Buah tangan Japrol - Utusan Malaysia

Buah tangan Japrol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nama Japrol tiba-tiba menjadi sebutan! Bukan pujian! Bukan sanjungan!
Sebaliknya Japrol terus menerima cemuhan dan tohmahan. Setiap hari dia disindir dan diperli. Setiap hari dia dikutuk dan dihina.
“Kau ini manusia yang tidak ada pendirian. Manusia yang tidak ada pegangan.”
“Kamu nak berkawan dengan siapa? Dengan lembu kerbau? Dengan hantu jembalang?”
“Suatu hari nanti kamu akan disisih. Kamu akan dipulau. Kamu akan menyesal.”
“Mu nak hidup seorang diri. Pergilah hidup dalam hutan cerang. Pergi. Pergilah hidup dipulau.”
Japrol hanya diam.  Dia tidak menjawab sindiran Hanopi. Dia tidak bertindak dengan herdikan Pajori. Dia hanya tersenyum. Keningnya berkerut. Mukanya mencuka. Tapi hatinya membujuk.
Sabarlah Japrol. Orang yang penyabar selalunya akan menang.
Paling tidak, jika Japrol tidak tahan sangat dengan caci maki.
Tidak tahan dengan kata kata dan hujah yang begitu keras, Japrol bangun dari kerusi di kedai nasi berlauk Pak Da Zuha. Dia balik ke rumah. Selesai solat Asar, dia turun ke baruh mencerut rumput. Lembu miliknya seramai 11 beranak, tidak akan dibiarkan lapar.
“Daripada melayan manusia yang tidak berhati perut, lebih baik aku layan lembu. Ada juga hasilnya juga.” Rungut Japrol.
Setahun sekali, lembu peliharaannya dijual kepada orang ramai, untuk buat ibadah korban. Dia hanya menjual RM700 untuk satu bahagian atau RM4,900 seekor.
Ketika dia menguar-uarkan untuk menjual lembu untuk ibadat kurban, ramai yang mengutuk dia.
“Lembumu tak akan laku Japrol. Orang kampung tak akan membeli untuk buat korban.
“Harga yang kau letak itu sangat mahal.” Kutuk Hanopi.
Japrol diam. Tetapi di masjid Pusu 40, Tok Imam Haji Mustafa dalam kuliah subuhnya menggariskan dengan jelas syarat-syarat seekor lembu untuk ibadah korban.
“Kalau hendak buat ibadah korban, carilah lembu, kerbau atau kambing biri-biri yang gemuk, tidak cacat dan tidak dilepas bebas memakan tanaman orang.”
Sehari selepas itu berpuluh puluh orang mencari Japrol. Mereka tahu lembu Japrol memenuhi kriteria yang disebut oleh Tok Imam Haji Mustafa. Japrol memelihara lembu di dalam kandang.
Hanopi semakin meluat dengan Japrol.  Hanopi pun membuat perancangan.
Satu ceramah parti gugusan dirancang di tanah kosong berhadapan dengan rumah Japori.
“Biar dia tahu, dia pun rakyat negara ini. Dia mesti berparti. Dia mesti menyokong parti gugusan. Hidup dan mendapat nikmat, tetapi tidak tahu berterima kasih.”
Japrol tidak berkata apa-apa. Dia tidak membantah, kerana dia tahu, tanah kosong itu tanah milik kerajaan. Dia tidak akan lari. Dia tidak berganjak.
Dia mendengar ceramah itu dari awal hingga tamat. Dia menghayati, biarpun dia tahu kata-kata daripada penceramah jemputan itu banyak menyindir dia.
“Jangan dilayan manusia yang bersifat seperti kera sumbang. Manusia yang menyendiri. Manusia yang keras kepala.”
Kadang-kadang Japrol terasa juga sebak dan kecewa. Tempat Japrol meluahkan rasa dukacita hanya kepada Pak Da Zuha.
“Aku bukan tidak mahu menyokong sebarang parti seperti Hanopi kata.
Tapi aku menghormati semua parti. Parti segugus yang Hanopi sokong amat molek. Parti seberkas yang Pajori bawa juga molek. Parti segenggam yang Pak Su Daud sokong pun molek.” Keluh Japrol
“Tapi aku mahu berkawan dengan semua orang. Aku tak mahu mencari musuh. Aku orang susah. Aku orang terpinggir.”
Kemarahan Hanopi, dan Pak Su Daud kepada Pajori bertambah parah apabila Japrol menghadiahkan seekor anak lembu, sebagai hadiah rebutan untuk kejohanan bola sepak tujuh sebelah di padang Sekolah Kebangsaan Pusu 40.
Bukan sahaja Japrol yang dimarahi, malah Muhammad Irfan sebagai penganjur juga mendapat tempias.
“Kamu anjurkan bola sepak ini mewakili parti mana?” herdik Hanopi.
“Memandai-mandai anjur bola sepak, tak dimaklum langsung kepada aku. Aku ini Ketua Pemuda di sini.” Tengking Pajori.
“Pandai kamu pujuk Japrol untuk dapatkan hadiah.” Pak Su Daud pun tidak berpuas hati.
Sehari semalam Muhamad Irfan dalam kesedihan. Rasa kesal dan takut bercampur baur. Malam itu, dia tidak lelap tidur. Tempat dia mengadu hanya pada Japrol.
“Aku kan ada Irfan. Aku teguh di belakang kamu. Buatlah berapa banyak program lain lagi.
“Aku sokong kamu dengan budak-budak belia lain.” Tegas Japrol.
Ketika gerakan program menaikkan bendera parti oleh Hanopi, Pajori dan Pak Su Daud, Japori, Muhamad Irfan dan budak-budak beliau Daerah Pusu 40 tidak endahkan.
Ada perancangan lain sedang mereka fikirkan.
Ketika parti-parti pimpinan Hanopi, Pajori dan Pak Su Daud telah menetap tarikh dan masa untuk pemasangan bendera, Japrol juga ada perancangan yang lain.
Parti pimpinan Hanopi menetapkan pemasangan bendera merah putih pada hari Jumaat. Mereka mengambil berkat penghulu segala hari.
Para penyokong parti segugus berkumpul di hadapan markas parti.
Bertimbun-timbun batang buluh minyak sepanjang enam kaki telah dipunggah oleh para penyokong.
Beratus-ratus penyokong juga sudah bersedia untuk berkhidmat secara sukarela.
Begitu juga Pajori yang memimpin parti seberkas. Para penyokong mereka juga telah bersedia.
Dengan mengibarkan bendera kuning dan hitam, mereka bersekang mata menunai tanggung jawab pemasangan bendera.
Parti pimpinan vateran Pak Su Daud juga begitu. Bersiap dengan bendera hijau. Dengan slogan, hijau itu alam semula jadi, gerakan memasang bendera pun bermula.
Saat itu jugalah Japrol dan Muhammad Irfan serta anak-anak muda berkumpul di halaman rumah Haji Masduq, ayah Muhammad Irfan.
Sehingga tengah malam himpunan anak-anak muda itu berlangsung. Mereka pun menyusun agenda.
Selepas fardu Asar petang Ahad, Japrol, Muhammad Irfan serta puluhan anak muda berhimpun kali kedua. Satu perbincangan bermula.
Setengah jam selepas itu pembahagian tugas diputuskan: Japori mesti ke Kota Imbangan dengan Ghupi yang memiliki sebuah van berpagar kayu.
Ikut sama ke Kota Imbangan ialah Maman, Daukun dan Pitihah. Mereka bertolak selepas maghrib.
Tugas Muhammad Irfan pula, bersama Juasah dan Kamadir bergegas ke Bukit Kecubong, 15 kilo meter dari Peka Pusu 40.
Di kaki bukit yang tertinggi daerah ini, sedia menunggu beberapa orang anak muda yang telah lengkap dengan parang dan golok.
Semua barangan yang ditempah telah sedia untuk diserah.
Kerja-kerja pemunggahanpun bermula, Menjelang Isyak barangan yang ditempah telah bertimbun-timbun.
Malam itu misi Japrol dan Muhammad Irfan pun bermula sehingga pagi.
Grup Japrol dan Muhammad Irfan bergabung. Menjelang tengah malam operasi besar-besaran pun bermula.
Mereka berpecah kepada lima kumpulan. Kumpulan Japrol menuju Pekan Pusu 40. Kumpulan Muhammad Irfan menuju ke jalan-jalan utama.
Kumpulan Maman menuju ke kawasan desa dan kampung.
Kumpulan Kamadir memfokas Lorong-lorong dan jalan kecil manakala kumpulan pimpinan Daukun membawa segala perkakas, peralatan dan makan minum.
Pagi Isnin penduduk Pekan Pusu 40 tiba-tiba terpegun. Doktor dan jururawat di Klinik Kesihatan Besar Daerah Pusu 40 ternganga kehairanan. Guru-guru dan murid Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah Pusu 40 melompat bersorakkan.
Para jemaah fardu subuh Masjid Pusu 40 menggaru kepala. Pelanggan tetap kedai nasi berlauk Pak Da Zuha tersembul biji mata.
Mereka masing-masing berbisik sesama sendiri. Bisikan mereka kemudian menjadi lantang. Merebak dari satu mulut ke satu mulut, Merebak dari satu premis ke satu premis.
Merebak dari satu rumah ke satu rumah, Merebak dari satu Lorong ke satu Lorong. Dan perbincangan yang paling hebat adalah di kedai nasi berlauk Pak Da Zuha.
“Kerja siapa semua ini?” Kuni memulakan pertanyaan.
“Banyak wang mereka keluarkan.” celah Sodik.
“Tentu ramai yang terlibat. Cepat betul mereka buat kerja.” Sambung Pein.
Pak Da Zuha hanya tersenyum dan perlahan-lahan dia bersuara.
“Ni semua kerja sukarela. Kumpulan mereka mempunyai semangat yang kental. Mereka memiliki ketahanan diri yang tinggi. Mereka tidak ada kepentingan peribadi.
“Mereka mempunyai sifat mulia dan kerja mereka, kerja sukarela. Mereka tidak meminta upah dan bayaran. Mereka sedang memacu semangat yang berkobar-kobar.”
“Tapi mereka ini, puak mana Pak Da Zuha?” Tanya Domat.
“Puak kampung kita juga.” Jelas Pak Da Zuha.
“Puak Hanopi? Puak Japori? Puak Pak Su Daud?” Desak Domat mahukan penjelasan
Pak Da Zuhal tersenyum sinis. Dia mengeleng kepala.
“Bukan.” Pak Da Zuhal mengulangi kata-kata itu beberapa kali.
“Semua kerja-kerja ini dari Japrol dan Muhammad Irfan.” Jelas Pak Da Zuha.
Kuni, Sodik, Pein dan Domat terangkat punggung dari kerusi.
Dia amat terkejut. Tetapi yang lebih terkejut adalah Hanopi, Pajori dan Pak Su Daud. Mereka semacam tidak percaya. Mata mereka berpinar-pinar.
Mereka bertiga seperti terkena henjutan dawai letrik. Mereka terlopong dan tidak dapat berkata apa-apa.
Mata mereka terbeliak bila seluruh Pekan Pusu 40, semua pagar-pagar sekolah, pagar klinik, pagar masjid, bahu-bahu jalan, lorong-lorong dan rumah-rumah serta premis perniagaan sedang berkibar gagah bendera yang memiliki14 jalur merah putih, bulan sabit serta bintang 14.
Jalur Gemilang sudah menawan keseluruhan pekan dan kampung dalam Daerah Pusu 40. Jalur Gemilang berkibar gagah. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya