PERTEMUAN saya dengan lelaki yang sukakan ‘kelajuan’ dan deruman motosikal ini secara kebetulan. Semuanya bermula sebaik terpandang pada ukiran dan corak pada wau yang dihasilkan oleh Razi Said, 51 semasa mengunjungi sebuah pusat beli-belah baru-baru ini.
Cantik dan halus seni coraknya. Bagi Razi, semuanya kerana minat dan paling penting dia mahu memastikan warisan tersebut terus kekal untuk generasi akan datang.
Menceritakan semula detik-detik ‘terjerumus’ dalam permainan dan pembuatan wau, Razi berkata, ia bermula secara kebetulan tanpa menerima pendidikan formal atau mewarisi daripada sesiapa.
“Saya sudah lama minat permainan tradisional ini. Tetapi tidak sampai ke tahap pandai membuat wau sehinggalah satu hari saya lihat ada orang bermain wau di Taman Metropolitan Kepong.
“Wau yang mereka main itu pula bercorak dan daripada jenis wau bulan dengan ukiran tersendiri. Apabila lihat mereka bermain, saya membeli daripada seorang rakan dari Kelantan dengan harga RM300,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Bagaimanapun kata Razi, ada satu ketika wau kesayangannya itu patah dan perlu dibaiki dengan mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan.
Daripada situlah dia berusaha sendiri untuk belajar memperbaiki wau miliknya, seterusnya mendalami ilmu pembuatan wau dengan lebih mendalam sebagaimana hari ini.
“Ada juga yang gelakkan saya apabila saya cakap mahu belajar membuat wau. Maklumlah saya berasal dari Kuala Lumpur.
“Tambahan pula saya seorang yang ‘gilakan’ motor dan berjiwa kelajuan yang sinonim dengan mat rempit. Tidak hairanlah ramai yang gelakkan saya,” jelasnya.
Untuk setiap penghasilan sesebuah wau jelas Razi, dia memerlukan barangan asas seperti buluh, benang, kertas dan gam dengan masa diambil lebih kurang empat hari untuk menyiapkannya.
Setakat ini, Razi berjaya membuat lebih 100 wau pelbagai corak dan jenis untuk disertai dalam pertandingan wau termasuk di Johor dan Kelantan.
Antara jenis-jenis wau yang dihasilkan olehnya termasuklah wau bulan, wau jala budi dan wau kucing.
Wau yang dihasilkan Razi juga mempunyai keunikan dan ukiran sendiri dengan menggunakan teknik sobek dan bukan tampalan kain batik sebagaimana yang disangkakan ramai orang sebelum ini.
“Wau di Malaysia juga unik kerana ia satu-satunya yang menggunakan keadah tebuk dan tampal dengan dibuat menggunakan mata pisau halus,” jelasnya
Terdapat beberapa jenis motif yang digunakan dalam penghasilan reka corak wau antaranya bunga, abstrak, haiwan dan geometri.
Dalam pada itu, Razi berkata, dia pernah ditawarkan antara RM15,000 sehingga RM 20,000 daripada warga Perancis selepas jatuh cinta pada corak kesenian yang ada pada wau dihasilkannya.
“Mereka melihat kepada kesenian yang kita ada dan sangat menghargainya. Malah dia sanggup datang rumah untuk melihat bagaimana saya membuatnya.
“Warga asing itu berkata, ia satu kelainan yang belum pernah dia lihat serta tiada di tempatnya,” ceritanya.
Selain corak dan kehalusan seninya, elemen paling penting yang perlu ada pada wau adalah kebolehan dan kemampuannya untuk terbang.
Sementara itu, Razi berharap agar warisan permainan tradisional ini terus kekal dan tidak tenggelam dek zaman terutama melihat kepada perkembangan teknologi pada masa kini serta perubahan gaya hidup.
“Zaman semakin berubah. Generasi muda perlu ditanamkan minat dengan segala warisan tradisional dan kesenian milik kita.
“Saya berharap agar anak muda mempelajari seni budaya ini agar tidak hilang ditelan zaman,” jelasnya.
Razi dalam masa sama berkata, dia bersedia untuk mengajar dan menyampaikan ilmu kepada mana-mana individu yang mahu mempelajari cara pembuatan dan ukiran corak pada wau tanpa apa-apa bayaran.
Apa yang penting, katanya, adalah minat dan kesabaran yang sangat tinggi untuk memahirkan diri dalam pembuatan wau.
“Untuk mempelajari apa jua bidang, jangan malu untuk berguru. Jangan cepat putus asa. Saya pun waktu mula-mula belajar dulu teruk. Malah saya masih simpan lagi hasil pertama yang saya buat sebagai pencetus motivasi,” ujarnya. – Mingguan Malaysia
Kesenian wau yang diterjemah ‘mat motor’
- Oleh Mohamad Hafiz Yusoff Bakri
- 7 Mei 2023, 5:13 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am