“MAK tengok semakin kerap kau ke sawah. Apa sebetulnya kau buat?” Tanya Mak Besah yang melangut di anak tangga. Arip senyum. Menoleh sekali imbas pada wajah ibunya yang tenang. Anak-anak ayam masih riuh di bawah anak tangga. Barangkali belum kenyang walaupun jagung yang ditabur sudah banyak. Arip tidak peduli dan meneruskan kerjanya.
Satu persatu perkakas tukang dari stor dimuatkan ke dalam beg lusuh. Beg kain kanvas tebal itu meski pudar warnanya namun utuh. Parang, penukul, ragum, pisau, alatan memancing di antara barang yang selalu diusung di dalam beg itu.
Namun kali ini Mak Besah yang asyik memerhati gelagatnya sejak tadi hairan. Kali ini anak bungsunya itu membawa gergaji, pahat, sesiku, penimbang air, tali ukur, ketam serta beberapa alat pertukangan lain yang pernah digunakan oleh Pak Samad. Seingat Mak Besah sejak arwah suaminya tiada, segala perkakas tukang itu disimpan dalam stor.
“Macam biasalah, mak. Nak bertukang.” Ringkas jawab Arip yang masih bujang itu. Mak Besah tahu selain minat berniaga, Arip juga minat bertukang. Di antara lima orang anak, hanya dia yang mengikut jejak gemulah.
“Mak tahulah kau nak bertukang. Tapi, apa yang nak kau tukangkan?”
“Mak tahu Arip nak bertukang? Dari mana?”
“Eh! Kau usung kesemua alat tukang arwah tu dalam beg. Tentulah nak bertukang. Tak kan nak memburu pula?”
“Betul juga.” Sambil Arip mengaru-garu kepala.
“Nak buat pondok, mak,” jelas Arip setelah memuatkan keperluan bertukangnya itu ke dalam beg.
“Pondok apa nak kau buat di tempat jin bertendang tu?”
“Pondok tempat melepak-lepak, mak.”
“Hish! Biar betul kau, Rip.”
Mak Besah tak kuasa memanjangkan hujah. Melayan kerenah Arip boleh memeningkan kepala. Dia bergegas masuk ke dalam. Tidak mengapa, fikirnya. Buatlah apa disukai asalkan tidak menyusahkan orang. Cukuplah, dia tahu anak kesayangan itu di mana.
Masak dan lali sudah Mak Besah dengan tingkah si Arip. Anaknya bukan seperti budak-budak lain. Tidak suka membuang masa, bersembang atau merayau tak tentu hala.
Di sebelah pagi Arip sibuk dengan perniagaan di warung yang terletak tidak jauh dari rumah itu. Sambutannya amat baik sehingga dia selalu tak menang tangan meski dibantu dua pekerja. Pernah Mak Besah menyatakan hasrat membantunya. Alasannya sudah jemu duduk di rumah. Namun Arip melarang keras. Dia lebih suka ibunya yang sudah berusia lebih 60 tahun itu berehat. Dalam usia sedemikian, baginya tidak molek bersusah-payah. Lebih afdal diisi waktu dengan banyak beramal ibadah saja.
Mak Besah maklum tempat yang dimaksudkan Arip sewaktu hendak meninggalkan rumah tadi. Teringat dia kisah lama bersama gemulah. Pagi petang dia ke sana. Itulah sumber rezeki keluarganya. Dari menebas rumput dan menerung, menajak, menyemai, mengubah sehinggalah akhirnya menikmati hasil padi yang ditanam sendiri sungguh menyeronokkan walaupun penatnya bukan kepalang.
Tanah sawah yang sudah lama terbiar itu terletak di benteng kira-kira setengah jam perjalanan dengan motosikal. Dulunya ia tanah sawah yang diusahakan oleh para petani dalam kalangan penduduk sekitar kampung.
Di sana terdapat tanah peninggalan gemulah suaminya, seluas 2.5 hektar. Bertahun sudah sawah yang dulunya melaut dengan tanaman padi itu terbiar. Tiada lagi yang dapat menikmati rezeki seperti dulu, di mana dua kali setahun padi mengisi kepuk di rumah, selain dijual bagi menambah pendapatan.
Semuanya berpunca daripada sebuah projek yang digembar-gemburkan bakal mendatangkan hasil berlipat ganda kepada para pemilik sawah itu. Meskipun sebelumnya terdapat bantahan namun bantahan berlalu bagai angin lalu.
Sistem yang dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta itu dengan membina longkang besar di sepanjang sawah nyata gagal berfungsi seperti sepatutnya. Air yang disedut dari Sungai Subari sekadar bertakung. Ini mengakibatkan air gagal dialirkan ke petak sawah. Maka tanah jadi merekah dan kontang.
Sejak itulah terbantut segala kegiatan. Lenyap musim panen, kawanan pipit, bangau, tempua yang selalu terbang menghiasi sawah. Semuanya menghilang dari pandangan. Dalam diam pelbagai usaha turut diambil. Misalnya membuat aduan ke pejabat tertentu, menemui pegawai, mengadakan mesyuarat, menemui wakil rakyat, penghulu dan namun hingga ke sudah semuanya senyap. Mereka menerima padah. Projek yang dulunya dikabarkan begitu gah hanya indah kabar dari rupa.
Arip tidak rela tanah itu terbiar selamanya. Kedengaran juga sudah ramai yang menjual tanah itu. Baginya, memang mudah menjual, tapi mendapatkan balik bukan senang. Kalau ada pun kelak, harganya melambung berlipat ganda.
“Saya cadang buat sebesar pondok dulu tetapi lengkap. Asalkan ada bilik, ruang tamu, bilik air dan dapur. Jika perlu tambah beranda tempat bersantai.” Arip luahkan ideanya pada Pak Man.
“Bagus cadangan tu. Pak Man sokong, Rip. Dari terus terbiar tak berhasil ada baiknya diusahakan.”
“Kalau boleh secepat mungkin. Lagi pun hujung tahun kian dekat. Ramai orang akan bercuti. Kalau siap awal, boleh kita cuba pasarkan, Pak Man.”
Kini kian ramai orang mencari kelainan. Dari makanan hinggalah tempat bercuti. Dan kelainan itulah yang cuba Arip tawarkan.
Seluruh tanah itu telah siap ditambak. Segala semak-samun berkubur.
“Saya betul-betul perlukan pertolongan. Mulai esok Pak Man bekerja dengan saya sepenuh masa. Tak payah bertukang di tempat lain. Soal upah jangan risau.” Sambung Arip pada tukang yang mahir di kampungnya sejak dulu.
Segalanya berjalan mengikut perancangan. Sementara Arip berniaga hingga tengah hari, Pak Man pula bertukang sejak pagi saban hari. Di sebelah petang Arip akan datang membantu.
Dua rumah sebesar pondok telah siap didirikan. Ia kelihatan menarik. Meskipun tidak sebesar mana tapi serba lengkap. Tenaga solar diguna bagi pelbagai keperluan. Bentuk pondok itu agak unik seperti sebuah wakaf. Atapnya daripada anyaman daun nipah. Kebanyakan binaan pula didapati daripada kedai kayu terpakai demi menjimatkan kos.
“Selain itu, saya juga cadang nak bina sebuah kolam di belakang sana.”
“Maksud Arip dekat pokok mempelam tu?” Arip angguk.
“Tapi kolam apa? Kolam renang?” Tanya Pak Man spontan.
“Bukan! Tapi kolam memancing.”
“Kolam itu kita isi dengan pelbagai ikan darat. Haruan, keli, puyu, sepat dan lain-lain. Kita sediakan untuk mereka yang gemar memancing. Jadi, sepanjang menginap di sini mereka ada pelbagai aktiviti. Main layang-layang, naik perahu, cari lokan, kenal tumbuh-tumbuhan seperti bakau, nipah dan berembang.”
Petang itu, bersama Pak Man sekali lagi Arip melakukan pemeriksaan. Dari segala segi semuanya diteliti. Dipastikan setiap satu kelengkapan yang terdapat di situ berfungsi dengan baik. Penghawa dingin, kipas, TV, bantal, selimut, cadar, tilam mencukupi. Demikian juga dengan lampu, periuk belanga, saluran paip, sabun dan tuala juga tersedia.
Sebagaimana direncana, keesokkan hari papan tanda siap dipasang di tepi jalan. Kedudukannya di tepi jalan yang menghubungkan di antara dua bandar di Selatan tanah air itu amat jelas dilihat. Selain papan iklan, iklan dari mulut ke mulut juga dilakukan Arip dan Pak Man.
“Insya-Allah, kita serahkan semuanya pada Allah. Kita sudah berusaha.” Teringat Arip pesan Pak Man kelmarin.
Arip dikejutkan oleh dering telefon di luar bilik. Dia bergegas keluar menjawab panggilan. Hatinya berdebar-debar. Jarang ada panggilan pada awal pagi begini. Walaupun belum sepenuhnya dijawab tapi Arip seakan sudah dapat mengagak. Kemudian satu persatu dijawab dengan tenang sebelum memuktamadkan segalanya.
“Amin… Yahuuuu….” Kegirangan Arip jelas terpancar. Mak Besah yang masih bertelekung berasa kaget dengan tingkahnya.
“Ada apa yang terlonjak-lonjak ni. Buang tebiat?”
“Tamu, mak. Ada tetamu nak menginap minggu ini.”
“Tamu mana? Nak menginap di mana?” Mak Besah kian hairan. Matanya terpaku pada Arip yang mundar-mandir di ruang tamu sebelum akhirnya terjelepuk di riba.Arip tarik nafas dalam-dalam. Kemudian satu persatu diceritakan tentang perkara yang dilakukan kepada Mak Besah selama berulang-alik ke sawah terbiar itu. Agak lama orang tua itu hendak memahaminya sebelum menganggukkan kepala.
“Budak bertuah! Kenapa tak cakap awal? Bolehlah mak jadi rakan kongsi.”
“Tak payah, mak. Mak duduk diam-diam.”
Dalam masa beberapa minggu kebelakangan kian banyak panggilan. Baru Arip teringat yang cuti sekolah akan menjelang beberapa minggu lagi. Panggilan yang diterima itu bukan saja dari Semenanjung tapi juga dari seberang tambak. Sungguh semuanya di luar dugaan.
Arip bertambah yakin. Dia bercita-cita membina 10 pondok lagi di tanah itu. Dia juga semakin kreatif dengan pelbagai perancangan.
Bukan setakat terdapat kolam memancing, tempat bermain layang-layang tapi kali ini dia mahu menjadikan hutan nipah, pohon bakau, berembang, bot-bot nelayan di sungai berdekatan itu sebagai produk sampingan. Juga tempat bagi peminat burung kerana di kawasan paya bakau ada pelbagai burung hijrah.
“Kita sediakan jejambat bagi yang ingin merasai pengalaman mencari lokan sambil meneroka hutan nipah. Kan di hutan nipah itu ada banyak lokan? Dan bila air surut pula boleh ke hutan paya bakau mengutip siput sedut. Bot nelayan boleh disewa bagi yang gemar memancing di laut. Dan segala hasilnya boleh dimasak dan dinikmati di tempat penginapan,” kata Arip.
Pak Man mengangguk mendengar segala hujah anak muda yang disifatkan amat berwawasan itu. Setiap hujung minggu tempahan penuh. Arip sesungguhnya bersyukur. – Mingguan Malaysia
Sawah nan terbiar
- Oleh MARHAN SR
- 17 September 2023, 5:23 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Selamat hari lahir Kartini
14 Januari 2024, 5:37 pm
Tentang harapan penggiat tulisan khat
14 Januari 2024, 4:01 pm
Tengkujuh di hati Jusuh
7 Januari 2024, 6:07 pm