MENDENGAR nama Atma Kirana agak janggal dan banyak yang tertanya-tanya tentang maksud di sebalik karya seni ini.
Walaupun kedengaran klasik, ia sebenarnya satu karya moden yang berbentuk seni digital dengan paparan menerusi lampu diod pemancar cahaya (LED).
Malah, ia bukan sesuatu yang kosong kerana terdapat subjek di sebalik pancaran LED iaitu penekanan kepada lima prinsip Rukun Negara, Percaya; Setia; Luhur; Adil dan Baik
Bagi pengkarya, Abdul Shakir, Atma Kirana secara asasnya koleksi visual digital yang dipersembahkan dengan memberi kesan animasi menerusi bentuk dan cahaya serta dipamerkan menerusi koreografi melibatkan 100 panel LED.
Menurutnya, lampu ini kemudian digantung dan disusun untuk membolehkan orang ramai melihat karya ini daripada pelbagai sudut pandang.
“Karya menginterpretasi bentukan visual menerusi motif tempatan menerusi ilham daripada corak tenunan songket Malaysia yang rumit.
“Ia kemudian dijadikan medium panel LED kelihatan sempurna, menghasilkan gabungan seni tradisional dan teknologi moden yang menawan,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Pameran karya Atma Kirana kini berlangsung di Balai Seni Negara bermula 9 Ogos lalu sehingga 30 Oktober ini.
Abdul Shakir atau dikenali sebagai Grasshopper memberitahu, dia mendapat inspirasi untuk menghasilkan karya ini selepas membaca buku hasil penulisan Eddin Khoo bertajuk Rukun Negara: Selayang Pandang.
Dia memberitahu, Atma Kirana bermaksud jiwa yang cantik, perkataannya berasal daripada perkataan Melayu klasik.
Katanya, proses penghasilan memakan masa empat bulan dan pemasangan di tempat pameran mengambil masa dalam seminggu.
“Saya menggunakan software Cinema4D dan juga Adobe After Effect. Proses ini memakan masa beberapa bulan termasuk proses kajian dan pembangunan.
“Ia dapat dilakukan menerusi kerjasama teknikal bersama-sama Pixel World yang telah membantu untuk pemasangan truss dan juga HelioMedia untuk pemasangan dan sistem LED panel tersebut selain Balai Seni Negara yang membantu menyediakan semua peralatan dan juga keperluan untuk pameran karya ini,” terangnya.
Bagaimanapun jelas Abdul Shakir, di sebalik paparan seni digital ini, terdapat cabaran tertentu dalam penghasilannya.
Katanya, karya itu sangat memerlukan pengetahuan dalam aspek teknikal, terutamanya di dalam aspek keselamatan.
“Di samping itu, aspek teknikal untuk pemasangan dan juga LED sangat penting untuk memastikan karya ini dapat dihasilkan mengikut jangka masa yang ditetapkan. Pada masa sama, karya ini juga perlu dihasilkan dalam situasi kekangan kewangan,” katanya.
Menurutnya, untuk memastikan karya ini dapat dihasilkan dia sebagai artis perlu mencari penaja yang dapat membantu menghasilkan karya berkenaan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yayasan TM di atas penajaan melalui program Digital Tech Incubator. Program ini telah membantu saya sebagai artis instalasi seni media baharu untuk mempamerkan karya di Balai Seni Negara dalam bentuk pemberian sokongan kewangan,” katanya. – Mingguan Malaysia
Atma Kirana: Seni di sebalik pancaran LED
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 17 September 2023, 5:26 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Theta: Karya sedar dalam mimpi
4 Jun 2023, 5:23 pm
Kartun perlu ada identiti sendiri – Sukun
21 Mei 2023, 5:14 pm
Tidak canggung ceburi bidang didominasi lelaki
30 April 2023, 3:27 pm