HUJAN turun tidak berhenti-henti sejak petang semalam. Hati Rahmah mula menjadi bimbang. Betapa tidak, itulah tanda-tanda banjir akan berlaku di kawasan tempat tinggalnya. Apatah lagi, rumah Rahmah berdekatan sangat dengan sungai. Pernah suatu ketika air banjir naik hingga ke paras bumbung. Segala peralatan yang ada di dalam rumahnya musnah tidak boleh digunakan lagi.
Bila hujan turun berterusan, suaminya Rahman tidak dapat keluar bekerja. Rahman hanya melakukan kerja-kerja kampung sahaja. Apa sahaja yang boleh memberi rezeki pada Rahman. Janji halal. Rahmah sudah arif sangat hal ehwal pekerjaan suaminya Rahman.
Selalunya ketua kampung Tok Anwar yang akan mencari suaminya jika ada pekerjaan yang hendak dilakukan. Tok Anwar sudah lama berkawan dengan suaminya Rahman. Tok Anwarlah yang selalu memberi sumber rezeki kepada suaminya Rahman.
Rumah tangga yang dibina Rahmah dengan suaminya Rahman yang hampir 15 tahun telah dikurniakan Allah dua orang cahaya mata.
Kedua-duanya, lelaki. Yang sulung bernama Ramadan dan adiknya bernama Syawal. Ramadan berusia 12 tahun dan Syawal berusia 10 tahun.
Kedua-dua anak lelakinya lahir pada bulan Islam yang sangat istimewa. Bulan Ramadan yang mana semua umat Islam di seluruh dunia melakukan ibadah puasa wajib yang diperintahkan oleh Allah yang Maha Esa manakala bulan Syawal yang mana bulan umat Islam merai kemenangan setelah selesai sebulan berpuasa.
Sewaktu suaminya Rahman bertanya kepada Rahmah tentang bakal nama anaknya setelah selesai diazankan suaminya, Rahmah spontan menyebut nama Ramadan. Rahman terus sahaja bersetuju.
Begitu juga dengan anak keduanya. Rahmah sangat teruja apabila kedua-dua anak lelakinya dilahirkan dalam bulan Islam yang ada sejarah tersendiri.
Pernikahan Rahmah dan Rahman adalah sesuatu yang tidak dijangka oleh Rahmah. Dia tidak pernah mengenali Rahman. Sama ada berkenalan secara bersemuka atau berkenalan di media sosial. Tahu-tahu pada suatu malam ketika sedang berehat di ruang tamu, ayah dan ibu Rahmah telah menyatakan sesuatu. Saat itu umur Rahmah masih terlalu muda iaitu 20 tahun.
“Rahmah, ayah dan emak ada hal nak beritahu malam ini,” kata ayah Rahmah dengan nada perlahan.
“Ada hal apa, ayah, emak?” jawab Rahmah tanpa mengesyaki apa-apa.
“Umur ayah dan emak ini semakin meningkat tua. Rahmahlah satu-satunya anak bongsu ayah yang belum berumah tangga. Jadi, sebelum ayah dan emak dijemput malaikat maut, ayah dan emak berhajat melihat Rahmah bernikah,” ujar ayah Rahmah sambil matanya menjeling kepada isterinya.
“Ya, betul cakap ayah kamu tu, Rahmah. Sekurang-kurangnya jika ayah dan emak dah tak ada, Rahmah ada orang menjaganya,” sampuk emak Rahmah dengan suara sebak.
Rahmah terkedu dengan kata-kata ayah dan emaknya. Selama ini Rahmah belum terfikir hendak berkahwin. Usianya terlalu muda. Tetapi kata-kata ayah dan emak membuatkan hati Rahmah tersentap.
“Allahuakbar! Emak dan ayah janganlah cakap macam tu! Berderau darah Rahmah. Insya-Allah, umur ayah dan emak panjang lagi,” suara Rahmah agak nyaring kerana terkejut ayah dan emaknya bercakap pasal mati.
“Tapi Rahmah, tak salah kita mengingati mati. Semua orang akan mati. Ada yang mati muda. Ada yang mati tua. Itu semua kerja Allah, Rahmah,” kata ayah Rahmah seolah-olah berkhutbah.
“Tapi ayah, umur Rahmah masih muda lagi. Masih belum puas mengecapi usia remaja,” tambah Rahmah lagi memberi alasan.
“Rahmah, dengar pandangan emak ini. Umur 20 tu dah sesuailah untuk berumah tangga. Umur remaja ni 19 tahun ke bawah. Zaman sekarang ni, jika umur dah masuk 25 tahun ke atas, susah nak jumpa jodoh. Masing-masing sibuk dengan kerjaya. Silap hari bulan jadi anak dara tua,” ujar emak Rahmah seperti seorang guru di sekolah.
“Tapi emak, Rahmah nak kahwin dengan siapa? Pakwe pun tak ada!” selamba Rahmah menjawab.
“Begini Rahmah. Ayah ada kenal seorang pemuda di kampung ni. Pekerjaannya hanya melakukan kerja-kerja kampung sebab dia tak sekolah tinggi.
“Tapi ayah tertarik pada sikapnya. Berbudi bahasa, bersopan santun. Rajin solat. Ayah yakin, jika Rahmah kahwin dengan pemuda itu, dia akan jaga Rahmah dengan baik,” kata ayah Rahmah dengan teratur.
“Emak setuju dengan cadangan ayah tu. Emak pun suka dengan budak lelaki tu,” sampuk emak Rahmah.
“Tapi Rahmah tak kenal budak lelaki tu. Tak kenal hati budinya,” ujar Rahmah memberi alasan.
“Lepas berkahwinlah baru Rahmah bercinta dengan lelaki itu. Sekarang ni ramai je orang bercinta selepas berkahwin. Malah lebih hebat lagi percintaan mereka dengan yang bercinta sebelum kahwin,” kata ayah Rahmah terus memujuk.
“Siapa pemuda yang ayah dan emak pekenan tu?” tanya Rahmah seakan bersetuju.
“Namanya Rahman. Umur 25. Masih bujang. Rahmah setuju ke,” ujar ayah Rahmah. Wajah ayah dan emak nampak begitu ceria.
“Beginilah ayah, emak. Kata orang syurga itu berada di bawah tapak kaki emak dan ayah. Yang mana ayah dan emak rasa terbaik untuk Rahmah, Rahmah akur. Insya-Allah, apa yang dirancang oleh ayah dan emak akan dirahmati dan diberkati Allah,”
Maka Rahmah menjadi isteri yang sah kepada Rahman sehingga sekarang. Segala susah senang, Rahmah tempuhi bersama. Biarpun kehidupan mereka berdua tidak mewah, Rahmah reda kerana masih boleh meneruskan hidup membesarkan dua orang anak lelaki Ramadan dan Syawal.
Setahun selepas Rahmah mendirikan rumah tangga, ayah Rahmah meninggal dunia secara mengejut di dalam tidur. Enam bulan selepas itu emak Rahmah pula meninggal dunia kerana kesedihan dan kesunyian ditinggal suami. Rahmah reda dengan ketentuan takdir Allah.
Pendapatan Rahman yang tidak menentu benar-benar menguji bahtera rumah tangga Rahmah. Kehidupan mereka lebih miskin dari golongan B40.
Malah Rahmah dapat merasakan dia dan Rahman adalah keluarga miskin tegar. Namun Rahman tidak pernah duduk diam. Sifat ringan tulangnya sentiasa berusaha menjari rezeki untuk menyara Rahmah dan dua orang anak.
Ketua kampung Tok Anwar sering memberi peluang pekerjaan kepada Rahman. Inilah kebaikan Tok Anwar kepada Rahman.
Malah Tok Anwar berusaha mendapatkan bantuan untuk Rahman melalui pusat zakat.
Bantuan sara hidup yang diberikan oleh kerajaan turut Tok Anwar khabarkan pada Rahman supaya memohon kerana layak menerimanya.
Malah menu Rahmah yang diperkenalkan oleh kerajaan turut memberi kebaikan pada Rahman dan Rahmah sekeluarga. Kemudahan menu Rahmah telah dapat menjimatkan Rahman berbelanja kerana harga yang murah yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Ramadan dan Syawal turut menerima tempias rezeki menu Rahmah apabila pihak kantin sekolah memberi harga istimewa kerana ayah dan emaknya termasuk dalam golongan miskin tegar.
“Jauh sungguh awak mengelamun. Mana Ramadan dan Syawal ni? Tak nampak pun sejak tadi!” tegur Rahman yang sejak tadi melihat Rahmah termenung memandang ke luar jendela.
“Eh! Tadi ada dalam rumah ni! Tak kan keluar pula!” ujar Rahmah seakan terkejut.
“Hujan tak berhenti-henti ni. Masakan bermain air hujan!” kata Rahman. Suaranya bernada kerisauan.
Rahmah meninjau ke luar rumah. Matanya liar mencari kelibat Ramadan dan Syawal. Kelibat anak-anaknya tidak ada. Rahmah mula cuak. Ke mana pula anak-anaknya pergi dalam hujan lebat begini.
“His! Ke mana pulak anak-anak kita ni, abang? Selalunya mereka bagi tau jika hendak ke mana-mana!” Rahmah mula gelisah.
“Budak-budak ini mulalah buat hal ni!” keluh Rahman.
Tiba-tiba Syawal muncul di muka pintu dengan nafas tercungap-cungap. Wajah Syawal dalam ketakutan. Rahman terus memeluk anaknya Syawal.
“Kenapa ni, Syawal? Apa yang berlaku?” tanya Rahman.
“Abang… abang… abang Ramadan…” suara Syawal tersekat-sekat dan menggigil-gigil.
“Kenapa dengan abang Ramadan?” sampuk Rahmah.
“Abang Ramadan tergelincir jatuh dalam parit, ayah! Air parit laju sangat, ayah!” teriak Syawal kemudian menangis.
“Allahuakbar!!! dekat parit mana, Syawal?” suara Rahman nyaring kerana terkejut.
“Abang!!! Anak kita!!! Ramadan!!! Ramadan!!!” laung Rahmah.
Suara Rahmah bergema dalam bunyi hujan yang masih turun tidak berhenti-henti sejak semalam.
Rahmah terjelepuk di sisi Rahman. Syawal memeluk Rahmah sambil menangis teresak-esak. – Mingguan Malaysia