Satu
SINAR matahari terik pagi itu telah mengundang sengketa. Milah berada di rumah Pak Dollah dan Mak Esah pada pagi itu. Milah yang bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah agensi kerajaan di Wisma Negeri menyalakan kemarahan kepada Mohsen dan pekerja-pekerja ukur tanah dari Perunding Cendana lain.
“Apa masalahnya Milah? Kan semua dah bersetuju Along memecah bahagian tanah ini. Bahagian tanah Along biarlah Along ukur supaya jelas kedudukannya,” ujar Mohsen yang memanggil diri Along.
“Milah tak mahu Along ukur sekali sempadan yang masuk serambi rumah Milah tu,” ujar Milah.
“Kenapa pula? Bukankah serambi rumah tu sememangnya masuk ke dalam tanah Along?” Soal Mohsen.
“Along ukurlah kawasan sempadan itu luar dari serambi rumah tu,” tegas Milah.
Samad, Sidek dan Jeman daripada pekerja-pekerja ukur dari Perunding Cendana membisu seribu bahasa. Mereka membiarkan Mohsen menyelesaikan perkara berbangkit pasal tanah itu dengan Milah. Setelah selesai perbincangan Milah dengan Mohsen barulah kerja-kerja ukur tanah menggunakan alat ‘thedolite’ boleh dimulakan.
Mohsen tidak mahu terus menerus bertengkar dengan Milah yang terkenal dengan mulut celuparnya itu. Mendengarkan bunyi bising-bising itu Pak Dollah dan Mak Esah muncul mendapatkan Milah dan Mohsen di laman rumah.
“Apa yang kau marah-marah ini, Milah. Ayah dah pun tandatangan pelan ukur untuk pecah bahagian tanah ini. Biarlah Mohsen teruskan urusannya,” ujar Pak Dollah.
“Ayah ni suka sangat ikut saja cakap Mohsen tu. Entah-entah ada udang di sebalik batu,” jawab Milah.
Mohsen menahan sabar dengan gelagat Milah yang merupakan anak tunggal kepada Pak Dollah dan Mak Esah. Sebelum ini pun, Mak Esah sudah menasihatkan Milah usah menimbulkan sengketa pasal tanah itu lagi. Tetapi, nasihat Mak Esah tidak berbekas ke cuping telinga Milah.
“Bagaimana nanti kalau Mohsen minta ganti rugi kerana membina serambi rumah kita ini atas tanahnya itu? Ayah dan mak ada duit nak bayar ganti rugi tu?” Soal Milah.
“Mohsen dah janji pada ayah. Mohsen takkan buat apa yang kamu sangkakan itu.” Balas Pak Dollah.
Mohsen yang mendengarkan prasangka dari Milah itu tidak memberikan apa-apa reaksi. Mohsen membawa dirinya bersabar dan beristighfar beberapa kali.
“Kau baliklah dulu, Mohsen. Biarlah perkara ini Pak Dollah bincangkan dengan Milah,” ujar Pak Dollah.
Pekerja-pekerja ukur tanah dari Perunding Kencana membawa alat peralatan mengukur tanah pulang ke pejabat mereka semula. Kedengaran mereka merungut kecil di belakang Mohsen.
Dua
Seminggu kemudian, Mohsen pulang mendapatkan Pak Dollah dan Mak Esah bagi bertanyakan keputusan tanah yang mahu dipecahkan bahagian itu. Apabila tanah itu dipecahkan kepada dua bahagian iaitu bahagian masing-masing akan mendapat geran. Ini memudahkan berurusan dengan Pejabat Tanah kelak.
Sebelum ini Pak Dollah memegang geran besar yang mempunyai dua nama iaitu nama Pak Dollah dan Mohsen. Kedatangannya itu tidak ada kelibat Milah. Perasaan Mohsen tertanya-tanya tentang Milah.
“Milah tak ada Mak Esah?” Tanya Mohsen.
“Pagi lagi dah keluar rumah,” balas Mak Esah.
“Milah ke mana Mak Esah?” Soal Mohsen.
“Katanya nak jumpa kawan.” Sampuk Pak Dollah.
Sejak dulu lagi Milah menaruh hati pada Mohsen. Tetapi, Mohsen tidak melayani keinginan Milah itu. Cukuplah hubungan mereka hanya bersaudara sahaja.
“Tulah, Mak Esah agak Milah masih menyimpan perasaan marah kerana kamu menolak cintanya. Kalau kamu menerima cintanya itu sudah tentu sikapnya taklah sebegitu kepada kamu, Mohsen,” terang Mak Esah.
“Biarlah Milah cari calonnya sendiri, Mak Esah,” balas Mohsen.
“Sejak dulu lagi, Milah tak suka nak lakukan pecah sempadan tanah. Elok-elok jiran tak tahu serambi rumah ni masuk ke tanah kamu jadi tahu. Milah rasa malu.” Ujar Mak Esah.
“Dia ada ugut kami nak robohkan serambi rumah tu kalau kamu jadi memasukkan serambi rumah ni ke dalam tanah yang diukur nanti.” Tambah Mak Esah.
“Macam mana Pak Dollah?” Soal Mohsen.
“Entahlah Sen. Pak Dollah tak reti nak cakap apa pada Milah. Milah pun tak mahu dengar cakap kami. Milah tetap mahukan kawasan serambi rumah tu bebas. Tak masuk ke dalam tanah kamu,” ujar Pak Dollah.
Mohsen hanya mahu tahu kedudukan tanah tertera di dalam geran tanah yang ada menyatakan kedudukan dan keluasannya. Kenapalah Milah tidak mahu faham-faham perkara ini.
“Pak Dollah tak terangkan pada Milah tentang kedudukan tanah ni sebelum tandatangan pelan ukur tanah tu?” Tanya Mohsen.
“Sudah,” sampuk Mak Esah.
Memang hubungan Pak Dollah dan Mak Esah rapat sejak dulu lagi. Di mana Pak Dollah berada, Mak Esah tentunya ada bersama.Ini menyukarkan kawan-kawan Pak Dollah mahu bersembang-sembang dengannya di kedai kopi.
“Apa kata kamu ikut saja kehendak Milah. Pak Dollah dengan Mak Esah tak pening kepala memikirkan pasal tanah ni. Kerja kamu pun jadi mudah,” cadang Pak Dollah.
Mohsen terdiam sejenak. Disebabkan dirikan tidak mahir dalam hal ehwal tanah ini, Mohsen bercadang berjumpa dengan Encik Shuib selaku penyelia kerja ukur tanah ini di pejabat Perunding Cendana itu.
“Nantilah saya bincangkan hal dengan Encik Shuib,” ujar Mohsen.
“Kamu nak ke mana pula tu?” Soal Mak Esah yang melihat Mohsen tergesa-gesa menuju ke kereta Myvi yang berwarna ‘maroon’ itu.
“Nak jumpa Encik Shuib tu di pejabatnya.” Balas Mohsen.
“Masih pagi lagi. Masuklah ke dalam rumah dulu. Mak Esah buat sarapan dulu.” Sampuk Mak Esah.
Memang lama Mak Esah bercadang mahu menjodohkan Mohsen dengan Milah yang berkulit hitam manis itu. Tapi, Mohsen menolaknya. Perkahwinan dengan saudara mara ini akan melahirkan genetik yang tidak cerdik.
Ini membuatkan Milah dan Mohsen sampai sekarang tidak kahwin-kahwin. Milah sudah pun mencecah 28 tahun dan Mohsen pula sudah meningkat 32 tahun.
Adakalanya, Mak Esah bimbang tentang gelagat anak muda zaman sekarang yang lebih suka membujang daripada berkahwin. Tidaklah seperti zamannya dahulu. Mereka tidak memikirkan masa depan mereka. Siapalah yang akan menjaga mereka apabila sudah tua nanti!
Pagi itu Mak Esah membuat sarapan lempeng kelapa dengan sambal tumis. Pak Dollah menyediakan minuman kopi.
“Kopi yang dibuat Pak Dollah ini lebih sedap daripada Mak Esah yang buat,” ujar Mak Esah memuji kemahiran suaminya.
Setelah bersarapan pagi itu, Mohsen pulang ke rumahnya dan menghubungi Encik Shuib. Mohsen menerangkan perkara berbangkit tentang kerja-kerja ukur tanah itu.
“Datanglah ke sini, Mohsen. Mudah kita berbincang. Lagi pun kalau berbincang dalam telefon tak jelas duduk perkaranya,” kata Encik Shuib.
“Kalau begitu, baiklah. Setengah jam lagi saya akan sampai ke pejabat Encik Shuib.” Balas Mohsen.
“Ok. Saya tunggu. Kalau boleh bawa Milah sekali.” Cadang Encik Shuib.
“Kenapa saya nak bawa Milah. Yang nak buat kerja ukur ini tanah saya. Bukan tanahnya,” jawab Mohsen.
“Baiklah, Mohsen. Suka hati kamulah.” Terang Encik Shuib.
Tiga
“Eh, tak boleh buat macam tu Mohsen. Kita perlu ikut sempadan yang dipersetujui Pak Dollah dengan kamu,” kata Encik Shuib sambil mengambil pelan ukur tanah.
Jari telunjuknya lurus menunjukkan kawasan berlorek sebagai tanah Mohsen. Memang jelas menunjukkan serambi rumah Pak Dollah masuk ke dalam kawasan tanah Mohsen.
“Saya tak suka bising-bisinglah Encik Shuib. Saya tak suka mulut Milah tu. Lagi pun saya dengan Pak Dollah pun ada ikatan saudara,” kata Mohsen.
“Ini hak kamu Mohsen. Kamu tak sewajarnya berlembut dengan mengikut kehendak Milah tu,” ujar Encik Shuib.
Mohsen terdiam. Kata-kata yang lahir dari mulut Encik Shuib itu ada benarnya. Mohsen perlu mempertahankan haknya.
“Apa yang Milah takutkan kalau kawasan serambi rumah tu masuk dalam tanah kamu?” Soal Encik Shuib.
“Milah takut saya minta ganti rugi.” Terang Mohsen.
Encik Shuib mendongak dan meraup wajah Mohsen sepenuhnya.
“Kamu ada cadangan nak buat macam tu ker?” Soal Encik Shuib.
“Tidak ada terlintas di hati saya dengan cadangan tu,” balas Mohsen.
“Baguslah macam tu. Dari dulu lagi kamu sudah terangkan kepada saya niat kamu nak pecah bahagian tanah tu untuk mengetahui kedudukan dan keluasan tanah kamu tu,” jelas Encik Shuib dengan panjang lebar.
“Habis tu, apa yang Milah nak takutkan?” Tanya Encik Shuib lagi.
“Entahlah Encik Shuib. Saya rasakan Milah takutkan bayang-bayangnya sendiri. Milah juga bimbang apabila kerja-kerja ukur tanah dan pecah sempadan ni siap nanti saya akan berubah fikiran. Milah bimbang saya akan tuntut ganti rugi ke atas keluarganya,” jelas Mohsen.
“Kamu tak boleh ikut cadangan Milah tu, Mohsen,” ujar Encik Shuib sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Kenapa pula Encik Shuib?” Tanya Mohsen.
“Keluasan tanah kamu itu akan berubah dan perkara ini bercanggah dengan apa yang dinyatakan di dalam geran besar tu.” terang Encik Shuib lalu mengambil geran tanah yang asal dan menunjukkan kepada Mohsen.
“Oh, barulah saya faham sekarang.” Balas Mohsen.
Di dalam perjalanan pulang ke rumahnya itu, Mohsen teringatkan perbincangannya panjang lebar kepada Pak Dollah dan Mak Esah bahawa dirinya telah ambil maklum tanah yang digunakan untuk membuat serambi rumah mereka itu. Mohsen bersetuju mengekalkan serambi rumah itu berada di dalam Kawasan tanahnya.
Menurut ayah dan emak Mohsen, perjanjian yang terdahulu berdasarkan kepada peribahasa ‘ kerbau dipegang pada talinya dan manusia dipegang pada janjinya’. Disebabkan zaman telah berubah, manusia juga berubah pegangannya. Mohsen menerima keadaan itu dengan penuh reda.
Empat
Setelah mengerjakan solat Asar petang itu, Mohsen menghidup injin keretanya ke rumah Pak Dollah dan Mak Esah. Tujuan kedatangannya itu bagi memaklumkan perbincangannya dengan Encik Shuib lewat tengah hari itu.
Setelah tiba ke rumah Pak Dollah, Mohsen digemparkan dengan bunyi bising jentera bulldozer di rumah Pak Dollah.
Jiran-jiran berdekatan telah berkumpul di rumah Pak Dollah. Mak Esah menangis teresak-esak dan dipujuk oleh suaminya Pak Dollah.
Tiba-tiba muncul Milah yang memakai baju serba hitam dan menjerit-jerit nama Mohsen.
“Ini adalah amaran kepada kau, Mohsen. Kalau kau berani masukkan serambi rumah ke dalam kawasan tanah kau, aku tak teragak-agak merobohkan serambi rumah ini. Aku tak mahu orang kampung tahu serambi rumah ni menceroboh tanah kau,” jerit Milah dengan semangat berkobar-kobar.
Sepasukan polis muncul setelah mendapat panggilan dari Tuk Penghulu Kahar bagi meleraikan keadaan. Mohsen tunduk ke tanah. Sengketa yang dihadapinya ini belum lagi berakhir. – Mingguan Malaysia