Rahim mahu pulang - Utusan Malaysia

Rahim mahu pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dahulu Rahim selalu pulang ke kampung. Menyelusuri bendang, sawah, surau dan belukar-belukar yang mengandungi seribu satu kenangannya. Namun sejak Rahim bersama Minah, sudah lama Rahim tidak pulang ke kampung. Kata orang Rahim sudah sesat di kota. Tetapi ibunya Rogayah enggan mendengar kata-kata orang. Dahulu pernah juga Rahim bersama dengan Lucy, Mek dan Lydia. Juga kerap mereka sesat di kota, tetapi Rahim tetap jumpa jalan pulang ke kampungnya, Kadang-kadang dua minggu, tiga minggu mereka sesat. Akhirnya, ada juga Rahim menampakkan mukanya di kampung. Namun kini sudah masuk enam bulan, Rahim tidak juga nampak batang hidungnya di Kampung Sejahtera ini. Mungkin Rahim sudah benar-benar sesat atau kebarangkalian terburuk Rahim telah pun meninggal dunia. Nauzubillah.
Rogayah meraung-raung memanggil nama Rahim setiap senja. Waktu dahulu Rahim kerap menjengah dia semasa Maghrib, sekarang dari Maghrib membawa ke Isyak berlanjutan ke Subuh, Rahim tidak juga muncul. Mungkin benarlah kata orang Rahim telah meninggal dunia. Rogayah tidak mahu cepat surut harapannya, dia masih mengharapkan Rahim pulang, biarlah kata orang dia membesar-besar atau berlama-lamaan dalam penafiannya. Dia tidak peduli.
Suatu petang, Rogayah nampak Rahim diam-diam menyelusup di balik semak, menuju ke kepala pili di belakang rumahnya. Dia mengintip Rahim mengambil wuduk, tetapi agak pelik cara wuduknya bermula kaki, kemudian muka, meninggalkan kumur dan ditambah dengan memasukkan air ke dalam pusatnya. Apabila dia perasan Rogayah sedang mengintai, dia cepat-cepat lari meredah semak dan kembali hilang entah ke mana.
Ibunya, Rogayah berjaya menyelusup semak samun. Berlari walau berhinjut tidak mempedulikan lututnya yang sakit. Rasa kasih merembes dan melimpahkan enzim endrophin ke seluruh pelosok urat nadinya. Dia menangkap kaki Rahim yang terkial-kial melepaskan semalu yang mengait kulit dan kaki seluarnya. Dalam rembang senja menginjak malam itu. Dia melihat, Minah berjalan perlahan meninggalkan dirinya. Dia mahukan Minah dan dia ingin sesat lagi. Pada masa sama, dia juga sayang kepada ibunya Rogayah.
Rogayah menarik Rahim perlahan. Rahim tidak menentu. Dia lihat wajah ibunya yang berkedut seribu itu. Timbul rasa kasihan tetapi pada masa sama, dia mahukan Minah seperti mana dia mahukan Lucy, Adreana dan Mek sebelum itu.
Rogayah menceduk segayung air dan menjirus kepala Rahim setiba di kolah luar rumah mereka. Dingin air itu menggigit setiap inci kulitnya. Batang tubuh Rahim begitu banyak susut berbanding sebelum dia hilang sebelum ini.
Gayung kedua ibunya siram beserta bacaan Surah Tiga Qul dan doa selamat diminta dipulihkan semangat anak lelakinya itu. Penuh kesedaran Rogayah mengakui dia hanya mampu berdoa dan mengharap. Selebihnya bergantung kepada kuasa Allah dan kekuatan Rahim dalam melawan dan mengawal gejolak jiwanya.
Sejak kejadian itu Rahim jarang-jarang terlintas untuk keluar dari kampung lagi. Dia sudah nekad untuk berada di Kampung Sejahtera ini. Walau kerap dia merasa muak dengan nuansa-nuansa malap dan mendatar di kampung ini. Dia paksakan juga untuk terus berada di kampung ini. Kata ibunya, ini hanya sementara kelak kampung ini akan berubah. Malahan kampung ini akan menjadi lebih indah dari tempat-tempat yang pernah dia kunjungi dahulu.
Rahim menguntum senyum pahit setiap kali ibunya bersyarah tentang harapan dan keindahan masa hadapan.
Suatu malam sedang dia bermenung memerhati bumbung dengan pandangan kosong. Minah datang menegur dari luar rumah. Dia membuka jendela. Minah datang bersama seorang teman yang Rahim tidak pernah jumpa sebelum ini. Minah memperkenalkannya nama Halimah. Minah memujuk Rahim untuk mengikutinya ke kota.
“Marilah Rahim, kita ke kota lagi,” Minah memintal hujung rambutnya dengan hujung jarinya yang tirus.
Rahim kekok menatap wajah dan menyeluruhi wajah Minah dalam abas-abas cahaya bulan berlawan dengan gelap malam. Halimah, gadis dengan tudung singkat itu tidak berkutik sedikit pun, juga tidak bersuara, hanya menunduk di belakang Minah.
“Aku sudah serik sesat di kota, bila di kota aku rindukan kampung tetapi bila di kampung aku rindukan sesat di kota,” Rahim mengeluh.
Minah mundur-mandir di hadapannya. Apabila sayup-sayup azan Subuh menelusuri ruang dalam kampungnya. Minah beredar dan Halimah mengikut belakangnya dengan setia.
Apabila Minah tidak datang pada sela masa yang lama. Rahim jadi lega dan dapat memberikan perhatian menjaga ibunya dan menjaga kebun sawit peninggalan arwah ayahnya.
Juga setelah kejadian hilang kelmarin juga. Rahim sudah mula teratur hidupnya. Wuduknya telah mengikut tertib sepatutnya, doanya kembali lancar dan bacaan al-Quran juga sangat tartil.
Wuduk pagi itu dingin sekali. Dia melawan rasa malas dan sengal pada urat sendi dan otot badannya. Tekaknya perit dan badannya menggigil melawan suhu badannya yang panas sementara cuaca dingin bak air batu di luar. Bening sekali, seakan semesta alam sedang menikmati kurniaan kesenyapan yang datangnya jarang-jarang ini.
Pukul 4.30 pagi, dia melengkapkan wuduk dalam keadaan teramat berat. Menunaikan solat dua rakaat dan bersujud panjang. Kantuk menjengah dilawan dengan istighfar dan penuh pengharapan pada Tuhan.
Ibunya perlahan mengelus rambutnya dari belakang tersenyum dan segera pergi. Pintu bilik mandi berkeriuk dan selang beberapa ketika kedengaran ceburan air. Waktu azan berkemundang, dia mengatur langkah longlai menuju surau.
Umurnya berlalu laju seperti air sungai menderu meredah batu dan kayu. Tiada apa yang berubah di kampungnya, Kampung Sejahtera. Walau dia tahu, labonan ibunya adalah hanya dongengan berterusan dari zaman ke zaman.
Dia ingin sekali mempercayai kata-kata ibunya itu. Jika tidak dia akan terus hidup tanpa harapan dan terperangkap dalam rasa kemalasan dan putus asa.
Pulang dari Subuh. Dia bertenggek di atas pangkin di bawah pokok mangga. Helaian-helaian daun mati jatuh ditiup semilir Tenggara. Embun masih bersisa nipis. Motosikal penduduk kampung lalu-lalang menuju warung untuk sarapan pagi sebelum mengerjakan ladang.
Dadanya sesak memerhati pusingan-pusingan kehidupan seperti setiap hari. Keinginannya untuk sesat muncul lagi. Hanya dengan sesat di kota dia dapat menikmati ketenangan kampung ini.
Rutin hariannya di kampung ini membuat dadanya sesak dan tidak keruan. Pemandangan Kampung Sejahtera begitu kosong dan tawar tidak bermakna lagi.
Dia mahu sesat di kota. Merasa peritnya mencari jalan keluar, melalui lorong hancing dan hamis dengan kemuakan, dan berkeronyok dengan emosi setiap kali bertemu dengan kekecewaan. Baharulah dia akan benar-benar menghargai dan mensyukuri makna tinggal di Kampung Sejahtera ini.
Dia perhatikan kulit tangannya mengendur, dan dadanya yang dahulu terpadat dengan lemak dan otot kini menggeleber. Matanya memandang pula betapa bongkoknya ibu yang sedang menyapu di halaman rumah. Mungkinkah dia akan pergi sebelum ibunya?
Dua tiga hari ini solatnya mula pudar khusyuknya, semangatnya untuk mengaji mengaji al-Quran mula hilang, zikirnya kosong tidak dihayati makna dan pengertian. Hatinya tergerak pada Minah juga Halimah gadis yang tidak pernah bersuara itu.
“Usah fikir-fikir lagi, mari kita ke kota, banyak gedung dan tempat baru untuk kita teroka.” Minah menegur seakan dapat membaca buah fikirnya.
“Betul di tempat aku pasti engkau suka, bangunannya lebih tinggi-tinggi, cahayanya lebih terang dan berwarna-warni, rentak muzik dan rentak gendangnya sangat asyik.” Halimah yang selama ini hadir dengan membisu, kali ini mula bersuara. Suaranya halus dan lunak. Suara yang terindah dibandingkan dengan sesiapa yang pernah dikenalinya sebelum ini.
Ibunya telah masuk ke rumah, mungkin sedang menyediakan sarapan. Rahim memandang wajah Minah dengan baju kurung putih polos dan kemudian kepada Halimah dengan blaus ranggi, dan skirt labuh pakaian gadis kota masa kini. Berbeza penampilannya berbanding kehadirannya sebelum ini.
“Kali terakhir aku sesat, hampir sahaja aku tidak dapat pulang ke kampung ini,” dengus Rahim.
Minah mengambil sehelai daun mangga yang gugur dan mencebis sedikit demi sedikit. Masing-masing diam. Minah dan Halimah, memberi ruang Rahim berlegar dalam pemikirannya sendiri.
“Sememangnya itu kita sesat bukan? Akhirnya untuk menikmati dan merindui sesuatu yang kita tinggalkan semasa penat mencari jalan pulang, itu bukankah lebih terasa syukur dan mendalam maknanya,” Minah bersyarah dan bereaksi dengan muka pahit.
“Kota juga ada mengajar mengajar benda-benda benar, oh… maksud aku, bukan perkara benar tetapi perkara salah untuk menjadi pembuktian kepada perkara benar. Menjelaskan sempadan antara benar dan salah, dengan mengetahui atau membuat perkara salah pastinya akan terjelas di mana silap dan bengkoknya tingkah dan perbuatan itu.” Batu-batu kerikil di tanah dikuis Halimah dengan ibu jari kakinya. Mengangkat sedikit skirt labuhnya dan menampakkan pangkal betisnya.
“Maksud engkau seperti cara mengangkat wuduk dengan tertib yang tunggang terbalik?” Serentak Minah tergelak bagai nak pecah perut. Sementara Halimah terkulat-kulat tidak faham hujung pangkal akan deraian ketawa itu.
“Sudahlah pergi cari orang lain, aku dah penat sesat di kota, seronok tetapi aku takut tidak jumpa jalan pulang, pergilah cari orang lain.”
“Engkau yang memanggil kami minta dipujuk, bukan kami yang mencari engkau Rahim,” Minah mencelah sebaik habis kata-kata dari Rahim.
“Bagaimana? Sedangkan aku hanya berada di sini dan tidak ke mana-mana.” Sanggah Rahim dengan bersungguh-sungguh.
“Kami dipanggil oleh pemikiran dan tingkah laku engkau, apa yang engkau lakukan saban hari, apa yang engkau mahukan dan gejolak-gejolak keinginan engkau yang memanggil kami ke mari, menjemput engkau kembali ke kota sesat,”
“Tidak !!!,” Rahim menjerit. Mujur sahaja jiran-jirannya tiada di rumah pada waktu begini. Jika tidak pasti akan menjadi pelik akan tingkah Rahim.
Dia berlari menuju ke dalam rumah mendapatkan Rogayah. Dia mesti adukan semuanya ini kepada ibunya. Segala cerita tentang Lucy, Minah, Halimah dan Mek akan dia sirahkan kepada ibunya.
Dia tidak mahu ke kota lagi, tetapi mereka yang ajak Rahim sesat di kota. Rahim mencari ibunya merata tempat, dia menjerit dari tona lembut, perlahan sehinggalah desakan kerisauan menyebabkannya dia menjerit.
Pada ketika dia mengetuk pintu bilik mandi, pintu bilik mandi berkunci dari dalam. Hingga terpaksa dia menggunakan segala kudratnya memokah pintu kayu itu. Lantas apabila pintu terbuka, dia menerkam ibunya yang sudah kaku. Pada saat dia meraung, kerlingan matanya menangkap bayangan Minah dan Halimah merenung tingkahnya dan beredar pergi. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya