Khabar angin itu sudah lama tersebar. Sama ada betul atau tidak, belum dapat dipastikan. Tetapi khabar angin itu benar-benar membuatkan dia berasa tertekan. Apabila dia berjumpa kawan-kawan, khabar angin itulah yang akan terpacul keluar dari mulut.
“Betul ke cerita ini, Din?” Dia mengulangi soalan yang sudah banyak kali ditanya.
“Kalau tak ada angin, masakan pokok boleh bergoyang!” kata Nordin kawan yang dikenalinya sejak mula masuk bekerja dahulu.
“Siapa yang membuat keputusan ini, Din?” Dia bertanya lagi kepada Nordin.
“Sudah pastilah ahli-ahli lembaga pengarah dan pegawai-pegawai tinggi majikan kita!” beritahu Nordin selamba.
Dia menggeleng-gelengkan kepala. Apakah mereka pembuat keputusan itu sudah hilang rasa kemanusiaan mereka? Adakah nilai ihsan semakin terhapus dalam jiwa mereka? Adakah mereka ini insan-insan yang sihat walafiat dan tidak akan sakit sepanjang hayat? Apa yang pasti, pembuat keputusan terdiri daripada insan-insan yang berjawatan tinggi dan bergaji besar.
“Din, bukankah ini hak pesara seperti yang diberikan oleh kerajaan seperti yang tertulis dalam skim pesara? Bukankah kita ini pesara penjawat awam?” Dia terus mengasak Nordin dengan pertanyaan yang mempertikaikan tindakan majikannya.
“Entahlah. Aku pun tak sangka majikan kita akan bertindak begini. Alasan yang aku dengar, duit dah tak ada!” ulas Nordin dengan wajah yang tidak puas hati.
“Memanglah kerajaan tak ada duit! Berbilion duit kena sakau! Tapi itu bukan alasan hendak menidakkan kebajikan pekerja! Tanpa pekerja, kerajaan yang baik tidak dapat bergerak membangunkan negara menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang, Din!” Dia menyuarakan pandangannya kepada Nordin.
Setelah berpuluh tahun majikannya membayar kos perubatan pesara, tiba-tiba pengurusan tertinggi majikan membuat keputusan tidak akan menanggung kos perubatan kepada pesara. Apatah lagi jika mengidap penyakit kronik kerana harga ubat-ubatan untuk penyakit kronik adalah terlalu mahal.
Dia berasa hairan. Apakah pengurusan tertinggi majikan tidak menyedari bahawa penyakit kronik selalunya datang menyerang setelah memasuki alam pesara kerana faktor usia. Amat sedikit peratusnya penyakit kronik menyerang sewaktu masih bekerja. Kos yang ditanggung majikan hanya untuk bayaran sakit demam yang ringan-ringan sahaja.
Dia masih ingat ketika zaman dia bekerja dengan majikannya. Dia boleh kira berapa kali dia datang ke pusat kesihatan milik majikannya. Amat jarang sekali. Apabila dia sakit atau demam, dia pergi ke klinik panel yang dilantik oleh majikannya. Itupun boleh dikira dengan jari. Sebab dia jarang demam.
Dia mula mengunjungi pusat kesihatan majikannya setelah dia bersara. Itupun secara tidak sengaja. Dia datang kerana sakit lain, bukan kerana sakit kronik. Ketika doktor memeriksa tekanan darahnya, doktor dapat mengesan sesuatu terhadap dirinya. Lantas doktor menyuruhnya datang dalam tempoh dua minggu lagi untuk memantau penyakitnya itu.
Dua minggu kemudian, dia datang berjumpa doktor itu. Doktor yang ramah dan baik budi bahasanya itu membuat pemeriksaan tekanan darah. Kemudian dengan kata-kata yang begitu tersusun, doktor itu melafazkan dengan lemah lembut sekali.
“Sudah sampai masanya ubat ini perlu dimakan demi kebaikan kesihatan. Redalah dengan ketentuan Allah bahawa mulai hari ini ubat ini perlu dimakan mengikut jadual. Mahu tidak mahu, usia yang semakin meningkat tidak boleh lari daripada penyakit kerana daya tahan dalam badan sudah tidak kuat lagi.
Jika ubat ini tidak dimakan, dibimbangi akan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini seperti terjatuh dalam bilik air, kena angin ahmar, darah beku dalam kepala, dan pelbagai penyakit yang menggerunkan”
Sejak itu, setiap tiga bulan dia akan berjumpa doktor memeriksa tahap kesihatan dan mengambil stok ubat. Alhamdulillah, hasil ujian darah dan air kencing setiap enam bulan, anggota tubuh badannya dalam keadaan baik. Namun ubat penyakit kronik perlu dimakan untuk mengawal sebarang kejadian luar biasa yang memungkinkan dia dijemput ajal.
Dia mendengar dengan tekun. Kata-kata doktor begitu menusuk ke dadanya. Sebelum ini dia tidak pernah makan ubat-ubat untuk penyakit kronik. Sepuluh tahun sebelum dia bersara, dia jarang mengambil cuti sakit. Dia jarang demam. Alhamdulillah, dia sentiasa bersemangat dan bertenaga pergi bekerja setiap hari.
Setiap kali dia mengambil ubat tiga bulan sekali, tidak dinafikan kos harga ubat penyakit kronik adalah mahal. Apakah itu alasan majikannya tidak mahu lagi menanggung bayaran kos perubatan. Dikhabarkan bahawa ubat-ubatan yang dibeli pusat kesihatan majikan adalah ubat terbaik tetapi harganya mahal.
Adakah majikannya tidak mahu menanggung kos perubatan penyakit kronik adalah kerana golongan pesara atau golongan tua sudah semakin ramai.
Menurut satu laporan, Malaysia bakal bergelar negara tua dalam tempoh tidak kurang daripada 10 tahun lagi. Sesebuah negara akan digelar negara tua apabila rakyat yang berumur 60 tahun dan ke atas berjumlah 15 peratus daripada keseluruhan penduduk. Penduduk Malaysia berusia 65 tahun ke atas dijangka meningkat sebanyak 14 peratus pada tahun 2040.
Apakah disebabkan ini, majikan tidak mampu lagi menanggung kos perubatan penyakit kronik yang terlalu mahal. Apakah disebabkan terlalu ramai warga emas ini, para doktor merasa bebanan tugas perlu dilepaskan dengan satu cara iaitu menafikan hak pesara yang mengidap penyakit kronik menerima rawatan di pusat kesihatan majikan.
Hari ini dia ingin memastikan kesahihan khabar angin yang selama ini bertebaran mengganggu emosi pesara seperti dia. Hari ini dia ada janji temu dengan doktor untuk rawatan dan mengambil ubat yang telah habis dalam simpanan. Ubat yang diberi oleh doktor hanya menampung bekalan selama tiga bulan sahaja.
Dia akan ke pusat kesihatan milik majikannya setiap tiga bulan sekali untuk diperiksa oleh doktor tahap kesihatannya. Manakala setiap enam bulan sekali dia akan diarah oleh doktor diambil darah dan air kencing sebagai pemeriksaan rutin kesihatan untuk mengesan sebarang penyakit.
Dia menutup pintu rumah dan mengunci dengan kunci mangga. Ketika dia ingin membuka pintu kereta, telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada pesanan masuk. Dia terpaku membaca pesanan itu.
“Aku ada di pusat kesihatan ni. Baru dapat berita, kita tak dapat menggunakan perkhidmatan pusat kesihatan untuk sakit kronik. Kecuali untuk demam dan yang ringan sahaja”.
Pesanan itu datang daripada Nordin. Adakah benar kata-kata Nordin ini? Dia terus masuk ke dalam kereta dan memecut dengan laju.
Sewaktu dia sampai di hadapan pusat kesihatan, dia lihat ramai berdiri di depan pintu masuk. Setelah meletakkan kereta di tempat parkir, dia berjalan menuju ke pusat kesihatan. Ramai berkerumun di depan pintu masuk. Tiba-tiba dia menangkap satu suara yang agak kuat.
“Pihak pengurusan tidak patut buat keputusan macam ini! Hari ini yang datang kebanyakan nak ambil ubat yang telah habis!” teriak suara seorang lelaki. Dia tidak nampak wajah lelaki itu.
“Tapi encik, kami hanya menerima arahan. Pusat kesihatan tidak lagi menanggung kos bayaran untuk penyakit kronik!” ujar seorang petugas.
“Habis di mana nak dapatkan ubat ini? Sudahlah dapat duit pencen seciput! Mana mampu nak beli di farmasi! Mana mampu nak pergi klinik swasta! Mana mampu nak pergi hospital swasta!” suara lelaki itu makin tinggi nadanya.
“Encik boleh pergi klinik kesihatan atau hospital kerajaan. Di sana, pesara tidak dikenakan bayaran!” kata petugas itu memberitahu. Suasana semakin tegang.
“Nak suruh tunggu berjam-jam lamanya! Silap hari bulan, kami kojol kat situ sebelum dapat ambil ubat!” jerit lelaki itu tanpa memperdulikan orang yang ada di situ.
“Betul la cakap Encik Saiful ni! Kami semua sudah kehabisan ubat!” sampuk seorang wanita.
“Kami tidak boleh berbuat apa-apa. Kami hanya menjalankan arahan!” kata petugas itu dengan selamba.
“Oiiiii!!! Pihak atasan dah tak ada sifat perikemanusiaan ke! Kau orang semua dah tak ada sifat-sifat ihsan ke! Kau orang tak ada rasa berdosa ke! Menjadi pembunuh senyap! Seorang demi seorang mati kerana tak dapat bekalan ubat!!!”
Lelaki bernama Encik Saiful itu menjerit-jerit seperti disampuk histeria. Tiba-tiba tubuhnya kejang dan rebah di lantai. Matanya buntang memandang ke atas. Nafasnya turut terhenti.
“Doktor! Doktor! Doktor!” jerit petugas itu sambil berlari masuk ke dalam pusat kesihatan.
Dia terkejut menyaksikan kejadian yang tidak disangka-sangkanya itu. Kejadian disaksikan oleh dua biji matanya sendiri. Semua yang ada di situ terpaku. Malah ada yang terkedu dengan wajah kerut seribu. Adakah dia juga akan mati tidak lama lagi akibat ihsan yang hilang? – Mingguan Malaysia
Ihsan yang hilang
- Oleh ZAINAL ABDUL KADIR
- 16 Julai 2023, 4:23 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am