“Kacang hijau habis!”
Derap pelanggan mati di kaki lima. Lelaki lingkungan 40-an itu menepuk dahi. Satu-satunya baki harapan setelah enam kedai runcit sebelumnya gagal diperoleh apa yang dikehendaki, kini hanya tinggal harapan. Dia tidak punya pilihan selain berkejar ke bandar sana.
Jalal melekangkan pandangan sehinggalah motosikal lelaki itu meninggalkan pekarangan parkir dengan gerombolan asap yang menyesakkan. Dia kenal wajah tetapi tidak pada nama. Rasa-rasanya, lelaki itu menetap berselang tiga kampung dari Kampung Kerdas. Selalu terserempak di pekan atau berselisih bahu di bandar namun belum pernah bertegur sapa.
Tauke kedai itu sekadar mengagak tetapi agakannya benar. Manakan tidak, sejak semalam lagi kedainya dikunjungi para lelaki dari kampung sebelah bertanyakan kacang hijau. Sebab itulah keinginan pelanggan pertama dari luar kampungnya untuk hari ini dapat dibaca.
“Ikan puyu, ketam, kacang hijau… besar duitnya. Kaedah lama dah tak mujarab. Benda tu berevolusi seiring zaman. Tuannya pun belajar tinggi. Sekarang ada cara yang tak pakai modal pun.”
Mata Man Kenit mencerlung. Ada cabang-cabang kepuasan menjalari tubuh apabila semua orang memfokus ke arahnya. Selama ini kewujudannya tiada siapa kesah. Dia tidak muncul seminggu pun haram yang perasan, percayalah.
“Apa caranya?”
Hashim selaku ketua kampung tidak sabar untuk mengetahui. Begitu juga ahli sidang sarapan pagi yang lain.
Man Kenit meneguk teh tarik. Sengaja dia melengah-lengahkan diskusi di permulaan hari yang semakin kehilangan dingin.
“Simpan dalam peti sejuk. Gerenti duit selamat.” Man Kenit menjawab.
“Hah!” Serentak itu juga suara ramai bergema.
Di kaunter pembayaran kedai runcit bersebelahan, Jalal spontan menarik laci. Dia meraba not RM50 hasil pembelian sekampit beras dan barangan dapur lain. Masih berbekas hawa sejuk. Patutlah. Sewaktu not itu bertukar tangan, dia tertanya-tanya juga. Malangnya, pertanyaan itu tidak sempat diluahkan dek kerana Man Kenit tergesa-gesa keluar.
“Boleh pakai ke cara itu?” Stopa kurang yakin lalu merenung sinis sahabat yang pernah sama-sama mendalami ilmu persilatan.
“Benda tu takut sejuk?” Hashim seperti juga Stopa was-was dengan petua Man Kenit.
“Bab takutkan sejuk tak pasti. Cuma adik aku pernah cuba. Memang mujarab. Duit dalam dompet habis kena rembat tapi yang di dalam peti sejuk langsung tak diusik.” Man Kenit menokok.
Tiba-tiba Kampung Kerdas digemparkan dengan kejadian wang hilang. Tok Jemin mengadu simpanan di bawah tilam lesap. Anehnya, rumah tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda diceroboh.
Orang kampung mengesyaki toyol. Maka lariskan kacang hijau bak pisang goreng panas. Berbondong-bondonglah juga, tidak kira jantina, meranduk paya dan parit mencari puyu.
Malangnya, banyak paya yang sudah ditebus guna. Secara tidak langsung menjadi faktor kepada kepupusan ikan puyu dan beberapa spesies ikan darat yang lain. Hendak dicari ketam hidup, daerah mereka jauh benar dari laut. Ketam beku, keropok ketam dan bebola ketam banyaklah.
“Sahih ke kerja toyol? Jangan jadi macam kes lepas. Toyol kepala hitam punya onar, toyol botak hijau naik nama.” Stopa memanaskan lagi suasana. Semua mendiam dan bertukar renung. Beberapa tahun lalu, warga Kampung Kerdas pernah kehilangan wang hampir setiap hari. Rakaman CCTV di rumah orang kaya Haji Dol mendedahkan si pencuri. Terlihat dengan jelas kelibat toyol berkeliaran di halaman rumah pada malam puluhan ribu ringgit lesap dari peti besi saudagar lembu dan kambing itu. Namun identiti toyol terbongkar apabila ia dipatuk ular sewaktu menyelongkar rumah tinggal. Lolongannya mengejutkan orang kampung yang kebetulan sedang membuat rondaan. Atau memang kemunculan ular dan kehadiran mereka menjadi asbab kepada tertangkapnya toyol palsu berkenaan.
Rupa-rupanya toyol itu ialah pemuda berusia 20 tahun yang memiliki fizikal serta rupa seperti murid sekolah rendah dan memakai kostum hijau. Dia bersama bapa saudaranya baru beberapa bulan pindah ke Kampung Kerdas. Patutlah ‘budak kecil’ itu tidak pernah kelihatan pergi ke sekolah.
Modus operandi penjenayah licik itu mudah. Mereka berpindah-randah bagi mengelakkan kegiatan terbongkar. Bapa saudara toyol palsu juga mengaku ada ilmu pukau. Lelaki itu mendabik dada menyatakan dia mampu menidurkan seisi kampung sebagaimana Badan dan Nyawa di dalam filem Nujum Pak Belalang. Terungkai teka-teki mengapa tiada sedar ketika mereka melaksanakan misi jahat. Kesudahannya, selicik mana toyol menyelinap, terkurung ke lokap juga.
“Perkara lepas, biarlah lepas. Yang berlaku sekarang jangan dibuat mudah. Kita kena ikhtiar. Takkan duit dah licin baru nak bertindak.” Man Kenit merancakkan diskusi.
Selain mentari pagi, wajah empunya warung yang dijenamakan semula dengan nama Teh Tarik Kaw Mak Janda turut memancar-mancar. Pemilik sudah lama bersendiri tetapi transformasi dibuat oleh anaknya yang baru tiga bulan menjanda. Keuntungan mencanak membuatkan dua beranak yang kembali bujang semula itu senyum melirik tatkala menyusun wang jualan.
“Buat apa pening-pening memikir. Simpanlah dalam bank.” Che Dan yang enggan menyemakkan kepala dengan isu toyol deras bangkit seusai menikmati nasi lemak. Dia melempar kertas surat khabar beralas daun pisang ke dalam tong sampah. Tepat ke sasaran. Bukannya dia tidak tahu fiil orang kampung terutama warga emas.
Masih ramai yang letak celah dinding, selit bawah tikar, sorok dalam bantal atau susun tepi kain baju. Terutama yang berjauhan dengan anak-anak. Alasannya untuk kegunaan kala sesak.
“Telefon mahal-mahal, belajarlah guna. Ini zaman orang pakai duit atas angin. Semuanya boleh dibuat dalam talian.”
Selesai membayar sarapan, Che Dan sempat lagi menyindir. Ada segelintir pelanggan menyerlahkan wajah ketat. Man Kenit paling ketara. Dia buat-buat tidak nampak. Gasaklah. Ada ketikanya kebenaran memang menyakitkan.
Peladang kelapa sawit itu membawa tubuh ke kenderaan pacuan empat roda yang memang dikhususkan untuk kegunaan ladang. Baginya, toyol dan wang lesap hanyalah hal keremehan berbanding harga kelapa sawit yang merudum. Kepalanya sudah berat, dia tidak mahu menggandakan bebanan lagi.
Berbaki suku perjalanan, notis daripada satu aplikasi pembelian dalam talian terkenal meniti skrin telefon bimbit. Dia teringatkan dua pasu antik yang dibeli.
Seperti yang terdetik, barangan dari Tanah Besar China itu sudah berada di pihak kastam. Yang mengidam pasu antik itu isteri muda. Sebagai suami mithali yang saksama, dia beli untuk isteri tua juga. Mengenangkan ulang tahun perkahwinan pertama beberapa hari lagi, dia kaburkan mata pabila terpandang harga yang perlu dibayar. Jumlahnya tidak sebanding kasih sayang Zainab dan Sara.
Satu panggilan masuk dengan nombor tidak dikenali membantutkan lagi perjalanan. Barangkali dari pekerja syarikat penghantaran barang. Selain pasu antik, ada beberapa lagi barangan dalam proses penerimaan.
“Kami dari Kompeni Kurier Muka Pintu. Ada barang baru tiba dari luar negara yang sangkut dengan kastam. Boleh kami dapatkan maklumat peribadi tuan untuk buat semakan.”
Che Dan menggelabah mengenangkan pasu antiknya. Terbayang pula Zainab yang setia dan Sara nan manja. Jika gagal melepasi kastam, punahlah rancangan. Dia segera memudahkan urusan pemanggil.
Keesokan hari, Kampung Kerdas kegemparan kali kedua. Tok Jemin yang jarang-jarang sekali bersarapan di kedai memunculkan diri ketika mentari pertengahan El Nino menipiskan kabus pagi.
Mantan siak masjid Kampung Kerdas itu memberitahu yang wangnya tidak hilang. Dia memohon maaf kerana membuat seluruh kampung keributan.
“Aku alih sebab nak kemas bilik. Bila dah selesai lupa letak balik bawah tilam,” cerita Tok Jemin.
“Pelupa kau makin teruk.” Jalal menyelit.
“Jadi di mana kau simpan duitnya?” Stopa menyoal.
“Dalam tin biskut…” Tok Jemin membalas. Mantan siak itu pun ditertawakan. Ada suara gurauan yang memintas, mujurlah wang itu tidak dikerobek tikus.
Menurut Tok Jemin lagi, anak perempuan dan cucunya yang mempunyai tabiat mengumpul barang datang menjenguk sebelah tengah hari. Melihatkan tin dengan gambar pelbagai biskut yang menggiurkan, cucunya bawa pulang. Semalam, semasa si ibu menyusun rak mainan, terjumpalah wang di dalam tin biskut dikata hilang itu.
“Jadi bukanlah toyol.” Man Kenit mencelah.
“Kasihan toyol. Dah dua kali kena tuduh.” Hashim memeriahkan lagi suasana.
Sedang mereka seronok-seronok bergelak ketawa, Maira anak Che Dan muncul dengan wajah cemas. Dari jauh lagi dia sudah terpekik-pekik di atas basikal yang berkelajuan mengalahkan pelumba di velodrom.
“Ayah nak terjun jambatan.” Maira berjaya juga menjelaskan keadaan walaupun tercungap-cungap.
“Dah kenapanya?” Hashim mahukan pencerahan.
“Duit kena curi,” terang Maira.
“Kena curi? Ayah kamu mana simpan duit di rumah. Kalau setakat orang kebas seringgit dua dalam dompet, takkanlah sampai mencari jambatan.” Mat Kenit yang masih sebal hati dengan kata-kata Che Dan terus memerli.
“Wang dalam akaun yang kena curi. Ayah ditipu scammer. Cepatlah, dia dah nak terjun sangat gayanya,” rayu Maira.
Berjujuk-jujuklah mereka menuju ke hujung kampung untuk menyelamatkan Che Dan. Sewaktu tiba, peladang kelapa sawit itu sedang bertenggek di atas palang penghadang jambatan. Puas dipujuk tetapi tidak jalan.
Che Dan jadi panar. Yang menangkap renung hanyalah arus sungai mengalir deras. Dahsyat juga penangan kehilangan ratusan ribu ringgit. Merengguk jiwa raga.
Tidak lama kemudian Sara tiba. Dia yang baru pulang dari klinik memujuk suami tercinta menyatakan dirinya berbadan dua. Manalah tahu rezeki, peladang kelapa sawit itu beroleh anak lelaki yang sangat-sangat dinanti.
Berita yang awalnya mahu dijadikan kejutan terpaksa diberitahu segera demi mengelakkan kejadian buruk. Isteri kedua itu juga merayu sang suami supaya membatalkan niat untuk terjun dan bersama-sama ke klinik membuka buku merah jambu. Che Dan akhirnya termakan pujukan jua.
Hashim memandang jambatan Kampung Kerdas. Alahai jambatan. Sewaktu kecil dahulu, dia dan anak-anak kampung sering dimomokkan dengan cerita pemenggalan kepala bagi mengukuhkan struktur binaan. Setelah dewasa ditakut-takutkan pula dengan jelmaan penunggu.
Lewat ini mata disogokkan pula dengan berita jambatan sebagai jalan pintas untuk keluar dari dunia bermasalah, stres juga kemurungan. Macam Che Dan tadilah. Nyaris-nyaris lagi. Walaupun air tohor separas lutut kerana El Nino, batu-batuan yang timbul itu boleh mencederakan. Tambah-tambah, Che Dan tidak tahu berenang, fikirkan yang buruk dahulu.
Di sebelah ketua Kampung Kerdas, Tok Jemin turut merenung jambatan penuh gelisah. Masakan tidak. Semalam dia telah memasukkan kesemua wang simpanan di rumah ke dalam bank. Dia turut belajar cara-cara membeli barangan dalam talian dengan anaknya. Malahan sempat juga membuat beberapa pesanan. Janganlah esok lusa dia pula yang terkena dan bertenggek di situ. – Mingguan Malaysia
Rembat
- Oleh Zalina Samsudin
- 11 Jun 2023, 5:47 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am