Ketua Negara ke -25 - Utusan Malaysia

Ketua Negara ke -25

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bersyukur sekali Badar memiliki anaknya Si Nazar itu. Anak ketiganya itu adalah anak nazar di Raudah Masjid Nabawi. Setelah dia mempunyai tiga anak perempuan, kepingin sekali anak lelaki. Anak yang akan mengikuti jejaknya. Badar teringatkan Si Khattab bernazar untuk kelahiran Umar dan Si al-Jarrah untuk Abu Ubaidah. Dia berusaha ke Madinah Munawwarah, dengan niat untuk memohon anak lelaki.
Sepuluh ekor kambing tumbang sewaktu membayar nazar bersekali dengan aqiqahnya. Anak kecil mongel itu bermata galak. Kata ketua berzanji sambil memotong rambutnya, “Si Nazar ini anak yang cerdik dan pintar.”
Begitulah Nazar hidup dibesarkan oleh kasih sayang diuliti dengan kata-kata, anak ini cerdik dan pintar. Dia diajar mengikut jejak para ulama besar, 10 tahun sudah pandai mengaji al-Quran dan menghafal beberapa surah muqaddam. Kemudian mengikuti pelajaran bahasa Arab. Setelah menguasai Arab fushah, Nazar dihantar belajar sastera Arab.
“Dengan itu kau akan dapat menguasai ilmu al-Quran”. Ujar Badar. Di samping itu, Nazar dihantar ke sekolah antarabangsa. Dia mahu Nazar bagus berbahasa Inggeris. “Dunia bercakap dalam bahasa Inggeris, kau kuasailah.” Mintanya.
Sebenarnya tertanam dalam hati kecil Badar, anaknya itu mahu dididiknya menjadi orang politik lebih berjaya daripada pencapaiannya. Supaya dia dapat berbakti untuk bangsa dan tanah airnya. Badar belajar bagaimana al-Jarrah mendidiknya Abu Ubaidah. Dengan membela kambing di gurun, menjadikan Abu Ubaidah berjiwa kental. Dia diajar menunggang kuda dan memanah, menyertai setiap medan perang hingga sampai ke Syam untuk belajar daripada orang Roman cara berperang. Abu Ubaidah menguasai strategi perang sehingga memenangi setiap kali peperangan.
“Semoga anakku ini berjiwa seperti Abu Ubaidah”. Badar melihat anaknya sudah mahir berbahasa Inggeris dan ilmu akademik. Badar sedar dunia politik besar ujiannya, justeru dia menghantar anaknya ke luar negara bagi menguasai ilmu politik pula.
Suatu malam Badar bermimpi anaknya sudah menguasai ilmu politik sama seperti Abi Ubaidah yang menguasai strategi perang.
“Wah! Saudara Nazar sudah memiliki keilmuan politik dan mempunyai identiti tersendiri,” kata ujar Siti Muslihah, sahabat sekuliah yang sama-sama sudah memiliki ijazah sarjana dalam ilmu politik kenegaraan.
“Engkau apa kurangnya Siti, excellent,” kata Nazar tersenyum.
“Kau juga mengikuti kursus lanjutan sebagai agen perisikan.”
Sebagai anak muda yang memiliki ilmu agama dan ilmu akademik, dengan sosoknya hebat, cerdik dan pintar pula, Badar melantik anaknya itu sebagai Setiausaha Kerja Parti Perjuangan Bersama. Kemudian dilantk sebagai Ketua Bahagian Belia parti. Semuanya ahli parti itu bersetuju.
“Kau juga harus berusaha menarik anak-anak muda menyertai perjuangan kita,” kata ayahnya.
Dia memberitahu, jika mahu menang di dunia politik, jiwa dan minda anak muda perlu ditawan. Anak-anak muda itu pula akan menawan golongan dewasa dan masyarakat seluruhnya.
Itu bukanlah sukar bagi Nazar melakukannya, dia memiliki serangkaian teman-teman seperjuangan.
Nazar mengingati kata Frantz Fanon – “Kolonialisme sentiasa wujud dan merantai masyarakat kita. Perpecahan menandakan permulaan kolonialisme itu. Awasilah nasib bangsa, kerana kolonialis itu akan menindas kamu. Dia mahu kamu menjadi bangsa lemah dan mustad’afin. Kerana itu kita mesti memiliki strategi politik kuat, bersih dan progresif. Oleh itu binalah solidariti”.
“Kita mesti tegakkan Malay Power,” kata Shahnon Ahmad.
Lahuma terkial-kial dengan Jeha menyarai tujuh anaknya dengan sawah ladang sekangkang kera. Hingga kini ranjau-ranjau itu masih melingkari petani Melayu. Justeru, Nazar membuat penyelidikan dan kerja lapangan tentang kemajuan politik Melayu dalam konteks Islam. Fikiran Islam digabungkannya dengan budaya Melayu. Dengan bersumberkan al-Quran dan Hadis serta budaya sastera Melayu, menjadikan wajah perjuangan Nazar membayangi manhaj tokoh-tokoh agama kaum salaf masa silam.
Badar sudah menguasai situasi yang tidak berketentuan, liku-liku bersiku merajai politik negara. Berebut-rebut mahu menaiki takhta kuasa. Badar sudah tercium wanginya takhta negara itu. Sudah ramai menduduki kerusi ketua negara. Kali ini adalah kerusi ke- 25 pemilihan ketua negara itu.
Dia mengerahkan anaknya Nazar, supaya dalam pilihan raya akan datang memastikan Parti Perjuangan Bersama mencapaikan kejayaan bagi memenuhi cita-citanya.
“Inilah peluang terbesar, pastikan ia tidak jatuh ke tangan orang lain, jatuh kepada Parti Demokrasi Nasional,” katanya tegas mengingatkan Nazar.
Dengan matanya yang tajam, cerdik dan pintar, Nazar bagai sudah mengetahui tujuan tersembunyi ayahnya, yang menyediakannya dengan keilmuan yang diramu atas perpaduan Islam, tamadun budaya Melayu dan epistemologi Barat itu. Manhaj itu adalah ramuan yang diinginkan rakyat jelata. Justeru, ia memudahkan Nazar menguasai politik kenegaraan.
“Ayah jangan melupakan Allah yang memiliki takdir penentu. Siapa yang benar akan mendapat bantuan Allah. Yang zalim akan membawa kecelakaan,” Nazar pula mengingatkan ayahnya.
Badar tersenyum. Anaknya cukup dewasa. Berprinsip.
“Kita juga mempunyai peluang sama,” kata Datuk Megat Nijamuddin, yang mengetuai gerakan Parti Demokrasi Nasional kepada orang kuatnya.
Sejak negara mengamalkan sistem dua parti, pilihan menjadi ketua negara, ditentukan oleh Parti Perjuangan Bersama dan Parti Demokrasi Nasional. Pertentangan antara Tun Mira Badar dengan Datuk Megat Nijamuddin. Keduanya akan membuat perhitungan dalam pilihan raya yang hampir tiba.
Rakyat di dalam negara itu, terpinga-pinga untuk memilih antara dua tokoh menjadi ketua negara ke-25. Kedua-duanya mempunyai kreadibiliti. Rakyat berdepan dengan dua mazhab politik berbeza. Namun, kedua-duanya lebih baik daripada ketua negara sedia ada yang berbelit-belit retoriknya dengan cerita mitosnya untuk mencipta negara Utopia.
Nazar yang lama di Barat, berkenalan dengan sistem ekonomi kapitalis berperang dengan sistem Marxisme, memahamsi situasi negara, dan hendak membuktikan partinya lebih berjaya untuk membentuk suasana politik dunia demi perniagaan dan keuntungan kaum pemodal negara dan kaum pemodal antarabangsa.
Tetapi tidak semudah dijangka, Datuk Megat Nijamuddin juga ada strategi luar biasa. Dia akan kerahkan pemodal itu meninggalkan negara, dan menyerahkan segala perusahaan ke tangan anak negeri yang banyak menganggur.
“Berjuta-juta anak watan menganggur. Universiti kita sekarang kilang pengangguran. Parti Demokrasi Nasional akan menyelamatkan mereka,” janji Datuk Megat Nijamuddin.
Dari kota ke kota dari desa ke desa, Nazar bergerak untuk meyakinkam Parti Perjuangan Bersama akan mengisi keperluan golongan muda. Setiap pentas ceramahnya dihadiri ribuan orang. Hanya sekali dia terasa, pentasnya kekurangan sambutan, rupa-rupanya ada pentas parti lawan berdekatan pentasnya. Nazar cuba merisik apa yang diucapkan oleh musuhnya itu.
“Undilah Parti Demokrasi Nasional kita akan membawa keadilan sosial. Kekayaan diberi sama rata. Yang miskin akan memperoleh haknya. Yang kaya akan diminta menyerahkan sebahagian hartanya kepada rakyat.” Suara itu nyaring menusuk jantung pendengarnya.
Mendekati pentas itu dan Nazar mula mengenali pemilik suara Parti Demokrasi Nasional. Namun Nazar yakin, Parti Perjuangan Bersama akan dapat menandingi Parti Demokrasi Nasional.
“Ayah sangat menghargai usaha kamu. Dengan segala susah payah berkempen untuk ayah.” Nazar tersenyum.
“Pertarungan kali ini sangat sengit ayah. Ayah kena banyak solat Dhuha dan Tahajud.”
Memang benar pemilihan ketua negara ke-25 itu sangat getir. Dua parti itu mempunyai kekuatan dan manifesto untuk memenangi hati pengundi. “Jangan berbohong kepada rakyat ayah. Dan pastikan ayah bersih dan tawakal kepada Allah.” Nazar menegaskan supaya etika politiknya selari dengan amal pemimpinnya.
Begitulah hebatnya pemilihan itu. Rakyat terpanggil menyuarakannya melalui kertas undian. Tercatat dalam sejarah 99% rakyat turun memilih. Kertas undian menunjukkan pertarungan hebat.
“Inilah kertas terakhir yang menentukan kemenangan.”
Tun Badar dan Datuk Megat Nijamuddin bergetar. Kertas itu perlahan-lahan diangkat daripada karungnya oleh pengira kertas undian.
“Pemenangnya ialah …Tun Badar”. Badar segera memeluk anaknya Nazar.
“Tahniah atas kebijaksanaanmu, aku tewas” ujar Siti Muslihah tepat memandang mata Nazar.
Badar dilantik menjadi ketua negara ke-25. Dan Nazar dilantik sebagai penolongnya. Segala kesukaran rakyat dibantu mengikuti manifesto parti. Pelabur luar negara berebut-rebut untuk memperbaiki ekonomi negara yng lama rosak dan terhimpit. Penukaran wang negara melonjak dan saham meningkat keaktifannya.
“Kita akan menjadikan negara ini maju, carilah idea paling ampuh untuk hadiah kepada semua rakyat,” ujar Badar kepada Nazar.
Nazar faham kehendak ayahnya. Dia mencari idea. Sekali sekala Nazar meminta bantuan segi fikrah dan manhaj untuk memajukan negara daripada tokoh intelektual termasuk Siti Muslihah.
“Ada sesuatu yang hendak aku sampaikan kepadamu Nazar,” tiba-tiba kata Siti Muslihah dengan suara tegas.
“Ya apa itu Siti Muslihah?”
“Tiada niat untuk sebarang kejahatan, ayah kamu membuat hubungan dengan luar negara yang mengancam keselamatan negara.”
“Itu tidak salah, itu adalah idea aku Muslihah. Dalam perisikan aku, ayahmu menjual sebahagian besar harta kepada kuasa luar itu. Dan ayahmu juga perasuah.”
Tergamam seketika. Ini tuduhan berat. Selepas itu Siti Muslihah mengajaknya ke bilik sulit perisikannya, dan membuktikan sejak kempen dahulu lagi, ayahnya menerima rasuah, melakukan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berbilion ringgit.
Sedikit demi sedikit kepercayaan Nazar terhadap ayahnya merosot. Akhirnya Nazar berdepan dengan ayahnya. Bukan main tersentap Badar bila dikatakan terlibat dengan segala macam maksiat kenegaraan itu.
“Ini tuduhan liar, yang cuba menggugat kerajaan kita dan kestabilan negara,” Badar mempertahankan kedudukannya.
“Ayah mendidik saya menjadi manusia berguna. Ilmu agama dan dunia disatukan menjadi inti perjuangan parti kita. Tapi ayah sendiri melakukan semuanya itu.”
Sejak itu, Nazar membawa dirinya. Badar menyedarinya dan terduduk sendirian.
Alangkah terkejutnya bila diketahuinya, anaknya Nazar telah bersatu dengan Parti Demokrasi Nasional dan mengisytiharkan peperangan terhadap ketua negara yang korup. Tidak disangka anaknya, sanggup berbuat demikian terhadap ayahnya. Tetapi dia faham anaknya itu berdiri di atas gagasan peribadi yang membentuknya sekian lama.
Malangnya, si anak sudah menderhaka. Dalam politik, sering diajar dialog Hamlet karya Shakespeare – kill or to be killed.
“Aku akan bunuh kau Nazar,” kata Badar menggenggam tangannya. Dia teringat kepada Nazar yang dibentuknya mahu seperti keperibadian Amirul Mukmin Saidina Umar al-Khattab dan Abu Ubaidah.
Rupa-rupanya benar seperti perjalanan sirah Abu Ubaidah. Berpunca daripada Abu Ubaidah, anak yang sangat disayangi itu memeluk agama Islam. Kemarahan al-Jarrah membuak-buak tidak dapat menahan malunya sebagai saudagar dan ketua Kabilah. Abu Ubaidah sanggup meninggalkan keluarga, malah berhijrah ke Madinah bersama-sama Muslimin lainnya.
“Aku akan cari kau Abu Ubaidah, dan pedang ini akan memenggal kepalamu” Al-Jarrah mengibas pedangnya.
Begitulah yang terjadi, berlaku peperangan Badar pada tahun kedua hijriah. Kedua-duanya menyertai peperangan itu. Si ayah bersama seribu tentera Quraisy Mekah. Marah si ayah makin memuncak bila Abu Jahal mengapi-apikannya. Jika si ayah membunuh anaknya ganjarannya bakal menduduki pembesar yang paling terhormat seluruh Tanah Arab.
Begitulah juga Badar mencari Nazar. Dengan pistol disembunyikan, Badar mengupah orang menjejaki Nazar. Sama dengan al-Jarrah yang berjaya mengepung Abu Ubaidah. Tiada pilihan maka Abu Ubaidah terpaksa menghunus pedang, mengayunkannya dan menebas kepala ayahnya.
Ironinya, di bilik tersembunyi si ayah membunuh anaknya. Badar menembak Nazar. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya