TINDAKAN, lebih kuat bersuara daripada kata-kata manusia. Itu moto yang menjadi pegangan seorang penulis, usahawan dan penyelidik yang memfokus kepada kajian mengapa filem klasik hitam putih masih diminati dan menjadi malar segar berbanding filem kontemporari.
Hidir Ali Razali,39, yang berasal dari Shah Alam telah mengabdikan diri dengan pelbagai aspek perfileman bukan sahaja sebagai peminat dengan mengumpul memorabilia seperti majalah dan pita video filem malah berkorban wang ringgit membuat kajian lapangan untuk menulis sejarah hidup Allahyarham Seniman Nordin Ahmad.
“Biarlah orang kata saya obses kepada filem Melayu klasik. Meminatinya dengan jujur membuatkan saya tidak kenal erti penat,”katanya.
Hidir berkata, filem klasik Melayu dahulu masih diminati kerana ia kaya dengan aspek seni budaya bangsa yang kurang diterapkan secara total dalam filem hari ini.
Katanya lagi, saat menonton filem Melayu klasik sejak dari zaman dua warna, hitam dan putih hingga ke era Eastman Color berwarna -warni, ia seolah-olah menyaksikan catatan sejarah sesuatu peradaban bangsa yang dipaparkan dengan lakonan mantap pelakon-pelakonnya.
“Saya masih tidak jemu menonton filem klasik arahan Allahyarham M. Amin, Cucu Datuk Merah ( 1963) lakonan Allahyarham Seniman Nordin Ahmad walaupun beliau lebih dikenali sebagai Damak dalam filem Seri Mersing (1961) arahan Salleh Ghani dan watak Hang Jebat (1961) arahan Hussein Hanif dalam filem dengan tajuk yang sama.
“Filem itu mempamerkan kritikan sosial terhadap bangsa kita yang terbuai dengan pencapaian keluarga yang sudah menjadi sejarah tetapi enggan diulangi oleh diri sendiri.
“Dalam aspek perfileman sewajarnya penggiat seni filem menerapkan nilai-nilai budaya bangsa dalam karya untuk membina jati diri yang mantap dalam jiwa anak muda seiring zaman kecerdasan buatan (AI) masa kini,”katanya.
Jelasnya yang juga menjadi penasihat Pameran 100 Tahun Sinema Malaysia yang diadakan di Muzium Negara bersama Pengarah Filem, Dr. Anwardi Jamil, penggiat seni tidak perlu takut filem mereka tidak laku jika menyelitkan budaya Melayu seperti silat, bidalan dan pantun seloka.
Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (2022) yang laris di pasaran sehingga mencatat kutipan berjuta ringgit katanya, bukti elemen budaya bangsa tidak melemahkan sebuah karya tetapi memantapkannya.
“Filem moden menyelitkan elemen budaya bangsa Melayu yang penuh seni dan kreativiti wajar diperbanyakkan kerana mampu menarik minat orang ramai untuk menghayati sesuatu mesej. Justeru skrip sesebuah filem perlu diolah sebaiknya.
“Filem hitam putih seperti Semerah Padi sehingga kini dilihat sebagai percubaan berani oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee untuk menghasilkan filem yang membawa isu perundangan Islam dalam masyarakat.
“Elemen tarian Melayu, seni persilatan dan dialog yang penuh tersirat dan tersurat menjadikan filem itu sebagai rujukan sutradara kini untuk menerbitkan filem sedemikian. Namun sejauh mana pengkarya mampu menjadikan filem tersebut sebagai sumber inspirasi ia terpulang kepada kreativiti seseorang pengarah terbabit,”ujarnya.
Mengulas mengenai Pameran 100 Tahun Sinema Malaysia, sebagai penasihat dan penyelidik beliau sering berbincang dengan Anwardi sebelum dokumen dan memorabilia berkaitan filem klasik dikumpul dan dipilih untuk dipamerkan.
Jelasnya, sejarah filem klasik Melayu bermula dari filem Laila Majnun (1933) iaitu filem Melayu pertama ditayangkan di Tanah Melayu.
“Filem ini dihasilkan oleh B.S. Rajhans, seorang pengarah dari India pada 1933. Ia diterbitkan syarikat Motilal Chemical, yang berasal dari Bombay dan heronya M.Suki.
“Kita sebagai peminat filem harus tahu jika tiada yang pertama tidak akan ada kedua dan seterusnya,” jelasnya.
Mengulas tentang minat dalam perfileman, beliau banyak membaca majalah filem klasik seperti Gelanggang Film , Mastika Filem dan Berita Filem untuk mengkaji transisi filem zaman Studio Jalan Ampas, Cathay-Keris hingga era penerbitan filem di Studio Merdeka Hulu Kelang.
Jelasnya lagi, kerana minat mendalam terhadap filem klasik, dia menghasilkan dua buku berkaitan sejarah filem Melayu iaitu Di Sebalik Tirai Layar terbitan Patriots Publication (2018) dan biografi Nordin Ahmad : Permata Seni Terbilang terbitan Sinefilia Book (2021).
“Terkini saya dalam rangka menyiapkan tiga buku berkaitan filem iaitu Di Sebalik Tirai Layar 2, Daftar Filem Melayu (1933-2020) dan 50 Hero Sinema Melayu,”ujarnya.
Beliau memberitahu, sejak berumur 15 tahun, dia mengumpul maklumat tentang filem Melayu sama ada majalah lama, video, keratan akhbar malahan apa saja bahan bertulis berkaitan dunia perfileman. – Mingguan Malaysia
Kayakan budaya bangsa dalam filem – Hidir Ali Razali
- Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
- 16 Julai 2023, 5:17 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
TH larang promosi visa mujamalah
23 Disember 2024, 5:36 pm
Trump ancam ambil alih kawalan di Terusan Panama
23 Disember 2024, 5:30 pm
Tenaga pengajar institut memandu tidak pakai tali pinggang keledar
23 Disember 2024, 5:30 pm