Memang, debar dan bimbang menghantui diriku sejak kembali dari rumah Ustazah Romzah hari itu. Macam-macam yang bermain di benak. Aku seakan diperhatikan oleh mata-mata yang ada di sekelilingku. Aku pasrah dan tabahkan jua.
Aku seakan sedar mama sembunyikan telekung titipan Ustazah Romzah sempena kepulangannya dari umrah tahun lepas. Mukena itu baru sahaja aku gunakan untuk solat Maghrib. Sejak itu aku rasa mama mulai syak.
Beberapa kali juga aku terpaksa menyorokkan kain solat itu di celah katil. Ketika mahu bersolatpun aku curi-curi masa paling sunyi ketika dia tiada. Hinggalah suatu hari mama benar-benar mengetahui yang aku sedang bersolat. Apa lagi mendidihlah jamung kemarahannya.
Manakan tidak, kedua pegangan ini memang saling bermusuh sejak dahulu lagi. Di Tanah Besar sana, pertumpahan darah sering tercetus antara puak kami. Aku tidak dapat lari daripada kutuk cerca mama dengan tindakanku ini.
Keluargaku berketurunan India beragama Kristian sejak turun-temurun. Soal tukar agama ini sangat sensitif. Apa lagi Islam yang lebih dilabel sebagai agama keganasan oleh khalayak umum.
Malah banyak sangat sentimen agama dimainkan oleh orientalis Barat melalui media massa yang condong ke arah mereka. Dalam konteks Malaysia, ada stigma jika mahu mengahwini lelaki atau wanita Islam. Ini kerana keistimewaan orang Melayu di tanah bertuah ini amat dicemburui. Banyak kelebihan yang kita dapat dengan menjadi Melayu-Islam.
“Pandangan itu tidak benar mama.” Aku menafikan apabila mama juga terpengaruh. Perkenalan aku dengan Muiz sejak kecil, bukan baru sekarang.
Mama tetap menolak hujahku. Dia berkeras menuduhku itu ini. Kain solatku dibuang entah ke mana. Aku terpaksa juga solat tanpa kain penutup aurat yang lengkap malam itu.
Sebenarnya selama ini dia berkenan dengan Christopher, anak Dr. Nathan, juga penganut tegar Protestant. Kami memang telah seakan mahu dijodohkan sejak kanak-kanak lagi. Malah keluarga kami yang tinggal setaman itu memang amat akrab. Walhal, Christopher itu pria kacak yang jadi rebutan ramai wanita, aku tak termasuk jika dilihat dari radar ciri personaliti cantik.
Keislamanku itu tentu meruntuhkan impian mama untuk menjadikan aku pengikut agama yang taat. Aku pandang portrait Martin Luther di ruang tamu. Di luar pula wajah John Calvin. Dua figura penting pencetus reformasi yang mengasaskan pecahan faham Kristian.
Memang aku terdidik dengan ideologi kristian sejak kecil. Datuk, nenek, malah salasilah keluargaku terdahulu memang amat ekstrim. Tiada seorang pun lagi setakat ini yang ltergelincir dari landasan agama kami. Tapi ironinya, aku dibesarkan dalam masyarakat dan budaya Melayu, hingga ciri-ciriku juga agak signifikan dengan bangsa Melayu. Makan pakaiku, loghat bahasaku, semua mirip budak Melayu. Keluar sahaja dari rumah, aku disambut dengan ucapan salam, lagu-lagu dan kehidupan ala Melayu. Di situlah aku bertemu rakan sepermainan Muiz dan Lijah.
Sudah begitu adat tinggal dalam komuniti Melayu-Islam ini. Kalau di Pantai Timur keadaan ini bukan asing. Orang Cina ke, India ke, agama apa ke, semua sebati dengan budaya dan cara hidup masyarakat Melayu. Malah yang cakap dialek tempatan pun lebih pekat daripada penutur peribumi.
Perkenalanku dengan Muiz berlangsung tanpa membibitkan rasa cinta pun. Cuma ketika aku rasa condong ke arah Islam, dia banyak memberi pencerahan tentang beberapa persoalan yang kuperap sekian lama.
Tapi pandangan klise orang apabila aku berkawan dengan orang Islam, adalah untuk berkahwin. Sebab itu, perlu memeluk Islam kerana itulah tuntutannya. Tapi bukan aku. Niatku tulus.
“Mama, izinkanlah Val menggunakan kebebesan hak individu itu untuk masa depan Val.” Aku cuba mempertahankan pendirian dengan menjerat mama melalui dasar human rights yang sering mama gembar-gemburkan dalam setiap kuliah atau tulisannya.
Papa tidak banyak respons. Dia hanya membisu tatkala mama menyinga memarahiku tempoh hari. Kondisi papa itu membuatkanku sedikit kuat untuk melawan arus kemarahan mama. Sekurang-kurangnya aku tidak mempunyai dua halangan besar di dalam rumah sendiri.
Menurut mendiang datukku, agamaku juga tidak pernah bersifat diskriminasi terhadap penganut lain. Agamaku juga adalah agama samawi yang suci asalnya. ‘Tuhan, pasti Kau tidak akan membiarkan insan yang menyayangi agama-Mu musnah kerana mempertahankan iman,’ Aku bermonolog sendiri, sambil berdoa semoga suara hatiku ini sampai ke nubari mama.
Sentimen anti-Islam memang sengaja dimainkan. Ada sahaja insiden keganasan disabitkan dengan Islam. Pengeboman kelab malam, serangan berani mati dan sebagainya selalu dituding ke arah teroris Islam. Hingga ada negara yang kononnya bertamadun dan tidak mengamalkan rasis, telah bertindak menyekat hak asasi individu Muslim. Mereka mengenakan sekatan perjalanan dan menyekat bantuan kemanusiaan ke negara berkenaan. Sedangkan pencerobohan dan penindasan Israel ke atas umat Islam terus tidak diadili oleh mana-mana mahkamah keadilan bahkan didiamkan oleh sebuana alam.
Papa terus pegun. Walaupun aku tahu ada sekelumit kasih yang melekat di tebing nubarinya. Selama ini mama mengaku sebagai pejuang hak kemanusiaan dan kesamarataan gender.
Mama betah melancarkan mogok lapar ketika kerajaan dikatakan gagal menangani masalah pelarian UNHCR yang kononnya terseksa di negara ini. Mereka dilayan seperti binatang dan hak asasi kemanusiaan dicabuli. Mama lantang bersuara ketika itu.
Walaupun akhirnya tuduhan itu hanyalah retorik yang didalangi oleh politikus desperados yang gagal memancing undi dan meraih sokongan rakyat. Tapi kuatnya semangat mama dalam menegakkan kebebasan beragama, hak bersuara dan kesamarataan kemanusiaan memang kental. Mustahil pula apa yang aku lakukan ini tidak masuk dalam percaturan mama.
“Maafkan mama, Valerie. Mama tahu kau telah dewasa dan mampu membuat justifikasi sendiri.” Tiba-tiba aku dengar bisikan suara yang seakan tidak dipercaya. Mama memandang mataku sambil tangannya terus memautku seakan tidak mahu melepaskan. Mungkin mama rasa bimbang akan kehilanganku nanti.
Oh, ya! Aku satu-satunya anak mama. Lupa aku untuk menggunakan alasan itu bagi memenangi hatinya. Aku senyum sinis sambil berharap ini boleh kugunakan sebagai senjata utama.
Satu kucupan dilepaskan ke dahiku. Spontan pula aku membalas kucupannya itu. Kuletakkan kedua ranum bibirku ke pipinya. Aku statik seketika. Perasaanku masih bercelaru antara percaya atau tidak. Cuba membuat tafsiran apakah erti tangisan dan kucupan itu. Namun jelas sentuhan mama itu tulus. Aku mula bersyukur, lebih-lebih lagi pada ketika orang sering berbahas tentang indoktrinasi agama, diskriminasi kaum, kebejatan sosial dan liberalisasi sejagat. Mama nyata boleh berfikiran waras.
“Terima kasih, mama. Terima kasih memahami. Mama tak melakukan apa-apa kesalahanpun, malah Val yang harus menuntut maaf.” Aku membalas pautannya.
Mama merayap ke baby bump sulungku yang mula menonjol. Aku tenung dan senyum sambil air jernihnya terus mengalir. Dia elus-elus perutku. Irisku juga tidak mampu membendung Niagara menuruni jeram.
“Cucu mama akan sentiasa berada di samping nendanya nanti.” Pasrahku dalam sebak. Sebagai proksi, walaupun aku berlainan agama, namun hubungan anak dan ibu tidak berubah. Itu yang Ustazah Romzah tekankan kepadaku.
Mama makin merapatkan tubuhnya ke perutku. Kulihat di tangan mama sebuah makalah yang menerbitkan artikel tulisannya. Ya, mama memang suka menulis dan melontarkan pandangannya kepada khalayak. Inti pati tulisannya berkisar pasal kebebasan hak individu, kemanusiaan dan keamanan sejagat. Ya, tulisan adalah apa yang lahir dari hati kita. Selaut syukur terhampar di dadaku apabila mama mengotakan apa yang selalu dicanangkannya.
Inilah detik cukup bermakna kepadaku. Detik yang aku paling bimbang dan risaukan akhirnya berlalu tanpa kata mampu kunukil. Aku curi pandang pula pada raut wajah papa yang selamba, seakan tiada gempita yang bergaung di lohong dadanya. Tapi keselambaannya itulah yang membuatkan aku tenang.
Sekonyong-konyong ingatanku mampir ke negara tetangga, Myanmar. Suatu ketika pemimpinnya lantang berkokok atas dasar hak kemanusiaan hingga dinobatkan sebagai pemenang hadiah nobel keamanan dunia. Tapi setelah dapat apa dihajat, hampeh. Huh!
Namun, mama tidak sekejam itu. Aku tak pasti adakah hatinya sudah turut berubah atau termakan dengan tulisannya sendiri. Ya, aku bersyukur, kerana kalau tidak banyak, sedikitpun berkesan juga fahaman kemanusiaannya. Paling minimum untuk dirinya sendiri. Mama layak menerima anugerah tertinggi.
Penderitaan dan penganiayaan ke atas kaum Rohingya dan Kichin di Myanmar amat memilukan. Penghapusan etnik secara terancang itu hanya dapat diperhatikan sahaja oleh umat Islam dan dunia keseluruhannya.
Terasa sakit benar hati dan perasaan melihat kejadian seumpama itu. Begitukah juga negaraku yang kucintai ini? Semua maklum, walaupun majoriti penganutnya Islam, namun masih banyak kemungkaran yang mampu ditangani tidak diatasi. Aku bermeditasi sambil membayangkan masa hadapan yang belum pasti.
Lihat sahaja bagaimana bobroknya polisi masyarakat Islam yang dicanangkan ke sana sini, masih gagal dijadikan model umat. Rasuah berleluasa, penyalahgunaan kuasa masih bermaharajalela dalam pelbagai institusi, hatta yang melibatkan golongan agamawan sendiri.
Seringkali benar kita tatap di dada akhbar, penangkapan orang kenamaan yang terlibat dengan salahlaku berprofil tinggi. Lebih menyedihkan lagi apabila badan-badan yang disandarkan kepercayaan seperti jabatan agama, SPRM dan polis turut terlibat dengan kegiatan tidak bermoral itu.
Terdetik di hatiku bagaimana tazkirah Ustazah Romzah kepada kami saudara baharu, peri mustahaknya kita membasmi kemungkaran. Segalanya terletak di bahu anak muda seperti kami. Ah!
“Kita ini ibarat satu badan, jika salah satu sakit, maka akan sakitlah semua.” Suatu tamsilan yang menyatakan betapa antara kita ini begitu kuat ikatannya. Maka jika ada dalam kalangan kita yang melakukan kesilapan atau kemungkaran, jadi tanggungjawab sesama Islam untuk menyelesaikannya.
Ya Allah, Kau berilah aku kekuatan untuk melaksanakan peranan sebagai Muslimah sejati. Untuk keluargaku, mama dan papa yang belum terbuka lagi pintu hatinya, Kau berikanlah hidayah-Mu.
Aku tatap dan revisi satu persatu perjalanan hidup silamku dan hari mukaku yang penuh cabaran. Masih ada waktukah aku membebaskan diri daripda segala noda dan dosa itu?
Aku lihat banyak kemungkaran yang belum diatasi meskipun lebih enam dasawarsa negaraku merdeka. Entah bilakah agaknya hijrah sebenar dapat direalisasikan. Alhamdulillah, kini aku merdeka dari belenggu ideologi yang selama ini aku tidak ketahui. Sesuatu yang kuanggap sebagai titik mula untuk suatu perjuangan.
Serentak dengan ini, Tuhan telah memberikan aku hidayah berhijrah dari kegelapan ke alam yang lebih cerah. Penghijrahan yang memberi seribu erti. Namun, di bahuku, tersedia tanggungjawab lebih berat untuk kutangani. Semoga amanah ini akan dapat kulunasi sebaiknya. Amin. – Mingguan Malaysia
Hijrah merdeka
- Oleh Nurimas SN
- 13 Ogos 2023, 5:05 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Selamat hari lahir Kartini
14 Januari 2024, 5:37 pm
Buku yang hilang
31 Disember 2023, 6:05 pm
Pemain silap mata lupa silap matanya
17 Disember 2023, 4:34 pm