Musim durian bertandang lagi. Kiri kanan jalan raya menuju ke pekan Tangkak orang menjual durian. Pelbagai ragam promosi raja segala buah dipertontonkan. Masing-masing cuba menarik perhatian pengguna jalan raya untuk singgah sebentar. Lambakan durian menjadi daya tarikan baharu di desaku.
“Jangan mentertawakan angan-angan Mat Jenin abah.”
Tiba-tiba abah teringin menukar gubuk usang menunggu buah durian kepada warung kopi dalam dusun durian. Mungkin terinspirasi dengan besan Eropahnya. Tanah warisan yang tidak pernah menghampakan setiap kali tiba musim durian.
Setiap kali rakan-rakan kampungnya datang memborong durian, masing-masing ingin mencicip terus kopi o 434 panas-panas buatan emak. Sedapnya itu datang dari sumber air sungai berhampiran yang belum tercemar, lalu dimasak menggunakan kayu bakar serpihan dahan durian.
“Ada baiknya kau buka warung dalam kebun ini. Adik kau, Lamah, kau ajak sekali menjadi rakan kongsi.”
Tertawa lepas teman-teman abah. Mengusik sahaja mereka tanpa henti-henti sambil mengopek durian bersulamkan cerita angan-angan yang tak pasti jadinya.
Abah yakin dan cukup menyedari betapa pentingnya anak-anak diberi pelajaran secukupnya. Setiap kali melalui denai berturap tar yang membelah kebun durian berhampiran pasar tani, pastinya masyarakat sekitar tidak pernah jemu mengalih perhatian ke arah rumah sekolah berdekatan.
Sesekali terdengar suara nyaring guru yang sedang mengajar menerawang ke kuping. Terkuak lepas pada lapisan kenangan segar bagaimana gaya segak abah menaiki Vespa kuning untuk pergi mengajar. Segala rakaman di minda berputar ligat seperti gasing gergasi buatan Pak Usu adik abah.
Senang benar diriku bermain dengan masa lalu dengan mengingati bagaimana tegas dan garangnya abah dengan anak sendiri dan anak-anak didik.
“Itulah cara lama orang lama bekerja.”
Aku amat terkesan dengan babak-babak langka di luar jangka saat anak-anak didik abah mengulang bicara tentang sifat mulianya. Setiap kali ada berita duka tentang masyarakat sekitar sekolah yang meninggal dunia, pelajar lelaki akan mengayuh basikal ataupun berjalan kaki menuju ke rumah yang jenazahnya sedang diurus. Mereka akan menjalani latihan praktikal solat jenazah. Begitu juga dengan solat Jumaat. Nama pelajar yang tidak hadir akan naik pada hari perhimpunan. Semuanya atas arahan abah yang mengetuai delegasi aktiviti rumah sekolah. Abah orangnya berbadan kurus, tinggi lampai serta terkenal segak dan bergaya. Selain bersuara keras, dia cukup sinonim dengan baju kemeja putih, berseluar hitam serta bersongkok. Rata-rata ibu bapa yakin dengan bimbingan dan gayanya memimpin tonggak rumah sekolah.
Sesekali terasa sebak mengingat waktu lalu bagaimana gigihnya abah membawa pelajar yang berpotensi tinggi dalam pelajaran, tetapi kurang berkemampuan kerana tinggal jauh di pedalaman. Mereka yang dikenal pasti oleh abah akan diambil untuk tinggal bersama-sama di rumah kami, asalkan mereka berpeluang untuk melanjutkan pelajaran.
Abah bukan sahaja dikatakan berjaya merangka sistem pentadbiran di sekolah dengan sistematik, tetapi turut mewujudkan ekosistem pembelajaran terbaik dalam kalangan pelajar luar bandar untuk menuntut ilmu. Pilihan abah biasanya jatuh kepada pelajar lelaki. Mereka yang beruntung biasanya yang cerdik dan pintar serta terserlah dalam kegiatan kokurikulum seperti terpilih untuk memasuki pertandingan membaca al-Quran dan syarahan agama peringkat daerah.
Ibu bapa pelajar yang kurang berkemampuan untuk membayar yuran mengaji al-Quran boleh sahaja setiap hari datang ke rumah. Belajar secara intensif di sudut anjung dengan dibantu emak. Mereka bebas tidur di gubuk durian sekitar kebun untuk menghafal tugasan dan menyudahkan kerja sekolah.
“Musim buah durian luruh paling dinanti-nantikan. Masing-masing akan merasai kenduri durian kerana suasana sekitar rumah abah juga dipenuhi dengan rimbunan pepohon durian.”
Abah juga dikenali kerana sikap adil dan tidak pernah memihak kepada yang lain sekiranya berlaku sebarang pertikaian dan masalah. Semuanya akan disoal siasat sehingga ke akar umbi, hatta hingga kepada perkara remeh seperti pelajar perempuan menerima surat cinta daripada orang luar yang dialamatkan di sekolah. Mungkin perkara ini agak lucu, tetapi abah ingin tahu duduk perkara yang sebenar.
“Rakan-rakanku pasti berdekah-dekah tertawa tanpa putus, saat mengingat gelagat dan sikap abah.”
Ada sahaja yang dibicarakan saat bertemu di meja kopi. Mereka kerap mengulang dan menyingkap tabir lama abah ketika sesi suai mesra rakan sekelas sewaktu lebaran lalu. Rumahku menjadi sasaran. Mengusik agar aku menukar lokasi rumah yang dikelilingi dengan pohon durian sebagai cawangan kedua rumah kopiku.
Aku cuma tertawa dengan cadangan itu. Memang benar, abah banyak menanam pokok durian. Kerap kali abah mengatakan hasil yang ditanamnya bukan untuk dituai sekarang. Tetapi untuk generasi akan datang. Mereka yang terbabit ingin mengingat saat mengaji dan menghafal skrip syarahan yang disediakan oleh abah.
Kini, semuanya sudah beranak-pinak, tetapi masing-masing dengan ingatan yang segar ingin membawa cerita zaman silam ketika abah mula menaiki Vespa kuning. Bukan sahaja ketegasan ketika mendidik, tetapi sifat dedikasi, ikhlas pada tugas dan sanggup berkorban wang ringgit, jiwa dan raga ketika menyampaikan seberapa banyak ilmu di dadanya yang membuat pelajar seangkatanku ingin kembali berkumpul di rumah abah bagi mengenang keindahan masa lalu.
Pembongkaran kisah silam tentang kebaikan abah tidak pernah aku ketahui. Aku bersekolah di asrama penuh jauh di Kluang. Sesekali abah dan emak datang dengan menyewa teksi. Kemudiannya, aku meneruskan pengajian sehingga ke tahap sarjana jurusan pengurusan perniagaan di kota Leuven, Belgium. Ya, bertahun lamanya menapak denai batuan keras di Katholieke Universiteit Leuven untuk menyelesaikan setiap tugasan pengajian.
“Banyak betul dugaan ketika menuntut di luar negara. Besarnya perbelanjaan, kerasnya cabaran sehinggakan kadang-kadang terputus bekalan kewangan.”
Memang banyak perkara dalam hidupku tidak dikongsikan dengan orang tua. Bimbang mereka risau. Dalam diam aku secara santai memohon pekerjaan sebagai pembancuh kopi bagi menyara kehidupan yang semakin keras menguras wang. Semuanya aku rahsiakan.
Aku mula belajar dengan serius untuk menjadi pembancuh kopi yang hebat. Pelbagai jenis aksesori pembancuh kopi dan mesin pembancuh kopi elektrik dipelajari. Aku mula dikenali sebagai pembancuh espresso Italian coffee, barista cappuccino dan mocha latte yang sedap.
Aku sentiasa pastikan hanya kualiti biji kopi terbaik dengan dos dan suhu air digunakan benar-benar mengikut piawai yang betul. Faktor sampingan lain termasuklah menjaga kebersihan peralatan mesin kopi dan persekitaran kerja sentiasa dalam keadaan sangat bersih.
“Kombinasi di antara irama ghazal pujaan abah pastinya Sri Maharani Ghazal Muar dan dentingan piano komposer pujaanku Wolfgan Amadeus Mozart berirama lembut sentiasa menjadi santapan halwa telinga pengunjung Coffee & Waffle. Sesekali pada hujung minggu diadakan persembahan penghibur jalanan.”
Aku mengembara ke seluruh Eropah dengan menggunakan wang poket sendiri, menuai pengalaman, tanpa menyusahkan orang tua di kampung. Kerajinan dan sikap jujurku secara tidak langsung berjaya memikat hati tuan punya Coffee & Waffle tempat aku mencari rezeki sampingan.
Kini, aku sudah menemui belahan jiwaku dengan anak tempatan sewaktu meneruskan pengajian. Rumah agam suri hatiku sudah menjadi saksi janji suci kami. Coffee & Waffle sudah diamanahkan kepada kami berdua oleh mertuaku.
Pada waktu musim panas ramai datang untuk mencicipi kopi panas sambil makan Belgian Waffle. Aku juga menyediakan menu Asia terutamanya nasi lemak dan ubi rebus untuk masyarakat tempatan. Sesekali aku buat kuah pulut durian. Pes gula durian aku datangkan khas dari kebun orang tuaku di kampung. Ternyata ramai peminat untuk masakan menu Asia yang aku sediakan berbeza-beza saban hari.
Konsep perniagaan campuran di antara Barat bertemu Timur ini disokong oleh kehadiran pelanggan yang tidak putus-putus. Tiada masalah untuk mendapat bekalan bahan mentah untuk setiap menu Asia yang disediakan. Penggemar kopi dan masakan Asia semakin meruap mendatangi Coffee & Waffle papa mertua.
Cabaran yang paling besar bagaimana aku ingin memantapkan lagi legasi perniagaan keluarga Coffee & Waffle di Leuven dan cawangan kedua yang aku namakan sebagai Rumah Kopi Kebun Durian di kampung halamanku.
Nah! Ternyata angan-angan abah berhasil. Abah mewarisi kebun durian arwah atuk yang agak luas. Sudah terdapat banyak pokok tua yang saban tahun berbuah lebat. Selain durian kampung, ada juga musang king, udang merah, D24, duri dalam dan duri hitam.
Aku turut menyediakan ruang santai untuk rekreasi dan menekuni pelajaran. Secara kebetulan kebun durian keluargaku berhampiran dengan sekolah dan sebuah universiti tempatan. Kemudahan jalur lebar internet disediakan bagi membolehkan pelangganku melekat dengan aroma kopi setanding Coffee & Waffle.
Ijazah dalam bidang pengurusan perniagaan banyak membantu kerjayaku. Peminat kopi mengatakan aku berjaya merencanakan sebuah rumah kopi idaman pelanggan yang menarik sambil menikmati suasana kebun durian yang terjaga rapi.
Aku tumpang gembira melihat ramai bertali arus datang dan pergi kerana menggemari konsep baharu rumah kopiku. Kehadiran mereka ke rumah kopi di kampung halamanku menjadi terapi dan penawar kepada kehidupan masa silam abah yang kerap didatangi anak didiknya. Abah sudah tidak mampu lagi untuk bergerak cergas seperti biasa dan hanya bergantung hidup kepada emak dan orang kepercayaanku untuk mengurus rumah kopi.
Menurut emak, darah perniagaan dalam diriku hadir daripada kegigihan arwah atuk yang sebelum zaman pendudukan Jepun ke Tanah Melayu pernah mengusahakan warung kopi yang terkenal di pekan tempat tinggal ibuku.
Namun warung itu terpaksa bertukar tangan dan tinggal kenangan setelah atuk meninggal dunia. Aku rasa kombinasi keluarga di antara dua benua ini saling lengkap-melengkapi.
Keluarga Eropahku pula lebih kerap mengunjungi abah dan emak kerana jatuh cinta dengan kelestarian dan kebaikan layanan keluargaku di sini.
Papa dan mama mula jatuh cinta dengan Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian spesies tumbuh-tumbuhan. Sekali gus seolah-olah papa mama pula menjadi mentor kepada pekerja abah di rumah kopi dan memperkenalkan menu wafer sebagai tarikan baharu.
Secara tidak langsung aku pula boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap Coffee & Waffle. Alangkah indahnya hidup ini berbahagi kebahagiaan. – Mingguan Malaysia
Rumah kopi kebun durian
- Oleh Saadah Jaffar
- 23 Julai 2023, 5:07 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Selamat hari lahir Kartini
14 Januari 2024, 5:37 pm
Buku yang hilang
31 Disember 2023, 6:05 pm
Pemain silap mata lupa silap matanya
17 Disember 2023, 4:34 pm