Sup tulang dan roti Benggali - Utusan Malaysia

Sup tulang dan roti Benggali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aku tidak rasa terkejut apabila Ketua Pengarah jabatan aku melakukan pemantauan projek yang berprofil tinggi milik sebuah agensi penguat kuasa dari pejabatnya di Kuala Lumpur menggunakan kamera digital teleskospik jarak jauh buatan Jerman di pejabatnya.
Memang pemantauan yang begitu baik dan berkesan. Ketua Pengarah boleh mengesan fasa-fasa pembinaan projek pejabat agensi itu yang terletak di kawasan bukit bandar raya Seremban.
Ketua Pengarah juga boleh menyemak sama ada laporan fizikal menepati dengan laporan yang disampaikan oleh pegawai-pegawainya yang menyelia projek itu.
Ia juga bagi membantu kemajuan fizikal projek yang bernilai jutaan ringgit mengikut jadual perancangan yang ditetapkan oleh pihak kontraktor utama. Tidak ada alasan kukuh pihak kontraktor mahu memohon lanjutan lebih masa (EOT) lazim berlaku.
Tetapi apa yang lebih mengejutkan aku apabila Syuhada memberitahu sistem yang berteknologi canggih alam siber itu telah berpindah di rumah ibu saudara aku pula, Mak Temah yang tinggal bersendirian di rumah pusaka yang tidak jauh jauh dari desa Puteri Warisan.
Menurut Syuhada, di rumah Mak Temah ada terpasang kamera pengesan jarak jauh jenis CCTV di ruang tamu, ruang dapur dan bilik air. Ketiga-tiga tempat ini menjadi laluan utama pergerakan Mak Temah setiap hari dalam rumah itu.
Dengan cara inilah anak-anak Mak Temah dapat memantau ibunya dalam rumah pusaka itu. Syuhada berasa terkilan dan tertanya-tanya begitukah anak-anak yang dewasa dan telah pun berumahtangga membalas jasa ibu mereka? Syuhada bagaikan meminta pandangan aku tentang pemasangan CCTV di rumah Mak Temah itu.
Aku menghirup kopi panas yang disediakan Syuhada sambil mencicip ubi rebus dengan sambal belacan pada petang itu.
“Tak mahal ke kerja-kerja pemasangan CCTV tu?” Soal aku.
“’Kan anak Mak Temah ada lima orang. Mereka ‘tuang-tuang’lah sesama adik beradik untuk mengadakan sistem CCTV tu di rumah ibunya tu,” balas Syuhada.
“Banyaknya duit mereka,” ujar aku.
“Apakah tak ada seorang pun anak Mak Temah mahu menjaganya?” Soal aku yang berasa tidak puas hati dengan tindakan anak-anaknya itu.
“Entahlah,” balas Syuhada sekadar mahu ambil tahu apa yang terjadi di rumah Mak Temah itu. Syuhada tidak mahu memanjangkan pertanyaan aku tadi. Mungkin dia mahu aku mendapatkan jawapanku sendiri.
Tapi, apalah hendak dihairankan. Fikir aku. Boleh dikatakan saban hari aku membaca dari sumber formal dan tidak formal dari akhbar perdana dan juga medsos (media sosial) tentang sikap anak-anak sekarang ini yang mengabaikan tanggungjawab menjaga ibunya yang sudah tua.
Aku akan ke rumah Mak Temah. Aku mahu melihat kejadian sebenar. Aku juga mahu menentukan cerita yang disampaikan Syuhada sama ada sahih atau tidak atau pun ditokok tambah untuk menyedapkan kisah rumah Mak Temah itu. Berita kenalah sahih.
Dulu, aku pernah menjawat jawatan stringer di sebuah akhbar harian perdana dan jawatan itu hanya tiga tahun dan meninggalkan pekerjaan sambilan itu apabila berlaku rusuhan antara penonton dengan agensi penguat kuasa yang berpakaian seragam di tapak pesta Puteri Warisan.
Dalam rusuhan itu banyak jurugambar yang mengambil foto rusuhan anggota pakaian seragam itu dengan penonton yang menyaksikan penyanyi ‘rock’ tanah air di atas pentas kebudayaan itu.
Mereka menyalakan pemetik api mengikut alunan lagu ‘rock’ yang rancak itu. Mereka menari terkinja-kinja sesama mereka. Pihak penguasa cuba mengawal keadaan supaya tidak menjadi liar. Inilah punca berlaku rusuhan.
Terdapat banyak kamera jurugambar yang merakamkan tindakan anggota penguat kuasa itu menolak dan menerajang penonton yang liar itu dirampas kerana merakam kejadian itu.
“Kamu nak dedahkan imej buruk kami kepada media ke?” Jerkah salah seorang daripada anggota berpakaian seragam itu dengan nada keras.
Rakan-rakannya yang lain merampas kamera dan mengeluarkan filem di perut kamera itu. Malam itu merupakan sejarah hitam pesta Puteri Warisan yang diadakan itu. Sehari selepas kejadian itu, Wati, isteri aku yang bertugas sebagai guru di sekolah menengah turut terpalit namanya apabila aku dan pemberita akhbar lain ditahan.
Akhirnya, Wati mencadangkan aku menyambung pengajian aku ke UiTM. Di IPTA itu yuran pengajiannya agak murah. Dan akhirnya aku bekerja di sini.
Tengah hari itu, aku singgah ke warung Wak Junus yang menyediakan sup tulang dengan roti Benggali itu.
Makanan itu menjadi kegemaran aku kerana rendah kalorinya. Aku memesan makanan itu untuk dibawa ke rumah Mak Temah.
Ketika Mak Temah menguak daun pintu dan menyambut salam aku, perempuan berusia lapan puluhan itu berasa terkejut dengan kehadiran aku.
“Bila kau pulang, Sen?” tanya Mak Temah.
“Semalam saya sampai Mak Temah. Tak sempat nak tengok Mak Temah. Saya pun tiba dah lewat petang. Dulu memandu sampai ke rumah dalam sejam. Sekarang ini hendak dekat dua jam setengah,” rungut aku.
“Kenapa Sen? Sebabnya jalan raya sibuk ke?” Soal Mak Temah.
“Nak kata punca sibuk disebabkan kemalangan jalan raya tak juga. Ramai merungut kereta dah semakin banyak di jalan raya tu sekarang ni, Mak Temah, sampaikan tak mampu lagi jalan raya nak tampung jumlah kenderaan yang banyak tu, terutamanya musim perayaan ini,” terang aku dengan panjang lebar.
“Anak-anak Mak Temah tulah sahaja alasannya tak dapat pulang melawat Mak Temah. Jalan raya sibuk mereka susah nak pulang. Mereka pasangkan Mak Temah CCTV mudah mereka pantau dari rumah masing-masing,” terang Mak Temah.
Mak Temah menunjukkan kedudukan CCTV yang dipasang oleh anak-anak Mak Temah. Betullah apa yang diterangkan Syuhada kepada aku.
“Mak Temah sihat?” Tanya aku.
“Ah, sihat orang dah tua, Sen. Ada masa sihat. Ada masa sakit. Mak Temah kenalah pandai bawa diri, Sen. Ada anak-anak pun bukan pedulikan Mak Temah lagi.
“Mak Temah ini sudah tua. Tak boleh menjaga anak-anak mereka. Tak boleh memasak untuk mereka,” balas Mak Temah dalam nada sebak.
“Dulu semasa arwah Pak Yasin masih hidup, bukankah Mak Temah yang sibuk memasak untuk anak-anak yang pulang. Mereka sudah lupakan jasa-jasa Mak Temah ke?” Soal aku.
Air mata Mak Temah tergenang di kelopak matanya yang sudah berkedut itu. Usia tua bukan kehendaknya. Ia adalah putaran alam. Mak Temah menyapu air matanya yang tergenang itu dengan hujung lengan baju kurungnya yang lusuh itu.
Mata Mak Temah menjurus pandangan kepada makanan yang aku bawa dari warung Pak Junus itu tadi. Mak Temah semakin kurus. Matanya cengkung terperosok ke dalam.
Tulang-tulang ditubuhnya masih boleh bersembunyi bersalutkan kulit yang nipis. Mungkin tindakan anak-anaknya itu mendatangkan psiko kepada dirinya yang tinggal sebatang kara di rumah pusaka itu.
“Apa makanan yang kau bawa tu, Sen?” soal Mak Temah.
“Makanan kegemaran Mak Temah lah,” usik aku.
Mak Temah membeliakkan matanya.
“Sup tulang dan roti Benggali?” soal Mak Temah.
Aku melihat muka Mak Temah yang ceria. Aku mengangguk-anggukkan kepalaku.
“Terima kasihlah Sen kerana bawakan makanan kegemaran Mak Temah. Anak-anak Mak Temah kalau pulang dengan tangan kosong. Langsung tak reti nak bawa buah tangan untuk Mak Temah.
“Terkilan rasa hati Mak Temah kerana tak ada lagi anak perempuan. Kalau ada, bolehlah Mak Temah jodohkan dengan kamu yang menduda ini,” balas Mak Temah.
Aku terdiam kerana ucapan yang lahir daripada mulut Mak Temah mendatangkan sentuhan hatiku yang telah lama terluka itu.
“Kita sama-sama insan yang sunyi, Mak Temah,” ujar aku sambil tersenyum menyembunyikan suram yang semakin jauh berbalam dalam sanubariku.
“Tak tahulah Mak Temah. Setiap perkahwinan menempuh fasa-fasa tertentu.
“Fasa pertama, apabila kita mulai mengenali percintaan. Fasa keduanya, apabila dalam perkahwinan ada gelora yang tersendiri bergantung kepada rumah tangga masing-masing.
“Fasa inilah yang membawa kepada perceraian. Fasa ini adalah fasa mematangkan sesebuah rumah tangga dan salah seorang membuat keputusan mengejutkan pasangannya,” terang aku.
“Banyak lah bersabar Sen,” ucap Mak Temah.
“Sekarang ini, saya dah boleh ‘move on’ Mak Temah selepas Wati memohon perceraian kerana mahu berkahwin dengan lelaki cinta pertamanya. Lagi pun nak sabar apa, Mak Temah kalau setiap hari berlaukkan pertengkaran saja,” terang aku.
Aku berasa lega kerana dapat meluahkan isi hati aku kepada Mak Temah. Selera aku kembali tumbuh melihat di depan mataku sup tulang dan roti Benggali itu.
“Jom kita raikan ‘kesunyian’ kita ini dengan makan sup tulang cecah roti Benggali, Mak Temah. Perkara dah jadi nak buat macam mana lagi?” ujar aku.
“Kau memang anak lelaki Sen. Tabah menghadapi segala ujian hidup,” tingkah Mak Temah.
“Mak Temah nak ke mana pula tu?” Soal aku.
“Duduklah Sen. Mak Temah nak buat air,” ujar Mak Temah.
Aku melihat Mak Ngah memegang kedua-dua belah lututnya. Tangan kanannya menyokong ke lantai bagi membolehkannya mengangkat punggung untuk berdiri. Aku kasihan melihat Mak Temah di depan mataku.
“Eh, tak payahlah susah-susah Mak Temah. Biarlah saya buatkan air ,” balas aku.
“Baiklah,” balas Mak Temah.
Aku tidak lagi berasa kekok tinggal bersendirian sejak berpisah dengan Wati. Segala keperluan aku lakukan sendiri.
Aku ke dapur mencari mangkuk untuk mengisi sup tulang dan piring mengisi roti Benggali.
“Mak Temah hendak minum apa?” Soal aku.
“Buatlah Mak Temah kopi, Sen. Dah lama Mak Temah tak minum kopi panas,” balas Mak Temah.
“Mak Temah duduklah. Biar saya buatkan,” ujarku.
Ketika kami sedang menikmati kopi panas itu, tiba-tiba kedengaran suara perempuan memberi salam di luar rumah.
“Syuhada memang macam tu. Tak boleh abang hilang sekejap,” gurau Mak Temah.
Tapi, suara yang aku dengar itu bukan suara Syuhada.
Mak Temah terkial-kial mahu bangkit dari duduknya. Aku bangun menuju ke pintu. Ketika daun pintu dikuak, aku terkesima.
“Apa khabar Mak Temah?” Soal Wati sambil memegang bungkusan di tangannya.
“Khabar baik. Masuklah Wati,” pelawa Mak Temah.
Aku tercenggang. Kenapa pula tiba-tiba Wati ada di sini? Seperti dia tahu pula aku datang melawat Mak Temah.
Aku kemudiannya membiarkan Wati dan Mak Temah berbual-bual menikmati saki-baki sup tulang dan roti Benggali itu. Aku ke dapur membuat minuman dan memotong buah-buahan yang dibawa Wati tadi.
“Saya tak boleh lupakan abang Husen, Mak Temah. Bagi Wati abang Husen adalah segala-galanya dalam hidup Wati. Sebab itulah Wati pulang ke sini cari abang Husen. Abang Husen tak sama dengan lelaki lain,’ jelas Wati.
“Tuhan Maha Berkuasa menemukan kamu dengan Husen semula,” ujar Mak Temah.
Air mata Mak Temah tergenang lagi. Kali ini air mata gembira Mak Temah melihat aku dan Wati telah berbaik-baik semula. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya