Dalam karya sastera banyak ditemui novel berbentuk satira. Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, satira bermaksud karya (prosa atau puisi) yang mempersendakan atau menyindir orang dan lain-lain. Antara novel-novel Melayu berbentuk satira adalah Sidang Serangga (Pak Sako), Tikus Rahmat (Hassan Ibrahim) Perlumbaan Kedua (Marwilis Haji Yusuf), Shit (Shahnon Ahmad) dan Kawin-kawin (Azizi Hj Abdullah) – sekadar menyebut beberapa contoh.
Demikian juga bentuk satira ini ditemui dalam novel Kembara Seorang Pemburu Kumbang (KSPK) karya Mohamed Salleh Said seorang mantan akademik.
Mohamed Salleh telah menerbitkan lima novel iaitu Mimpi Sebuah Impian (DBP, 2018), Kumbang yang Tercantik (ITBM, 2019), LYNNA (DBP, 2021), Durian Kahwin (SHE, 2022) dan Kembara Seorang Pemburu Kumbang (SHE, 2023).
Dalam KSPK, satira disampaikan melalui gaya penceritaan. Ini dapat dikesan dalam dialog yang disampaikan secara bersahaja tetapi mempunyai maksud tersirat.
Apatah lagi topik perbualan melibatkan bahasa Melayu yang sehingga kini masih ada yang memandang rendah kewibawaannya sebagai bahasa rasmi negara. Ada kemungkinan satira ini ditujukan kepada pemerintah atau kepada pihak tertentu.
Ini dapat dikesan dalam bab 13, yang gaya penceritaannya disampaikan seolah-olah berada di alam mimpi.
Sulaiman si pemburu kumbang telah ditanya oleh Lukman yang tiba-tiba muncul ketika Sulaiman bersantai.
“Ngomong-ngomong, bagaimana dengan bahasa Melayu di Malaysia?” Tanya Lukman dengan nada selamba.
Sulaiman tersentak, tidak menduga sama sekali dihadapkan dengan pertanyaan seperti itu. Dia sedia maklum negara yang dikunjunginya dalam rangka penyelidikan kumbang Chrysomelidae, sudah lama mengiktiraf bahasa Indonesia yang berasal daripada bahasa Melayu ke tempat yang sewajarnya. Dia juga maklum, bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan Malaysia sebagai bahasa rasmi.
“Sejujurnya, pertanyaan bapak itu, terlalu berat untuk saya menjawabnya,” balas Sulaiman tersipu-sipu sambil menyapu-nyapu rambutnya.
“Kenapa?” Lukman kehairanan.
“Orang politik menggelarkannya bahasa Malaysia,” beritahu Sulaiman, “Kononnya demi perpaduan nasional.”
“Terus?” Tanya Lukman berminat.
“Meskipun sudah diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara,” jawab Sulaiman mengangguk-angguk. “Penggunaannya masih belum mantap.”
“Kenapa?” Lukman semakin hairan.
“Lihat sahaja,” beritahu Sulaiman. “Perlembagaan negara tertulis dalam bahasa Inggeris dengan versi terjemahan dalam bahasa Melayu.”
“Apa itu perlembagaan?” Tanya Lukman melopong.
“Maaf, pak, di sini disebut Konstitusi,” jawab Sulaiman tersipu-sipu.
“Terus?” Tanya Lukman semakin berminat.
“Sekiranya timbul sebarang permasalahan untuk memahami terjemahan bahasa Melayu maka dirujuk kepada teks asal dalam bahasa Inggeris,” jawab Sulaiman berasa agak malu menjelaskannya.
“Seharusnya tidak begitu ya,” beritahu Lukman dengan nada selamba.
“Ya, pak, seharusnya tidak begitu,” balas Sulaiman dengan nada mengeluh, “Seharusnya hanya ada satu teks Perlembagaan dalam bahasa Melayu yang menjadi pegangan utama.
“Barangkali mindanya masih merindu dakapan dan pelukan kolonial,” beritahu Lukman.
“Maaf sekiranya saya menyinggung.”
“Nggak apa-apa,” balas Sulaiman dengan nada selamba. “Kebenaran sememangnya pahit.”
(Halaman 155 – 157)
Amat jelas dialog ini bernada satira yang ditujukan pada pihak tertentu. Isu yang dibangkitkan penulis adalah penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum. Apatah lagi tentang ketegasan kerajaan memperkasa dan memperkukuh bahasa Melayu supaya setaraf di peringkat global.
Ini bertepatan dengan rencana tulisan Zulkifli Jalil bertajuk Noktahkan bahasa Melayu ‘sekerat belut, sekerat ular’ di Mingguan Malaysia, 9 April 2023. Zulkifli menempelak kerajaan tentang Perlembagaan Persekutuan yang ditulis menggunakan bahasa Inggeris. Ini jelas seperti dinyatakan Zulkifli.
“Terjemahan termasuk sebagai keperluan pindaan kepada Perlembagaan. Oleh itu, terjemahan itu perlu melalui proses pindaan dan Perkara 160B perlu tertakluk kepada kawalan tatacara seperti ditetapkan Perlembagaan.
“Sewajarnya naskhah sahih bahasa Melayu juga disediakan pada ketika Perlembagaan Persekutuan dimuktamadkan Dewan Perundangan pada 1956.”
Kebimbangan penulis tentang nasib bahasa Melayu yang disampaikan secara satira melalui novel KSPK adalah gambaran kekecewaan terhadap pemerintah yang memandang ringan terhadap kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam pelbagai bidang.
Malah penulis turut menyindir dengan satira yang tajam melalui ungkapan:
“Barangkali mindanya masih merindui dakapan dan pelukan kolonial.”
Seterusnya satira dapat dikesan dalam bab 11 seperti dialog berikut yang berlaku dalam mimpi Sulaiman.
“Paduka Sultan Jalaludin Shah III mengusap-ngusap janggutnya. “Di negeri tuan hamba ada museum seperti itu?” Tanya Paduka Sultan ingin tahu.
Sulaiman tersentak. Kemudian tersipu-sipu dia memberitahu, “Belum ada lagi.”
“Kenapa?” Tanya Paduka Sultan tersenyum.
“Pemerintah di negara patik masih memikir-mikirkannya,” jawab Sulaiman. “Meskipun sudah ada permintaan daripada rakyat.”
“Barangkali pemerintah tidak ada duit?” tanya Paduka Sultan Jalaludin Shah III ketawa. “Tapi, bukankah negeri tuan hamba kaya.”
“Keutamaannya tidak ada di situ,” jawab Sulaiman berasa malu mengemukakan alasan. (Halaman 125)
Penglibatan penulis sebagai seorang profesor dalam bidang biodiversiti begitu berasa terkilan kerana di negaranya tidak ada muzium biodiversiti.
Kerajaan lebih banyak membina projek mega yang mana ada beberapa projek itu dibatalkan dan kerajaan terpaksa membayar (duit rakyat) denda yang sangat banyak.
Pembinaan muzium biodiversiti dapat meningkatkan penyelidikan dalam bidang biodiversiti dan seterusnya memberi manfaat dalam pendidikan khususnya universiti dan pelajar-pelajar yang mengambil jurusan biodiversiti. Malah, tidak mustahil muzium biodiversiti menjadi rujukan daripada universiti luar negara.
Kesimpulannya, satira merupakan satu cara dalam penulisan novel menyampaikan sesuatu secara tersirat yang ingin disampaikan oleh penulis.
Penulis novel KSPK menggunakan satira bagi menyampaikan secara halus atau berlapik dengan menggunakan bahasa yang lebih bersopan melalui penceritaan kerana bahasa Melayu adalah sangat puitis dan melambangkan keperibadian orang Melayu. – Mingguan Malaysia
Novel sebagai alat satira
- Oleh ZAINAL ABDUL KADIR
- 25 Jun 2023, 4:14 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am