TANGAN yang menghayun buaian bukan sekadar boleh menggoncang dunia, namun sebenarnya turut berbakat melakar lukisan yang mampu menghidupkan suasana ceria.
Itu perumpamaan paling tepat bagi pelukis mural wanita, Lailatusyahirah Mohd. Salleh selepas berjaya menghasilkan karya seni yang sebelum ini banyak didominasi golongan lelaki.
Apa yang dilakukan Lalitusyahirah atau dikenali sebagai Laila Salleh sebenarnya sesuatu yang amat jarang dilakukan wanita. Kalau ada pun hanyalah beberapa kerat sahaja terutama di negara ini.
Namun, Laila antara sebahagian pelukis mural wanita di samping beberapa nama lain yang mencorak dan ‘menghidupkan’ suasana terutama bagi bangunan usang yang sudah dimamah usia.
Ketika ditemu bual Mingguan Malaysia baru-baru ini, Laila memberitahu, dia melukis mural bukan disebabkan wang atau ikut trend, sebaliknya kerana minat yang begitu mendalam.
Malah, dia juga tidak mempunyai asas dalam lukisan mural. Segalanya ‘redah’ dan mahu mencabar diri sendiri.
Menceritakan saat menceburi bidang itu, Laila berkata, dia merupakan pereka grafik dan bekerja hampir 10 tahun di sebuah syarikat di Ampang, Selangor.
“Apabila berlaku penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya berhenti kerja dan mula melukis potret. Selepas beberapa bulan melukis potret, ada kawan mempelawa saya membuat lukisan mural dan mula dikenali selepas itu.
“Saya masih ingat lukisan pertama yang saya buat adalah di Butik Omar Ali di Taman Tun Dr. Ismail.
Hanya dalam tempoh setahun selepas menceburi bidang ini, Laila berjaya menyiapkan kira-kira 10 lukisan mural yang kebanyakannya dalam bangunan antaranya kedai kek dan powerhouse di ibu negara.
Walaupun dia antara sebahagian minoriti dalam bidang ini, Laila tidak pernah menerima layanan kelas kedua daripada mana-mana pihak termasuk pelukis lelaki.
Dalam pada itu, Laila ketika ditanya sama ada hasil seni golongan wanita lebih halus berbanding lelaki, katanya segalanya bergantung kepada kreativiti setiap individu dan bukannya jantina.
“Lelaki, mereka banyak melukis di luar bangunan. Kalau nak kata lukisan wanita lebih halus, tidak semestinya. Ia bergantung kepada individu. Sebagai contoh, ada kawan saya apabila melukis, dia akan menjadi lebih teliti. Saya juga begitu.
“Selain itu, ada juga pelukis yang strokenya (coretan) laju. Walau apa pun, kami bermula sebagai pelukis kanvas dan sebab itu kami hendak terapkan kaedah yang lebih teliti dan sama pada lukisan mural,” jelasnya.
Tambah Laila, setiap pelukis mempunyai identiti sendiri terutama bagi mereka yang lama berada dalam bidang ini.
Anak jati Gombak ini juga berkata, dia setakat ini tidak meletakkan sasaran tinggi dalam bidang lukisan mural dan menyifatkan penglibatannya masih baru.
“Cuma saya mahu hasilkan karya berbentuk ukiran kayu di dinding.Di Malaysia tiada lagi. Saya nak sangat buat ukiran kayu dan masih tidak jumpa individu yang betul lagi untuk mengajar saya lukisan ini,” jelasnya.
Laila dalam masa sama, turut berharap bidang itu dapat terus berkembang di negara ini dan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang. – Mingguan Malaysia
Tidak canggung ceburi bidang didominasi lelaki
- Oleh Mohamad Hafiz Yusoff Bakri
- 30 April 2023, 3:27 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am