MENTERA

Mantera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Satu

SENJA itu seekor belalang pelesit sesat dan hinggap di kain langsir rumah Nek Chah. Dengan langkah berhati-hati Nek Chah memanjangkan tangannya ke arah belalang pelesit itu.

Jari-jemarinya bertindak seperti jengkaut menerkam ke arah belalang pelesit itu.

‘Ah, akhirnya berjaya aku menangkap kau, pelesit,’ gerutu Nek Chah.

Setelah menangkap belalang pelesit itu. Nek Chah mencabut kepala serangga itu dari badannya. Bahagian isi perutnya itu terburai.

Ijah, cucu Nek Chah yang berusia 12 tahun lebih mesra tinggal di rumah Nek Chah. Ijah tak suka Ipin, adiknya yang suka mencari pasal dan bergaduh dengannya. Setiap kali bergaduh, ibunya Siti

Sarah lebih memihak kepada Ipin bukan dirinya.

“Apa tu Nek Chah?” soal Ijah.

“Belalang pelesit,” balas Nek Chah.

“Kasihan yer, kenapa Nek Chah cabut kepalanya?” Tanya Ijah.

Ada rasa sedih tumbuh dalam hati Ijah. Baginya, sikap Nek Chah bercanggah dengan tunjuk ajar yang diberikan sebelum ini iaitu tak baik menyiksa binatang, waima serangga sekali pun.

Ijah memerhatikan sahaja perbuatan Nek Chah itu tanpa mata yang berkedip. Setiap hati itu mempunyai perasaan. Ijah berasa sedih dan sebak melihatkan Nek Chah mencabut kepala belalang pelesit itu. Air matanya berkaca di kelopak matanya.

“Nek Chah benci serangga ni masuk ke dalam rumah waktu senja yang begini,” ujar Nek Chah.

“ Anak Nek Chah mati dan disebabkan belalang pelesit inilah,” tambah Nek Chah.

Nek Chah menerangkan sewaktu menanggalkan pakaian pada tubuh kecil anaknya itu terdapat kesan lebam. Atuk Berahim lah yang memanggil dukun Senah. Katanya, tubuh anak kecil Nek Chah mati kerana darahnya dihisap hantu pelesit. Belalang pelesit inilah pembawanya,” terang Nek Chah.

Mulut Ijah melopong mendengarkan cerita dari mulut Nek Chah itu.

“Berhari-hari Nek Chah rasa sedih,Ijah,” tambah Nek Chah.

Tompok yang menjadi pemerhati sejak tadi mempunyai naluri ingin tahu melangkah kakinya perlahan-lahan ke arah Nek Chah. Tompok menghidu serangga itu. Ijah rasa tidak puas hati dengan tindakan Nek Chah mengulangi protesnya.

“Kenapa Nek Chah buat macam tu. Kasihan Ijah pada belalang pelesit tu,” ujar Ijah. “Ah, binatang pelesit tu jahat,” tambah Nek Chah. Kepala belalang pelesit di lantai itu didatangi beberapa ekor semut berwarna merah. Semut itu mulai menghurungi kepala dan perut belalang pelesit yang terburai itu.

Nek Chah segera mencapai bangkai serangga itu dengan mencampakkannya ke laman rumah. Tompok yang berada di situ berlari mendapatkan bangkai belalang pelesit itu. Kali ini hidung

Tompok kembang kempis menghidu bangkai belalang pelesit itu. Tompok mengigit bangkai belalang itu dan membawanya ke dalam rumah.

“Nek Jah tengok tu.Tompok bawa masuk belalang pelesit tu ke dalam rumah kita,” jerit Ijah. Nek Chah jadi berang.

“Ijah pergi ambil penyapu kat dapur. Lekas,” perintah Nek Chah. Ijah segera ke dapur mengambil penyapu lidi dengan bakul sampah. Ijah datang semula mendapatkan Nek Chah dan menghulurkan penyapu lidi itu kepadanya.

Tompok yang sedang melangkah masuk ke dalam bilik terkejut apabila Nek Jah memukul penyapu lidi ke lantai. Bangkai belalang pelesit dalam mulutnya terlepas dari mulutnya.

Bangkai belalang pelesit itu kini berada di atas lantai ruang tamu.Tompok sudah pun melarikan dirinya. Nek Chah mengutip bangkai belalang pelesit itu tadi.

“Jangan buang dalam bakul sampah itu Nek Chah,” jerit Ijah. Nek Chah berpaling pada Ijah.

“ Kenapa tak boleh buang ke dalam bakul sampah tu Ijah?” Soal Nek Jah.

“Nanti semut datang hurung bangkai pelesit tu,” balas Ijah. Nek Chah terdiam sejenak. Kepala Nek Chah ligat berfikir untuk membuang bangkai pelesit itu. Tiba-tiba Ijah mengambil bangkai serangga itu.

“Kalau macam tu, kamu nak buang mana bangkai pelesit ni?” tTanya Nek Chah.

“Ijah nak tanam saja bangkai belalang pelesit ni,” balas Ijah.

Nek Chah memandang ke luar rumah. Senja sudah bertukar malam. Angin malam bertiup sepoi-sepoi bahasa menyapa daun rambutan gading di laman rumah Nek Chah.

“Ijah nak keluar malam- malam buta ni? Nanti pelesit lain yang masuk ke dalam rumah ini,” ujar Nek Chah.

Akhirnya, Ijah memasukkan bangkai serangga itu ke dalam bekas mangkuk kecil yang bertutup.

Dua

Esoknya…

Ijah mencari penyodok kecil selalu Nek Chah gunakan ketika mengekarkan tanah ketika menanam bunga kertas di laman rumah. Mungkin didorongkan rasa ingin tahu,Tompok meloncat turun dari tempat persembunyiannya atas bumbung rumah mendapatkan Ijah.

Lubang yang dikorek Ijah, sudah cukup menanamkan bangkai pelesit itu.Tompok melihat dengan mata terkulat-kulat ke arah Ijah. Mata Tompok kelihatan redup kerana berasa sedih dengan tindakan Ijah itu.Tompok mahu merasakan enak atau tidak isi tubuh serangga itu.Tanah dari lubang dikambus semula.

Ijah membersihkan penggali tanah dengan menggunakan air paip. Jari- jemari Ijah menyeka peluh di dahi dengan hujung lengan bajunya.Tugasnya selesai hari itu.

Senja itu Nek Chah berasa tidak sedap hati. Hati Nek Chah rasa berdebar-debar dalam dadanya seperti diramas-ramas. Jantung  Nek Chah pula berdegup-degap. Tidak beberapa lama kemudian, kedengaran muazin melaungkan azan Maghrib dari surau Puteri Warisan.

Dengung suara Pak Sohod seperti suara Jamal Abdillah. Ramai penduduk Puteri Warisan tak kira muda atau tua termasuk lelaki dan perempuan berkunjung ke surau melakukan solat Maghrib berjemaah.

Senja itu Nek Chah tidak ke surau kerana merasakan dirinya kurang sihat. Sewaktu menggenakan telekung untuk solat, tangan Nek Chah terketar-ketar.

“Kenapa dengan Nek Chah? Nek Chah dah solat?” Soal Ijah.

Sudah beberapa kali Nek Chah mengangkat takbir tetapi gagal meneruskan solatnya.

“Nek Chah rasa tak sedap hati lah, Ijah. Perasaan Nek Chah berdebar-debar. Boleh tak Ijah panggil dukun Senah. Suruh dukun Senah datang ke rumah,” ujar Nek Chah.

“Baiklah, Nek Chah. Nek Chah tunggu kat rumah ye,” ujar Ijah. Ijah menggunakan basikal yang digunakan Nek Chah ke rumah dukun Senah.

“Apa halnya, Ijah?” Soal dukun Senah.

“Nek Chah suruh datang ke rumah. Badannya tak sihat,” balas Ijah.

“Kamu letaklah basikal kamu kat rumah ini. Kita pergi naik motosikal saja,” balas dukun Senah. Dukun Senah yang menunggang motosikal itu dan Ijah sebagai pemboncengnya.

Sepeninggalan Ijah, rumah Nek Chah didatangi belalang pelesit. Pada mulanya jumlahnya sekadar antara lima atau enam ekor sahaja. Nek Chah semakin gusar apabila jumlahnya semakin bertambah kepada puluhan ekor. Nek Chah mencapai penyapu lidi yang digunakannya membunuh belalang pelesit sebelum ini. Nek Chah semakin terkejut apabila penyapunya itu telah dikerumuni belalang pelesit yang lebih banyak. Nek Jah yang terkejut mencampakkan penyapu itu ke lantai.

Mata Nek Chah berpaling ke arah kain langsir. Nek Chah semakin terkejut kain langsir yang menjadi tabir tingkap nako berderap jatuh ke lantai dengan tiba-tiba. Kain langsir itu pun dipenuhi serangga belalang pelesit.

Ratusan belalang pelesit berterbangan menyerang dirinya. Nek Chah melaung-laung meminta tolong. Ijah sampai ke rumah Nek Jah bersama dukun Senah menaiki motorsikal. Ijah menyeru nama Nek Chah. Panggilan Ijah tak dijawab Nek Chah.

Ijah meninjau ke dalam rumah melalui cermin tingkap nako.

“Dukun Senah, Nek Chah pengsan,” jerit Ijah.

Dukun Senah melihat Nek Jah yang dikerumuni belalang pelesit dengan banyaknya. Dukun Senah yang berdiri di tangga rumah melompat turun. Dukun Senah menepuk tangan kanannya ke permukaan tanah tiga kali sambil menggenggam sekepal tanah. Dukun Senah membawa kepalan tanah itu ke bibirnya sambil membaca manteranya;

Alahai mambang hijau yang asalmu dari hutan
rumah kau adalah daun-daun dari tujuh keturunan
datangmu seperti buluh serumpun keluarlah darimu dari sini dengan ku
pohon ampun kerana bicara tuan rumah Tijah ni kelakunya yang tidak tersusun ikutlah arahanku saka dari tujuh turun temurun’

Usai membaca menteranya itu, dukun Senah melemparkan tanah yang digenggamnya itu ke jendela kaca rumah Nek Jah. Sejurus kemudian bunyi menderu-deru dan beratus-ratus serangga belalang pelesit keluar dari rumah Nek Chah melalui tingkap dan lain-lain ruang yang ada.

“Pergi tengok Nek Jah,” seru dukun Senah. Ijah memijak anak tangga dan kakinya mencecah lantai rumah kampung itu. Ijah menyeru nama Nek Jah beberapa kali. Manik-manik peluh yang memenuhi bahagian dahinya dikesat dengan hujung lengan baju yang dipakainya.

“Nek Chah, Nek Chah, Nek Chah,” seru Ijah. Setelah tidak ada apa-apa tindak balas dari Nek Chah, Ijah mengetuk pintu masuk berkali-kali. Tiba-tiba tombol pintu dibuka dan muncul Nek Chah dengan tubuh yang longlai. Ijah memeluk Nek Jah. Muka, kaki dan tangan ada kesan gigitan serangga belalang pelesit itu.

Dukun Senah dan Ijah memimpin Nek Chah duduk di bangku panjang di bawah pokok rambutan gading itu.

“Ijah tolong naik ke atas rumah. Ambil segelas air panas mati,” arah dukun Senah.

“Baiklah,nek,” balas Ijah.

Beberapa ketika kemudian, Ijah menyerahkan air panas mati ke tangan dukun Senah.

Mulut dukun Senah membaca menteranya untuk memulihkan semangat Nek Chah yang hilang akibat serangan daripada belalang pelesit yang banyak itu. Baki air minuman itu, dukun Senah basahkan ke muka Nek Jah dengan air jampi serapahnya itu.

“Apa kau dah buat Chah?” Soal dukun Senah.

“Aku dah bunuh pelesit masuk ke dalam rumah aku,” ujar Nek Chah.

“Kenapa kau bunuh serangga tu?” Soal dukun Senah.

“Aku memang tak suka belalang pelesit tu. Belalang tu lah yang membunuh anak aku satu ketika dulu,” balas Nek Chah.

“Kan aku dah lama ingatkan kau jangan bunuh serangga tu? Jangan kau menyiksakan belalang pelesit tu, terutamanya kepalanya hingga menampakkan isi perutnya yang berjurai tu. Serangga tu ada tuannya,” ujar dukun Senah.

“Belalang pelesit ‘orang aku’ Chah,” tambah dukun Senah.

“Apa yang kau merepek ni, hah?” Jerkah Nek Chah merenung tajam dukun Senah. Bencinya tumbuh tiba-tiba.

“Nanti dulu Chah. Serangga-serangga tu masih ada dalam rumah kau lagi,” ujar dukun Senah.

Nek Chah dan Ijah berundur ke belakang. Dukun Senah membaca manteranya. Ada kanak-kanak yang usianya sebaya dengan Ijah berpakaian hitam keluar beramai-ramai dari rumah Nek Jah.

Nek Chah dan Ijah terpempan melihat senario di depannya. Setelah mereka beredar barulah, Nek Chah dan Ijah masuk ke dalam rumahnya semula. Dukun Senah pulang ke rumahnya. Ijah teringatkan basikal Nek Chah ditinggalkan di rumah dukun Senah lewat malam itu. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya