AKU melangut melihat wajah nenek yang kelihatan kecewa. Mak Long dan Mak Ngah asyik bertelagah sejak tadi. Aku seperti tidak wujud di daerah pertengkaran mereka. Nenek cuma mendiamkan diri membiarkan anak-anak perempuan mereka melepaskan apa yang terbuku di hati mereka.
“Mak sedarlah sikit, umur emak sekarang sudah berapa. Rumah kata pergi kubur kata mari.” Suara Mak Long kedengaran lantang. Mak Ngah yang sudah terkenal dengan sikap tenang itu sedikit mendongak membiarkan kakaknya menghabiskan ayat terakhirnya.
“Apalah Kak Long ni, pasti ke yang emak akan mati dulu dari kak Long. Silap hari bulan Kak Long yang pergi dulu tau?” Mak Ngah menyelitkan ayat yang membuatkan Mak Long sentap. Wajah Mak Long mencuka kalau diperah ke atas kertas litmus dah tentu warnanya merah.
Aku memandang nenek dengan rasa kasihan berlapis-lapis. Namun aku tidak mampu menolong apa-apa melainkan menjadi pendengar dan pemerhati. Siapalah aku yang hanya berumur 12 tahun ini. Kalau ada emak mungkin pertelingkahan ini makin sengit. Silap hari bulan mahu roboh rumah nenek yang sudah uzur ini.
Nenek bangun memandang aku sekilas sebelum pandangannya tumpah pada Mak Long dan Mak Ngah yang masih mahu meneruskan percakaran. Nenek duduk di muka tangga melihat hijau alam seperti memujuk lara hati tuanya. Aku duduk di sebelah nenek.
Cuti persekolahan selama dua minggu ini mencampak aku ke kampung nenek. Emak yang sentiasa bermain dengan kesibukan itu seperti terlupa ada anak. Ayah juga sama sefesyen dengan emak. Anak tunggal mereka ini dikirimkan ke kampung dengan alasan untuk menemankan nenek. Aku terasa yang nasib aku dan nenek adalah sama. Sama-sama tidak diperlukan.
“Apa yang emak cari lagi. Rumah dah ada, anak cucu keliling pinggang. Apa lagi?” Bentak Mak Long. Nenek seperti mahu mengatakan sesuatu tetapi hanya anak matanya sahaja berbicara.
“Sedarlah diri emak tu, bila-bila masa malaikat akan datang menjemput,” sambung Mak Long. Nenek seperti mahu mengungkap sesuatu tetapi tidak berhasil. Mak Ngah yang lebih banyak diam mula menunjukkan reaksi kurang senang dengan kelakuan Mak Long.
“Mana Kak Long tahu yang emak yang mati dulu daripada Kak Long. Jangan-jangan Kak Long dulu pergi!” Suara Mak Ngah macam biasa lembut dan bergetar. Semacam ada tangisan halus di dalamnya. Aku sudah mula muak dengan drama yang sedang berlangsung. Perkataan yang sama diulang-ulang. Macam menonton drama ulangan. Pelakon yang sama. Entah siapa hero dan heroinnya. Aku cuma pelakon tambahan.
“Nek, Arah jalan-jalan di bawah ya?” Entah kenapa aku meminta izin. Sebelum ini hendak ke mana pun tidak payah meminta permisi bagai. Entahlah dialog mana yang aku pakai. Nenek mengangguk sambil memberi senyum tipis. Wajah nenek masih manis seperti dulu yang aku kenal. Mukanya tiada banyak kedutan. Entah kosmetik apa yang nenek pakai. Aku pernah melihat emak memakai bermacam-macam lapis alat solek sebelum keluar ke tempat kerja. Kadang-kadang ayah merungut kerana terpaksa menanti terlalu lama di dalam kereta.
‘Hmm… agaknya aku bila sudah dewasa nanti begitukah.’ Soalan itu kubiarkan tanpa jawapan. Aku duduk di buaian besi tepi dinding menghadap ke pokok rambutan. Bau bunga melur nyaman menyusup masuk ke lubang hidung. Aku berharap sangat sepupuku Zaharah dan Eda akan datang menemaniku saat kesunyian begini. Selalunya mereka akan datang senyap-senyap dan menyergahku sampai aku terkejut. Kemudian mereka tergelak sampai meleleh air mata melihat gelagat terkejut aku.
Aduhai! Mengapa aku dikirimkan ke sini. Kalau tidak sudah tentu di waktu ini aku sedang duduk di depan laptop menggodek benda alah itu. Bersembang dengan teman mayaku atau bermain game.
Di sini apa yang ada? Suara ayam, itik, beburung dan kadang-kadang melihat tupai yang asyik melompat dari dahan ke dahan mencuri buah. Bagaimana nenek, Mak Long, Mak Ngah boleh tinggal di sini? Berkongsi laman dengan rumah nenek. Aku mengalih pandang ke kanan melihat sederet pokok nanas. Ada yang sedang berbuah dan ada juga antaranya sudah ditebuk.
“Semua itu pahala,” ujar nenek apabila aku sampaikan perkara tersebut.
“Hidup ini banyak pahala kalau kita mahu,” sambung nenek lagi. Aku mendongak melihat rambutan sudah mula mengkal. Sebiji dua nampak merah di celah daun. Seekor tupai seperti sedang menunjuk lagaknya padaku.
“Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.” Bidalan itu muncul dari fikiranku.
“Waaaaa!” Aku melompat dari buaian. Nyaris kepalaku terhantuk kepada besi penghadang. Eda dan Zaharah tergelak panjang.
“Wei! Kau ingat lucu?” Marahku. Aku memandang kedua orang sepupuku dengan muka yang marah.
“Aku baru nak menikmati keindahan alam, dah macam terencat jantung aku ni tahu tak?” Aku terus menabur kemarahanku. Mereka tersenyum seperti tiada rasa bersalah.
“Alah! Kalau nak nikmati keindahan alam, tu sana tu,” Tunjuk Eda ke arah bukit belakang rumah nenek. Kaki bukit yang masih berselimut hijau itu aku pandang lama.
“Ada apa di situ?” Soalku teruja.
“Ada beruang, singa, gajah, ular macam-macam ada.” Zaharah menyakatku lagi. Aku tergelak.
“Itu bukan menikmati keindahan, tetapi dibaham dengan indah.” Balasku ngeri sambil membayangkan ular sedang mengeliut di dahan pokok. Harimau mengacah-ngacah kuku tajamnya.
“Heiiii!“ Jeritku.
“Tengok nenek dah panggil. Jom masuk!” Ajakku. Suara nenek nyaring kedengaran.
“Alahai cucu kesayanganlah pula,” balas Eda menjuihkan mulut.
“Jeleslah tu,” balasku menjulurkan lidah.
“Pantang hilang sekejap.” Eda mencuit Zaharah.
Aku menarik tangan Eda. Zaharah berlari sambil terjerit.
“Jangan tinggal daku!”
“Mari makan!” ujar nenek sebaik melihat kelibatku di muka pintu.
Mak Long dan Mak Ngah masih ada di situ. Menyusun makanan di meja. Zaharah dan Eda terus duduk di kerusi bersama nenek dan Mak Ngah. Aku pula pergi ke sinki membasuh tangan dan mengambil tempat di sebelah nenek. Giliran Mak Long pula duduk berhadap denganku.
“Baca doa!” Arah nenek padaku. Semua menadah tangan. Makanan di atas meja sungguh menyelerakan. Pajeri nenas, ikan kering, sambal kelapa, timun ulam, gulai telur. Semua itu membuatkan air liurku meleleh. Di rumah nenek sahajalah dapat aku nikmati semua ini.
Pagi itu suasana begitu riuh. Nenek tiba-tiba hilang. Jenuh kami mencarinya. Aku yang tidur di rumah nenek dipersalahkan kerana tidak menjaga nenek. Masakan semua kesalahan dicampakkan kepadaku. Aku cuma menemankan nenek bukan mengawal pergerakan nenek.
“Takkanlah kau tak perasan nenek pergi mana?” Rungut Mak Long sambil menjengilkan matanya kepadaku.
Sumpah! Aku tidak tahu. Buat apalah aku biarkan nenek pergi jika aku sendiri melihat nenek pergi. Mungkin aku juga mahu mengikut nenek. Sampai ke petang kelibat nenek tidak ditemukan.
Pelbagai andaian bertandang ke mindaku. Nenek diculik! Nenek merajuk. Barangkali nenek berkecil hati dengan Mak Long dan Mak Ngah. Barangkali juga nenek ke suatu tempat untuk menenangkan diri. Ah! Banyaknya kebarangkaliannya.
Hari sudah malam. Semua orang sudah gelisah. Ke mana agaknya nenek pergi. Tiba-tiba aku teringatkan perbualan bersama sepupuku di siang hari tadi. Kalau ingin menikmati keindahan, itu di sana. Aku berlari ke tingkap membukanya dan menatap ke arah perbukitan. Yang kulihat cuma kehitaman tiada sebarang petunjuk di situ. Tingkap kututup semula.
“Agaknya nenek ke hutan sana kot,” ujarku sambil menunjuk arah belakang rumah nenek. Dua orang wanita di depanku serentak memandangku.
“Buat apa di hutan banat tu?” Soal Mak Long. Aku tiada jawapan, cuma beragak-agak sahaja. Tajam betul mata Mak Long memandangku hingga aku mengesot pergi.
“Jangan-jangan…” Mak Ngah bersuara dan terus mencapai telefon dan menelefon seseorang. Aku memasang telinga meneliti setiap perkataan yang keluar dari mulut Mak Ngah. Telefon dimatikan setelah mengucapkan terima kasih. Persoalan kian meruncing. Apa yang perlu dibuat. Setiap ceruk rumah sudah digeledah. Aku langsung tidak dapat meneka ke mana nenek membawa diri. Membawa diri atau disembunyikan sesuatu.
Air mata Mak Long dan Mak Ngah kian lebat luruh. Mereka seperti menyesal kerana mempertikaikan hasrat nenek. Hasrat orang tua yang pada pendapat mereka tidak masuk akal. Mak Ngah lebih bertolak ansur tetapi Mak Long sangat tidak dapat menerima keputusan itu. Kini dua beradik itu seperti menyesal kerana bertelagah sesama sendiri semata-mata kerana ingin menegakkan pendirian. Aku harap nenek segera dijumpai.
Sedang diselubungi kekusutan terdengar suara wanita memberi salam. Mataku terbeliak. Kedengaran seperti suara nenek. Bergegas aku ke muka pintu membuka selak. Seperti yang kuduga nenek berdiri di kaki tangga diiringi seorang wanita. Itu ibu aku dan di belakang ibuku ada seorang lelaki dan lelaki itu adalah ayahku. Tiada kata-kata yang terucap dari bibirku melainkan kalimah syukur.
Mak Long dan Mak Ngah memohon maaf atas kekasaran mereka sebelum ini. Seperti biasa nenek hanya diam membiarkan mereka mencipta drama air mata. Aku tidak pasti apa yang berlaku. Selesai meletak dulang di meja aku ke dapur membasuh sisa pinggan sambil mencuri dengar.
“Betul ke Kak Long dan Kak Ngah ni tak setuju dengan permintaan emak. Apa hal lah kakak berdua ini nak halang-halang emak!” Nampak benar wajah ibu dalam keadaan marah.
Ayahku yang menyandar di dinding hanya mendiamkan diri sambil mengurut-ngurut janggutnya yang sejemput itu. Aku berdiri balik langsir. Aku benar-benar penasaran. Nenek duduk membelakangiku. Mak Long dan Mak Ngah duduk tidak jauh dari nenek. Masing-masing mendiamkan diri. Mungkin mencari ayat paling tepat untuk dilontarkan.
“Acu tak ada masalah kalau itu kemahuan emak,” usul ibuku setelah beberapa detik suasana larut dalam kesepian.
“Tak terasa ke emak dah keterlaluan. Umur emak dah tinggal berapa saja,” Mak Long memancung.
“Habis Kak Long ingat umur Kak Long yang masih panjang, sampai boleh menongkat langit.” Mak Ngah memintas.
Ayahku berdehem beberapa kali sedang nenek masih membisu membiarkan babak menjadi hangat. Aku yang dari tadi menelinga masih tidak faham apa yang sebenarnya terjadi. Nenek ke mana? Apa yang nenek mahukan sampai Mak Long beria-ia menentang.
“Kalau kamu semua tak setuju tak mengapalah. Aku duduk diam-diam saja di rumah ini,” Balas nenek kemudian bangkit menghilangkan diri ke dalam biliknya.
Aku menurutnya dengan pandangan. Aku keluar dari balik langsir kemudian berdiri di tepi tingkap melihat kegelapan malam mencari-cari mana cahaya yang terpantul.
“Salah kah hasrat emak nak memasuki pondok Al-Hidayah. Acu hairanlah kamu berdua ni apa yang ditakutkan sangat. Apa yang ada dalam fikiran kamu ini hah?”
Mak Long kelihatan terkejut, perlahan-lahan dia mendekati ibuku dan berbisik.
“Astagfirullahuladzim…” Jerit ibuku. Serentak itu mereka bertiga berlari memasuki bilik nenek. Aku cuma terpampan cuba mencari pengertian. – Mingguan Malaysia
Di daerah pertengkaran
- Oleh Siti Zaiton Ahmad
- 7 Mei 2023, 3:47 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Selamat hari lahir Kartini
14 Januari 2024, 5:37 pm
Tentang harapan penggiat tulisan khat
14 Januari 2024, 4:01 pm
Tengkujuh di hati Jusuh
7 Januari 2024, 6:07 pm