MAKSUD perkataan ‘harus’ turut menggambarkan ketegasan dan bukan hanya bererti wajib atau mesti semata-mata. Adakalanya apabila seseorang itu mengatakan harus, ia sudah cukup menunjukkan keazaman atau tekad bagi memastikan matlamat atau impian tercapai.
Ada banyak frasa ayat yang menggunakan perkataan harus. Begitu juga dengan judul sesebuah karya termasuk teater tari bertajuk Harus: Keanggunan Yang Abadi yang dipentaskan baru-baru ini.
Harus ada nilai yang mahu disampaikan kepada penonton dan bukan sekadar persembahan sebagaimana sangkaan awal saya.
Teater tari arahan Dida Malik ini mempunyai maksud ringkas dan padat untuk disampaikan kepada penonton.
Persembahan yang menggabungkan pengaruh tradisional dan kontemporari ini dalam masa sama menghidupkan semula keindahan seni tarian tradisional Melayu.
Dengan terbahagi kepada dua bahagian, teater tari ini menceritakan betapa pentingnya mengenal asal usul terutama dalam hal berkaitan tarian tradisional pada segmen pertama bertajuk Yang Lama Di Lupa Jangan.Bukan sekadar itu, Dida juga cuba membawa penonton ke alam masyarakat zaman 60-an sehingga 90-an yang cukup mudah untuk bergaul dan melakukan pelbagai aktiviti bersama tanpa mengetepikan jati diri.
“Walaupun saya dibesarkan dalam keluarga yang moden, tapi kami ditekankan dengan perkara asas dan kefahaman sebagai orang Melayu dan Islam.
“Kami diajar jati diri, solat dan berpuasa selain nilai sopan santun,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Dia dalam masa sama berkata, masyarakat hari ini semakin terhakis nilai moral dan kesederhanaan.
“Kita lupa untuk berhenti seketika dan mengambil nafas. Tidak tahu apa yang kita kejar atau dikejar. Dalam beberapa perkara, apa yang boleh saya katakan kita semakin tertekan,” jelasnya.
Di samping itu, dia yang merupakan peminat tegar penyanyi Anita Sarawak dan Anneka Gronloh turut merakamkan penghargaan kepada kedua-dua legenda ini menerusi iringan lagu mereka.
Untuk segmen kedua pula, Dida memberi kebebasan kepada penonton untuk menafsirkan maksud di sebalik persembahannya.
“Persembahan untuk segmen kedua semuanya tentang diri anda dan apa yang anda mahu jadi serta apa yang berlaku kepada anda.
“Segala-galanya mengenai diri anda. Saya percaya setiap manusia sangat bertuah kerana dilahirkan dalam agama mereka sendiri. Jika tidak kita umpama terumbang ambing tidak kuat sebab tiada pegangan (agama) yang kukuh,” jelasnya.
Persembahan teater tari ini mengambil masa selama lebih satu jam ini turut disertai lebih 11 penari daripada kumpulan DiDance; Suvarne Fine Arts dan Henrick of Dua Space.
Ketika ditanya tentang idea, Dida berkata, semuanya bermula sejak sebelum penularan wabak Covid-19 dengan nama asalnya Arus
“Namun, pada ketika itu, Harus terpaksa ditangguhkan.Saya berjanji ia akan dipersembahkan sebaik saja keadaan pulih semula.
“Apabila keadaan pulih, saya terpaksa mengetepikan rancangan saya untuk memberi laluan kepada Gerak Angin – The First Virtual Arts Festival 2020 selain pelbagai aktiviti lain,” ujarnya.
Tambahnya, pada Mac lalu, barulah dia mempunyai ruang dan peluang untuk menyambung semula karya yang tertangguh sebelum ini. – Mingguan Malaysia
Harus tunjuk nilai, unsur tradisional
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOF BAKRI
- 6 Ogos 2023, 4:48 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am