Kambing jantan calit putih di dahi - Utusan Malaysia

Kambing jantan calit putih di dahi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAIL tetap tidak mahu bersekolah. Mail tidak mahu naik ke tingkatan satu pada sesi persekolahan tahun baharu. Puas ayahnya memujuk Mail. Puas emaknya merayu, tetapi mail tetap mahu berhenti bersekolah.
“Saya tak pandai. Saya tak boleh menulis. Saya tak boleh membaca. Semua rakan sekelas mengejek. Semua rakan sekelas menyisihkan saya. Mereka kata saya ini budak bodoh. Saya tak layak naik kelas. Saya malu.”
Mak Limah terus memaksa. Mail tetap dengan keputusannya. Dia akan berhenti sekolah. Itu kata putus Mail anak kedua pasangan Mak Ngah Limah dan Pak Ngah Roni.
Mak Ngah Limah membebel seharian. “Kamu ni memang anak yang bodoh. Kamu tak seperti abang dan adik kamu. Tengok Seman abang kamu, dia pandai. Sebab itu dia boleh masuk ke sekolah asrama penuh. Adik kamu Amira pun tak seperti kamu. Dia juga pandai.”
“Memang saya bodoh mak. Sebab itu, saya tidak mahu sekolah. Biarlah saya bodoh. Biar saya menolong ayah di bendang. Biar saya bercucuk tanam. Saya boleh memelihara lembu. Saya boleh ternak kambing.”
Mak Ngah Limah semakin menyeringai. Ranting senduduk dalam genggamannya singgah di betis Mail beberapa kali. Mail kesakitan. Mail berlari meminta tolong ayahnya yang tiba-tiba muncul.
“Anak tak dengar kata. Anak tak makan ajar. Malam ini tak usah makan nasi. Tak usah naik rumah. Kamu tidurlah di kandang kambing.”
Malam itu menjadi satu sejarah bagi Mail. Dia betul-betul tidur dalam kandang kambing. Nasib baik ada bangku. Nasib baik ada unggun api. Malam itu Mail terlena dalam berlapar.
Seawal pagi Mail bangun. Mail mengheret lembu jantan milik ayahnya ke bendang. Selepas menghentak pelunggol ke dalam tanah, Mail balik semula ke kandang. Empat ekor kambing termasuk seekor kambing jantan akan diheret keluar bila matahari naik. Mail tahu sangat perangai kambing yang sememangnya takutkan air embun.
Beberapa tongkol ubi kayu yang tergantung di bangsal kandang kambing Mail bakar di bara unggun api semalam. Itulah sarapan Mail pagi itu. Ubi kayu bakar memang sedap jika dimakan ketika masih panas-panas dan minum kopi O. Tapi pagi itu tidak ada kopi O. Mail hanya minum air mentah dari telaga.
Empat ekor kambing milik keluarganya itu diheret keluar kandang menuju belukar di belakang rumah. Kambing kemudian ditambat, sementara Mail masuk ke semak mencari makanan kambing. Mencari daun selaput tunggol dan rumput.
Itulah rutin Mail setiap hari. Leteran emaknya perkara biasa. Telinganya tidak lagi terasa sakit dan terkesan. Kalau dia lapar, dia naik sendiri ke rumah mencari makanan. Kalau ada nasi dengan ikan haruan kering bakar, itulah yang Mail makan. Dia tidak akan mempersoalkan apa-apa. Jika ada nasi dingin dia perhangatkan.
Kadang-kadang rezeki dia murah, dia dapat makan nasi berlaukkan telur goreng atau sup belut. Itupun sebulan sekali, atas ihsan ayahnya. Jika nak harapkan emaknya, dia tidak akan merasakan semua itu. Kalau tidak bernasib baik, dia mungkin berlapar sepanjang malam.
Ketika abangnya Seman balik bercuti emak masak lauk yang sedap-sedap. Lauk lauk kari kepala ikan baung. Emak goreng tumis ayam jantan kampung. Mail hanya menghidu baunya sahaja. Tetapi semua itu Mail memang tidak kisah. Mail sedar dirinya anak terbuang. Dirinya anak tidak berguna.
Mak Ngah Limah memang tidak suka dengan Mail. Tidak suka dengan perangai Mail. Dan kemarahan itu tidak pernah reda. Mujurlah ayah Mail menjadi galang ganti. Kebajikan Mail sentiasa diambil kira. Kudrat Mail yang diguna membantunya mencedung padi di bendang amat diambil kira.
Seminggu sekali setiap Jumaat, Pak Ngah Roni membawa Mail ke pekan. Sambil menunggu solat Jumaat, Mail dijamu makan semahu mungkin. Di pasar pagi itu jugalah Mail dapat beli pakaian. Dia tidak perlu lagi bergantung dengan kain baju terpakai milik abangnya.
Mak Ngah Limah selalu menegur suaminya yang terlalu manjakan Mail. Tetapi Pak Ngah Roni, sering mempertahankan Mail.
“Aku beli pakaian sebagai upah dia bekerja Limah. Dia bukan duduk goyang kaki. Dia mencedung padi, dia membuat batas sayur, dia pelihara lembu dan kambing.”
Mak Ngah Limah terdiam dengan jawapan suaminya, dan kadang-kadang Mak Ngah juga terfikir jawapan itu betul.
“Dan lagi, kau jangan lupa, Mail itu anak kita. Kamu yang mengandung dan melahirkanya.” Mak Ngah Limah tunduk tanpa mampu berhujah seperti sebelum ini.
Sejak hari itu kemarahan Mak Ngah Limah reda sedikit. Ketika Pak Ngah Roni dan Mail membesarkan kandang, untuk dijadikan tempat tinggal Mail, Mak Ngah Limah hanya memerhati, walaupun hatinya tidak boleh terima namun mulutnya terkumat-kamit memperkatakan sesuatu.
Seminggu juga mereka dua beranak mencari kayu dan buluh di bukit untuk membuat bangsal tambahan di kandang kambing. Mail terasa lebih selesa tinggal di bangsal kayu bergelegar buluh itu. Dia lebih selesa tidur bangun di situ, biar pun tiada katil dan tilam. Cukuplah dia tidur di atas tikar mengkuang yang emaknya anyam. Cukuplah biarpun emaknya hanya memberi sebiji bantal dan kain selimut yang lusuh. Itu lebih daripada cukup.
Angin kemarahan Mak Ngah Limah yang reda, bertiup kencang kembali. Kesnya bukanlah besar. Ia berpunca bila Mail mengambil nasi lebihan yang diletak dalam tempurung di tepi tangga. Nasi itu Mail berikan pada kambing jantan ayahnya.
“Mail, nasi tu untuk makanan ayam. Bukan untuk kambing. Kamu ini tak habis-habis buat perkara-perkara yang aku tidak suka.” Jerit Mak Ngah Limah.
Mail amat terkejut. Mail amat takut pada jerkahan emaknya. Tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Semua nasi di dalam tempurung jantan telah habis dimakan kambing hitam bertanda putih di kepala.
Sejak hari itu Mail tidak lagi mengambil sisa-sisa makanan dari rumah. Sebaliknya Mail masuk ke hutan. Dia mencari mencari makanan kegemaran kambing. Dia mencari daun pokok sisek puyu, selaput tunggul dan daun mengkudu. Semua itu Mail lakukan supaya kambing jantan setinggi pingggangnya itu hidup segar dan bertenaga.
Setiap petang Mail akan membawa kambing itu berlari-lari mendaki Bukit Mesa. Mail juga membawa kambing jantan berbulu halus itu berlari-lari di atas tebing Sungai Gali. Pendek kata, ada saja aktiviti Mail dan kambing jantan. Mail menjaga kambing itu cukup teliti. Tanduknya sepanjang tiga ruas jari telunjuk dikikis licin bersinar menggunakan kaca gelas yang pecah. Tanduk itu juga dipelas menggunakan daun mempelas sehingga kelihatan licin berkilat. Ke mana saja Mail bergerak si hitam itu akan mengikuti. Pendek kata kambing itu sangat manja. Kalau dia lapar, disondol-sondolnya betis Mail.
Mak Ngah Limah melihat perbuatan Mail itu dengan penuh geram. Benci dan menyampah. Kemarahan itu diluahkan kepada suaminya.
“Abang, kita jual sajalah kambing jantan tu. Bela pun tidak berguna. Tidak mendatangkan hasil. Lainlah membela kambing betina. Ketiga-tiga ekor kambing betina kita itu nampaknya sudah bunting. Sebulan dua lagi keluarlah anak.”
“Kalau tidak ada si hitam calit putih tu, kambing betina kita tidak akan bunting Limah.” Jawab Pak Ngah Roni selamba dan berlalu meninggalkan isterinya yang masih berleter menuju ke bendang. Darah Mak Ngah Limah panas bergelegak.
Berita emaknya mahu menjual kambing jantan itu sampai ke telinga Mail. Entah siapa yang membawa khabar itu. Mail amat terkejut bercampur sedih. “Sampai hati emak mahu jual kambing jantan,” rungut Mail.
Mulai hari itu Mail lebih berhati-hati. Setiap malam pintu kandang dituas kemas. Si hitam calit putih di kepala itu pula ditambat berhampiran bilik tidurnya. Mail mulai bimbang. Mail tidak mahu kehilangan si jantan jinak dan manja itu.
Malam itu hujan lebat. Mail tidur malam itu dengan sangat lena. Seluruh tubuhnya amat letih kerana kerja-kerja mencerut rumput lembu serta mencari pucuk kayu muda untuk kambing siang tadi.
Bila tersedar keesokan hari, matahari sudahpun tinggi sepengalah. Alangkah terkejutnya Mail. Kambing jantan hitam calit di dahi sudah tidak ada di dalam kandang. Tali ikatan telah terombak. Mustahil kambing jantan itu terlepas dan melompat pagar. Mustahil kambingnya boleh terlepas dan lari dari kandang.
Mail mencari sekeliling kandang. Kambing jantannya tidak ada. Dia meluru ke belakang rumah, kambing.pun tiada. Mail mencari ke tebing sungai pun tak ada.
Dalam termengah-megah Mail ke bendang. Ayahnya sedang membersih saliran di batas padi.
“Kambing jantan kita dah hilang ayah.” Suara Mail bernada sedih. Pak Ngah Roni terhenti bekerja tiba-tiba. “Si hitam terlepas?”
“Ya ayah, tak ada dalam kandang.”
Pak Ngah Roni mencampak cangkul di tangan. Dia melompat ke atas batas.
“Mail nak pergi cari di bukit ayah, mungkin dia terlepas ke sana.” Suara Mail sayup-sayup terdengar di telinga Pak Ngah Roni. Mail sudah berlari jauh menuju ke arah bukit.
“Mungkinkah kambing terlepas. Atau sengaja dilepaskan?” Pak Ngah Roni mengangguk-anggukan kepala sambil berjalan balik ke rumah.
“Awal abang balik.” Tegur Mak Ngah Limah. Pak Ngah Roni tidak menjawab. Dia melangkah menuju kandang kambing. Tiga ekor kambing betina yang bunting masih terikat kemas. Pagar kandang tidak mengalami kerosakan. Pak Ngah Roni berpaling ke arah Mak Ngah Limah.
“Awak lepaskan kambing jantan? Atau awak yang sembunyikan kambing itu?” Mak Ngah Limah tidak bersuara. Tapi dia menggelengkan kepala.
“Kasihan Mail. Dia dah berlari ke bukit mencari kambing. Entah berjumpa atau tidak. Dia tak makan apa-apa lagi pagi ini. Kebuluran budak itu.” Mak Ngah Limah terus diam. Pak Ngah Roni menuju ke perigi dan ke surau untuk solat Zohor.
Ketika matahari sudah banyak condong ke barat, kelibat tubuh Mail tidak kelihatan. Kambing jantan juga tidak kelihatan.
Ketika azan Maghrib di madrasah berkumandang. Mail tidak muncul-muncul. Pak Ngah Roni ke surau untuk solat sambil memaklumkan kepada jemaah kehilangan Mail. Lepas Isyak, para jemaah lelaki masing-masing membawa jamong, cedok dan karak menuju ke bukit.
Menjelang subuh semuanya balik semula ke surau. Mak Ngah Limah dan beberapa makmum lain sudah menunggu.
“Tidak jumpa ke Mail?” Mak Ngah Limah menerpa ke arah Pak Ngah Roni. Pak Ngah Roni menggelengkan kepala.
“Mail, ke mana kamu Mail.” Mak Ngah Limah terjelepak ke kaki suaminya. Dia menangis sepuas hati. Pak Ngah Roni tidak berkata apa. Dia melangkah ke kolah untuk berwuduk.
Hari kedua Mail hilang. Solat hajat akan dibuat selepas Zohor di madrasah. Orang kampung berkumpul. Makanan untuk para jemaah sedang disediakan. Mak Ngah Limah sejak dua hari lalu berdiri di sisi kolah memandang jauh ke arah bukit. Dia membayangkan anak lelakinya yang sebelum ini sangat dia benci. Dia sedang menanti kepulangan Mail.
Ketika selesai azan Zohor tiba-tiba terdengar kambing mengembek. Pak Ngah Roni melompat turun dari madrasah. Kambing jantan peliharaan Mail tiba-tiba muncul di celah-celah semak tepi madrasah. Pak Ngah Roni menerkam ke arah kambing jantan hitam calit di dahi itu.
Mak Ngah Limah rebah di tepi kolah untuk kesekian kalinya.
Kambing terus mengembek menyondol-nyondol betis Pak Ngah Roni. Kelibat wajah Mail tidak muncul-muncul. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya