Kartun, animasi terancam di sebalik AI? - Utusan Malaysia

Kartun, animasi terancam di sebalik AI?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMAHAMI teknologi kecerdasan buatan (AI) atau artificial intelligence yang ketika ini disebut-sebut tidaklah sesukar mana. Pada asasnya, AI merupakan satu teknologi dan keupayaan mesin yang mampu meniru tahap kepintaran otak manusia.
Kita sedang beralih ke satu dunia baharu yang mana tugas kritikal seperti menganalisis data, menterjemah bahasa dan mengecam imej yang sebelum ini dilakukan manusia boleh dilaksanakan mesin.
Ada dua sisi yang boleh dilihat di sebalik pengenalan teknologi AI. Satu sisi yang baik dan satu lagi sisi negatif iaitu ancaman kepada pekerjaan sebagaimana yang sering diperkatakan kini.
Terdapat 10 senarai pekerjaan yang dikatakan bakal pupus disebabkan pengenalan AI antaranya sektor kewangan, sumber manusia dan perundangan, tanpa disebut bidang lukisan serta animasi.
Apabila menatap di media sosial melihat karya dihasilkan AI, beberapa perso­alan timbul ter­u­tama nasib peng­karya-peng­karya asli ter­masuk mereka yang ber­gelar kartunis.
Bagi Raja Ahmad Kamil Raja Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Ubi, masih terlalu awal sebenarnya untuk men­ilai kesan teknologi AI terhadap industri kartun ketika ini.
Menurut anak kelahiran Kuantan, Pahang yang berpe­nga­laman lebih 20 tahun sebagai kartunis ini, dia tidak terus menghukum atau melatah apabila melihat kemampuan AI dalam menghasilkan animasi serta lukisan yang lebih menarik.
“Kita tidak boleh menafikan perkembangan teknologi pada zaman sekarang. Masih ingat sewaktu internet mula-mula diperkenalkan?

“Banyak penerbit berfikiran orang tidak lagi mahu membaca buku apabila ia digunakan. Tapi lihatlah zaman sekarang. Perkembangan teknologi tidak boleh dielakkan dan ia mengikut peredaran semasa. Kita tidak boleh menafikannya,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Dia yang pernah berkhidmat di majalah Ujang kini bergerak secara bebas dengan meng­hasilkan karya-karya di karnival, universiti dan Perpustakaan Negara.
Di samping itu, Ubi juga kini sibuk menyiapkan siri Aku, Dia & Volkswagen yang sebelum ini mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat selain membangunkan mobile games untuk Android serta iOS.
Dalam pada itu, Ubi berkata, dia sendiri pernah mencuba teknologi AI bagi mendapatkan idea penghasilan kartun dalam masa-masa tertentu.
“Ada masa tertentu saya sendiri buntu mencari idea. Jadi, untuk mendapatkan gambaran, saya akan gunakan AI. Dari situlah saya buatkan ia sebagai rujukan.
“Paling penting jangan takut dan perlu berani untuk menerokai teknologi baharu. Akan datang kita tidak tahu apa lagi perkembangan (teknologi) yang akan muncul, “ jelasnya.
Bagaimanapun, pada masa sama, dia juga tidak menafikan teknologi AI sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada permintaan terhadap industri ini.
“Mungkin selepas ini kebanyakan syarikat agak sukar mengupah orang menghasilkan lukisan sebab teknologi lebih murah. Sebab itu, kita perlu berani untuk menerokai apa juga cabaran akan datang,” terangnya.
Dalam pada itu, kartunis Sukun atau nama sebenar Md. Hanafi Othman berkata, teknologi AI ini menjadi satu cabaran kepada pelukis dan sesiapa yang mahu berjinak-jinak dalam dunia animasi serta kartun terutama kepada individu baharu.
“Pelukis baharu terpaksa bersaing dengan teknologi AI yang telah diprogramkan.Tak perlu bersusah payah.Hanya gunakan AI. Yang tidak pandai melukis pun boleh buat,” ujarnya.
Tambah Sukun, bagi kartunis yang telah sampai di penghujung karier sepertinya tidak mempunyai masalah kerana ada peminat atau pengikut sejak dahulu lagi.
“ Alhamdulilah mereka bersama saya. Jadi peminat-peminat saya masih mahukan kartun sentuhan saya yang sudah berpuluh tahun mereka sudah kenal.
“Yang jadi masalah adalah pada kartunis generasi alaf baru ini,” jelasnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya