Saba Nong Sakti meneruskan kelestarian seni Terengganu - Utusan Malaysia

Saba Nong Sakti meneruskan kelestarian seni Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK ramai tahu mengenai ‘Saba’, iaitu ritual bagi mengubati pesakit yang pernah diamalkan kira-kira 300 tahun lalu. Ia terkenal di Terengganu satu ketika dahulu. Namun Saba kini diterjemah menerusi teater tradisional Nong Sakti dalam usaha mengangkat kesenian Terengganu.
Teater ini dipersembahkan untuk semua lapisan masyarakat, sekalipun ia menyentuh tentang kelestarian seni salah sebuah negeri di Pantai Timur ini.
Apa yang menarik Nong Sakti mempunyai cerita sisi tentang kehidupan manusia pada masa kini walaupun kisahnya berlatar belakang alam kayangan.
Malah, teater ini turut menyentuh tentang sikap segelintir manusia bongkak yang hanya berpandukan kompas hawa nafsu dalam hidupnya.
Memahami Nong Sakti perlu dilihat dalam aspek menyeluruh, mengerti nasib dan takdir yang tidak sama antara satu sama lain.
Bagaimanapun pada masa sama, menakluki rasa cinta yang ada pada diri manusia itu secara zahirnya hadir tanpa dipaksa dan mungkin memerlukan pencarian dengan usaha. Sama ada sukar, mudah, diterima atau ditolak itu membezakan setiap hasil usaha tersebut.
Dalam situasi lain, teater ini membuka ruang untuk menyampaikan sifat rasa kemanusiaan yang berbeza antara satu sama lain.
Semua hal-hal ini dapat disingkap menerusi teater saba Nong Sakti arahan Mohd. Khairuddin Hanippah, salah seorang penggiat aktif seni teater di Malaysia.
Pementasan teater ini diadakan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersempena program Panggung Seni Tradisional 2023 di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (Matic).
Lebih menarik apabila Nong Sakti menampilkan

satu-satunya pewaris kesenian Saba yang juga merupakan Tokoh Seni Terengganu iaitu Che Wan Noorsaidi Che Wan Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Mok Zah.
Beliau turut bermain alat muzik Anak Umbang dalam 16 babak yang mengandungi elemen nyanyian, tarian dan dialog.
Mok Zah memberitahu, Saba telah dipentaskan dalam bentuk persembahan sejak 1972 lagi.
“Pada masa itu lagi kita tidak menggunakan asap kemenyan berbanding tahun 1950-an dulu. Memang ketika itu ada asap dan kita perlu susun ayat serta patung.
“Lagipun sewaktu zaman 50-an apabila kita buat upacara memang ada melibatkan alam lain. Akan tetapi kini tidak lagi,” ujarnya.
Sebanyak 18 pelakon terlibat dalam pementasan teater dengan bermula kisah kayangan membabitkan tiga puteri bersaudara iaitu Puteri Sulong, Puteri Tengah dan Puteri Bongsu.
Menurut Mohd. Khairuddin, semua watak dalam teater berke­naan hasil cetusan idea Mok Zah dan mem­punyai kaitan dengan dirinya.
“Se­bagai contoh watak Nong Sakti ialah puteri yang mengubat sakit kulit pemuda bernama Ku Yeng. Hakikatnya watak tersebut ialah moyang kepada Mok Zah,” ceritanya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya