Gesturz tempat pensyarah berkarya - Utusan Malaysia

Gesturz tempat pensyarah berkarya

Nik Nor Azidah Nik Aziz dengan karya yang berkolaborasi dengan rakan-rakan pensyarah fotografi menjadikan visual-visual foto sebagai fotomontaj digital yang bertajuk ‘Devine Tapestry: A Visual Journey of Faith in Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INI adalah tempat pensyarah-pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkarya, iaitu di UiTM Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah atau Gesturz. Ia merupakan pusat pameran seni untuk mereka meluahkan kreativiti dan inspirasi melalui seni lukisan dan seni karya visual. Ini sekaligus dapat memastikan lebih ramai penggiat seni dalam kalangan ahli akademik dan bakat mereka dapat diketengahkan dan dipamerkan di kampus.
Baru-baru ini diadakan Pameran Rukun 2023 di Gesturz dalam usaha menyemarakkan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia 2023.
Pameran yang berkonsepkan kemerdekaan ini berjaya mengumpulkan karyawan tamu yang terdiri dalam kalangan kakitangan akademik, pelajar dan alumni UiTM daripada pelbagai latar belakang bidang seperti seni visual, seni bina, muzik, kejuruteraan, penulisan kreatif dan pendidikan seni.
Idea bagi Pameran Rukun 2023 adalah kesinambungan bagi meneruskan pameran yang berkonsepkan kemerdekaan melalui Pameran Teguh 2022 yang sebelum ini begitu mendapat sambutan.

NURZETI ABDUL GHAFAR

Dalam pameran ini, karya ‘Nadi’ oleh Roslaili Anuar membawa kisah perpaduan kaum menerusi imej-imej simbolik karakter menerusi ilustrasi digital.
Gabungan imej-imej ini juga memberi gambaran jelas konteks rakyat yang saling bergandingan dalam memainkan peranan yang sama penting.
Menerusi karya ‘Rambut Sama Hitam’ hasil media campuran atas kanvas oleh Eliiza Hashim dan Juita Jaafar Manap pula mengisahkan gabungan muhibbah kaum di Malaysia.
Wanita dijadikan subjek dalam karya ini sebagai simbolik kehebatan, pernan serta pengaruh wanita yang diangkat sebagai penyumbang ke arah negara yang progresif dan lestari. Turut ditampilkan elemen warisan seni busana-busana yang mewakili kaum dan etnik di Malaysia yang menjadi elemen cerminan kebersamaan bagi setiap kaum di negara ini.
Bagi pensyarah fotografi, Nik Nor Azidah Nik Aziz yang bergandingan bersama rakan pensyarah, Fadli Abdul Razak dan Mohd. Shariful Hafizal Aminuddin, mereka menggunakan elemen-elemen simbolik menerusi fotografi kehidupan bagi memperlihatkan tentang keindahan dan perjuangan negara menerusi karya hasil fotomantaj digital.
Menerusi lensa kamera, mereka merakam peristiwa dan pemandangan di mana setiap gambarnya bercerita tentang pengalaman peribadi masing-masing yang menemui ketenangan, harapan dan kasih sayang di tengah-tengah perbezaan dan persaudaraan bagi karya mereka yang bertajuk ‘Devine Tapestry: A Visual Journey of Faith in Malaysia.

“Visual-visual ini bukan sekadar foto tetapi membawa penghayatan mendalam bagi menganjurkan sikap saling menghormati serta memahami antara satu sama lain,” kata Nik Nor Azidah kepada Mingguan Malaysia.
Sementara itu, karya yang dihasilkan oleh Zul Fadzly Mohd. Salleh yang berkolaborasi dengan Muhammad Faiz Adi pula menggunakan kemahiran bidang mereka sebagai artis, arkitek dan jurutera untuk menghasilkan karya berjudul ‘Kata-Kata’.
Karya media campuran ini mengangkat sebahagian daripada petikan kata-kata Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj setelah negara ini mencapai kemerdekaan.
Karya ini dipersembahan melalui kepingan perspek di jenang tingkap dengan membentuk kesan bayang yang terhasil dari sinar cahaya sekaligus mencetuskan interpretasi visual yang memberi penekanan bagi merungkai kata-kata yangtersurat dan tersirat.
Menurut Felo (Komunikasi Kurator) Gesturz, Nurzeti Abdul Ghafar, seramai 52 karyawan mempamerkan hasil karya-karya kreatif yang unik berkisarkan pada tema kemerdekaan dalam pameran berkenaan.
“Pameran ini juga bertujuan menyokong ahli-ahli akademik kita berkarya serta menunjukkan penghargaan seni daripada mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bidang seni,” katanya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya