Bukan salah alamat - Utusan Malaysia

Bukan salah alamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sudah seminggu warung mereka tidak beroperasi. Mujur juga ketika ini cuti hujung tahun persekolahan, tidaklah terasa amat ketiadaannya. Kondisi ibu yang belum dipastikan sahih sihatnya menyebabkan keluarganya membuat transformasi dalam rutin harian mereka.
Ayah Ngah mengajukan permohonan kepada Haji Besar untuk ‘berehat’ dari kerja di kilang. Dia terpaksa menguruskan warung yang ditinggalkan isterinya untuk jangka waktu yang tidak dapat dipastikan. Dengan senang hati Haji Besar menerima alasan Ayah Ngah. Bukan itu sahaja, sebaliknya mengambil Azfar menggantikan tempat ayahnya sebagai penyambung hayat. Benarlah bagai dikata, Haji Besar bukan sahaja kaya harta, bahkan kaya juga toleransi dan budi bahasa.
“Terima kasih, haji,” hanya lafaz mulia yang mampu menyaingi tindakan dan jasa baik bosnya itu. Haji Besar kuntum senyum ikhlas. Kini Ayah Ngah akan beraksi sepenuh masa di warung dengan bantuan anak keduanya Azlin. Mudah dia melakukan kerja ikut kapasiti kekuatannya. Kalau sihat dan terdaya dia akan buat semua menu yang dipromosi gerainya. Jika tidak larat, dia hanya sediakan menu asas – nasi lemak dan mi goreng.
Cuti hujung tahun persekolahan yang panjang membuatkan Azlin ada masa menuntut ilmu ibunya dan mengaplikasi sedikit sebanyak kemahiran dipelajari di sekolah. Ketika ini, suasana di warung mereka tidaklah sekalut biasa. Budak-budak sekolah tidak datang menyerang seperti selalu, jadi kesibukan mengurang sedikit.
Walaupun ibu dibenarkan keluar, namun masih ada rawatan susulan. Dua minggu sekali dia akan ke hospital untuk pemeriksaan. Seperti biasa pihak hospital belum dapat memberi preskripsi tepat penyakit sebenar ibu. Tunggu kedatangan doktor pakar yang akan bertugas di hospital itu mengikut jadual.

ii
Minggu ini memang sangat penting dan bermakna kepada calon SPM tahun lepas. Keputusan peperiksaan itu akan diumumkan. Azfar, seperti orang lain juga menyimpan harapan tinggi untuk mencapai keputusan cemerlang.
Justeru tidak hairanlah kalau hari ini sekolah di seluruh negara menjadi tumpuan pelajar. Berapa A awak dapat? Sekolah cikgu ada yang dapat straight A tak? Antara soalan lazim.Sudah pasti akan ada air mata kegembiraan yang tumpah. Tidak kurang air mata kekecewaan yang turut berhamburan.
“Alhamdulillah, keputusan SPM tahun ini meningkat sedikit berbanding tahun sebelumnya. Walaupun kini kita tidak lagi mengutamakan perbandingan pencapaian terbaik akademik pelajar, namun sebagai tanda apresiasi kejayaan anda, pihak sekolah suka untuk merakamkan memori indah itu.” Tuan Pengetua dalam ucaputamanya memberi informasi analisis keputusan.
Marcapada, keputusan akademik dalam peperiksaan tidak lagi menjadi satu-satunya penilaian yang diiktiraf. Berbanding dulu, kini pelajar dinilai secara lebih luwes dengan instrumen pentaksiran lain seperti Penilaian Bilik darjah (PBD), PAJSK, dan Psikometrik.
Pencapaian pelajar dalam kokurikulum juga diambil kira dalam proses pengambilan ke IPT, di samping kebolehan interpersonal dan komunikasi terutama untuk sesi temuduga. Namun penilaian bertulis SPM masih menjadi garis penentu utama penilaian pelajar secara holistik.
“Seramai tiga pelajar mencatat keputusan cemerlang semua A, sementara lima lagi dapat 7A 1B. Ini pencapaian terbaik sekolah kita sepanjang 10 tahun ini!” Ucapan Tuan Pengetua penuh bersemangat disambut tepukan hadirin.
Sebagai sekolah luar bandar, pencapaian itu sesuatu yang amat membanggakan. Dengan keputusan penuh purata gred keseluruhan (GPNK) meningkat daripada tahun sebelumnya. Tahun ini, warga sekolah sudah boleh berbangga.
“Pencapaian ini meletakkan sekolah kita antara ‘Top Five’ dalam senarai sekolah terbaik daerah,” katanya lagi. Yang Berhormat wakil rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan tersebut juga turun padang untuk memberi sokongan dan menyampaikan cenderamata kepada pelajar.
Seusai sahaja Tuan Pengetua menyampaikan ucapan dan analisis keputusan SPM, majlis penyampaian cenderamata dilangsungkan. Seorang demi seorang pelajar mendapat keputusan terbaik bermula daripada 6A naik ke pentas.
“Tahniah, Wan. Kau memang hebat!” Azfar menyalami tangan Wan Mazlan yang memang rapat dengannya itu. Dia merupakah pelajar target sekolah sejak awal lagi.
“Tahniah juga untuk kau, Far,” balasnya. Biarpun tidak mendapat keputusan sebaik rakannya, namun pencapaian 7A sudah cukup sempurna baginya. Dia tahu kondisi keluarga, status ekonomi dan kemudahan belajarnya tidak seperti pelajar cemerlang lain. Dia hanya berbekalkan semangat dan kesungguhan sahaja untuk pencapaian ini.
Tidak seperti pelajar target lain yang memiliki fasiliti serba cukup dalam menghadapi pelajaran. Sebagai anak sulung dalam keluarga sederhana, Azfar cukup bersyukur dengan pencapaiannya itu.
Sudah pasti ibu dan ayahnya turut gembira walaupun mereka tidak dapat hadir dalam majlis itu. Doktor pakar telah mengesahkan, Mak Muna mengidap ketumbuhan dalam perut.
Sah, ibunya akan jadi tidak segagah dulu. Sesuatu yang pasti meruntun kalbu Azfar. Alangkah gembiranya jika mereka berdua turut sama dalam dewan hari ini. Mengenangkan itu, air mata duka berbaur kesyukuran menitis juga dari celahan retina. Dengan kejayaannya itu, impian Azfar untuk menjejakkan kaki ke universiti kelihatan agak cerah. Dia mahu menjadi suri teladan kepada adik-adiknya. Biarlah mereka dari kalangan keluarga B40, namun minda harus dicanai menjadi minda kelas pertama.
Namun tiba-tiba lembayung wajahnya suram, seakan ada mendung kelabu yang menyelinap di celah sinar kegembiraannya itu. Imej ikon-ikon IPT hebat yang tadi bersipongang di layar minda, beransur surut dan sirna. Hatinya tiba-tiba disapa sayu dan ceria yang bertamu seakan kian berlalu.
Mampukah aku melunasi cita-cita dan impian untuk menjadi akauntan? Bisikan intrinsik menyapa intrapersonalnya. Imbauan masa depannya membayangkan semua rakan yang berjaya hari ini segak dengan pakaian jubah konvokesyen masing-masing.
Tapi dia seorang yang masih di awang-awangan. Bayangan wajahnya seakan tiada dalam kelompok itu. Wajah ibu, ayah dan adik-adiknya bercempera di kamar fikir. Khabar terkini tentang ibu, menambah elegi sepi.
Lepas mengambil keputusan, dia segera ke kilang Haji Besar menyambung kerja. Bosnya beri pelepasan setengah hari untuk dia bersama rakan meraikan kejayaan, tanpa melibatkan potongan gaji. Azfar harus sedar akan kebaikan majikannya itu.
Dia menolak ajakan Wan Mazlan, Rina dan Gerrad untuk makan-makan di restoran ayam segera walaupun hatinya melonjak riang ketika Wan Mazlan berkata hendak belanja dia makan ayam krispi. Sepanjang perjalanan ke tempat kerja, beberapa kali air liur bergeluk ke relung kerongkongnya, membawa khayal aroma menu kegemarannya itu. Lama benar rasanya tidak mencicip paha ayam yang rangup hingga menjilat jari.

iii
Ketika Azfar pulang, ayah dan adik-adiknya telahpun tamat berjualan. Azlin menyambut kepulangan abangnya dengan hairan.
“Aik, cepat balik bang hari ini?” Sapanya. Azfar lontar senyum tawar.
“Hari ni abang minta balik awal sikit dari Haji Besar, lapar,” Jawab Azfar sambil menanggalkan helmet. Azlin banyak membantu ibu memasak. Biasanya ibunya akan mengajarkan Azlin beberapa menu mudah untuk dimasak. Yang lain, ibu akan masak mana terlarat.
Biasanya untuk persiapan warung, mereka bersama akan memulakan rutin sejak awal pagi. Sebahagian bahan disediakan sebelah malam seperti kupas bawang, potong ayam dan sebagainya.
“Tahu… kalau abang balik mesti kebulur punya,” kata Azlin lagi, tergelak kuat.
“Cepat sikit siapkan makanan, abang nak mandi dulu, kemudian kena pergi bandar. Sedapnya kalau dapat makan ayam goreng krispi.” Sudah dua kali menu idamannya melintasi laluan seleranya. Azlin pun perasan akan makanan kegemaran abangnya itu. Namun apakan daya hanya lauk biasa sahaja mampu dihidangkan. Sepatutnya pada hari kejayaan abangnya itu adalah menu istimewa. Azlin hiba sendiri.
“Abang nak ke mana?”
“Dah janji dengan Wan dan Gerrard nak ke karnival pendidikan tinggi,” laungnya. Dia dah mesej Wan Mazlan untuk ambil dia di rumah. Azlin memahami situasi abangnya yang baru dapat keputusan SPM. Dia turut teruja dengan kejayaan Azfar dan menjadikannya obor motivasi untuknya pula.

iv
Pin! Pin!
Kedengaran bunyi hon kenderaan dari luar rumah. Azfar menjenguk-jenguk sambil memandang wajah Azlin. ‘Masakan Wan dah sampai masa ni,’ duga hatinya. Dia bingkas bangun dan berlalu ke luar.
Lama juga baru dia masuk menyertai keluarganya semula. Dua beg plastik dibimbit pada kedua belah tangannya. Ayah Ngah, Azlan dan Azlin seakan melontarkan soalan sambil mata tidak kelip memandang wajah abangnya yang juga berbalam tandatanya. Rider Grab tiba-tiba datang menghantarkan makanan dari restoran makanan segera terkemuka.
“Siapa order ni, bang?” Terlontar suara Azlin dalam cengang. Azfar hanya angkat bahu sambil melabuhkan beg itu. Air mata bening bertakung di kelopak matanya. Entah siapalah yang baik hati sangat meraikan kejayaan SPM-nya itu. Melekat mata Azfar melihat menu ayam goreng, kentang putar, dan burger yang sudah terlalu lama diidamkan.
“Tak tahulah. Abang rider tu pun tak tahu. Katanya dia hanya hantar,” jawapan yang tidak membantu soalan Azlin sebentar tadi.
“Salah alamat, kot,” ujar Azlin. Azfar geleng kepala sambil menunjukkan resit yang rider itu beri. Azfar pandang wajah ayahnya seakan meminta izin untuk menjamah hidangan yang telah tersedia. Air liur sudah beberapa kali ditelannya.
“Alhamdulillah, ini rezeki Tuhan untuk keluarga kita. Semoga Allah beri keberkatan kepada siapa yang bersedekah itu,” Ayah Ngah bertahmid.
Perlahan terdengar batukan Mak Muna menandakan dia terjaga daripada lena. Mungkin mendengar riuh anak-anak. Azlin bingkas memimpin Mak Muna. Tersenyum dia melihat ahli keluarganya bersedia menikmati rezeki Tuhan.
“Ada hamba Allah beri sumbangan kepada kita, meraikan kejayaan Azfar,” ujar ayah sambil membetulkan duduk Mak Muna.
“Alhamdulillah,” lafaz mulia terluncur dari rekahan bibir keringnya. Ayah Ngah memberi isyarat kepada Azfar, memimpin bacaan doa. Aura kesyukuran terpercik di wajah Mak Muna. Dapat juga anak-anaknya merasa menu idaman yang entah sudah berapa lama dirindui.
Ayah Ngah menyuapkan secubit ayam goreng ke mulut kering Mak Muna. Nampak untaian kasih mengikat sepasang hati renta.Terasa separuh sakit sang isteri hilang bersama keriangan yang mereka rasai. Mak Muna pandang Ayah Ngah. Kemudian menatap Azfar yang asyik benar menikmati hidangan hadiah kejayaannya. Azlan juga, seakan baru pertama kali merasai menu itu.
Di laman rumah, sebuah mobil tersenyum menanti Azfar untuk ke karnival pendidikan pasca SPM. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya