Wakaf Ramadan - Utusan Malaysia

Wakaf Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

i
Sebuah wakaf kayu terpinggir di sudut jalan yang kian bening sunyi. Wakaf tua dan uzur yang kian dimamah waktu. Wakaf yang hanya sesekali menjadi tempat haiwan ternakan berlindung daripada hujan dan panas. Rumput rampai tumbuh terbiar di bawah bangku kayu yang kian reput. Beberapa batang pokok besar menunjang di kiri dan kanan wakaf.Ranting-ranting kering bersepahan jatuh di atas hamparan tanah yang dilumuti segala tumbuhan parasit.
Sejarah wakaf pusaka itu telah lama dilupakan. Wakaf kayu berbumbung tiga lapis itu mempunyai kisah tersendiri. Kisah yang terhimbau dalam ingatan kecil segelintir penduduk yang masih mengingati.
Pada lapis pertama atap dikatakan mewakili ilmu syariat. Manakala pada lapisan kedua dan ketiga pula menafsirkan tentang ilmu hakikat dan ilmu makrifat yang perlu diterokai oleh manusia yang beragama.
Wakaf itu kekal berdiri di situ. Seingatku sejak kami masih di alam kanak-kanak lagi. Di situlah kami habiskan sebahagian petang dengan bertadarus al-Quran serta mendengar tazkirah daripada Ustaz Haji Hasbullah yang petah mengungkap kisah para anbiya.
Alangkah terpegunnya kalangan kami menghayati segala nas dan dalil daripada wahyu dan sunah Nabi yang penuh dengan teladan dan renungan sebagai bekalan dalam hidup. Wakaf terbiar itu cukup dekat di hati anak-anak kariah suatu ketika dahulu apatah lagi saat Ramadan melabuhkan waktu. Justeru itulah juga kalangan kami menamakan wakaf tua itu dengan gelaran Wakaf Ramadan.

ii
Ramadan akan datang lagi. Bulan Mubarak yang penuh dengan cerita-cerita terindah. Tidak lengkap hari pertama Ramadan jika tidak kami pulang ke kampung tercinta untuk meraikan detik menjalani ibadah puasa. Maka, kalangan kami yang sudah bekerjaya dan menetap di ibu kota akan menjengah desa tercinta nun di pedalaman jauh. Saat itu bertemulah aku dengan teman-teman lama tatkala kami masih di usia remaja. Pertemuan selepas beberapa dekad tidak bersua adalah detik paling menyentuh perasaan.
“Kampung kita tetap seperti dahulu. Semasa kita sama-sama memulakan musafir mencari ilmu di menara gading dahulu.”
Aku bersuara tenang sewaktu kami kembali berkumpul di wakaf yang tinggal rangka itu. Angin petang bertiup perlahan membelai tubuh.Kedinginan terasa saat hembusan udara desa menyantuni tubuh.
“Ya, kampung tradisi yang kekal dengan warisan dan tradisi silam. Kita berbangga kerana tanah kelahiran kita masih lagi mengekalkan adat dan budaya silam.”
Ujar Hilman tersengih menatap wajah kami yang lama tidak bertemu.
“Semoga desa ini terus kekal dengan nilai-nilai silam berbanding tempat lain yang sudah mengalami kemajuan dan pemodenan.Aku sangat takut dengan pembangunan yang boleh merosakkan jati diri dan akal budi generasi.”
Tambah Muhamad Ali yang sedikit menggeletar menahan kedinginan udara sejuk. Mata kami tiba-tiba terpacak pada beberapa bahagian wakaf kayu yang sudah reput dan menanti masa untuk runtuh.
“Aku tidak pernah lupa pada wakaf Ramadan ini. Wakaf yang menjadi saksi bagaimana kita sama-sama belajar bertadarus al-Quran bersama guru-guru tercinta. Alangkah indahnya jika nostalgia itu dapat berulang kembali.”
Suaraku tenang cuba mengingati kisah lama. Kisah tatkala usia kami masih di awal remaja. Musim Ramadan muncul adalah detik yang ditunggu-tunggu. Di sinilah kami berkumpul mengkhatami wahyu dengan tajwid dan tartil. Guru-guru yang dedikasi tidak pernah jemu menitipkan pesan dan doa agar kami menjadi generasi pecinta al-Quran.
Kata guru, sebaik-baik manusia adalah pecinta al-Quran yang sentiasa menyuburkan lidah dengan hafazan surah. Lalu, petang senggang sebelum azan Maghrib berkumandang berulang dan berulanglah kami melatih bacaan dengan melancarkan hafazan. Tidak cukup dengan bacaan, kami melatih diri menguasai ilmu tafsir yang diajar oleh guru tercinta.
Ramadan tetap detik terindah. Ramadan yang membugar kisah silam. Wakaf Ramadan itulah kami berkongsi apa sahaja sirah dan kisah yang dipetik daripada kitab-kitab lama. Buku Tafsir Hadis dan Kitab Minhajul Abidin antara kitab yang kami tekuni mencari mutiara ilmu untuk diamalkan dalam kehidupan. Saat senja kian mendekat, sama-samalah kami mengatur langkah menuju ke surau berdekatan untuk jamuan berbuka puasa yang disediakan oleh orang tua kami dan jiran tetangga.
“Aku rindukan Ramadan yang dulu. Ramadan yang penuh kasih sayang dan ukhuwah yang kejap bersimpul erat.”
Suara Muhamad Ali tiba-tiba melunaki pendengaran kami. Kami berpandangan. Ingatan dan kenangan lama mula terhimbau segar dalam fikiran.

iii
Tahun-tahun sesudah kami menamatkan pengajian lalu memilih kerjaya di ibu kota – Ramadan yang muncul terasa seperti kehilangan sesuatu. Sesuatu yang pernah tumbuh berputik di kalbu kami. Kehidupan moden di kota agam melenyapkan satu persatu nilai tradisi yang pernah kami sanjungi di desa pedalaman. Tadarus al-Quran dan menekuni ilmu semakin hari semakin ditinggalkan.
Begitu juga dengan suasana menyiapkan masakan tradisi di surau untuk berbuka puasa sudah tiada lagi. Hidup di kota meminggirkan segala yang pernah kami rasai. Kota moden yang serba materalistik menjauhi segala tradisi dan warisan ibunda sehingga hidup kami bagaikan terpisah di dalam kotak-kotak yang tertutup.
Kotak-kotak yang dicipta oleh para propagandis dan anarkis yang mahu melihat rakyat marhean kekal bersama ideologi dan fahaman hidup yang tercipta sendiri. Daripada kotak-kotak itu diciptakan pula perasaan sangsi, waspada dan kebencian agar saling bermusuhan sesama.
“Kita tidak akan bertemu lagi suasana seperti dunia silam. Zaman kanak-kanak dan remaja yang penuh dengan kemesraan dan kasih sayang.”
Muhamad Ali meluahkan perasaan.
“Zaman segalanya suci dan murni. Tiada telingkah dan sengketa kerana kalbu kita bersih daripada dosa kebencian, dendam, iri hati dan dengki.”
Hilman berpaling menghadap ke arah wakaf kayu yang sebahagian binaannya hampir roboh. Wakaf itu tidak ubah seperti seorang makhluk yang terlalu uzur dan dhaif. Di sana sini kereputan anggota dapat diperhatikan dengan jelas.
“Apa kata kita bangunkan kembali wakaf Ramadan ini seperti dahulu. Atap dan perabung yang uzur kita perbaiki manakala lantai kayu yang rosak kita perbetulkan supaya kelihatan menarik seperti dahulu.”
Aku memberi cadangan.
“Modal akan kita kumpulkan bersama. Jika ada peruntukan lebih kita tambah dengan membina ruang untuk kanak-kanak mengaji dan belajar ilmu akhirat seperti dahulu. Aku sangat sayangkan wakaf Ramadan ini. Ini nostalgia terindah kita ketika zaman kanak-kanak dahulu.”
Hilman bersemangat memberi cadangan. Kami saling menganggukkan kepala tanda bersetuju dengan cadangan menarik itu.Sehari dua itu ada sahabat di ibu kota sudah menyatakan persetujuan lalu mengumpul dana di dalam akaun simpanan.
Ketika Ramadan minggu pertama, jumlah wang yang terkumpul sudah mencukupi untuk kami mengupah beberapa pekerja menyiapkan wakaf lama. Simen. besi, kayu dan papan mula berlonggok di hadapan kawasan wakaf sebelum kerja dimulakan dengan menggantikan kayu yang reput dan rosak.
Hampir dua minggu kemudian, terbinalah sebuah wakaf moden yang tersergam indah dengan ruang yang ditambah. Kami kembali menamakan wakaf ini dengan nama Wakaf Ramadan.
Nostalgia lama tiba-tiba muncul kembali saat aku, Hilman dan Muhamad Ali mengadakan majlis berbuka puasa di halaman wakaf. Seluruh penduduk dijemput untuk meraikan sebuah legasi yang suatu ketika pernah menjadi tempat kanak-kanak menekuni ilmu al-Quran serta mendalami fardu ain. Sebelum menunaikan solat sunat dan fardu yang diadakan di ruang solat yang luas, aku sempat menitipkan pesan dan ucapan di hadapan para kariah.
“Dahulu, di sinilah wakaf yang mempertautkan persahabatan dan keakraban anak-anak ketika menghayati ilmu daripada para guru dan mursyid. Wakaf ini pernah menumbuhkan cinta kami kepada agama dan syariat. Semoga pada era moden ini, anak-anak kita akan kekal dengan nilai dan jati diri dilimpahi oleh pendidikan luhur berteraskan al-Quran.”
Setiap kanak-kanak yang hadir dihadiahi dengan senaskhah al-Quran dan rehal kayu.
“Selepas Ramadan ini, kita akan membuka kelas al-Quran percuma serta pengajian agama. Wakaf agam ini akan kembali berfungsi mendidik remaja dan tarbiah sebagaimana waktu dahulu. Hanya benteng agama yang dapat menahan asakan budaya liar yang cuba menjajah anak-anak bangsa kita pada masa akan datang.”
Ucapan ringkas Muhamad Ali menarik perhatian ramai ibu bapa yang sanggup bekerjasama demi memastikan wakaf ilmu ini kekal terpelihara.

iv
Ramadan tahun ini menjadi titik terindah saat wakaf tersergam ini mulai dilaungi azan dan kalimah wahyu Tuhan selepas sekian lama. Pondok bertaraf madrasah ini turut dijadikan sebagai tempat ibadah anak-anak muda yang ingin kembali kepada roh agama.
Aku dan sebahagian teman-teman yang berkerjaya di ibu kota memilih untuk pulang pada hujung minggu demi memastikan Wakaf Ramadan ini kekal makmur menjadi pusat tarbiah keilmuan dan syariat.
Aku yakin wakaf ini tidak akan terbiar lagi kerana kami bertekad memastikan akar agama terus utuh dan terpelihara di kampung kecil ini. Wakaf Ramadan ini adalah jiwa dan nurani kami yang terpancar segala akar budi dan jati diri terhadap agama suci ini.
Ya, Wakaf Ramadan adalah nurani dan jiwa kami yang ingin kembali memetik cinta Tuhan. Cinta yang telah lama hilang sesudah kalangan kami disibukkan dengan kerjaya di ibu kota agam.
Inilah detik Ramadan terindah pada usia yang kian menginjak ke angka tua. Biar wakaf Ramadan ini menghidupkan indera kami dengan taaruf dan tarbiah mendekatkan ke jalan kebenaran. Kebenaran yang pernah muncul menggilap kalbu kami di usia kecil dulu.
Wakaf Ramadan akan menjadi rumah kedua kami dalam membina cinta agung itu. Ramadan Mubarak. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya