“Aamin!”
Dalam tubuhku menggeletar, terasa ada aliran arah dingin mengalir ke urat nadiku. Serangan Anxiety bertandang lagi. Pejam mataku berkerut pilu. Bukan tidak reda, namun bukan mudah menghadapi kehilangan. Kejutan di pagi Jumaat, saat gugur sebatang gigi dari kudrat.
“Ida, kuatkan semangat!” Tergiang-ngiang nasihat guru tauhidku, pesan peduli yang ditunggu-tunggu.
Bermalam sudah terasa tidurku payah, setiap kali mahu lena bayangan hari pemergiannya menerpa di minda. Spontan tubuh ini menggigil. Dan acapkali juga kucuba menstabilkan ampasku, cuba menyingkirkan rasa trauma itu. Adakah aku lupa Ya Rabb sentiasa bersamaku, bahkan telahku mengenali-Nya saat kukenal rahsia-Nya pada wajah manusia?
Tidak, aku tidak lupa, sekadar diterpa trauma. Ya, kejutan yang menyedihkan.
“Usah termenung. Jangan diingat-ingat lagi. Arwah hak Allah, Dia punya, mestilah diambil semula,” nasihat ibuku. Namun, tidaklah semudah itu melupakan. Masih diingat, pagi Jumaat itu, suamiku pulang kerja lewat dalam 2.30 pagi kerana shif petang hingga malam. Sebelum subuh, aku sudah bangun memasak dan mahu menghantar anak keduaku ke sekolah selepas Subuh nanti. Semasa aku sedang memasak itu, si dia berlari ke bawah semata-mata hendak berbual denganku walau kantuk masih meliputi matanya lantaran tidak cukup tidur.
“Abang, lepas hantar Ilham ke sekolahi, saya ke klinik gigi ya, nak cabut gigi. Abang tak perlu hantar, mesti abang mengantuk,” ucapku meminta izin daripadanya.
Dia mengangguk, mengizinkan. Aku senang hati tanpa tahu itulah kali terakhir kami berbicara. Hanya damai hatiku melihatnya walaupun terdetik rasa hairan mengapa kebelakangan ini si dia kelihatan lebih putih wajahnya berbanding biasa?
Semasa di klinik gigi, pesakitnya ramai, dan nombor giliranku agak lambat. Aku maklumkan hal itu padanya menerusi khidmat pesanan ringkas, namun tidak berbalas. Aku cuba pula menelefonnya, tidak berjawab. Aku terus bersangka baik, berandaian saja dia sedang tidur.
Sesampai di rumah, aku memanggilnya dari bawah beberapa kali tetapi tidak disahut. Hatiku mulai tidak sedap, aku naik ke atas. Aku dapati dia sedang berbaring di atas katil, sedang tidur. Aku teruja mahu menunjuk padanya akan gigiku yang sudah hilang sebatang. Namun puas tubuhnya kugoyang, dia tetap tidak terjaga. Aku lantas memeriksa ampas di lubang hidungnya, denyut jantung, dan denyut nadi. Semuanya tiada.
Di sinilah episod cemasku bermula. Ampas masuk tempat makamnya Adam dan ampas keluar tempat makamnya Hawa seperti dalam hakikat tajalli sudah terputus talinya pada dua lubang hidungnya. Tiada langsung udara terasa. Paniknya diriku tidak terkata, tidak tahu apa yang harus dilakukan lantas aku menelefon kawan baikku, Hasibah. Dia menyarankan aku mendail 999. Tidak lama kemudian ambulans pun sampai. Setelah pemeriksaan dilakukan, benarlah dia sudah tiada akibat komplikasi darah tinggi, pergi seorang diri antara pagi dan tengah hari.
“Innalillahwainnalilahirajiun…”
“Salam takziah, Ida. Semoga terus tabah.”
Ucapan demi ucapan disampaikan padaku hari itu. Memang aku reda dengan apa yang berlaku. Biarpun tidak dapat menemaninya ke pusara lantaran edah yang sudah bermula. Namun, doaku tak putus untuknya.
“Apabila awak tahu di mana istana Muhammad dan di mana istana Allah pada diri, maka doa awak makbul.” Tergiang-ngiang ucapan Ustaz Nurun, guru tauhidku satu-satunya. Maka aku yakin doa-doaku serta pahala sedekah yang kukirim kepadanya, pasti sampai buat kebahagiannya di alam sana.
Tetapi saat malam menjelma atau ketika bersendirian, kenangan hari pemergiannya menjelma, dan aku menggeletar kembali. Kupeluk tubuhku erat-erat untuk menstabilkan ampasku agar dapat mengurangkan rasa tidak selesa itu. Aku merenung ke depan sambil terus berampas, menanti renunganku bergelombang.
Aku penasaran. Sudah lebih seminggu berlalu. Namun aku masih terpanggil namanya tanpa sedar. Terkadang di depan orang pun aku begitu hingga aku terasa malu. Ia terjadi tanpa sengaja, bukti masih ada kasih dan kenangan, biar hikmah yang terjadi pasti tersedia.
“Tidak mengapa. Itu yang dikatakan edah.” Ucap Ustaz Nurun apabila aku utarakan masalahku ini. Aku terdiam. Cerai hidup dan cerai mati berbeza. Andai cerai hidup, masih boleh dihubungi. Andai cerai mati, hanya doa yang dapat dikirimkan di angin lalu atau naiknya terus ke sidratul muntaha.
“Kalau Kak Hasibah, Kak Anna, dan Kak Jennita boleh menjadi ibu tunggal, mengapa tidak aku?” Soalku sendirian menyedapkan hati. Bukan diri ini seorangsaja ibu tunggal, ramai teman sepengajiannya dalam kelas tauhid ibu tunggal. Ibu-ibu yang telah melalui pelbagai ujian hidup dan akhirnya memilih untuk sendiri agar dapat belajar mengenal diri dan Ilahi tanpa halangan.
“Allahu akhbar!” Kedua-dua tapak tanganku menekan kedua-dua belah sisi kepalaku. Ingatan itu datang lagi, dan aku menggeletar kembali. Namun segera aku memerhatikan keluar masuk ampasku, menenangkan diri dan akhirnya terngiang-ngiang akan kisah alam semesta yang pernah dikhabarkan guruku. Kisah yang membelai lukaku agar tenang dan damai.
Alam semesta. Bermulanya alam ini adalah alam yang kosong. Sang pencipta menamakan dirinya sendiri sebagai Nurullah. Dia melihat alam semesta ini kosong. Jadi Dia metajallikan dirinya kepada satu lagi nur yag dinamakan sebagai Nur Muhammad. Tajalli bermaksud pantulan atau penzahiran, dari Nurullah jua asalnya, menjadi Nur Muhammad.
Apabila Nur Muhammad ini bersama-sama, keluar persoalan siapa pencipta dan siapa yang dicipta. Nurullah berkata, “Aku yang mencipta dan engkau yang dicipta, wahai Nur Muhammad.”
Nur Muhammad pula berkata, “Bukan, aku yang mencipta, dan kau yang dicipta, ya Nurullah.” Di sini terjadilah perdebatan siapakah yang mencipta dan siapa yang dicipta.
“Kalau begitu, aku bersembunyi dan engkau cari aku Ya Nurullah,” kata Nur Muhammad pula.
Nur Muhammad pun bersembunyi. Nurullah lantas mencarinya dan segera dapat jumpa. Ini kerana kedua-duanya sama-sama cahaya, sama-sama cantik, mudah untuk Nurullah menemuinya.
Kemudian giliran Nurullah pula yang bersembunyi dan Nur Muhammad pula mencarinya. Malangnya, beribu-ribu tahun Nur Muhammad mencari Nurullah tetapi tidak kunjung jumpa. Sehinggalah suatu hari itu terdengarlah laungan azan mendayu merdu.
“Allahu akbar… Allahu akhbar!” Tatkala inilah Nur Muhammad menangis. Lalu, kekasihnya, Nurullah pun muncul di hadapan Nur Muhammad. Dia pun bertanya mengapa Nur Muhammad menangis?
“Aku menangis kerana beribu-ribu tahun aku mencarimu, ya Nurullah.”
“Aku bersembunyi di dalam dirimu ya Nur Muhammad. Dan kini kau berhutang dua perkara denganku,” kata Nurullah. Nur Muhammad yang tidak faham meminta penjelasan.
“Pertama, aku yang mencipta dan kau yang dicipta, kau akui tu ya Nur Muhammad?” ujar Nurullah.
“Ya, aku akui itu kau yang mencipta dan aku yang diciptakan ya Nurullah,” kata Nur Muhammad. Lalu Nurullah pun meminta Nur Muhammad masuk ke dalam cahayanya, seperti mana Nurullah masuk ke dalam cahaya Nur Muhammad. Duduk di dalam cahaya, cahaya meliputi cahaya.
Melalui percikan Nur Muhammad itulah terjadinya roh-roh. Jadi roh-roh itu haruslah kembali duduk ke dalam Nur Muhammad dan kemudian Nur Muhammad kembali ke dalam Nurullah.
Aku terjaga. Rentetan kisah alam semesta tadi bagaikan diceritakan dalam mimpi. Tersenyum diriku mendengar suara sang guru yang dikasihi, sang pembimbing jalan pulang, mengenal diri dan mengenal Tuhan.
Malam sepi. Bagi mengelakkan bayangan hari kematian arwah itu datang dan diriku terjerit lagi, aku membiarkan muzakarah guruku berkemundang di telingaku. Rakaman sesi-sesi kuliahnya yang lalu. Ampasku turun naik perlahan, membiarkan ia bertawaf keluar masuk jantungku, solatudaim yang tidak pernah putus 24 jam.
Terkadang mata ini kupejam perlahan. Sesekali aku mendengar terapi booster minda dari audio yang kulanggan daripada Dr. Keegan Anderson. Namun. Apabila ia bergema di telinga dan minda, aku tidak mampu meneruskannya. Aku tidak mampu mendapat ketenangan dengan cara itu.
Maka, aku memerhatikan ampasku kembali yang mana pada hakikat tauhidnya terletak istighfar dan selawat sebagai zikir khafi tanpa riak, tanpa diketahui manusia lainnya. Tetapi dalam keadaan diri yang trauma aku cuba pula mencari jalan pintas dengan membuat mandian bunga. Namun setelah melakukannya, aku tetap tidak berasa lega. Bukan tidak reda dengan takdir-Nya, hanya belum lagi biasa.
“Masa akan menjadi penawarnya.” Teringat akan kata-kata Kak Raja, rakan sepengajian kelas tauhidku.
Benar, barangkali dengan berlalunya hari-hari semangatku akan segera pulih. Tidak terlalu mudah melupakannya kerana dialah yang mengizinkan diriku mengaji diri di kelas tauhid ini sehingga aku menyedari hidup ini bukan lagi untuk pahala syurga atau dosa neraka, tetapi meraih cintanya Ya Rabb. Terhela nafas yang panjang. Terasa lega sesaat dalam katup bibir, aku lantas teringat semula akan hakikat diri asal-muasal. Pada tali yang tidak putus-putus iaitu perampasan. Hakikat berTuhan mengenal-Nya setelah mengenal diri.
“Kamu masih muda. Berdoalah pada Allah SWT supaya kamu diberi suami yang lebih baik, seperti mana doanya Ummu Salamah yang akhirnya dapat menjad isteri Rasulullah,” nasihat ibuku.
Tersenyum aku mendengarnya. Aku tahu kisah ini, kisah Ummu Salamah yang berdoa akan doa yang diajari suaminya sekiranya pergi dahulu dan doa itu juga yang diajar Rasulullah SAW kepada Abu Salamah. Kemudian Abu Salamah mengajar isterinya, Ummu Salamah perihal doa itu dan isteri yang taat ini mengamalkan doa ini setelah dia menjadi balu. Tetapi Ummu Salamah berdoa agar mendapat suami yang lebih baik iaitu Rasulullah SAW. Tetapi bagaimana pula aku boleh berdoa demikian kerana Baginda Rasul sudah lama tiada? Aku menghela ampasku, mungkin aku perlu berdoa sehingga setakat memiliki suami yang lebih baik saja. Walaupun sebenarnya aku mahu menikmati rasa sendiri tanpa suami buat masa ini.
Lalu, hanya dengan menikmati rasa sunyi, duduk dalam kesedaran berTuhan berasa menalinya udara yang tidak putus-putus di dua lubang hidung, aku dapat berasa tenang. Ketenangan sejati dan fitrah tanpa perlu dirangka-rangka atau dicipta. Demikianlah tafakur seorang yang harus sedar yang dia mengenal dirinya, di mana huruf, titik dan tiada titik yang wujud pada diri setiap manusia yang dikenali oleh insan Allah.
Lalu suatu pagi, saat mentari belum begitu kelihatan, aku kumpul kekuatan. Tapak kaki ini melangkah keluar dari pintu rumah, menjejakkan kaki di rumput, memandang pepohonan dengan satu dedaunannya melambai- ke arahku, membuatku tersenyum.
Kicauan burung pula menerpa, menegur diriku tidak berseorangan. Mereka adalah sahabatku. Aku hanya diambil seseorang yang dipinjamkan. Mengapa perlu aku terus meratapi atau terganggu sesuatu yang bukan hakku, sedang diriku tidak ada, tidak mempunyai diri sendiri. Yang ada hanya Dia. Bukankah hidup ini adalah cerita-Nya? – Mingguan Malaysia
Terang Jumaat
- 20 Ogos 2023, 5:18 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Selamat hari lahir Kartini
14 Januari 2024, 5:37 pm
Buku yang hilang
31 Disember 2023, 6:05 pm
Pemain silap mata lupa silap matanya
17 Disember 2023, 4:34 pm