APALAH nikmatnya kalau sekadar mendengar tanpa rasa dan faham. Begitulah juga dengan muzik yang terdiri pelbagai genre termasuklah rock. Minat perlu selari dengan pengetahuan yang tinggi dan bukan sekadar menyanyi atau bersiul tanpa henti. Kalau tidak jangan sembang Rock Never Die.
Saya katakan begitu selepas meneliti kandungan buku 65 Tahun Muzik Rock Di Malaysia: Dari Rock Proto ke Glam Rock Melayu (1955-1986) hasil karya Prof. Madya Dr. Muhamad Takiyuddin Ismail.
Masih terlalu banyak yang saya tidak tahu tentang sejarah perkembangan muzik rock di negara kita sebaik membaca satu persatu buku setebal 393 muka surat ini.
Segalanya tentang muzik rock berjaya dirungkai dalam tempoh tersebut termasuk sejarah sebenar ia mula bertapak di negara kita.
Selain itu, penulis turut meletakkan banyak perkara asas lain yang perlu diketahui peminat rock selain sejarah perkembangan antaranya pengertian rock progresif dan rock konvensional; persoalan antara budaya dan muzik rock serta banyak lagi. Malah, buku ini turut menyediakan gambar rajah perkembangan semasa era rock di Malaysia termasuk era rock glam atau selama ini banyak yang menyebut sebagai rock kapak.
Bukan sekadar itu, penulis turut menceritakan kaitan antara rock dan moral yang pernah mencetuskan kebimbangan pada satu masa dahulu. Sebagai contoh, diceritakan bagaimana ada satu ketika konsert kumpulan (tanpa mahu dinyatakan) terpaksa dibatalkan sehingga menimbulkan konflik lain.
Selain gaya bahasa yang mudah difahami, buku ini mempunyai 255 keping gambar lama yang saya pasti tidak pernah dilihat generasi peminat rock zaman sekarang.
Antara gambar yang menarik perhatian saya adalah aksi luar dugaan kumpulan Febians dalam Konsert Rock Perdana pada tahun 1983 dan gambar poster Battle of The Band pada 1986. Di samping itu, apa yang menarik, sumber penceritaan di dalam buku ini bukan sekadar mereka yang terdiri daripada kumpulan-kumpulan rock, tetapi penulis mengambil keseluruhan sudut termasuk promoter, peminat, jurutera bunyi, pelukis kulit album dan ramai lagi yang berada di belakang tabir pada ketika itu.
Hampir 187 orang ditemu bual dalam satu elemen wawancara untuk penulisan buku ini, kata penulis. Ini secara tidak langsung telah menggambarkan keseluruhan cerita perkembangan muzik selama 65 tahun bermula pada 1955. Kisah penceritaan yang sangat mendalam.
Dalam pada itu, Muhamad Takiyuddin ketika ditemui Mingguan Malaysia berkata, banyak cabaran yang perlu ditempuhi sepanjang menghasilkan naskah terbitan Universiti Malaya (UM) ini.
Katanya segala cerita telah dimuatkan dalam buku yang diibaratkan sebagai permata dan mempunyai signifikan tersendiri walaupun pernah menghasilkan 12 buku lain.“Buku ini disiapkan dalam tempoh dua tahun setengah dan ia begitu menyeksakan sebenarnya. Banyak cabaran daripada segi dana dan bahan. Saya guna duit saya sendiri dan bermula dari kosong.
“Kemudian saya bermain dalam bidang baharu. Saya bermain dalam ‘kawasan’ yang baharu. Saya tidak kenal sesiapa dalam industri. Hanya seorang dua dan tidak tahu siapa saya nak berjumpa semasa awal-awal penulisan. Alhamdulilah banyak membantu,” jelasnya.
Muhamad Takiyuddin merupakan Pensyarah Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan peminat tegar muzik rock dan telah menerbitkan beberapa buku genre politik seperti Melayu Dalam AP, Langkah Sheraton dan Tujuh Hari Panjang.
Untuk penulisan siri kedua, beliau berharap ada pihak yang sudi membantu dan menyalurkan geran selepas mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk buku ini. – Mingguan Malaysia
Mampukah ‘rock glam’ kekal?
- Oleh Mohamad Hafiz Yusoff Bakri
- 12 Mac 2023, 4:33 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am