Sebuah pemendapan - Utusan Malaysia

Sebuah pemendapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAK JUNID bersandar di beranda rumahnya. Kakinya dilunjurkan. Dia keletihan, baru pulang dari kebunnya. Selepas mandi dan bersalin pakaian dia berehat di situ, menunggu isterinya menyiapkan makan tengah hari.
Beberapa tandan pisang terletak di hadapan beranda. Pisang awak, begitu segar dan montok buahnya. Dia menunggu peraih yang akan membeli pisang itu. Sesikat RM2, setandan terdapat 10 sikat. Bererti RM20 setandan. Dia akan mendapat RM100 pagi itu. Betapa berkatnya dia berbudi kepada tanah.
Dia juga menunggu Hasan, cucunya, pulang dari sekolah. Satu-satunya cucu yang tinggal bersama-samanya. Tidak betah tinggal bersama ibu dan ayahnya. Dia begitu gemar suasana di perkampungan. Suasananya aman dan segar, katanya.
Dia mempunyai 10 cucu, hasil perkahwinan tiga anaknya. Anak-anaknya bekerja sebagai pegawai kerajaan dan swasta, menyara kehidupan masing-masing. Hasanlah menemani hidupnya sekarang.
Sebagai seorang bekas tentera, berkhidmat untuk keselamatan negara selama 21 tahun, Pak Junid pulang membina kehidupan di kampung. Dia bersama isterinya Mak Sopiah. Kini usianya 60 tahun. Mendapat pencen kira-kira RM800 sebulan. Cukuplah menyara kehidupannya sekeluarga di samping hasil kebunnya.
Kebunnya kira-kira lima ekar. Ditanami pokok buah-buahan: pisang, durian, cempedak. rambutan dan dokong. Dia menjaga sebaik mungkin. Kerana itulah pokok buah-buahannya subur menghijau. Kini pokok rambutannya berbuah lebat, kemerah-merahan di rantingnya. Cempedak juga bergayutan buahnya di batang dan di dahan-dahannya. Suasana begitulah menjadi daya penarik kepada Hasan tinggal bersama-samanya.
Ketika itu jua tiba-tiba menjelma sesuatu dalam mindanya. Dia melempar pandangan jauh di hadapan rumahnya: Bukit Chuping tertegak utuh sebagai pasak bumi. Sebuah bukit, dipenuhi batu-batu pejal kebiru-biruan. Di celah batu-batu tersebut tumbuh pokok bongok, pokok jejawi dan pokok-pokok lain, subur menghijau. Pokok bongok menjadi rebutan para pencinta rekreasi sebagai hiasan landskap. Harganya beratus-ratus ringgit.
Bukit Chuping itulah yang mendamba hatinya. Sesuatu telah berlaku. Dulu bukit itu tersergam indah. Puncaknya melengkung bagaikan belakang gajah. Kini, hulu bukit itu gondol. Diusahakan oleh pihak kontraktor, meletupkan batu bukit tersebut saban hari. Batunya berhamburan keluar. Ketulan batu-batu itu dimasukkan ke dalam mesin, sehingga hancur. Ia dipergunakan untuk pembinaan jalan raya, sebagai konkrit perumahan. Sehingga gondollah sebahagian bukit itu. Maka berlakulah sesuatu yang tidak diingini, mendamba mindanya …
Suatu malam, Pak Junid masih ingat, bunyi degupan yang kuat dari arah luar bukit Tersebut. Dia, Mak Sopiah dan Hasan amat terperanjat.
“Apa bunyi tu, Wan?” tanya Hasan setelah mereka tersedar dari tidur. Mereka membuka pintu melihat ke arah Bukit Chuping.
“Boleh jadi berlaku sesuatu di pinggir bukit tu, Hasan,” jawab Pak Junid. Dia berbicara dengan penuh kekhuatiran. “Pagi esok kita pergi tengok. Malam buta begini tak elok kita pergi ke sana,” tegasnya. Bersabar.
Pagi esok, apa yang mereka lihat, ternyata sesuatu yang amat dahsyat: Pemendapan! Pemendapan tanah amat luas berlaku di pinggir bukit itu. Di situ terdapat projek perumahan. Kira-kira 100 rumah sedang dibangunkan, ranap ditelan bumi!
“Sebab apa agaknya boleh berlaku pemendapan ini, Wan?” tanya Hasan penuh kehairanan. Panggilan Wan sebagai Atuk di sebelah utara tanah air. Dia menggeleng-geleng beberapa kali.
“Kuasa Allah, Hasan!” jelas Pak Junid. “Bukankah dalam al-Quran Allah berfirman,‘Gunung-ganang dikukuhkan letaknya di bumi, sebagai pasak yang menetapnya’, Surah An-Nazi’at, ayat ke 32. Sekarang bukit itu dah gondol, tinggal separuh. Terjejaslah pasak bumi tu,” jelasnya lagi. Sesungguhnya setiap hari dia membaca al-Quran dan sering menemui surah-surah begitu.
Dan mereka melihat begitu ramai penduduk kampung, bersama sekian ramai pula kalangan yang bertanggungjawab tentang projek perumahan, ahli-ahli arkeologi, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Alam Sekitar, polis, pegawai tinggi kerajaan termasuk wakil-wakil rakyat dan Menteri Besar mengunjungi tempat tersebut.
“Mereka yang bertanggungjawab akan membuat penyelidikan tentang pemendapan itu, Hasan,” kata Pak Junid lagi.
“Marilah kita pulang. Banyak kerja yang patut kita buat di rumah,” ajaknya. Kebetulan hari itu hari minggu. Mereka bertiga berjalan pulang. Di fikiran Hasan masih berlegar-legar tentang kejadian itu. Dia pernah belajar di sekolah, ilmu Geografi tentang pemendapan. Lazimnya pemendapan berlaku kerana takungan air di perut bumi. Apabila sesuatu yang berat terkumpul di atasnya maka berlakulah pemendapan.
Runtuh semuanya dan berkecai, termasuk sebuah banglo yang didirikan terlebih dahulu untuk kediaman sementara pemaju perumahan. Boleh jadi cerucuk rumah tidak sampai ke dasar bumi yang menakung air, fikir Pak Junid. Sesuatu yang amat dahsyat berlaku. Allah SWT yang berkuasa segala-galanya, begitu keyakinan Pak Junid, imam dan anak jemaah Masjid Chuping di situ.
“Sebab apa berlaku pemendapan itu, Tok Imam?” tanya Pak Junid, selaku anak jemaah di Masjid Chuping, lepas solat Subuh itu. Dia ingin mendapat fikiran imam tersebut. “Boleh jadi terdapat sesuatu yang tidak baik berlaku di situ, Junid,” ujar Imam Derani. Dia menjadi imam di masjid itu kira-kira 10 tahun lalu.
“Apa yang tidak baik itu, Tok Imam?” tanya Pak Junid lagi. “Maksiat!” tegas Imam Derani. “Maksiat?” tanya Pak Junid begitu terperanjat. Pandangannya menyeluruhi wajah imam yang jernih itu bersungguh-sungguh, ingin mendapat kepastian.
“Bukankah dalam kawasan perumahan itu terdapat sebuah banglo, milik pemaju perumahan?” Imam Derani menguji ingatan Pak Junid.
Pak Junid termenung, mengingatkan banglo tersebut, “Ya! Ya memang terdapat sebuah banglo di situ,” dia mengakui dan mengangguk-angguk.
“Tidak pernah kamu melihat pemaju perumahan selalu membawa wanita-wanita muda bermalam di situ?” tanya Imam Derani, menduga. Pak Junid memandang tepat ke wajah Imam Derani, “ Baru saya ingat beberapa orang anak muda di sini selalu berbual hal tersebut,” jelasnya.
“Itulah punca maksiat, Junid!” tegas Imam Derani.
Ternyata kini kemaksiatan, bukit itu digondolkan dan punca aliran air yang terkandung di perut bumi menyebabkan pemendapan, fikir Pak Junid.

* * *
“Assalamualaikum, Wan,” tiba-tiba dia mendengar suara memberi salam di hadapan rumahnya. Hasan baru pulang dari sekolah.
Pak Junid tersedar dari lamunannya, “Waalaikumsalam,” jawabnya. Dia mengangkat lunjurnya dan mengeliat, menghilangkan lenguh.
“Eh! Banyak tandan pisang Wan bawa pulang hari ini. Kalau Wan tebang petang nanti boleh Hasan tolong angkat tandan pisang tu,” kata Hasan lalu menuntun basikalnya ke bawah rumah. Seorang yang cergas, bertimbang rasa, memakai pakaian sekolah yang bersih.
Pak Junid tersenyum. Bangga dengan kesetiaan cucunya itu. “Tak apalah, Wan masih mampu membawa tandan pisang tu,” jelasnya.
Hasan naik ke beranda dan bersalaman dengan Pak Junid, “Saya nak salin baju dulu, Wan,” katanya penuh sopan.
“Eloklah tu, Hasan. Lepas tu boleh kita berbual-bual di sini tunggu Tok siapkan makan tengah hari kita. Wan juga tunggu peraih beli pisang tu,” jawab Pak Junid.
Hasan masuk ke dalam rumah, salin pakaian. Setelah itu dia keluar mendapatkan Wannya. Ketika itu jua, tiba-tiba muncul sebuah van berhenti di depan rumahnya. “Ha! Itu pun Ramli dah datang. Kamu tolong angkat tandan pisang itu ke dalam van,” minta Pak Junid.
“Baik Wan,” ujar Hasan, lantas turun ke tanah menuju ke arah tandan pisang. Dia mengangkat tandan-tandan pisang itu bersama Ramli, memasukkan ke dalam van.
“Terima kasih, Hasan. Begitulah seorang cucu yang rajin,” puji Ramli, pemandu van. Setelah tandan-tandan pisang itu dimasukkan, Ramli mendapatkan Pak Junid, “Nah! Ambillah RM100 harga pisang-pisang tu, Pak Junid,” kata Ramli sambil menghulur wang tersebut.
“Terima kasih, Ramli,” ujar Pak Junid. Ramli mengangguk, segera menaiki vannya dan berlalu dari situ.
“Inilah hasil kita berbudi kepada tanah, Hasan,” kata Pak Junid. “Ambil RM10 untuk belanja di sekolah,” dia menghulur wang berwarna merah itu kepada Hasan.
“Terima kasih, Wan. Terima kasih!” Hasan menerima wang itu lantas mencium tangan Pak Junid.
Pak Junid tersenyum dan angguk-angguk.
“Wan, petang ini kawan-kawan Hasan, Ah Chong, Den Kluan, Siradewi dan Wahab nak datang ke rumah kita. Kami nak buat kerja di rumah, pelajaran yang Cikgu ajar hari ini. Kami nak belajar di pondok kecil dalam kebun kita tu,” kata Hasan.
“Baguslah. Hasan pungut buah rambutan di pokok tu, jamu mereka makan ya?” minta Pak Junid. Hasan mengangguk, “Terima kasih Wan,” katanya, keriangan.

* * *
PETANG itu, ketika mereka selesai belajar sambil makan rambutan, Hasan mendongak ke arah bukit Chuping. “Lihat bukit tu, kawan-kawan,” ujar Hasan. Mereka sama-sama menoleh ke arah bukit Chuping.
“Ya, di situ berlaku pemendapan. Sebab apakah agaknya?” tanya Siradevi.
“Kita dah belajar dalam Geografi, pemendapan boleh berlaku kerana terdapat takungan atau aliran air di bawah tanah,” kata Ah Chong.
“Memang benar, Ah Chong. Satu sebab lagi, kepercayaan kami yang beragama Islam kerana berlakunya maksiat. Sekian banyak kegiatan maksiat yang Tuhan menghukumnya,” Hasan menyambung penjelasan itu.
“Satu sebab lagi bukit tu dah gondol separuh. Sebab itu dah tak kuat pasak bumi di situ,” sampuk Wahab pula.
Empat rakannya mengangguk mengerti.
“Menurut cerita Wan saya, terdapat gua di bukit Chuping tu bernama Gua Beringin. Penduduk di sini mengambil baja tahi kelawar dalam gua itu untuk sawah padi. Sekarang gua itu terbiar. Sempena gua itu juga ada sebuah pantun,” cerita Hasan mengingati cerita Wannya.
“Pantun? Kamu ingat pantun tu Hasan?” Celah Den Kluan. Dia ingin mendengar pantun tersebut.
“Pantunnya begini: Bukit Chuping Gua Beringin, Tempat orang mengambil baja; Putih kuning jangan duk ingin, Banyak orang balik saja.”
“Amboi romantik pantun tu Hasan,” ujar Siradevi. Dan mereka tersenyum.
“Sudah lewat petang, eloklah kita pulang,” usul Den Kluan, anak muda keturunan Siam di kampung itu.
“Terima kasih Hasan, menjamu rambutan kepada kami,” ujar Wahab pula.
Hasan tersenyum dan angguk-angguk, “Sama-sama,” katanya. Mereka bersalaman dan segera meninggalkan pondok tersebut.
Bukit Chuping terus tercegat di situ, merakam sekian banyak sejarah. Cuma tinggal separuh, gondol di bahagian utaranya akibat kerakusan manusia! – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya