Arca bukan replika, ada nilai dan falsafah sendiri - Utusan Malaysia

Arca bukan replika, ada nilai dan falsafah sendiri

Suhaidi Razi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SENI berbentuk arca begitu sinonim di negara luar. Berdasarkan laporan portal Architectural Digest, Malaysia tidak berada dalam senarai 38 arca yang terkenal seluruh dunia.
Tidak pasti bagaimana penilaiannya dibuat walaupun kita boleh berbangga dengan beberapa arca yang ada terutama Tugu Negara.
Apa yang pasti seni arca kurang diketengahkan berbanding negara lain walaupun perkembangannya di negara ini bermula sekitar 1960-an berdasarkan pengaruh daripada pengarca yang menerima pendidikan Barat.
Kini selepas lebih 50 tahun, seni arca masih kekal bertahan. Buktinya, ada iaitu menerusi nama generasi pengarca baharu pada hari ini yang masih berkarya.
Tidak terkecuali Suhaidi Razi, 46, yang setakat ini menghasilkan kira-kira 30 arca pelbagai bentuk dan motif.
Menurut Pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang, Kelantan ini, menghasilkan arca tidak mudah sebagaimana membina replika walaupun mungkin ada segelintir melihatnya pada sudut pandang yang sama.
“Replika adalah sesuatu benda yang tiada falsafah seni. Sebagai contoh, replika durian. Ia hanya nampak sesuatu yang tersurat tanpa ada isi tersirat.
“Kalau arca pula ada maksud dan falsafah tersendiri, melangkaui apa yang dilihat dengan mata kasar. Kita meletakkan falsafah di depan, emosi dan sentimen masyarakat dalam pembuatan sesuatu arca. Contoh paling mudah Tugu Negara. Ada simbol perjuangan di situ,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Terdapat beberapa jenis arca antaranya Arca Luakan, Arca Timbulan, Arca Mobail, Arca Binaan, Asemblaj dan Arca Stabail.
Suhaidi kini giat membina arca daripada bahan kitar semula untuk projek peleburan menggunakan tembaga terpakai.
“Untuk projek kali ini , bentuk estetik karya adalah melalui cara penghasilan acuan berpandukan proses pergembangan idea dan lakaran tertentu. Kadang -kala proses pencarian idea serta perjalanannya itu mengambil masa yang panjang. Saya perlu mengolah dan diterjemahkan dalam bentuk sebuah karya seni.
“Melalui penelitian serta proses eksperimentasi termasuklah uji kaji bahan, beberapa penemuan pen­ting untuk merungkai perma­salahan asas seperti proses peleburan besi secara manual serta pendekatan secara traditional (berdasarkan kajian pembuatan tembaga tradisional melayu). Sebagai contoh teknik asas dalam peleburan besi dengan mema­hami sifat besi, api, tahap kepanasan maksimum, fungsi angin dan oksigen serta beberapa perkara asas yang lain,” katanya.

Tambah Suhaidi, setiap bahan besi itu mempunyai tahap lebur yang berbeza serta mempunyai fungsi yang tersendiri.
“Dalam proses peleburan bronze contohnya, takat lebur ialah antara 1600 sehingga 1800 darjah celcius,” jelasnya.
Tambah Suhaidi, penghasilan arca yang berasaskan acuan tembaga masih agak kurang di Malaysia, mungkin disebabkan kos agak tinggi selain peralatan serta kemudahan industri yang sukar diperolehi.
“Kebiasaannya sumber-sumber ini hanya boleh didapati di luar negara dengan kaedah custome made terus dari kilang penghasilan.
Pembinaan ketuhar menelan kos yang sangat tinggi iaitu antara RM 300 ,000 hingga RM500,000.
“Namun, untuk projek ini, saya cuba mencari kaedah alternatif dengan menggunakan proses peleburan secara manual dan dibuat sendiri ( inspirasi dari teknik pembuatan tembaga masyarakat melayu lama).
“ Ia hanya memerlukan ruang persekitaran natural serta menggunakan bahan semulajadi seperti pembuatan oven menggunakan tanah Liat serta peralatan dapur yang diubah suai. Boleh dibuat dalm ruang persendirian.
“Keseluruhan proses kajian dan eksperimentasi telah mengambil masa lebih kurang enam bulan.Arca yang dihasilkan menerusi projek kali ini kebanyakannya bersifat figuratif, flora dan fauna seperti imej harian yang menarik perhatian saya,” jelasnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya