan dalam industri kartun pada zaman sekarang. Malah, dia yang begitu popular dengan siri Bedtime Stories pada satu ketika dahulu kini turut berkarya di laman media sosial bagi memastikan karya-karyanya terus hidup.“Saya masih aktif berkarya di majalah Ujang & Apo? selain di media sosial seperti TikTok (kartunis Lambok ) dan di Facebook dengan meletakkan koleksi-koleksi lawak saya.
“Selain itu, ada beberapa projek yang sedang diusahakan, antaranya buku koleksi kesembilan yang kini dalam proses penghasilan,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Lambok memulakan kerjaya dalam bidang kartun dengan menjadi animator junior untuk produksi animasi, Usop Sontorian terbitan Karisma Pictures.
Dia kemudiannya menyertai majalah Ujang, Lanun dan Apo? dengan siri kartun mencuit hati termasuk Hikayat Malim Blues.
“Saya sendiri bermula sebagai animator animasi usop sontorian awal pembabitan dalam industri kartun 27 tahun dulu sebelum beralih ke bidang penerbitan majalah.
“Malah ramai lagi kartunis yang ada sekarang ni berasal dari jawatan animator. Contohnya Kunyit, Bacang, Taugeh, Rambai, Kidol dan ramai lagi,” jelasnya.
Ketika ditanya tentang perbezaan antara animasi dan kartun, Lambok berkata, kedua-duanya mempunyai sudut ‘pandang’ tersendiri selain perbezaan yang perlu difahami setiap orang.
“Animasi dan komik kartun adalah dua medium yang berbeza. Kartun merupakan lukisan satira atau humor yang digerakkan oleh animasi mengikut jalur yang telah ditentukan, manakala komik pula, kaedah penyampaiannya berbeza.
“Komik terikat dengan kronologi gambar yang disusun dan digabungkan dengan kata-kata untuk menyampaikan sesuatu cerita dan secara tradisinya dalam bentuk cetakan,” jelasnya.
Tambah Lambok, walaupun untuk menjadi animator pada zaman sekarang tidak mewajibkan kemahiran melukis dan bukanlah satu keperluan, ia hakikatnya mempunyai kelebihan tersendiri dalam satu aspek yang lain.
“Saya berpandangan sebaliknya dan melihat kemahiran melukis ini mampu merangsang kreativiti seseorang animator itu sendiri,” terangnya.
Sementara itu, Lambok sangat berharap industri kartun di negara ini terus subur dan menerima permintaan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira lapisan umur.
“Industri ini perlu sokongan daripada semua pihak terutamanya kerajaan dalam memainkan peranan penting mengangkat dan merancakkan semula kartun agar ia tidak dibiarkan tenggelam dalam arus teknologi,” jelasnya. – Mingguan Malaysia
Lambok: Menjengah hampir tiga dekad melukis kartun
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 8 Oktober 2023, 3:37 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am