Mampukah evolusi wayang kulit tarik peminat? - Utusan Malaysia

Mampukah evolusi wayang kulit tarik peminat?

FOTO: MINGGUAN/ AMIN AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA banyak adat dan budaya dalam masyarakat kita. Kadang kala kita kurang mengambil berat dengan persembahan serta pementasan yang terkait dengan kedua-dua elemen tersebut.
Apatah lagi dalam dunia serba canggih dengan banyak pilihan apabila memperkatakan tentang seni persembahan atau hiburan lainnya.
Sebagai contoh, persembahan wayang kulit yang kini agak tersisih dalam kalangan masyarakat terutama anak muda.
Malah mungkin ramai dalam kalangan kita terutama yang tinggal di ibu negara memikirkan bahawa wayang kulit sudah hampir pupus kerana kurang diperkatakan dan kurang dipentaskan.
Justeru timbul pelbagai persoalan, sama ada proses evolusi wayang kulit yang pernah dilakukan mampu menarik peminat dan memeliharanya daripada tenggelam dek peredaran zaman atau sebaliknya.
Bagi Adiguru Wayang Kulit, Che Mohd. Nasir Yusoff, pementasan dan persembahan wayang kulit perlu sentiasa ada perubahan serta penambah baikkan bagi memastikan ia kekal segar mengikut peredaran zaman.
“Sebenarnya proses (evolusi) itu lagi bagus. Saya sendiri pernah cakap dan suruh penggiat cuba buat pelbagai perubahan dengan menjadi lebih kreatif. Sebagai contoh wayang kulit Star Wars. Ini kerana watak tersebut belum pernah dibuat lagi.
“Malah bagi saya, ia tidak menjadi masalah pun atau merosakkan kesenian tersebut. Apa yang paling penting ‘isi’ dan makna yang mahu disampaikan kepada penonton supaya dapat mendidik manusia, tidak terpesong serta dapat mengekalkan jati diri,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Che Mohd. Nasir dalam masa sama berkata, evolusi wayang kulit sedikit sebanyak dapat memberi ‘kesegaran’ sekaligus menarik peminat serta dapat dikekalkan pada masa akan datang.
“Alhamdulillah sekarang saya sudah didik generasi kecil seawal usia tiga tahun yang pernah mengadakan persembahan di luar negara,” jelasnya.
Tambah Che Mohd. Nasir yang juga pensyarah di di Akademi Seni, BUdaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), wayang kulit masih diberi perhatian sehingga kini termasuk menerusi pelbagai pameran yang pernah diadakan sebelum ini.
Beliau turut mengadakan persembahan wayang kulit dalam pameran Gerak Bayang: Seni Penceritaan di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) baru-baru ini.
Pameran yang menghimpunkan 144 karya seni ini dengan melibatkan 39 seniman ini secara tidak langsung menjadikan wayang kulit untuk teras kekal relevan.
Antara tokoh yang terlibat ialah Nik Zainal Abidin, Long Thien Shih, Ismail Mat Hussin, Syed Thajudeen, Mad Anuar, Chang Fee Ming, Adeputra, Masnoor Ramli Mahmud, Haris Abadi, Nik Husyaidie dan Ismail Awi.
Dalam pada itu Pengarah BNM MAG, Noreen Zulkepli berkata, pameran yang menggabungkan seni persembahan, estetika visual dan kreativiti seni itu diadakan dari 19 Ogos sehingga 28 Januari tahun depan.
Menurutnya, karya-karya seni ini menawarkan perspektif yang berbeza, mencerminkan tenaga serta mempunyai potensi untuk mengembangkan idea, pandangan, dan pendekatan.
“Pameran ini juga menjadi wadah yang menunjukkan bagaimana penerapan pendekatan kreatif yang pelbagai boleh mendorong kepada hasil yang lebih kaya dan inklusif; suatu iktibar berharga yang boleh diterapkan dalam dunia seni dan juga masyarakat umum,” jelasnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya